PENDAHULUAN
Bagaimanalah agaknya tajuk yang agak luas ini—tanpa ada pengkhususan tempat dan batasan masa—sewajarnya didekati supaya ia menjadi lebih terarah dan sesuai dibicarakan dalam sebuah kertas seminar seperti yang dianjurkan ini. Pada hemat penulis, untuk menjadi lebih munasabah, nampaknya persoalan yang berkait dengan "penghayatan" dan "pengukuhan" akidah ASWJ ini, pada tempat-tempat tertentu dalam penulisan, perlu dikaitkan juga dengan "tempat tertentu" serta juga "masa tertentu" yang boleh menjadi wakil dan contoh kepada keseluruhan persoalan yang dibicarakan. Hal ini perlu dilakukan sedemikian, khususnya untuk melihat pola dan arah perkembangannya bagi memudahkan kefahaman untuk diambil iktibar positif atau sebaliknya. Justeru, untuk menyelesaikan penulisan ini, penulis memilih untuk memberi pencerahan terhadap beberapa sub-tajuk seperti berikut:
§ Apa sebenarnya akidah ASWJ itu?
§ Pemilikan dan Penghayatan akidah ASWJ di rantau Nusantara
§ Pengukuhan akidah ASWJ di Malaysia
Maka itu, Nusantara dan Malaysia dalam penulisan ini merupakan contoh atau wakil bagi melihat pola penghayatan dan pengukuhan akidah ASWJ dalam keadaan yang lebih munasabah sebagai sebuah kertas seminar, bukannya sebuah tesis atau sebuah buku.
Di samping itu, adalah perlu dicatatkan perihal betapa amat relevannya persoalan "penghayatan" dan "pengukuhan" akidah ASWJ diwacanakan pada masa kini untuk mencari penyelesaian sewajarnya. Hal ini berpunca daripada suasana semasa, khususnya di rantau Nusantara ini--iaitu tempat berkumpulnya umat Islam yang terbesar bilangannya di dunia hari ini—yang ternyata bahawa akidah ASWJ sedang dihimpit dan digugat survivalnya oleh beberapa pihak, sama ada yang berada dalam ASWJ itu sendiri dan juga daripada luar lingkungan ASWJ. Pihak-pihak berkenaan ialah golongan Salafi-Wahabi, Syiah serta juga gerakan liberal dan plural yang jelasnya memanipulasikan Islam untuk kepentingan tertentu. Kewujudan gugatan ini, kalau tidak ditangani dengan bijaksana, akan menyebabkan, paling kurang, berlakunya perpecahan dalam kalangan umat Islam, atau mungkin juga boleh meruntuhkan keseluruhan sendi-sendi ASWJ itu sendiri yang telah dibina dan diperkukuh oleh ummah di rantau ini sejak berabad-abad serta telah membuktikan jasa besarnya menyatu-padukan umat Islam di rantau ini. Justeru, usaha-usaha memperkukuh dan menghayati akidah ASWJ ini merupakan satu agenda semasa paling utama yang perlu diberikan perhatian serius oleh segenap pihak umat Islam secara keseluruhan demi perpaduan dan kelangsungan kehidupan ummah yang damai.
APA SEBENARNYA AKIDAH ASWJ
Dalam proses untuk memperkenalkan aspek akidah ASWJ, adalah wajar terlebih dahulu diberikan pencerahan beberapa aspek yang berkait langsung dengan mazhab ASWJ itu sendiri, supaya kefahaman menyeluruh tentang mazhab tersebut menjadi terbina dalam keadaan sepatutnya. Justeru, aspek-aspek lazim seperti penggunaan istilah, definisi, manhaj, ciri serta golongan yang bernaung di bawah panji-panji mazhab ASWJ perlu disentuh dan diberikan pencerahan sewajarnya. Dan setelah itu barulah akan diikuti dengan pemerihalan tentang konsep akidah serta prinsip-prinsip yang membawa kepada tertubuhnya komponen akidah yang menjadi pengangan mazhab ASWJ tersebut.
Penggunaan Istilah ASWJ
Sesungguhnya, istilah ASWJ sudah wujud sejak zaman Rasulullah SAW (al-Baghdadi t. th.) lagi, namun ia menjadi lebih ketara dan lebih jelas selepas zaman Rasulullah SAW dan Sahabat, sesuai dengan perkembangan dan keperluan umat Islam pada ketika itu. Istilah ini mengambil dasar dan sumbernya daripada al-Quran dan Sunah. Umat Islam pada zaman Rasulullah SAW dan Sahabat serta zaman-zaman seterusnya yang disebut di dalam al-Quran sebagai al-Sābiqūn al-Awwalūn adalah umat yang mempunyai jiwa yang kuat dipengaruhi roh al-Quran dan Sunah. Dasar pengambilan dan penolakan mereka terhadap sesuatu urusan dan perkara adalah merujuk kepada al-Quran dan Sunah, justeru istilah yang diberikan kepada mereka iaitu golongan selepas zaman Sahabat ini adalah selari dan bertepatan dengan Nas al-Quran dan Sunah itu sendiri (Mohd Sulaiman Yasin 1997: 16)[1]. Secara khususnya, dapat difahami bahawa penamaan Ahli Sunah Waljamaah adalah merujuk kepada pegangan, keyakinan, pengamalan serta sifat dan ciri-ciri yang dimiliki oleh golongan yang datang selepas zaman Sahabat Rasulullah SAW yang menjadikan al-Quran dan Sunah sebagai sumber rujukan utama mereka dalam setiap aspek kehidupan.
Berdasarkan al-Quran dan Sunah, terdapat beberapa ayat dan Hadis yang membuktikan bahawa istilah Ahli Sunah Waljamaah adalah istilah yang mempunyai sandaran yang kuat kepada al-Quran dan Sunah sebagaimana berikut:
Pertama: al-Quran memerintahkan supaya mentaati Rasulullah SAW dengan mengikuti Sunahnya. Allah berfirman yang bermaksud:
Maksudnya: Apa yang Allah s.w.t kurniakan kepada Rasul-Nya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah s.w.t, dan bagi Rasulullah s.a.w, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah SAW), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang kamu melakukannya maka patuhilah larangannya, dan bertaqwalah kamu kepada Allah s.w.t; Sesungguhnya Allah SWT amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya).
Justeru, seseorang atau segolongan manusia yang mentaati Rasulullah SAW dengan mengikuti segala yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW dan meninggalkan segala yang dilarang oleh Baginda dikategorikan sebagai Ahli Sunah Waljamaah. Selain itu, al-Quran juga menyuruh umat Islam supaya mengikuti ijmak ulama, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
Kedua: al-Quran menyuruh umat Islam supaya mengikuti ijmak Ulama. Firman Allah SWT yang bermaksud:
[Maksudnya]: Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah SAW sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikuti jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.
Justeru, Ahli Sunah Waljamaah ialah mereka yang mengikuti dan mengambil contoh sikap para Sahabat dan Tabiᶜīn serta ulama-ulama Islam, malah tidak pernah membelakangi golongan-golongan ini dalam apa jua perkara. Mereka adalah golongan yang tidak mengikuti jalan yang lain selain daripada jalan orang-orang yang beriman sebagaimana yang disebut dalam al-Quran. Jalan inilah jalan yang disepakati (ijmac) kebenarannya oleh para ulama sejak dahulu hingga ke hari ini.
Ketiga: Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa kurun yang terbaik dari kalangan umat Islam adalah tiga kurun yang terawal iaitu kurun Rasulullah SAW, para Sahabat, Tabiᶜīn dan AtbaᶜTabiᶜīn, dengan maksud supaya umat Islam mengikuti jejak langkah mereka. Sabda Rasulullah SAW ketika menjawab pertanyaan seorang Sahabat:
[Maksudnya]: Sebaik-baik umatku adalah mereka yang hidup dalam kurun yang aku dibangkitkan, kemudian kurun sesudah mereka…
Berdasarkan Hadis di atas, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa generasi umat Islam yang hidup dalam tiga kurun yang pertama merupakan generasi terbaik sehingga mendapat pengiktirafan daripada Baginda SAW sendiri. Generasi ini terdiri daripada kalangan Sahabat, Tabiᶜīn, dan seterusnya adalah golongan yang bersih dari bidah. Mereka menghalalkan apa yang dihalalkan oleh Rasulullah SAW dan mengharamkan apa yang diharamkan oleh Rasulullah SAW. Mereka diiktiraf oleh Rasulullah SAW sebagai suri tauladan dan contoh ikutan bagi generasi sesudah mereka.
Keempat: Seterusnya Rasulullah SAW bersabda lagi bahawa umat Baginda tidak akan berijmaᶜ atau bersepakat dalam suatu kesesatan yang nyata. Rasulullah s.a.w bersabda:
[Maksudnya]: Sesungguhnya umat aku tidak akan bersepakat dalam kesesatan. Sekiranya kamu melihat perselisihan dalam kalangan mereka, maka ikutilah golongan yang paling ramai ahlinya.
Umat Nabi Muhammad SAW yang taat adalah umat yang tidak akan melakukan kemaksiatan dan pendustaan kepada Nabi sekalipun dia berada dalam situasi keseorangan, apatah lagi apabila ia berada dalam kelompok yang ramai. Mereka sekali-kali tidak akan bersepakat dalam kesesatan kerana mereka sangat takut melakukan kemaksiatan dan pendustaan terhadap Nabi SAW.
Kelima: Rasulullah SAW bersabda lagi bahawa umat Islam selepas Baginda perlu berpegang kepada Sunah Baginda dan ijmak para Sahabat berdasarkan Hadis:
[Maksudnya]: Aku wasiatkan kepada kamu agar bertaqwa kepada Allah SWT, dengarlah dan taatlah, meskipun kamu dipimpin oleh seorang hamba habshi. Sesungguhnya barangsiapa diantara kamu yang masih hidup sesudah pemergianku, ia akan melihat banyak perselisihan yang akan berlaku dan jauhilah perkara-perkara yang baharu, sesungguhnya ia adalah suatu kesesatan. Barangsiapa dari kalangan kamu yang mendapati perkara tersebut, maka ketika itu hendaklah kamu berpegang teguh kepada Sunahku dan Sunah Khulafā’ al-Rāshidīn al-Mahdiyyīn. Gigitlah ia (sunah itu) dengan gerahammu.
Rasulullah SAW telah memberikan satu jalan untuk diikuti oleh umatnya. Mereka yang mengikuti jalan Baginda dan Khulafā’ al-Rāshidīn adalah umat yang berjaya di dunia dan akhirat. Mereka adalah golongan yang sentiasa mendahulukan sunah Rasulullah SAW dan kemudian diikuti sunah khalifah yang empat. Mereka inilah yang mendapat gelaran Ahli Sunah Waljamaah sebagaimana yang diisyaratkan oleh Rasulullah SAW dalam Hadis Baginda SAW.
Keenam: Firman Allah dalam surah Āli ᶜImrān, ayat 106:
[Maksudnya]: Adapun orang-orang yang telah putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah s.w.t (Syurga), mereka kekal di dalamnya.
Ibn Abbas menafsirkan orang yang putih berseri mukanya dalam ayat di atas adalah merujuk kepada golongan Ahli Sunah Waljamaah dan Ahli Ilmu (al-Lalaka’i 2005: 72).
Ketujuh: Istilah al-Jamāᶜah juga telah disebutkan oleh Ibn Jawzī dalam Manāqib Imam Aḥmad bin Ḥanbal bahawa anaknya ᶜAbdullāh meriwayatkan bahawa bapanya pernah menyebut (al-Nashshār dan al-Talibi 1971: 9):
“Antara sifat mukmin dalam Ahli Sunah Waljamaah ialah mengembalikan perkara-perkara yang ghaib itu kepada Allah SWT”.
Berdasarkan dalil-dalil tersebut, jelas bahawa istilah Ahli Sunah Waljamaah adalah istilah yang datang daripada al-Quran dan Sunah serta ia menyarankan umat Islam selepas zaman mereka ini mengikuti jejak langkah golongan al-Sābiqūn al-Awwalūn yang telah diiktiraf oleh Allah SWT. Ternyata ia bukan istilah yang direka semata-mata mengikut kehendak hawa nafsu, bahkan ia datang dari apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW sendiri.
Sungguhpun al-Quran dan Sunah tidak menjelaskan secara terperinci nama yang diistilahkan dan juga tidak merujuk kepada mana-mana golongan tertentu yang digelar sebagai Ahli Sunah Waljamaah, istilah Ahli Sunah Waljamaah ini adalah istilah yang jelas diisyaratkan oleh dua sumber pengajaran tersebut. Istilah Ahli Sunah Waljamaah tidak diperkenalkan pada zaman Rasulullah SAW dan Sahabat adalah kerana faktor tertentu. Menurut Mohd Sulaiman Yasin (1997: 19) bukan tidak timbul persoalan dalam jiwa mereka ini untuk memberikan nama bagi golongan ini, tetapi mereka takut untuk memberikan satu istilah yang tidak benar-benar menepati dengan apa yang dikehendaki oleh Nas yang jelas tersebut, di samping wujud faktor yang menghalang mereka dari memberi penamaan tersebut pada zaman Rasulullah SAW dan Sahabat.
Mohd Sulaiman Yasin (1997: 19) menjelaskan lagi bahawa antara faktornya ialah mungkin kerana bagi mereka, istilah Sahabat adalah suatu istilah yang sangat istimewa, berbanding istilah Ahli Sunah Waljamaah, yang ditujukan pada satu golongan yang sangat mulia di sisi Allah s.w.t dan golongan yang sangat-sangat hampir dengan Nabi. Tidak ada lagi satu golongan pun sesudah zaman Sahabat ini yang menamakan diri mereka dengan istilah Sahabat, dan ini menunjukkan betapa mulianya istilah itu. Selain itu antara faktor lain ialah mungkin kerana pada zaman Rasulullah s.a.w dan Sahabat, istilah Ahli Sunah Waljamaah ini barangkali tidak perlu kerana ketika itu tidak wujud gejala firqah dan bidcah yang bersandarkan pada nama mereka sehingga memerlukan kepada suatu istilah yang disepakati kebenarannya sebagaimana yang berlaku selepas berakhir zaman Sahabat.
