SIRI 2 - PENGHAYATAN DAN PENGUKUHAN AKIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH (ASWJ)

SIRI 2 - PENGHAYATAN DAN PENGUKUHAN AKIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH (ASWJ)

Definisi Ahli Sunah Waljamaah

 Sunah menurut bahasa adalah Tarīqah atau Sīrah; bermaksud cara atau jalan yang diikuti sama ada jalan yang baik atau buruk (Ibn Manẓūr 1955: 218).

Rasulullah SAW bersabda: 

[Maksudnya]: Barangsiapa yang melakukan suatu sunah yang baik dalam Islam dan ia diamalkan selepasnya, maka ditulis baginya pahala seperti pahala orang yang beramal dengannya tanpa dikurangi pahala mereka sedikitpun. Barangsiapa yang melakukan suatu sunah yang buruk dalam Islam, kemudian diamalkan selepasnya, maka ditulis baginya dosa, seperti dosa orang yang mengamalkannya, tanpa dikurangi dosa mereka sedikitpun.

Pentakrifan mengenai Sunah menurut istilah mempunyai banyak pendapat. Menurut ulama Fiqh, mereka menakrifkan Sunah sebagai sesuatu yang diterima daripada Rasulullah s.a.w dari sudut perkara-perkara yang berkaitan dengan wajib, sunat, harus, makruh dan haram (al-Sibaᶜi 1985: 47). Menurut ulama akidah pula, Sunah adalah petunjuk yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan diikuti para Sahabatnya dari sudut ilmu dan iktiqad, perbuatan mahupun perkataan. Iawajib diikuti dan diamalkan. Orang yang mengikutinya akan dipuji dan mereka yang menyalahinya akan dikeji (Muhamad bin Ibrāhīm al-Ḥamd 1416H: 21). Menurut ulama Usul Fiqh pula, mereka mendefinisikan Sunah sebagai satu perkara yang dinaqal dari Rasulullah s.a.w sama ada dari sudut perkataan atau perbuatan mahupun taqrīr baginda (al-Sibāᶜi 1985: 47). 

Pentakrifan mengenai Sunah menurut istilah dalam pandangan ulama muta’akhirin pula ialah mereka bersepakat mendefinisikan bahawa lafaz sunah apabila digunakan maka ia mengarahkan kepada jalan yang diambil oleh Nabi Muhamad SAW dan seluruh Sahabat beliau sama ada dari sudut ᶜilmi, amali, akhlak dan adab sehingga meliputi keseluruhan aspek kehidupan manusia (al-Miṣrī t.th: 41). 

Sufyan al-Thawri (al-Miṣrī t.th: 41) pula berpendapat bahawa maksud golongan Ahli Sunah adalah dari kalangan a’immah yang mengikuti sunah iaitu golongan yang mengikuti jalan yang diambil oleh Nabi s.a.w dan para Sahabatnya. Dalam kata lain, ia adalah jalan yang selamat dan jauh dari syubhat dan syahwat.

Kalimah ‘Jamaah’ pula dalam konteks definisi Ahli Sunah Waljamaah bermaksud ijmak atau persepakatan para Sahabat atau ulama, sama ada dari sudut suluk amalinya mahupun akidahnya. Ia berasaskan kepada Manhaj Ahli Sunah Waljamaah yang sebenar seperti mana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW lalu diperturunkan oleh golongan Salaf al-Ṣālih kepada kita sehingga ke hari ini (Mohd Sulaiman Yasin 1997: 27). Sebahagian ulama berpendapat bahawa maksud ‘Jamaah’ di sini adalah para Sahabat Nabi SAW dan bukan daripada kalangan golongan selepas mereka (al-Miṣrī t.th: 45).  Al- Miṣrī (t.th: 45) memetik pandangan al-Marwi yang mengatakan ᶜUmar ᶜAbdul Azīz r.a. pernah menyebut bahawa:

Mereka adalah golongan yang mendirikan tiang-tiang agama serta mempertahankannya, mereka adalah golongan yang tidak bersepakat dalam perkara kesesatan. 

Pandangan ini menunjukkan bahawa lafaz ‘Jamaah’ adalah bersesuaian dengan lafaz yang disebut dalam riwayat yang lain iaitu dari Hadis Nabi SAW yang berbunyi:

Maksudnya: Jalan yang diambil oleh aku dan para Sahabatku 

Sebilangan ulama lain berpandangan bahawa lafaz ‘Jamaah’ merujuk kepada Ahli Ilmu, Ahli Fiqh dan Ahli Hadis dari kalangan ulama Mujtahid.  Ini kerana menurut al-Bukhari, golongan ini telah dijadikan oleh Allah SWT sebagai hujah kepada sekalian makhluk supaya mereka ini diikuti dalam urusan agama. Pandangan ini dikuatkan oleh Imam al-Tirmidhi ketika menafsirkan kalimah ‘Jamaah’ di sisi Ahli Ilmu bahawa mereka adalah dari kalangan ulama Fiqh, Ahli Ilmu dan Ahli Hadis (al-Miṣrī t.th: 45). Sebilangan ulama lain berpendapat bahawa lafaz Jamaah merujuk kepada golongan Ahli Islam yang bersepakat dan sama pandangan jika terdapat satu-satu masalah dari masalah-masalah yang wujud dalam Syarak. Lafaz ini juga merujuk kepada Ahli Ijmak apabila mereka bersepakat dalam satu-satu perkara atau hukum sama ada dalam persoalan Syarak mahupun iktikad. Pandangan ini diambil dari Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Umat aku tidak akan bersepakat dalam kesesatan” (al-Miṣrī t.th: 45).

Pandangan-pandangan di atas jelas menunjukkan bahawa kalimah ‘Jamaah’ merujuk kepada golongan pemimpin yang mempunyai jiwa yang selari dengan al-Quran dan Sunah.  Selain itu, ia turut menjelaskan bahawa persepakatan ke atas selain dari Sunah adalah terkeluar dari istilah lafaz ‘Jamaah’ yang dirujuk oleh al-Quran dan Hadis sebagaimana telah disebut di atas.

Berdasarkan perbincangan sebelum ini, adalah jelas bahawa istilah Ahli Sunah Waljamaah merupakan istilah yang diambil sumbernya daripada al-Quran dan Sunah, serta disepakati oleh jumhur ulama dari kalangan Salaf mahupun Khalaf. Persepakatan ulama terhadap istilah Ahli Sunah Waljamaah ini adalah merujuk kepada kelompok kaum Muslimin yang mengikuti apa yang diturunkan oleh Allah SWT dan dibawa oleh Rasul-Nya. Kelompok inilah yang merupakan kelompok majoriti dan dominan dalam masyarakat Islam sepanjang zaman sehingga ke hari ini.

Manhaj Atau Metodologi ASWJ

Ahli Sunah Waljamaah adalah golongan yang dinisbahkan kepada mereka yang berpegang dengan manhaj yang khusus. Golongan yang tidak berpegang dengan manhaj ini tidak diiktiraf sebagai ASWJ (al-Buti 1990: 19). Manhaj-manhaj berkenaan adalah seperti berikut (Mohd Sulaiman Yasin 1997: 65):

i.               Mendahulukan al-Quran dan al-Sunah

Asas ini adalah asas yang paling pokok dalam fahaman ASWJ. Walaupun banyak perbahasan dalam kalangan ulama Kalam dan falsafah tentang asas ini tetapi perbahasan mengenainya hanyalah berkisar sekitar hubungan antara dalil Naqal (al-Quran dan Sunah) dan dalil cAqal (akal). Naqal menjadi hakim kepada akal, sedang akal pula mestilah dipandu oleh Naqal kerana wahyu adalah sesuatu yang bersifat mutlak dan qatᶜī. Perkara ini membawa kepada beberapa hakikat yang tidak dapat diubah secara tabii. Hakikat pertama ialah al-Quran diturunkan untuk memandu akal terutama dalam permasalahan yang membabitkan perkara yang di luar kemampuan akal seperti perkara ghaib, akhlak dan syariat. Hakikat kedua ialah al-Quran diturunkan kepada manusia iaitu makhluk yang berakal, yang mana dengan akal manusia dapat memahami ayat-ayat hukum dan ayat tashbih serta melihat bahawa keduanya tidak pernah bercanggah antara satu sama lain. Hakikat ketiga, al-Quran adalah milik Allah SWT sebagai suatu yang mutlak. Dialah yang Maha benar melebihi segala makhluk yang dicipta-Nya. Ini menjadikan Naqal atau wahyu (al-Quran dan Sunah) sebagai yang terutama melebihi yang lain.

ii.               Mentafsir al-Quran dengan al-Quran

Hanya al-Quran yang mengetahui apa yang dikehendaki oleh al-Quran itu sendiri. Hakikat ini sudah jelas kerana jika diumpamakan dengan seorang manusia sekalipun, hanya dia yang mengenali dirinya dan bukan orang lain. Tafsir al-Quran dengan al-Quran sudah diamalkan sejak zaman Nabi Muhamad SAW serta para Sahabatnya, dan tafsiran ini memerlukan kepada kepakaran.

iii.               Mentafsir al-Quran dengan al-Sunah

Apabila tidak didapati penafsiran al-Quran dengan al-Quran baharulah berpindah kepada penafsiran al-Quran dengan Sunah. Rasulullah SAW telah diberikan kepadanya al-Quran dan diberikan juga kepadanya penafsiran dan pemahaman beliau terhadap al-Quran yang melebihi dari orang lain. Rasulullah SAW telah diizinkan oleh Allah SWT supaya menjelaskan kandungan al-Quran dan apa yang dikehendaki di dalamnya. Kesimpulannya, al-Quran memerlukan Hadis dalam memahami maksudnya.

iv.               Mendahulukan Pendapat Para Sahabat dan Tabiᶜīn

Para ulama ASWJ telah bersepakat tentang asas manhaj ini kerana mereka semua mengetahui dan mengakui bahawasanya para Sahabat dan Tabiᶜīn adalah generasi penelusur sejarah yang lebih mengetahui tentang Islam dan Kitab Allah. Mereka lebih menghayati dan lebih mengetahui rahsia di sebalik penurunan al-Quran kerana mereka sendiri mendampingi Rasulullah SAW ke mana sahaja Rasulullah SAW berada. Mereka mendapat didikan dan ilmu dari Rasulullah SAW dan mereka mempunyai kefahaman yang lebih tinggi tentang agama yang dibawa oleh Rasulullah SAW kerana kurun mereka adalah kurun yang paling hampir dengan Rasulullah SAW Merekalah yang digelar sebagai Ahli Ilmu terutama mereka yang mendapat gelaran Sahabat terbesar daripada  kalangan sahabat Rasulullah SAW. 

v.               Menerima ijmak Ulama

Ijmak ialah kesepakatan ulama terhadap satu-satu perkara. Pandangan mereka sangat berautoriti tinggi berdasarkan apa yang telah dinaqal oleh Rasulullah SAW bahawasanya umat baginda tidak akan bersepakat dalam kesesatan. Ini menunjukkan satu kemustahilan bahawa para ulama mungkin bersepakat untuk menonjolkan kesesatan pada umat.

vi.               Menggunakan Kaedah Bahasa Arab

Allah SWT berbicara dengan Nabi SAW dengan bahasa Arab. Bahasa Arab adalah bahasa al-Quran. Malah ia menjadi bahasa yang terpenting dan bahasa yang dipilih oleh Allah SWT dalam proses al-Quran diturunkan. Bahasa Arab merupakan satu mukjizat yang terpenting bagi al-Quran kerana dari sudut uslubnya, bahasanya dan lafaznya menjadi mukjizat yang terpenting dalam menundukkan ahli-ahli syair Arab. Jika Allah SWT menurunkan bahasa al-Quran selain daripada bahasa Arab, nescaya golongan yang kafir akan meminta supaya ianya diperincikan kerana tiada bahasa yang dapat menandingi kedalaman uslub bahasa Arab. Tidak ada satu bangsa pun yang mempunyai keistimewaan dalam bidang bahasa daripada semua sudutnya seperti bangsa Arab.

vii.               Tidak Mentakwil Nas Tanpa Bukti

Asas ini menunjukkan bahawa secara khususnya perkataan dan ayat-ayat al-Quran merujuk kepada maknanya yang zahir. Justeru tidak boleh memindahkan daripada maknanya yang zahir kepada yang lain melainkan wujud dalil, bukti serta hujah yang menunjukkan kepadanya.

viii.               Mengisbatkan Ayat Mutashabihat

Dalam persoalan ayat mutashabihat, ia tidak merujuk kepada keserupaan Allah SWT dengan makhluk. Apa yang perlu difahami oleh manusia hanyalah mentanzihkan Allah SWT dari segala perkara yang membawa kepada penyerupaan antara Allah SWT dengan makhluk-Nya. Para Sahabat ketika membaca ayat-ayat sebegini, mereka hanya membacanya tanpa memikirkan maksud yang dikehendaki oleh Allah SWT tentang penggunaan ayat mutashabihat ini. 

Menurut Sulaiman Yasin (1997: 29), golongan  ASWJ adalah golongan yang berpegang kepada manhaj di atas. Mereka yang menolak satu sahaja daripada asas-asas tersebut, maka mereka terkeluar daripada manhaj ASWJ yang sebenar. Dalam hal ini, aliran Ashāᶜirah dikenali sebagai ASWJ kerana mereka berpegang teguh terhadap semua manhaj dan prinsip yang disepakati untuk mereka dikenali sebagai ASWJ. Begitu juga dengan al-Maturidiyyah, mereka tergolong dalam ASWJ kerana mereka berpegang teguh kepada manhaj ASWJ yang telah disepakati kaedahnya. Pemahaman terhadap perkara ini amat penting kerana terdapat kekeliruan dalam pemikiran umat Islam hari ini yang menganggap hanya Ashāᶜirah dan Maturidiyyah sahaja yang dianggap sebagai ASWJ sedangkan para Sahabat, Tabiᶜīn, Tabiᶜ Tabiᶜīn dan golongan penerus seperti mazhab al-Ẓāhiri, aliran Ḥijāzī dan ᶜIrāqī, dan golongan yang lain juga adalah tergolong dalam ASWJ kerana mereka berpegang dengan manhaj asas akidah ASWJ yang telah disepakati sejak dari zaman Rasulullah SAW, Sahabat dan seterusnya. Jelaslah bahawa asas-asas ini menjadi penanda aras atau tanda pengukur dan menjadi pembeza di antara mereka yang bermazhab ASWJ dengan mazhab yang lain daripada ASWJ.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

046398
Hari ini: 316
Minggu Ini: 2,808
Bulan Ini: 12,513
Tahun Ini: 46,398
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.