Ciri-Ciri ASWJ
Untuk mengenali dengan lebih jelas siapakah Ahli Sunah Waljamaah yang sebenar, al-Miṣrī (1994: 108) telah memberikan gambaran umum tentang sifat mereka, iaitu:
i. Ahli Sunah Waljamaah menyatukan ajaran agama Islam melalui ilmu dan amal, zahir dan batin.
ii. Ahli Sunah Waljamaah menyatukan ajaran agama Islam secara menyeluruh dan menegakkan ajarannya. Mereka bersepakat di dalam hal tersebut kerana al-Jamācah adalah sebab dan akibat, ketaatan dan rahmat. Dengan ketaatan Allah s.w.t akan memelihara al-Jamācah, dan sebahagian daripada rahmat Allah s.w.t kepada golongan yang taat adalah menjaga al-Jamācah.
iii. Ahli Sunah Waljamaah adalah golongan pertengahan dan moderat.
iv. Ahli Sunah Waljamaah berpegang teguh kepada al-Quran, Sunah dan ijmak.
v. Ahli Sunah Waljamaah adalah penerus bagi umat Islam.
vi. Ahli Sunah Waljamaah adalah mereka yang mematuhi Syariat, iaitu mereka yang mengikuti sunah Rasulullah s.a.w meliputi seluruh aspek ajaran Islam, sama ada dalam akidah, syariat, ibadah, politik dan lain-lain.
vii. Ahli Sunah Waljamaah hanya mengambil perkara yang sabit dari Rasulullah s.a.w dan Salaf al-Ṣālih.
viii. Ahli Sunah Waljamaah adalah golongan yang paling mengetahui berkaitan dengan Rasulullah s.a.w dari segi perbuatannya dan kata-katanya.
ix. Ahli Sunah Waljamaah adalah orang yang mencintai Hadis dan mentaati apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Hadis tersebut.
x. Ahli Sunah Waljamaah mempunyai tahap yang berbeza dalam memahami dan menguasai Sunah
xi. Ahli Sunah Waljamaah adalah golongan yang berbeza ijtihad mereka mengikut keupayaan mereka dalam menguasai Sunah.
xii. Ahli Sunah Waljamaah adalah golongan yang mampu mengawal perbezaan pandangan ijtihad mereka untuk menjaga kesatuan umat.
xiii. Ahli Sunah Waljamaah adalah golongan yang sentiasa dalam kebenaran.
xiv. Ahli Sunah Waljamaah adalah golongan yang sentiasa mendapat pertolongan Allah s.w.t.
xv. Ahli Sunah Waljamaah adalah manusia biasa, ada dalam kalangan mereka baik, dan ada dalam kalangan mereka melakukan maksiat.
xvi. Ahli Sunah Waljamaah adalah jumhur umat dan Sawād al-Aᶜẓham.
Golongan yang disebut sebagai Ahli Sunah Waljamaah bukanlah satu golongan yang ekstrem dalam menentang golongan yang salah tetapi mereka menjelaskan kebenaran berdasarkan kepada apa yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW, para Sahabat dan ijmak ulama sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT Sungguhpun begitu Ahli Sunah Waljamaah adalah golongan yang tetap memerangi golongan yang terkeluar daripada Syariat Islam sebagaimana yang telah dilakukan oleh Khulafā’ al-Rāshidīn dalam memerangi golongan yang tidak membayar zakat, murtad, munafiq, dan golongan pelampau. Ciri-ciri Ahli Sunah Waljamaah sebagaimana yang telah digambarkan di atas menunjukkan dengan jelas bahawa ciri yang dibawa oleh golongan Ahli Sunah Waljamaah adalah ciri yang selari dan selaras dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan para Sahabat. Mereka tidak terlalu ekstrem kepada kekerasan sehingga sentiasa mahu mengkafirkan golongan yang bercanggah pendapat dengan mereka dan mereka juga tidak terlalu ekstrem kepada kelembutan sehingga memberi laluan kepada golongan yang menyeleweng dari al-Quran dan Sunah, menyesatkan umat tanpa ada usaha mereka dalam menerangkan kebenaran. Ciri-ciri golongan Ahli Sunah Waljamaah adalah contoh terbaik dalam menangani isu-isu firqah dan bidᶜah atau dalam menangani berbagai isu semasa umat Islam selaras dengan kesesuaian masa dan tempat mereka.
Golongan ASWJ
Menurut al-Baghdādī (t.th: 272-274) golongan yang dinisbahkan kepada Ahli Sunah Waljamaah sebagaimana yang disepakati oleh ulama adalah lapan golongan iaitu:
i. Golongan yang terdiri daripada mereka yang mempunyai ilmu yang mendalam mengenai bab tauhid dan kenabian, hukum-hukum ganjaran dan balasan, pahala dan siksaan, syarat-syarat ijtihad, ru’yatullāh di akhirat dan lain-lain. Mereka mengikuti jalan golongan al-Ṣifatiyyah dan bersih daripada sebarang fahaman tashbīh dan taᶜtil seperti Khawarij, Rafiḍah, Jahmiyyah dan lain-lain. Golongan ini dipelopori oleh Abū al-Ḥasan al-Ashᶜarī, al-Awzaᶜī, Abū Manṣūr al-Māturidī dan lain-lain.
ii.Golongan yang terdiri daripada kalangan ulama Fiqh sama ada Ahl al-Ra’y mahupun Ahl al-Hadīth yang mempunyai pandangan mazhab sealiran dengan golongan al-Ṣifatiyyah. Golongan ini terdiri daripada kalangan pengikut-pengikut Imam Mālik, Shāfiᶜī, al-Awzaᶜi, al-Thawri, Abū Ḥanīfah, Ibn Abī Laylā, Abū Thawr, Ibn Ḥanbal, ᶜAlī Zahir dan lain-lain.
iii.Golongan yang terdiri daripada kalangan orang yang mempunyai ilmu yang mendalam mengenai selok belok Khabar dan Sunah atau Hadis, serta peninggalan-peninggalan Nabi Muhammad SAW. Mereka mampu membezakan di antara Khabar yang palsu dan benar, juga Khabar yang sahih dan ḍaᶜif.
iv.Golongan yang terdiri daripada kalangan ulama bahasa yang mempunyai ilmu yang mendalam mengenai Adab, Nahu dan Saraf. Mereka terdiri dari AbūᶜAmru Ibn al-ᶜAla, Sibawayh, al-Farrā’, al-Akhfash, al-Asmā’ī al-Mazanī, AbūᶜĀbid dan semua ulama Nahu dari Kufah mahupun Basrah.
v.Golongan yang terdiri daripada kalangan ulama Qurra’, sama ada dari sudut bacaan al-Quran, penafsiran, pentakwilan, dan lain-lain yang selari dengan mazhab Ahli Sunah Waljamaah dan mereka bukanlah dari kalangan ahli hawa nafsu yang sesat. Golongan ini dipelopori oleh imam-imam Qurra’ seperti Nafiᶜ, Ibn Kathīr, AbūᶜAmru, Ibn ᶜĀmir, ᶜAṣim, Hamzah, Kisa’i dan imam-imam yang lain.
vi.Golongan yang terdiri daripada kalangan ulama tasawuf. Mereka mengetahui setiap anggota mereka seperti pendengaran, penglihatan dan hati mereka akan dipersoalkan tentang segala kebaikan dan keburukan. Mereka sentiasa sabar dalam menempuh ujian dan sentiasa bersifat qanaᶜah dalam semua perkara. Mereka sentiasa bermuhasabah, berkata-kata seperti golongan ulama Hadis, dan meninggalkan ucapan yang membawa kepada kelalaian. Mereka merasakan jiwa mereka sentiasa bersama Allah s.w.t dan malu melakukan maksiat kepada-Nya. Golongan ini dipelopori oleh al-Hallāj dan lain-lain.
vii.Golongan yang terdiri daripada kalangan umat yang bersatu padu dan mempunyai tali ikatan yang sangat kukuh dalam kalangan mereka dalam penentangan terhadap golongan kafir. Mereka menentang musuh-musuh Allah s.w.t dan menjaga akidah serta kehormatan kaum Muslimin, dan menentang golongan kuffār serta sentiasa menegakkan panji-panji Allah s.w.t melalui jalan peperangan. Golongan ini dipelopori oleh Sultan Ṣalaḥuddīn al-Ayyūbi, Sultan Muḥammad al-Fāteh, Ḥasan al-Bannā dan lain-lain.
viii.Golongan yang terdiri dari mereka yang hidup dan menetap di negeri-negeri di mana syiar Ahli Sunah Waljamaah menaklukinya, serta mereka sendiri mengamalkan syiar-syiar Ahli Sunah Waljamaah. Golongan kelapan ini bukan dari kalangan ulama-ulama, tetapi mereka adalah dari kalangan orang awam yang mengikuti apa yang dibawa oleh Ahli Sunah Waljamaah dan berpegang teguh dengan akidah dan segala ajaran yang dibawa oleh Ahli Sunah Waljamaah.
Golongan yang dikategorikan di atas adalah golongan Ahli Sunah Waljamaah yang mana mereka ini adalah golongan yang sentiasa diredhai Allah SWT dan sentiasa mendapat kemenangan berkat pertolongan dari Allah SWT. Mereka adalah golongan yang telah disebutkan oleh Nabi s.a.w sebagai golongan ke-73 yang terselamat dari 72 golongan yang sesat (Syed Abd al-Rahman bin Muhammad 1381H: 398). Keadaan hidup mereka diperhalusi dengan kehidupan beragama sepertimana yang benar-benar dibawa oleh Nabi s.a.w dan diikuti oleh para Sahabat yang lain. Ahli Sunah Waljamaah adalah golongan yang telah jelas tidak ada kekeliruan dalam fahamannya, tidak ada kesesatan dalam manhajnya dan tidak ada kecacatan dalam sikapnya. Golongan inilah yang disebut oleh Nabi SAW sebagai golongan yang selamat dan benar-benar terjamin pengakhiran hidup mereka.
Di samping al-Baghdadi yang menjelaskan kumpulan ASWJ dalam bentuk di atas, masih terdapat sejumlah ulama lain juga memberikan pandagan mereka mengenai golongan yang terjumlah dalam mazhab ASWJ ini. Para ulama berkenaan telah memberikan huraian mengenai golongan yang dikenali sebagai Ahli Sunah Waljamaah, antaranya adalah seperti berikut:
Imam al-Baghdādī Rahimahullah (1988: 39) menghuraikan golongan Ahli Sunah Waljamaah dengan menyatakan:
Maka golongan yang ke 73 ialah Ahli Sunnah Waljamaah iaitu golongan ahl al-Ra'y (Abū Ḥanīfah dan murid-muridnya) dan ahl al-Hadis, bukan mereka yang mempermain-mainkan Hadis, dan ulama fiqh, penghafal al-Quran, perawi Hadis, dan mutakallimun ahli hadith dalam kalangan mereka, semuanya sepakat atas keesaan Pencipta, keesaan sifat-sifat-Nya, keadilan-Nya, hikmah-Nya, dan nama-nama-Nya dan pada bab kenabian dan kepimpinan, hukum hudud, dan pada perkara usuluddin.
Imam al-Subkī Rahimahullah (w771H) (1918: 365) telah berkata, golongan Ahli Sunah Waljamaah adalah:
[Maksudnya]: Dan mereka adalah pengikut mazhab Hanafiyyah, Shafiᶜiyyah, Mālikiyyah dan tokoh-tokoh Ḥanābilah. Dalam persoalan akidah, mereka semua bersepakat dengan pandangan Ahli Sunah Waljamaah yang dibawa oleh Imam Abū Ḥasan al-Ashᶜarī... secara umumnya akidah al-Ashᶜarī ialah sama dengan akidah Abū Jaafar al-Tahawi yang diterima oleh ulama-ulama mazhab dan mereka redha ianya sebagai akidah.
Al-ᶜAllāmah Ibn ᶜĀbidīn Rahimahullah (w. 1252H) (1995: 52) menyebut golongan Ahli Sunah Waljamaah adalah:
[Maksudnya]: Pegangan kami: Iaitu apa yang kami beriktiqad selain dalam masalah-masalah cabang (furuᶜ) yang wajib diiktiqad oleh setiap mukallaf tanpa taqlid seseorang, menurut ajaran Ahli Sunah Waljamaah iaitu ajaran al-Ashāᶜirah dan al-Maturidiyyah. Mereka bersepakat dalam persoalan akidah kecuali pada beberapa perkara kecil yang dirujuk oleh sebahagian mereka sebagai khilaf lafẓi sahaja sebagaimana yang diterangkan pada tempatnya.
Imam Muḥammad bin Muḥammad al-Ḥusaynī al-Al-Zabīdī (1994: 6) meriwayatkan:
Maksudnya: Apabila disebut Ahli sunah, dikehendaki maksud dengannya al-Ashāᶜirah dan al-Maturidiyyah. Al-Khayālī berkata, dalam Hashiyahnya bahawa golongan Ashāᶜirah kesemua mereka adalah dari kalangan Ahli Sunah Waljamaah, dan pandangan ini sememangnya masyhur dalam kalangan penduduk Khurasan, Iraq, Syam, kebanyakan dunia Islam dan di kalangan penduduk-penduduk seberang sungai (Jaykhun).
Menurut Prof. Dr. ᶜAlī Jumᶜah (2008: 221) dalam kitabnya:
Maksudnya: Berkata imam Muḥammad Aḥmad al-Safarīnī al-Hanbali: Ahli Sunah Waljamaah mempunyai tiga firqah. Mereka adalah:
al-Athriyyah: iaitu imamnya Aḥmad bin Ḥanbal.
Al-Ashāᶜirah: iaitu imamnya Abū Ḥasan al-Ashᶜarī.
Al-Maturidiyyah: iaitu imamnya Abū Manṣūr al-Maturidi.
Di samping itu, selain daripada perakuan-perakuan di atas berkait dengan ASWJ, terdapat sekumpulan pengikut paradigma pemikiran Shaikh Ibn Taimiyyah al-Harrani yang dewasa ini dikenali sebagai golongan Salafi-Wahabi adalah juga, khususnya kebelakangan ini, dengan lantang membuat dakwaan bahawa kumpulan merekalah yang benar-benar tepat digelarkan sebagai ASWJ (Muhammad Idrus Ramli 2013, 25). Kumpulan ini mendakwa bahawa al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah adalah golongan bidaah yang tidak termasuk dalam mazhab ASWJ.
