DALAM suasana dunia yang semakin mencabar, penubuhan MAPIM Institute of Science, Technology and Civilisation (MISTAC) menjadi satu langkah penting untuk mengangkat kembali peranan umat Islam dalam pembangunan sains dan teknologi. Dunia kini berdepan dengan krisis peperangan, perubahan iklim, pencemaran alam sekitar, serta ketidakstabilan ekonomi yang menggugat kesejahteraan manusia. Bagi umat Islam, cabaran ini lebih mendalam kerana kita memikul amanah sebagai khalifah di muka bumi—bertanggungjawab menjaga keamanan, keharmonian hidup, dan kelestarian alam.
Peperangan yang sedang berlaku, khususnya melibatkan kuasa besar seperti Israel-Amerika Syarikat dengan Iran, bukan sahaja meragut nyawa manusia tetapi turut menghancurkan harta benda awam dan mencemarkan alam sekitar. Ironinya, dunia berbicara tentang kesihatan planet, perubahan iklim, dan kehilangan kepelbagaian biologi, namun masih ada pihak yang ego dan salah mentafsir erti keamanan. Akibatnya, pencemaran meningkat, pemanasan global semakin parah, krisis tenaga melumpuhkan negara, dunia semakin tidak aman, dan matlamat SDG 2030 semakin jauh daripada capaian.
Sejarah membuktikan bahawa saintis Islam pernah menjadi pelopor dalam bidang ilmu berasaskan tauhidik, membangunkan tamadun yang memastikan kesejahteraan umat. Kepakaran mereka pernah berkembang ke Barat, tetapi kini masyarakat Islam lebih banyak bergantung kepada sistem Barat yang tersusun dengan dana, galakkan, dan kemudahan. Malangnya, saintis Islam yang ingin berjaya sering terpaksa berhijrah kerana kurangnya sokongan kerajaan Islam sendiri. Tidak seperti saintis Yahudi yang mendominasi anugerah Nobel, saintis Islam masih ketinggalan.
Kira-kira 20% hingga 22% daripada semua penerima Hadiah Nobel dalam sejarah adalah berketurunan Yahudi. Statistik ini sangat ketara kerana orang Yahudi hanya membentuk kira-kira 0.2% daripada jumlah populasi dunia, menjadikan kadar kemenangan mereka lebih 100 kali ganda lebih tinggi daripada purata populasi global.
Dengan kesedaran ini, MAPIM telah menganjurkan beberapa siri program: pre-Regional Muslim Scientist Conference workshop pada Jun 2025, Regional Muslim Scientist Conference pada November 2025, post-Regional Muslim Scientist Conference workshop Februari 2026, dan terbaru pada 2 April 2026, satu dialog penubuhan MISTAC. Tujuan utama ialah menghimpunkan saintis, teknologis, pihak industri dan pembuat dasar untuk berbincang secara sistematik. Pertemuan ini membuka ruang agar polisi kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, melibatkan universiti, institusi penyelidikan, dan industri dalam menjayakan aplikasi dan komersialisasi hasil saintifik.
MISTAC juga akan berperanan meningkatkan STEM dan TVET, menyediakan peluang pekerjaan untuk generasi muda, serta membangunkan ekonomi negara. Dasar kerajaan berkaitan pendidikan, teknologi, industri, alam sekitar, makanan dan kesihatan mesti disokong dengan tindakan nyata. Sebagai NGO, MAPIM mengambil inisiatif menyelaraskan usaha ini dengan dasar kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.
Kerjasama dengan kementerian seperti KPM, MOSTI, KPT dan KESUMA amat penting. MOSTI terdiri daripada tiga sektor utama: Sektor Perancangan dan Pembudayaan Sains, Sektor Pembangunan Teknologi, dan Sektor Pengurusan boleh berganding bahu dengan MAPIM.
Majlis Sains Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Malaysia juga boleh turut serta. Majlis Sains Negara (NSC) merupakan badan tertinggi negara yang bertanggungjawab menetapkan hala tuju, dasar, dan pengukuhan ekosistem Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di Malaysia. Mungkin pihak NSC boleh mencadangkan dana permulaan untuk aktiviti MISTAC ini. Syarikat swasta pula diharap dapat menyumbang dana tambahan melalui aktiviti dan kerjasama dengan MISTAC. Dengan jaringan pakar teknologi dan industri, MISTAC berpotensi menjayakan agenda DSTIN negara.
Penubuhan MISTAC bukan sekadar institusi baharu, tetapi simbol kebangkitan saintis Islam untuk kembali memimpin dunia dengan ilmu, teknologi dan tamadun yang berteraskan tauhid. Ia adalah seruan agar umat Islam bersatu, bangkit, dan memastikan amanah sebagai khalifah dilaksanakan demi kesejahteraan manusia, kelestarian bumi, dan keamanan dunia.
Sumber: bebasnews.my
