Akidah: Definisi dan Ciri
“Akidah” merupakan satu perkataan yang berasal daripada bahasa Arab. Makna literalnya merujuk kepada ‘ikatan kemas” atau “simpulan mati” yang melambangkan adanya unsur-unsur makna semacam kekuatan dan keyakinan. Penggunaan perkataan ini dengan bayangan makna yang dibicarakan di sini boleh ditemui dalam firman Allah SWT, surah al-Ma’idah ayat 89.
[Maksudnya]:Kamu tidak dikira salah oleh Allah SWT tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh…”
Di mana ungkapan “sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh--al-yamin al-mu’aqqadah--dalam ayat di atas adalah merujuk kepada perlakuan yang berasaskan persetujuan dan keyakinan yang diikut-sertakan dengan qasad, azam dan niat (Ibrahim 1982, 6). Dalam pembicaraan di sini makna perkataan al-mu’aqqadah yang menjadi sifat kepada al-yamin (sumpah) itulah yang ada hubungan dengan akidah, iaitu kedua-duanya merupakan kata terbitan yang berpunca atau berasal daripada akar kata yang sama – iaitu ‘aqd—dan kedua-duanya juga mempunyai unsur makna “keyakinan”.
Bagaimanapun, apabila “akidah” diangkap menjadi istilah khusus atau teknikal, maka ia secara umumnya merujuk kepada kepercayaan dan keyakinan yang cukup pasti lagi putus terhadap sesuatu, tanpa sebarang rasa syak dan keraguan (al-Sayyid Sabiq t.th., 8). Oleh itu, dalam perspektif Islam, istilah akidah atau iman dalam konteks teknikal ini tidak cukup--untuk ia menjadi boleh diterima--sekadar hanya terungkap dalam perisytiharan verval semata-mata, kerana dalam kehidupan biasa cukup ramai sekali kalangan orang munafik yang hipokrit mengistiharkan secara lip service bahawa mereka beriman, sedangkan dihati mereka tidak wujud walau sekelumit iman. Hal seumpama ini terungkap dengan jelas dalam kenyataan al-Qur’an:
[Maksudnya]:“Di antara manusia ada yang mengatakan: Kami beriman kepada Allah s.w.t. dan hari Akhirat, padahal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah SWT dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu diri mereka sendiri, sedang mereka tidak sedar” (al-Qur’an 2:8-9).
Istilah akidah atau iman yang tulen itu, dalam pandangan Islam, tidak juga hanya merujuk kepada penunaian serta pelaksanaan tugas-tugas atau syiar tertentu seperti yang selayaknya dilaksanakan oleh kalangan orang yang memiliki akidah kerana terdapat ramai kalangan dajal yang hanya bermuka-muka dan menunjuk-nunjuk melakukan perkara kebaikan, sedang hati penuh dengan kedurjanaan dan tidak ikhlas kepada Allah SWT perkara seumpama inilah yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya seperti di bawah:
[Maksudnya]:Dan mereka mengingkarinya kerana kezaliman dan kesombongan (mereka), padahal hati mereka menyakini (kebenaran)nya. Maka perhatikanlah betapa kesudahan orang-orang yang berbuat kebinasaan (al-Quran, 27:14).
Berdasarkan penjelasan-penjelasan di atas dapat disimpulkan di sini bahawa akidah atau iman yang tulen itu, daripada perspektif Islam, bukan hanya sesuatu yang tertumpu semata-mata kepada kerja-kerja yang berlangsung pada peringkat lidah, anggota badan dan mental seseorang. Malahan sesungguhnya secara tepat ia merujuk kepada suatu kerja atau pelaksanaan yang berlangsung pada peringkat spiritual atau dalaman diri seseorang manusia yang amat mendalam, sehingga ia dapat menguasai sepenuhnya seluruh kesedaran, kemahuan dan perasaan orang berkenaan. Dalam kata lain, essence akidah atau iman yang tulen itu mestilah mengandungai ciri-ciri berikut:
a. Kepercayaan dan kenyakinan itu mestilah berasaskan kefahaman minda dan ilmu yang mantap, di mana kemantapan ilmu itu pula mestilah diperolehi daripada sumber yang autenik, iaitu daripada wahyu Ilahi;
b. Kepercayaan dan kenyakinan itu mestilah berada dalam keadaan yang cukup teguh sehingga ia tidak boleh menerima sebarang bentuk syak dan tidak mungkin digugat oleh sebarang argumen lain; iaitu bentuk akidah atau keyakinan sebagaimana yang terungkap dalam firman Allah SWT:
[Maksudanya] "Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu …” (al-Quran, 49:15).
c. Kepercayaan dan kenyakinan itu mesti pula diikuti bersama dengan ketaatan atau kepatuhan hati dan penyerahan iradah atau kemahuan untuk mempraktiskan segala hukum atau suruhan dengan penuh rasa rela tanpa sebarang bantahan;
d. Kepercayaan dan kenyakinan itu mestilah berupaya menjadi pencetus segala aktiviti dan perlakuan pemiliknya, iaitu pada taraf wujudnya rasa kemahuan yang amat berkobar-kobar untuk melaksanakan kerja dan suruhan yang terkandung dalam akidah yang dipegang. Di samping itu beriltizam pula dalam melaksanakannya prinsip-prinsip tingkah laku serta berjihad dengan seluruh jiwa dan harta benda (al-Maydani 1966, 1:29-31; dan al-Qardawi 1977, 15-18).
Hanya setelah semua ciri di atas terpenuh secara sempurna dalam kepercayaan dan keyakinan seseorang, barulah akidah itu terangkat menjadi akidah dalam pengertiannya yang sejati. Tanpa sampai ke tahap, dan tidak terbentuk dalam acuan serta ciri-ciri seperti yang dicatatkan di atas , maka ia hanya mungkin dianggap sebagai, barangkali, suatu “idea”, atau “teori” atau juga “pandangan’, bukannya akidah dalam sifatnya sebagai satu istilah yang teknikal (al-Qardawi 1977, 17).
Oleh itu, apabila istilah akidah bersama dengan segala ciri milikinya iaitu dihubungkan dengan ASWJ misalnya,--lalu tentunya menerbitkan ungkapan “akidah ASWJ”--maka pastinya kepercayaan dan kenyakinan terhadap pegangan ASWJ itu berada pada satu kedudukan atau taraf yang setiap sudutnya dinaungi oleh semua ciri akidah yang disebutkan di atas. Maka itu, akan muncullah satu bentuk akidah yang benar kerana ia bersumberkan kemantapan ilmu yang disedut secara sah daripada wahyu Ilahi; di samping ia juga cukup kental dan malahan cukup dinamik, yang akan membawa para pemiliknya melaksanakan segala tugasan dan tuntutan akidah ASWJ dengan penuh yakin dan sungguh-sungguh, tanpa sebarang dalih.
