PENGKHIANATAN TERHADAP DANA ZAKAT

PENGKHIANATAN TERHADAP DANA ZAKAT

Rencana ini akan membincangkan dokumen awam dan dakwaan yang sedang tular untuk tujuan wacana intelektual dan kesedaran masyarakat, bukan bertujuan menjatuhkan hukuman ke atas mana-mana pihak.

Baru-baru ini, ruang maya dalam negara digegarkan dengan satu dakwaan dan pendedahan dokumen yang amat membimbangkan. Ia melibatkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Pertubuhan IKRAM Malaysia Daerah Hulu Selangor, berkaitan dengan kutipan zakat bagi negeri Perlis. Isu ini menimbulkan tanda tanya mengenai wang zakat yang berjumlah hingga puluhan juta ringgit. Apa sebenarnya yang terjadi, dan apakah tindakan susulan pihak berkuasa?

Isu Zakat MAIPs-IKRAM

Berdasarkan hantaran media sosial dan dokumen yang tular, isu ini memfokuskan kepada satu struktur rantaian antara MAIPs, IKRAM Hulu Selangor, syarikat Pengkalan Sutramas Sdn Bhd PSSB dan Ihsan Care Berhad (ICB). Menurut laporan, IKRAM bertindak sebagai ejen pemasaran bagi pembayaran zakat MAIPs melalui aplikasi TULUS. Syarikat PSSB pula dilantik sebagai pengurus dana IKRAM, manakala ICB bertindak sebagai Oversight Advisory Committee atau badan pemantau. Salah satu persoalan yang timbul adalah bagaimana sebuah entiti yang berpusat
di Hulu Selangor boleh beroperasi mengutip zakat merentas negeri untuk pihak MAIPs?

Pendedahan mendakwa NGO ini tidak bergerak seperti amil zakat tradisional, yang mengutip zakat dan kemudian menyerahkannya kepada Majlis Agama negeri tersebut. Sebaliknya, ia beroperasi seperti ejen pemasaran yang mewar-warkan kepada orang awam supaya membayar zakat. Maka IKRAM menggalakan pembayar zakat untuk bayar melalui aplikasi TULUS, yang dibangunkan oleh syarikat pihak ketiga. Melalui aplikasi ini, tercatat dalam
akaun pusat zakat Perlis bahawa pembayaran diterima melalui IKRAM selaku ejen pemasaran.

Setiap tahun, IKRAM akan dibayar pulangan sebanyak 60% daripada kutipan zakat yang mereka tolong promosikan, dan rekod ini tercatat dalam aplikasi TULUS. Berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 2018, pemulangan 60% ini
adalah di bawah program Zakat Ta’awun, atau bermaksud tolong-menolong antara majlis agama dan NGO.

Zakat Ta'awun & Asnaf Fisabilillah

Konsep Zakat Ta’awun digunakan bagi menjustifikasikan pemulangan 60% dana zakat ini, iaitu satu sistem Wakalah. Konsep asalnya adalah untuk mengagihkan semula wang zakat kepada pihak wakalah atau wakil, agar urusan agihan kepada asnaf dilakukan sendiri. Ia supaya pengagihan zakat menjadi lebih pantas dan efisien.

Namun Mufti Wilayah Persekutuan, SS Ustaz Ahmad Fauwaz Bin Fadzil, telah  pun memberi peringatan bahawa; “Mekanisme Zakat Wakalah ini membuka ruang kepada risiko integriti yang serius terutamanya apabila berlaku bentuk-bentuk penyalahgunaan oleh wakil akibat pelanggaran syarat wakalah. Antara penyalahgunaan yang berlaku ialah pengagihan yang dibuat kepada pihak yang tidak layak menerimanya atau dengan cara yang menguntungkan pihak pembayar zakat sendiri.”

Ketika isu zakat ini tular di media sosial, muncul beberapa jawapan balas yang menyatakan bahawa konsep Zakat Ta’awun ini tidak lagi digunapakai, sebaliknya 60% yang dipulangkan kembali kepada NGO itu atas kategori Asnaf Fisabilillah. Di dalam kategori ini pula, pihak NGO berkuasa penuh atas 60% duit zakat yang dipulangkan kepada mereka, dan tidak perlu membuat agihan kepada asnaf lain.

Secara umum, kategori Asnaf Fisabilillah terbuka kepada eksploitasi kerana tafsirannya yang luas. Ia membolehkan pihak tertentu mewajarkan perbelanjaan operasi, kos pengurusan syarikat, atau pelaburan, berbanding memberi sumbangan terus kepada golongan asnaf seperti ibu tunggal, anak yatim atau pelajar yang betul-betul memerlukan.

Rantaian Entiti Berkaitan - MAIPs, IKRAM, PSSB & ICB

Menurut hantaran media sosial Minda Merdeka, dana yang dipulangkan kepada IKRAM ini telah dimasukkan ke dalam sebuah syarikat korporat berorientasikan keuntungan, iaitu Pengkalan Sutramas Sdn Bhd atau PSSB. PSSB dilantik oleh IKRAM selaku pengurus dana, dan 60% dikembalikan oleh MAIPs kepada mereka telah digunakan sebagai modal pelaburan hartanah, perniagaan, dan lain-lain. Keseluruhan operasi dana yang didakwa mencecah jumlah kumulatif RM227.1 juta. Namun apa yang tertera di dalam laporan tahunan syarikat PSSB, mereka mengenakan yuran pengurusan dana ini sebanyak 20% terus sebagai Konsultan Projek. Jika pelaburan untung pula, PSSB ambil keuntungan 70% dan baki 30% adalah untuk pihak NGO. Yang menarik, jika projek tidak berhasil, tiada liabiliti langsung ditanggung oleh syarikat atau konsultan tadi.

Hantaran Minda Merdeka yang tular juga mendedahkan kewujudan Ihsan Care Berhad, atau ICB. ICB dilihat bertindak sebagai 'Badan Pemantau' untuk mengawasi segala urus niaga dan pelaburan syarikat PSSB. Namun berdasarkan klausa perjanjian yang didedahkan, timbul dakwaan bahawa syarikat PSSB berkemungkinan tidak perlu memulangkan semula wang prinsipal pelaburan dana tersebut, asalkan ia mendapat kelulusan dan persetujuan daripada pihak ICB selaku Oversight Advisory Committee. Menerusi semakan pendedahan yang sama, wujud dakwaan bahawa individu-individu yang terlibat dengan IKRAM Hulu Selangor, syarikat PSSB, dan Ihsan Care Berhad, terdiri daripada individu yang sama atau saling berkait rapat, mewujudkan satu struktur pertindihan jawatan atau overlapping structure. Jika dakwaan struktur bertindih ini terbukti benar, maka semak dan imbang mungkin terjejas, dan mungkin juga akan timbul konflik kepentingan melibatkan pihak yang mengurus dana itu.

Tatkala dakwaan berat ini berlegar di ruang awam, MAIPs mengeluarkan kenyataan bagi menjawab beberapa tuduhan yang dilontarkan. MAIPs menafikan terdapat pelantikan mana-mana pihak atau organisasi luar sebagai wakil kutipan zakat. Mengenai isu yang bangkit daripada Laporan Audit tahun 2018, MAIPs menegaskan bahawa ia merupakan perkara lama yang telah pun dibangkitkan sebelum ini. Segala pelaporan telah pun ditambahbaik mengikut nasihat yang diberikan.

Namun apabila disemak data zakat untuk setiap negeri di laman web JAWHAR, data kutipan dan agihan bagi negeri Perlis tidak dikemas kini dari tahun 2020-2024. Ketiadaan data awam ini menimbulkan persoalan awam, terutamanya apabila ia muncul dalam menguruskan nilai dana zakat yang besar. Setakat ini, Mufti Perlis juga masih belum lagi mengulas isu zakat yang sedang tular ini.

Maka dakwaan ini bukan lagi isu pentadbiran biasa, kerana ia melibatkan dana zakat umat Islam. Zakat merupakan hak mutlak asnaf seperti fakir miskin yang mungkin dinafikan, hanya kerana wujud kelemahan tata kelola dan teknikaliti. SPRM dan badan-badan audit negara wajib membuka kertas siasatan secara telus dan komprehensif. Sebarang bentuk kontroversi kewangan yang berkait integriti wang zakat, pasti merosakkan roh dan keberkatan sesebuah negara. Difahamkan bahawa kertas bukti telah pun dihantar kepada SPRM, maka tindakan seterusnya dinantikan.

Para mufti bagi negeri berkaitan juga perlu memandang serius perkara ini. Kepercayaan adalah nilai sebenar institusi zakat. Apabila kepercayaan ini hancur, golongan yang akan merana bukanlah golongan elit, tetapi golongan asnaf yang kehilangan tempat bergantung. Hal ini ditegaskan melalui firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” - (Surah Al-Anfal: 27)

Secara umum, sebarang bentuk penyelewengan dalam institusi agama, terutamanya yang melibatkan harta, bukan sekadar pelanggaran etika kerja bahkan salah satu dosa besar kerana ia mencabuli amanah awam dan kesucian agama. Untuk orang-orang yang disayangi Allah nescaya akan diberikan teguran bila melakukan penyelewengan Teguran itu boleh jadi merupakan musibah, ujian atau hal-hal lain yang boleh menyedarkan mereka sehingga dpt kembali kepada-Nya.

Jangan cuba mendiamkan diri atau menyembunyikan fakta ini. Jangan fikirkan soal urusan perut kita sahaja sedangkan ummah kelaparan. Ali bin Abi Talib berkata, "Barang siapa himmahnya (tujuan keinginan, cita-cita) hanya terhadap sesuatu yang akan masuk kedalam perutnya (harta atau wang) nilai orang tersebut sama dengan sesuatu yang keluar dari perutnya (kotoran najis)"

Sekiranya disabit kesalahan, pihak berkuasa boleh mengenakan hukuman ta'zir dan tindakan yang berat terhadap pelaku. Setiap pihak yang terlibat perlu disiasat demi menegakkan keadilan dan mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap institusi agama.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

029265
Hari ini: 347
Minggu Ini: 1,124
Bulan Ini: 5,195
Tahun Ini: 29,265
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.