Kuala Lumpur Ibu negaraku. Sebuah metropolis kebanggaan negara yang sering dilaungkan sebagai pusat kemajuan ekonomi dan mercu tanda dunia Islam yang moden. Ibu negara yang menjadi nadi perniagaan dan dunia korporat Malaysia. Namun, apabila matahari terbenam, sebahagian besar lorong-lorong di ibu kota ini bertukar wajah. Di sebalik bayang-bayang pencakar langit, wujud sebuah realiti gelap yang dibiarkan membarah. Sungai arak yang mengalir bebas, muzikkelab malam yang melalaikan jiwa, dan industri seks yang beroperasi secara sulit.
Slogan Malaysia Madani yang dilaungkan menuntut nilai moral dan ketamadunan yang tinggi. Tamadun yang diredhai Allah SWT. Tetapi di manakah nilai tersebut apabila pusat ibu kota kelihatan tidak tumpah seperti kota maksiat? Ini adalah tanggunjawab Menteri Agama yang sememang diamanah oleh rakyat memikirkan cara mengatasinya bukan hanya mencari gelandangan-gelandangan kota ditengah malam untuk memberi sesuap nasi kepada mereka.
Jika berjalan di sekitar Bukit Bintang, Changkat, atau TREC di Jalan Tun Razak pada jam 1 pagi, pemandangannya amat meresahkan. Kelab-kelab malam beroperasi melepasi had masa, menghidangkan tarian lucah dan pesta arak yang tiada sempadan. Perkara yang dahulunya tersembunyi, kini terpampang untuk lensa dunia, di kaki-kaki lima.
Adakah kita sedang cuba bersaing dengan negara jiran seperti Thailand dan Vietnam? Jika Thailand secara terbuka mempromosikan wilayah mereka seperti Pattaya dan Soi Cowboy sebagai syurga hiburan malam antarabangsa, adakah Kuala Lumpur sedang meniru acuan yang sama? Sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan tidak seharusnya menggunakan maksiat sebagai pelaris pelancongan adalah satu pengkhianatan kepada identiti negara.
Ada pihak yang berhujah bahawa “ia menjana ekonomi pelancongan dan memberi peluang pekerjaan.” Tetapi mereka buta terhadap kos sosial yang terpaksa dibayar oleh rakyat. Kerana ekosistem hiburan malam ini secara langsung membiakkan rantaian jenayah.
Pertama, isu pemandu mabuk. Berapa banyak lagi nyawa rakyat yang tidak berdosa terpaksa diragut di atas jalan raya hanya kerana kegagalan kita mengawal penjualan dan pengambilan alkohol di pusat-pusat hiburan ini?
Kedua, di mana wujudnya kelab malam dan pusat hiburan, di situ terbinanya wilayah cengkaman sindiket jenayah terancang. Insiden terbaru yang dilaporkan di ibu kota amat membimbangkan; lebih 50 individu bertopeng bertindak anarki merempuh masuk dan merusuh di sebuah pusat hiburan karaoke di Cheras Kuala Lumpur.
Paparan sebegini merupakan manifestasi jelas perebutan kawasan dan pengaruh oleh kartel-kartel dunia gelap. Apabila kawasan-kawasan ini dibiarkan beroperasi di bawah telunjuk sindiket jenayah yang tidak menghormati kedaulatan undang-undang, ia secara tidak langsung melemahkan sistem keselamatan negara.
Dari sudut kesihatan, kegiatan seks rambang dalam kalangan anak muda dikesan menjadi penyumbang utama jangkitan HIV/AIDS. Pada tahun 2024, Malaysia melaporkan 3,185 kes HIV baharu, dengan 90% melibatkan lelaki berumur 20–39 tahun dan 96% didorong oleh penularan seksual, terutamanya daripada hubungan homoseksual/biseksual dan hubungan heteroseksual.
Manakala menurut pandangan Islam, ancaman paling besar di sebalik kebebasan kehidupan malam ini bukanlah kelab malam itu sendiri, tetapi fenomena Normalisasi Dosa atau Al-Jahar bil Ma'siah (melakukan maksiat secara terang-terangan).
Rasulullah SAW pernah memberi amaran yang keras bahawa seluruh umat ini berpeluang untuk diampunkan, kecuali golongan yang melakukan dosa secara terang-terangan. Apabila masyarakat melihat arak dan pelacuran sebagai biasa dan hak individu, sensitiviti iman akan mati. Kita tidak lagi berasa marah apabila melihat larangan Allah dilanggar di depan mata sendiri.
“Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-mujahirin. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah, seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: ‘’Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini’’. Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya. - Riwayat Al-Bukhari (6069)
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa golongan yang menunjukkan maksiat ataupun melakukannya secara terang-terangan ini terkecuali dari mendapat ‘aafiyah daripada Allah S.W.T. Sesebuah negara tidak dinilai kekayaannya melalui KDNK semata-mata, tetapi melalui Barakah atau keberkatan Ilahi. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-A'raf, sekiranya penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya Allah akan membuka pintu-pintu keberkatan dari langit dan bumi.
Bagaimana mungkin kita mengharapkan ekonomi pulih, inflasi terkawal, dan rakyat hidup sejahtera, jika setiap malam kita membiarkan pintu-pintu kemurkaan Allah dibuka seluas-luasnya?
Ini adalah peringatan keras kepada PBT dan para pemimpin. Lesen-lesen hiburan dan arak yang diluluskan tanpa kawalan, serta sikap pejam mata terhadap kelab-kelab malam ini, semuanya akan dihisab di Mahkamah Allah SWT kelak. Kuasa yang diberikan adalah untuk mencegah kemungkaran, bukan melesenkannya. Dalam makna sebenar menjual lesen maksiat.
Kuala Lumpur tidak memerlukan pusat maksiat untuk menjadi relevan di mata dunia. Negara ini kaya dengan keindahan alam, budaya yang pelbagai, syurga makanan, dan keramahan penduduknya. Itulah identiti kita yang sebenar. Sudah tiba masanya hipokrasi ini dinoktahkan. Gagasan Malaysia Madani menuntut pembinaan sebuah peradaban, bukan sekadar retorik pentas politik. Menteri agama jangan melihat dengan sebelah mata perkara maksiat seumpama ini. Ingat apabila bala datang ia tidak memilih bulu.Ia akan mengena siapa sahaja. Ini adalah satu keutamaan satu jihad yg perlu dipikul oleh Menteri agama bukan melayang isu yg remeh yang jauh dari prinsip ketamadunan.
Apakah maknanya jika seorang Menteri agama mendabik dada tentang Islam, sedangkan nilai moral, maruah, dan kemuliaan agama sedang diinjak-injak di lorong-lorong gelap ibu kota?
Jauh sekali untuk dihormat sebagai seorang yang berpendidikan tinggi dan dihormati kerana membiarkan lambakan kelab malam. Tidak boleh menjadi 'juara agama' di siang hari, namun membiarkan industri maksiat berleluasa di malam hari atas alasan ekonomi atau pelancongan.
Hipokrasi ini merupakan satu pengkhianatan. Jika terus memilih untuk melacurkan identiti dan prinsip agama, jangan terkejut jika Kota Madani yang diimpikan ini akhirnya rebah, merudum, dan dicatat dalam sejarah semata-mata sebagai Kota Maksiat yang menempah kemurkaan Tuhan. Rakyat menuntut tindakan yang lebih tegas, penguatkuasaan yang tidak memilih bulu, dan dasar pelancongan yang mengangkat maruah negara, bukannya menggadaikan agama.
Kebejatan yang dilakukan oleh golongan ini hanya menunggu masa untuk diterbalikkan oleh Allah seperti Allah membalikan bumi kaum Nabi Lut AS. Membiarkannya bermakna kita menghalalkan Kota Maksiat.
