Prinsip-Prinsip Akidah ASWJ
Dalam membicarakan prinsip-pinsip akidah ASWJ, tulisan ini mengemukan dua set prinsip yang diutarakan oleh dua tokoh besar ASWJ, iaitu Imam Abu Hanifah (80H. – 150H.) dan ‘Abd al-Qahir al-Baghdadi (d. 429H.). Kedua-dua set prinsip akidah tersebut dapat merangkumkan keseluruhan prinsip yang perlu dipegang oleh golongan yang memperaku diri mereka sebagai tergolong dalam mazhab ASWJ. Dan sesungguhnya prinsip-prinsip ini merupakan asas-asas umum yang menjadi teras kepada ASWJ dalam membina manhaj akidah pegangan mereka. Perbahasan tentang prinsip dan asas ini amat signifikan untuk memberi kefahaman yang sebenar mengenai kaedah perbahasan akidah aliran ASWJ.
Prinsip-Prinsip Menurut Abu Hanifah
Sungguhpun Abu Hanifah r.a. lebih dikenali sebagai ulama fiqh, beliau juga sebenarnya adalah salah seorang tokoh ulama kalam ASWJ yang terkenal dari kalangan Tabiᶜīn (al-Kurdari 1981: 9). Antara karya beliau dalam bidang ilmu Kalam ialah sebuah kitab berjudul al-Wasiyyah yang bertujuan untuk menjelaskan prinsip Ahli Sunah Waljamaah dan sekaligus menolak pandangan-pandangan golongan firqah dan bidᶜah seperti kalangan Syiah Hashwiyyah, Karamiyyah, Mujassimah dan lain-lain pada zamannya yang mengelirukan umat Islam. Beliau juga sering berdebat dalam menegakkan Islam mengikut manhaj Ahli Sunah Waljamaah dan menolak bidᶜah (Iblāgh 1971: 94).
Imam Abū Hanīfah telah merumuskan dua belas prinsip umum bagi ASWJ. Beliau juga pada awalnya menasihatkan supaya para pelajarnya sentiasa berpegang kepada prinsip tersebut supaya tidak terjerumus dalam golongan pembuat bidᶜah dan sesat. Wasiat beliau (Abū Ḥanīfah 2001: 76) adalah seperti berikut:
Ketahuilah wahai sahabat dan saudaraku bahawa Mazhab ASWJ berdiri atas dua belas sifat. Sesiapa yang mengikut cabang-cabang ini tidak akan sesat dan tidak akan menjadi orang yang mengikut hawa nafsu. Hendaklah kamu berpegang dengan sifat-sifat ini sehingga kamu mendapat syafaat Nabi Muhammad SAW.
Pertama: Iman ialah ikrar dengan lidah dan membenarkan dengan hati. Ikrar sahaja tidak dinamakan iman kerana sekiranya dikatakan ikrar sahaja adalah iman, orang munafik semuanya adalah orang yang beriman. Demikian juga al-maᶜrifah tidaklah dinamakan iman kerana sekiranya dikatakan iman, maka ahli-ahli kitab semuanya orang yang beriman. Firman Allah SWT dalam (al-Quran 63: 1) adalah menyatakan tentang orang munafik dan firman Allah SWT dalam menyatakan tentang ahli kitab ialah (al-Quran 2: 146). Iman tidak bertambah dan tidak berkurang kerana tiada gambaran kekurangannya melainkan dengan bertambahnya kekufuran, dan tidak digambarkan pertambahan iman melainkan berkurangnya kekufuran. Bagaimana mungkin seseorang itu boleh menjadi orang yang beriman dan orang yang kufur pada masa yang sama? Orang yang beriman adalah sebenar-benarnya beriman manakala orang yang kufur adalah sebenar-benarnya kufur. Dan tiada ragu-ragu lagi syak dalam iman sebagaimana tiada keraguan pada kufur. Firman Allah SWT (al-Quran 8: 4) dan (al-Quran 4: 151) menerangkan keadaan ini. Orang yang membuat maksiat dari kalangan umat Nabi Muhammad SAW semuanya beriman dan bukannya orang yang kufur. Amal adalah berlainan dengan iman, dan iman berlainan dengan amal. Ini berdalilkan bahawa pada kebanyakan masa, amal itu diangkat (tidak diwajibkan) kepada orang mukmin dan tidak harus dikatakan (pada waktu itu) diangkat iman daripada (mukmin tersebut). Sesungguhnya wanita yang (kedatangan) haid diangkat (tidak diwajibkan) solat ke atasnya, dan tidak harus dikatakan (kepada wanita (tersebut) bahawa telah diangkat iman daripadanya dan (tidak harus dikatakan bahawa Allah SWT) mengarahkannya agar meninggalkan imannya. Sesungguhnya agama menyuruh wanita (yang kedatangan haid) agar meninggalkan puasa kemudian menggantinya kembali, dan tidak harus dikatakan bahawa (agama menyuruh wanita yang kedatangan haid) agar meninggalkan imannya kemudian menggantinya semula. Harus dikatakan bahawa tiada (dikenakan) zakat bagi golongan fakir dan tidak harus dikatakan bahawa tiada iman bagi golongan fakir. Segala takdir yang baik dan buruk (adalah ketentuan) dari Allah SWT, kerana jika seseorang menganggap bahawa takdir yang baik dan buruk itu (adalah ketentuan) selain dari Allah SWT, maka ia telah menjadi kufur kepada Allah SWT dan telah terbatal tauhidnya.
Kedua: Kami mengakui bahawa sesungguhnya amalan itu (terbahagi) kepada tiga; fardhu, kurniaan dan maksiat. (Amalan) fardhu itu berdasarkan suruhan Allah s.w.t dan kehendak-Nya, kasih sayang-Nya, redha-Nya, qaḍā’ dan qadar-Nya, penciptaan-Nya, hukum-Nya, pengetahuan-Nya, tawfiq-Nya dan suratan-Nya (yang tertulis) di Luh Mahfuz. (Amalan) kurniaan bukanlah kerana suruhan Allah SWT, tetapi (amalan itu terjadi) dengan kehendak-Nya, kasih sayang-Nya, redha-Nya, qaḍā’ dan qadar-Nya, penciptaan-Nya, hukum-Nya, pengetahuan-Nya, tawfiq-Nya dan suratan-Nya (yang tertulis) di Luh Mahfuz. (Amalan) maksiat kerana suruhan Allah s.w.t, tetapi (amalan itu terjadi) dengan kehendak-Nya, bukan dengan kasih sayang-Nya, (amalan itu terjadi) dengan qaḍā’ dan qadar-Nya, bukan dengan redha-Nya, (amalan itu terjadi) dengan takdir-Nya, bukan dengan tawfiq-Nya, (amalan itu terjadi) dengan kekecewaan-Nya dan (amalan itu terjadi) dengan pengetahuan-Nya dan suratan-Nya (yang tertulis) di Luh Mahfuz.
Ketiga: Kami mengakui bahawa sesungguhnya Allah SWT beristiwa’ di atas ᶜArash tanpa Ia berhajat kepada (istiwa’) dan Ia menetap (istiwa’) di atas ᶜArash. Ia menjaga ᶜArash dan selain ᶜArash tanpa (Ia) berhajat kepadanya. Jika Ia berhajat kepada sesuatu, (mana mungkin) Ia mampu menciptakan alam ini dan mentadbirnya sepertimana makhluk (yang berhajat kepada sesuatu dan tidak mampu mencipta dan mentadbir alam ini). Jika Ia berhajat kepada duduk (al-Julus) dan penempatan (al-Qarar), maka sebelum Ia menciptakan ᶜArash, di manakah Ia berada? Maha Tinggi Allah s.w.t dari (penempatan di atas ᶜArash) dengan ketinggian dan kebesaran-Nya.
Keempat: Kami mengakui bahawa sesungguhnya al-Quran adalah kalam Allah SWT bukan makhluk dan ia merupakan wahyu yang diturunkan daripada-Nya, (kalam) itu bukan-nya Allah SWT dan bukannya lain dari Allah SWT, bahkan (kalam) merupakan sifat-Nya, tertulis di dalam mushaf, dibaca dengan lisan, dihafal di dada, dan tulisan (al-Quran) segalanya adalah mahkluk kerana ianya merupakan (hasil) perbuatan manusia. Kalam Allah SWT bukannya makhluk kerana tulisan, huruf, kalimat, dan ayat merupakan dilālah al-Quran kerana hajat para hamba kepadanya. Kalam Allah SWT itu berdiri pada zat-Nya, dan maknanya difahami dengan perkara-perkara ini. Maka, sesiapa yang mengatakan bahawa kalam Allah SWT adalah makhluk, maka dia telah kufur kepada Allah SWT Allah SWT merupakan Tuhan yang disembah dan Ia masih kekal sepertimana Ia. Kalam-Nya dibaca, ditulis, dan dihafal.
Kelima: Kami mengakui bahawa sesungguhnya sebaik-baik manusia dalam umat ini selepas Nabi Muhammad SAW ialah Abū Bakar al-Ṣiddīq r.a., kemudian ᶜUmar al-Khaṭṭāb r.a., kemudian ᶜUthman Ibn cAffān r.a., kemudian ᶜAlīibn Abī Ṭālib r.a. berdasarkan firman Allah SWT (al-Quran 56: 10-12). Setiap orang yang terdahulu, maka mereka lebih afdal. Mereka dikasihi oleh setiap orang mukmin dan dibenci oleh setiap orang munafik.
Keenam: Kami mengakui bahawa sesungguhnya hamba bersama perbuatan, ikrar dan makrifahnya adalah makhluk. Apabila pembuat (hamba) itu adalah makhluk, maka perbuatannya itu lebih utama (dikatakan) adalah makhluk.
Ketujuh: Kami mengakui bahawa Allah SWT menciptakan makhluk dan tiada pada mereka (makhluk) kekuatan, kerana mereka adalah lemah. Allah SWT mencipta dan memberi rezeki kepada mereka, berdasarkan firman-Nya (al-Quran 30: 40). Dan usaha itu adalah halal, dan pengumpulan harta (dari sumber dan cara) yang halal adalah halal, dan pengumpulan harta dari (sumber dan cara) yang haram adalah haram. Manusia itu (terbahagi kepada) tiga golongan: Mukmin yang ikhlas dalam imannya, orang kafir yang ingkar dalam kekufurannya, dan orang munafik yang (mudahin) dalam nifaqnya. Allah SWT mewajibkan ke atas orang yang beriman itu (dengan) amalan, dan ke atas orang kafir (dengan) keimanan, dan ke atas orang munafik (dengan) keikhlasan, berdasarkan firman-Nya (al-Nisa’ 4: 1) iaitu (dengan lafaz) “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah”, dan “Wahai orang-orang kafir, berimanlah”, dan “Wahai orang-orang munafik, ikhlaslah”.
Kelapan: Kami mengakui bahawa sesungguhnya kemampuan (daya) itu (berlaku serentak) dengan perbuatan, ia tidak berlaku sebelum atau selepas perbuatan. Kerana jika ia (kemampuan) itu (berlaku) sebelum perbuatan, maka hamba (makhluk menjadi) tidak berhajat kepada Allah SWT apabila mereka memerlukan, dan ini bersalahan dengan hukum nas firman Allah SWT (al-Quran 47: 38). Jika ia (kemampuan) itu (berlaku) selepas perbuatan, (perkara sedemikian) adalah mustahil kerana (perbuatan) itu terhasil tanpa kemampuan dan daya.
Kesembilan: Kami mengakui bahawa menyapu atas Khuf adalah wajib bagi (orang) yang bermukim (bagi tempoh) sehari semalam, dan bagi orang yang bermusafir (bagi tempoh) tiga hari tiga malam kerana terdapat Hadis yang menjelaskan sedemikkian. Maka barangsiapa yang mengingkarinya, dikhuatiri menjadi kufur kerana (Hadis) hampir kepada (darjat) Hadis mutawatir. Qasar dan berbuka puasa bagi musafir adalah rukhsah yang jelas dengan nas kitab (al-Quran) berdasarkan firman-Nya (yang berkaitan dengan qasar) (al-Quran 4: 101), dan firman-Nya (yang berkaitan dengan berbuka puasa ketika musafir) (al-Quran 2: 183).
Kesepuluh: Kami mengakui bahawa sesungguhnya Allah SWT memerintahkan al-Qalam agar menulis, maka berkata al-Qalam: “Apa yang hendakku tulis wahai Tuhanku?! Maka Allah SWT berfirman: Tulislah segala yang terjadi sehingga hari kiamat, berdasarkan firman-Nya (al-Quran 54: 52-53).
Kesebelas: Kami mengakui bahawa sesungguhnya azab kubur adalah bukan mustahil, dan soal (dari Malaikat) Munkar dan Nakir adalah benar berdasarkan Hadis, dan syurga dan neraka adalah benar, dan telah diciptakan bagi penghuni keduanya, berdasarkan firman-Nya bagi hak (janji Allah SWT bagi) orang mukmin (al-Quran 3: 133) dan bagi hak (janji Allah SWT bagi) orang yang kufur (al-Quran 3: 24, al-Quran 3: 131). Allah SWT menciptakan keduanya (syurga dan neraka) sebagai (tempat ganjaran) pahala dan dosa. Dan timbangan (Mīzān) adalah benar berdasarkan firman-Nya (al-Quran 21: 47) dan pembacaan kitab (buku catitan amalan) adalah benar berdasarkan firman Allah s.w.t (al-Quran 17: 14).
Keduabelas: Kami mengakui bahawa Allah SWT menghidupkan segala jiwa (jasad) selepas kematian, dan (Allah SWT) menghidupkan mereka semula pada satu hari yang tempohnya (selama) 50000 tahun (di dunia) untuk pembalasan, pemberian ganjaran dan penunaian hak (bagi amalan manusia semasa di dunia) berdasarkan firman-Nya (al-Quran 22: 7). Dan pertemuan Allah SWT dengan ahli syurga (Ru’yat Allah s.w.t) adalah benar tanpa kaifiat dan (tanpa ada) perbandingan dan (melihat Allah s.w.t itu) tanpa (bergantung pada satu-satu) sudut Syafaat Nabi kita Muhammad SAW adalah benar bagi penghuni syurga, walaupun ia (penghuni syurga pernah) melakukan dosa besar (semasa di dunia). Aishah merupakan sebaik-baik wanita di alam ini selepas Khadijah al-Kubra, (ᶜĀ’ishah) merupakan Umm al-Mukminīn, suci (dari tuduhan) berzina dan terlepas dari tuduhan golongan al-Rawāfiḍ. Maka, sesiapa yang bersaksi bahawa (ᶜĀ’ishah) melakukan zina, maka ia (orang yang bersaksi) itu adalah anak zina. Ahli syurga kekal di dalam syurga, dan ahli neraka kekal di dalam neraka berdasarkan firman-Nya bagi hak (janji-Nya bagi) orang mukmin (al-Quran 2: 82) dan (firman-Nya) bagi hak (janji-Nya) bagi orang kafir (al-Quran 2: 39).
Prinsip-prinsip akidah di atas merupakan pegangan ASWJ dalam menolak pandangan-pandangan golongan firqah dan bidᶜah seperti kalangan Syiah Hashwiyyah dan Mujassimah. Prinsip ketiga sebagai contohnya, ialah penolakan terhadap dakwaan golongan Mujassimah tentang keberhajatan Allah SWT kepada ᶜArash. Dalam prinsip tersebut, Allah SWT tidak berhajat kepada makhluk kerana Dia adalah Maha Pencipta, bahkan Dialah yang Maha Berkuasa ke atas ᶜArash tersebut. Jika Dia berhajat kepada makhluk, bagaimanakah Dia boleh menjadi Pencipta kerana pencipta bukanlah dari kalangan sesuatu yang berhajat kepada apa yang diciptanya. Jelaslah bahawa prinsip-prinsip akidah ASWJ seperti yang dihuraikan oleh Imam Abū Hanīfah bertujuan memurnikan akidah umat Islam daripada segala bentuk penyelewengan dan kesesatan berdasarkan kepada sumbernya yang asli iaitu al-Quran dan Sunah.
