SIRI 5 - PENGHAYATAN DAN PENGUKUHAN AKIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH (ASWJ)

SIRI 5 - PENGHAYATAN DAN PENGUKUHAN AKIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH (ASWJ)

Prinsip-Prinsip Menurut al-Baghdadi 

Menurut al-Baghdadi, setiap yang baligh dan berakal dalam kalangan orang Islam wajib mengetahui prinsip-prinsip akidah ASWJ(al-Baghdādī 1982: 14; Yusof bin Yunus 2007: 6). Terdapat lima belas prinsip akidah, yakni rukun atau usul yang disepakati dalam ASWJ iaitu: 

i.              Mengakui kewujudan hakikat sesuatu

Ulama ASWJ telah mengisbatkan bahawa hakikat-hakikat sesuatu dan ilmu berkaitan dengannya merupakan suatu yang wujud, justeru mereka membahagikan ilmu kepada tiga bahagian. Pertama, ilmu badīhī iaitu ilmu yang diperolehi secara sendiri tanpa perlu difikirkan. Kedua, ilmu berbentuk hissi iaitu ilmu yang ditanggapi melalui pancaindera dan ketiga adalah ilmu istidlali iaitu ilmu yang dicapai melalui proses pengambilan bukti melalui pembuktian sama ada menggunakan akal mahupun lain-lain sumber.

ii.              Mengetahui huduthnya alam

ASWJ telah bersepakat bahawa alam adalah suatu benda selain dari Allah SWT.  Alam bukanlah antara sifat-sifat Allah SWT yang azali dan mereka bersepakat bahawa alam adalah makhluk, dan pencipta alam bukan makhluk dan bukan juga sebahagian daripada makhluk. Ulama ASWJ juga bersepakat bahawa alam ini terdiri daripada jawhar dan araḍ. Mereka mengakui bahawa malaikat, jin, manusia, syaitan dan kesemua yang berhajat adalah makhluk. Mereka juga bersepakat dalam menyesatkan golongan ahli falsafah yang mengingkari alam ini adalah sesuatu yang baharu dan mengatakan bahawa alam adalah bukan makhluk yakni Qadim dan bersifat dengan sebahagian dari sifat-sifat Allah SWT.

iii.            Mengenal Pencipta Alam dan Sifat-Sifat Zat-Nya

ASWJ bersepakat menyesatkan golongan Qadariyyah yang mengatakan bahawa Allah SWT mencipta jisim sahaja tanpa mencipta araḍ dan yang mencipta araḍ adalah jisim itu sendiri. Mereka mendakwa bahawa kejadian yang belum wujud adalah berupa sesuatu benda atau suatu yang sudah berjisim dan araḍ. ASWJ telah bersepakat juga bahawa Allah SWT tidak mempunyai tempat dan tidak memerlukan masa.  Mereka turut menentang golongan Shihamiyyah dan Karamiyyah yang mengatakan bahawa Allah SWT bersentuhan dengan ᶜArash.

iv.            Mengenal sifat-sifat Allah SWT yang Azali

Prinsip ini menjelaskan penentangan ASWJ terhadap golongan Muktazilah yang mengatakan Allah SWT tiada sifat, wujud hanya Zat-Nya dan sifat Allah SWT adalah Zat Allah SWT itu sendiri, bukan selain dari Zat Allah s.w.t secara mutlak.  ASWJ juga bersepakat bahawa Kalam Allah SWTadalah Qadīm dan bukan baharu sebagaimana yang didakwa oleh golongan Muktazilah.

v.              Mengenal Nama-Nama Allah SWT

Ulama ASWJ telah bersepakat mengenai nama Allah SWT bahawa pemberian nama bagi Allah SWT adalah berdasarkan kepada al-Quran dan Hadis. Nama Allah SWT ini tidak boleh ditentukan atau diberikan melalui jalan qiyas ataupun mengikut hawa nafsu sebagaimana yang dilakukan oleh golongan Muktazilah Basrah yang menamakan Allah s.w.t melalui qiyas[1].

vi.            Mengenal keadilan dan hikmah Allah SWT

ASWJ telah bersepakat bahawa Allah SWT mencipta segala perbuatan manusia sama ada baik atau buruk, dan Allah SWT juga memberi pilihan kepada manusia sama ada melakukan ketaatan atau kemaksiatan. Pandangan ini bertujuan menentang kumpulan Qadariyyah yang mendakwa bahawa Allah SWT tidak mencipta perbuatan manusia, bahkan manusia berkuasa ke atas perbuatannya sendiri. Pandangan ini juga menentang golongan Jahmiyyah dan Jabariyyah yang mendakwa bahawa Allah SWT mencipta segala perbuatan manusia dan manusia tidak mempunyai kuasa dalam pemilihan untuk melakukan ketaatan mahupun kemaksiatan. ASWJ juga bersepakat bahawa manusia mampu mengusahakan atau memilih sama ada gerak, diam, kehendak, kemahuan, bercakap, berfikir, melakukan ketaatan atau kemaksiatan, atau meninggalkan ketaatan atau kemaksiatan dan sebagainya. Ini menunjukkan keadilan dan hikmah bagi Allah SWT. Mereka juga bersepakat bahawa Allah SWT memberikan rezeki kepada semua hamba-Nya tidak kira sama ada mereka taat atau melakukan maksiat kepada-Nya kerana mereka semua adalah hamba Allah SWT dan Allah s.w.tbersifat Maha Adil kepada setiap hamba-Nya.

vii.            Mengenal Para Rasul dan Nabi Allah SWT

Prinsip ini menjelaskan bahawa para Rasulullah dan Nabi adalah utusan Allah SWT yang menerima wahyu dari Allah SWT dan diberikan kepada mereka kelebihan sama ada berbentuk mukjizat dan kelebihan-kelebihan yang lain. Prinsip ini juga adalah untuk menyatakan bahawa kewajipan mengetahui para Rasul adalah bermula dengan Nabi Adam a.s. dan diakhiri dengan Nabi Muhammad SAW, dan menentang pandangan golongan Khamiyyah yang mengatakan Rasul Allah sentiasa dibangkitkan tanpa kesudahan. Prinsip ini juga menjelaskan bahawa ASWJ beriktiqad bahawa Nabi Isa a.s. tidak mati dibunuh, dan beriktiqad bahawa Nabi Isa a.s. diangkat ke langit dan akan diturunkan semula ke bumi setelah keluarnya Dajjal dan beliau akan membunuhnya, seterusnya beliau akan memerintah bumi dengan menjalankan syariat Nabi Muhamad SAW di atas muka bumi ini.

viii.         Mengenal mukjizat Para Nabi dan karamah Para wali

Asas ini adalah untuk menjelaskan bahawa setiap Nabi ada mukjizat yang tersendiri dan mukjizat itu tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kuasa pun kerana ianya datang dari Allah SWT. Prinsip ini bertentangan dengan pandangan Qadariyyah yang mendakwa bahawa Nabi tidak memerlukan mukjizat yang lebih dari kebenaran Syariat yang dibawa olehnya sendiri. ASWJ mengakui bahawa para wali Allah mempunyai karamah yang tersendiri dan ASWJ juga mengharuskan berlakunya karamah itu kepada wali-wali Allah tersebut. Prinsip akidah ini juga bertentangan dengan pandangan Qadariyyah yang mengingkari para wali Allah mempunyai karamah.

ix.            Mengenal Rukun Islam yang disepakati

Islam terbina atas lima rukun dan ASWJ bersepakat mengenainya. Rukun tersebut adalah mengucap dua kalimah syahadah, solat, puasa, zakat dan haji. ASWJ bersepakat mengatakan sesat atau kafir bagi mereka yang menggugurkan salah satu daripada rukun tersebut.  Dalam kata lain, mereka yang mengatakan tidak wajib bagi salah satu daripada rukun tersebut maka boleh menjadi sesat atau kafir dengan iktikad tersebut.

x.              Mengenal hukum-hukum taklif

ASWJ juga bersepakat bahawa hukum-hukum suruhan dan hukum-hukum larangan serta hukum-hukum taklif bagi manusia itu ada lima iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Setiap perbuatan manusia di muka bumi akan dipersoalkan berdasarkan kepada hukum taklif ini. Jika perkara wajib ditinggalkan dan perkara haram dilakukan bermakna ia akan disiksa dan begitulah sebaliknya.

xi.              Meyakini Kematian dan Pembalasan

ASWJ bersepakat bahawa seluruh manusia di alam ini akan merasai kematian. Seluruh alam ini akan musnah dan tiada yang akan terselamat sekalipun malaikat. Syurga dan neraka tidak akan binasa dan apa yang dikehendaki Allah SWT tidak musnah maka ianya tidak akan musnah sebagaimana yang telah disebutkan Allah SWT dalam al-Quran. ASWJ juga bersepakat bahawa manusia akan dibangkitkan semula di hari akhirat dan nikmat syurga bakal menanti mereka yang beriman dan siksaan neraka bakal menanti mereka yang kafir dan berbuat maksiat.

xii.            Mengenal khalifah dan syarat-syarat kepimpinan

ASWJ bersepakat bahawa umat Islam wajib menegakkan khalifah iaitu pemerintah yang menguasai urusan dan pengadilan serta pentadbiran, menguasai urusan pertahanan negara, peperangan, pembahagian harta rampasan perang dan pemerintah hendaklah dilantik menerusi pilihan dan ijtihad. Rukun ini bertentangan dengan pandangan Rafiḍah yang mendakwa bahawa Ali r.a. telah ditentukan oleh Nabi menjadi khalifah setelah kewafatannya sedangkan tidak ada langsung Hadis atau nas berkenaan dengan perkara itu. Menurut ASWJ lagi, syarat bagi Imam Mahdi adalah dari keturunan Quraisy dan ini bertentangan dengan pandangan golongan Dharawiyyah yang mengatakan bahawa Imam Mahdi boleh terdiri daripada orang Arab atau bukan Arab.

xiii.         Mengenal hakikat keimanan dan keislaman

ASWJ bersepakat bahawa keimanan adalah makrifah dan tasdiq dalam hati dan iman tidak gugur dengan perlakuan dosa sama ada dosa kecil mahupun besar. Sesiapa yang melakukan perbuatan dosa selain dari mensyirikkan Allah SWT, maka dia masih dalam agama Islam dan hanya dihukum fasiq sahaja. Rukun ini bertentangan dengan pandangan fahaman Khawarij yang mengatakan sesiapa yang melakukan mungkar maka wajib dibunuh.

xiv.         Pengiktirafan Terhadap Para Wali Allah SWT

Menurut pandangan ASWJ, para malaikat dihukum sebagai maksum iaitu bersih daripada melakukan maksiat terhadap Allah SWT Manakala sepuluh orang Sahabat yang telah dijanjikan Allah SWT masuk ke dalam Syurga adalah Sahabat yang mempunyai martabat yang tinggi dari kalangan umat yang bertaqwa. Mereka adalah Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Talhah, Zubair al-Awwam, Saad Abi Waqas, Said bin Zaid, Abdul Rahman Auf dan Abū Ubaidah al-Jarrah riḍwānuLlāh ᶜalayhim. Menurut Ahli Sunah Waljamaah lagi, Kibār al-Sahābah dari kalangan mereka yang mengikuti perang Badar dan Uhud juga adalah dari kalangan mereka yang masuk syurga. Selain itu, antara mereka yang dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab adalah 70 ribu orang yang menyertai Baiᶜah al-Riḍwān.

 xv.         Mengenali musuh-musuh Islam

Menurut pandangan ASWJ, musuh Islam terdiri dari dua jenis iaitu musuh Islam yang wujud sebelum Islam dan musuh Islam yang lahir serta berselindung di bawah naungan Islam, sedangkan mereka bermati-matian menghancurkan Islam. Musuh yang pertama adalah terdiri dari kalangan penyembah-penyembah berhala, bintang-bintang, bulan, matahari, api dan sebagainya dan orang Islam diharamkan memakan sembelihan dari mereka dan diharamkan juga berkahwin dengan perempuan dari kalangan mereka. Walau bagaimanapun, para ulama dan fuqaha’ telah mengharuskan memakan sembelihan Ahli Kitab Yahudi dan Nasrani, dan mengharuskan juga berkahwin dengan perempuan-perempuan dari kalangan mereka. Musuh yang kedua pula adalah daripada kalangan kumpulan atau kelompok yang sesat dan menyeleweng yang terdiri daripada golongan pelampau-pelampau seperti Syiah Rafiḍah, Batiniyyah, Hululiyyah, Khawarij dan lain-lain. Begitu juga dengan kumpulan-kumpulan ahli hawa nafsu seperti Hisyamiyyah, Najariyyah, Imamiyyah, Mushabbihah dan lain-lain yang mengkafirkan ASWJ dan para sahabat Nabi SAW.  Dalam hal ini, umat Islam diharamkan memakan sembelihan mereka dan mengahwini perempuan-perempuan daripada kalangan mereka.

Prinsip atau usul akidah yang telah disepakati oleh ulama ASWJ adalah prinsip asas yang antaranya bertujuan menolak segala bentuk akidah atau pegangan firqah dan bidᶜah yang dilakukan oleh kelompok-kelompok yang terkeluar daripada ASWJ. Jika dilihat dalam prinsip yang pertama sehingga prinsip ke lima di atas, ia adalah penentangan terhadap pandangan golongan firqah seperti golongan ahli falsafah, Karamiyyah dan lain-lain yang mengatakan bahawa alam adalah qadīm, penafian sifat baharunya alam dan sifat Allah SWT yang Qadīm tidak bersekutu dengan ciptaan-Nya iaitu alam. Selain itu, ia juga menolak pandangan golongan Mujassimah yang mengatakan bahawa Allah SWT berhajat kepada makhluk seperti ᶜArash dan Kursi sedangkan Allah SWT tidak langsung berhajat kepada apa yang dicipta-Nya berdasarkan sifat yang telah jelas disebutkan dalam al-Quran. Jika dilihat contoh lain pula iaitu prinsip yang ketujuh, sembilan, dua belas, tiga belas, dan empat belas, semuanya itu bertentangan dengan pegangan yang dianuti oleh fahaman Syiah antaranya seperti masalah syarat khalifah, pemilihan pemimpin, hukum dan rukun iman serta Islam. Golongan Syiah mempunyai pandangan yang jauh menyimpang daripada apa yang telah ditetapkan oleh Ahli Sunah Waljamaah, bahkan ada di kalangan mereka mengkafirkan pula para Sahabat dan golongan yang dianggap sebagai wali-wali Allah SWT yang mempunyai martabat yang tinggi. 

Tujuan prinsip atau usul akidah ini ditegaskan adalah untuk memberi panduan kepada umat Islam supaya dapat mengenali sifat-sifat yang seharusnya ada dalam diri setiap umat Islam yang berfahaman ASWJ, dan membezakannya dengan golongan-golongan yang terkeluar daripada prinsip atau usul ini. Selain itu, umat Islam juga seharusnya tidak terkeliru dengan golongan yang mengaku bahawa mereka adalah ASWJ sedangkan mereka jauh tersasar daripada prinsip-prinsip serta usulnya yang asas. Jelasnya, penegasan terhadap prinsip-prinsip serta usul akidah yang menjadi pegangan ASWJ seperti yang dibincangkan ini adalah penting untuk mengelakkan berlakunya kekeliruan dalam tasawwur umat Islam terhadap Islam itu sendiri. Dan sesungguhnya di atas pelbagai prinsip dan usul inilah terbinanya akidah dan keyakinan yang menjadi pegangan golongan ASWJ.  Dalam lain perkataan, golongan ASWJ merumuskan dalam pelbagai prinsip dan usul seperti yang tercatat di atas asas-asas akidah pegangan ummah yang terkandung dalam keseluruhan ajaran Islam, khususnya sebagaimana terungkap secara utamanya dalam Rukun Iman, Rukun Islam serta segala suruhan dan larangan al-Qur'an dan al-Sunnah.

Di samping itu, satu fakta yang perlu diberikan perhatian di sini ialah perihal rumusan akidah ASWJ itu sebenarnya merupakan gabungan pegangan akidah golongan salaf dan khalaf, iaitu sebagaimana terwakil daripada pandangan Imam Abu Hanifah (salaf), di satu pihak dan pandangan al-Baghdadi (khalaf), di pihak yang lain.  Ini bermakna bahawa akidah golongan ASWJ ini merupakan satu intisari yang berkesinambungan dari sejak zaman salaf hingga kepada golongan khalaf. Tidak timbul sama sekali tuduhan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa golongan khalaf melakukan perkara bid'ah serta menyeleweng daripad pegangan golongan salaf.  

Selanjutnya, penjelasan lanjut mengeni asas akidah ASWJ ini mengalami evolusi tersendiri di tangan para pemuka ulama golongan ASWJ yang muncul silih berganti di sepanjang abad perkembangan tamadun Islam.  Justeru, apa yang dikenali masa kini di rantau Nusantara misalnya yang melibatkan pembicaraan tentang konsep dan ajaran Sifat Dua Puluh itu sebagai contoh adalah mula diperkenalkan oleh tokoh besar aliran Asha'irah abad ke-9 Hijrah, iaitu Imam al-Sanusi (838H. – 895H.), khususnya menerusi kitab tulisan beliau umm al-Barahin. Pembaharuan dan sumbangan beliau ini telah memberi impak besar kepada dunia dan masyarakat Islam sehingga kini. Pendekatan baru beliau ini adalah berujuan untuk memberi kemudahan kepada orang awam dalam memahami masalah sifat Allah SWT (Mudasir 1993: 356). Imam al-Sanūsī telah membahagikan Sifat Dua Puluh tersebut kepada empat bahagian iaitu sifat Nafsiyyah, Salbiyyah, Maᶜāni dan Maᶜnawiyyah. Dalam sifat Nafsiyyah hanya ada satu sifat iaitu wujūd, sifat Salbiyyah ada lima sifat iaitu Qidam, Baqā’, Mukhālafatuhū lil Hawādith, Qiyamuhūbi Nafsihī, dan Wahdāniyyah, manakala sifat Maᶜani pula ada 7 sifat iaitu Qudrah, Irādah, ᶜIlm, Hayah, Samaᶜ, Basar, Kalām, dan sementara sifat Maᶜnawiyyah ada 7 sifat iaitu Qādir, Murīd, ᶜĀlim, Hayy, Samīᶜ, Basīr, Mutakallim (al-Sanūsī 1351H: 20-33).  

Secara keseluruhannya dapat dikatakan bahawa, dengan mengambilkira akidah merupakan satu aspek asas yang maha penting dalam keseluruhan ajaran Islam, golongan ASWJ telah merumuskan secara kukuh prinsip-prinsip akidah yang mesti menjadi pegangan ummah berpandukan keseluruhan ajaran Islam. Para pemuka daripada kalangan tokoh besar ASWJ—yang terdiri daripada kalangan salaf dan khalaf--telah berusaha bersungguh-sungguh untuk meletakkan ummah secara keseluruhannya dalam keadaan selamat daripada tergelincir ke lembah penyelewengan dalam hal yang berkaitan dengan pegangan akidah.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

030462
Hari ini: 136
Minggu Ini: 317
Bulan Ini: 6,392
Tahun Ini: 30,462
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.