SIRI 6 - PENGHAYATAN DAN PENGUKUHAN AKIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH (ASWJ)

SIRI 6 - PENGHAYATAN DAN PENGUKUHAN AKIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH (ASWJ)

PEMILIKAN DAN PENGHAYATAN AKIDAH ASWJ DI NUSANTARA

Seterusnya, persoalan pemilikan dan penghayatan akidah ASWJ ini kelihatannya perlu dianalisis berasaskan prestasi dan kerjaya ASWJ itu sendiri di rantau Nusantara ini yang dalam konteks geo-politik semasa termasuklah Malaysia.  Dan analisis ini diharap dapat diambil teladan untuk kegunaan ummah masa kini dan masa mendatang dalam menagani persoalan akidah yang sedang berhadapan dengan pelbagai serangan dan gugatan daripada pelbagai pihak.  Apa yang malangnya dalam konteks ini, gugatan dan serangan itu datangnya daripada kalangan umat Islam itu sendiri yang sekali gus juga mendefinisikan perpecahan yang sedang dideritai oleh ummah semasa.

Justeru, penganalisisan perihal pemilikan, dan malah penghayatan akidah ini perlu ditelusuri hingga ke pangkal kemasukan Islam ke rantau Nusantara ini bagi mengenal pasti dan membuktikan bahawa aliran ASWJ lah sebenarnya yang membawa Islam ke rantau ini.  Turutan logik daripada keadaan ini, maka pastinya pengajaran, pendidikan dan malahan penulisan mengenai akidah di tengah masyarakat Muslim rantau ini juga pastinya berpaksi dan berkembang dalam lingkungan akidah ASWJ tersebut.  Dan akhirnya masyarakat Muslim rantau ini semestinya memiliki dan menghayati akidah ASWJ yang difahami oleh mereka.

Secara zahirnya, penganut mazhab Shāfiᶜī lazimnya adalah bermazhab Ashāᶜirah. Walaupun tidak kurang juga dalam mazhab Shāfiᶜī wujud aliran Maturidiyyah, namun secara lazimnya didapati tokoh-tokoh ulama terdahulu dari kalangan ulama Arab dan Nusantara, mereka yang bermazhab fiqh Shāfiᶜī lazimnya beraliran Ashāᶜirah dalam akidah. Ini kerana wujud keserasian di antara mazhab Shāfiᶜī dan Ashāᶜirah dalam aspek manhaj yang bersifat tawassuṭ (pertengahan) yang menggabungkan aqli (akal) dan naqli (wahyu) seperti yang diterimapakai oleh kedua-dua mazhab ini. Pada abad ke-7 hingga ke-9 Masihi, adalah jelas bahawa akidah yang dianuti oleh masyarakat Nusantara merupakan akidah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW (berdasarkan teori kedatangan Islam ke Nusantara dari tanah Arab) iaitu akidah Salaf. Sekitar abad ke-9 Hijrah, barulah terdapat percanggahan pendapat tentang Islam yang wujud di Nusantara sama ada Syiah atau ASWJ yang mewakili Sunni.  Namun sekiranya dilihat kepada bukti yang dibawa oleh al-Attas (1988) bahawa Islam di Nusantara ketika itu adalah beraliran ASWJ.  Bukti al-Attas ini didapati lebih kuat dan lebih munasabah berbanding pandangan Mahayudin (1994) yang membawa fakta sejarah secara umum sahaja untuk mendakwa bahawa Islam ketika itu adalah daripada aliran Syiah. 

Dalam konteks akidah, terdapat beberapa karya awal yang ditulis oleh para ulama yang dapat dijadikan asas pembuktian elemen-elemen pemikiran akidah yang mewakili aliran-aliran tertentu sama ada ASWJ ataupun Syiah. Manuskrip tertua di Nusantara yang dikenalpasti oleh al-Attas ialah manuskrip akidah bertajuk al-ᶜAqā’id al-Nasafi karangan Imam Najmuddin al-Nasafi dalam bentuk terjemahan pada abad ke 16 Masihi. Manuskrip terjemahan ini telah diterjemahkan pula ke dalam Bahasa Inggeris oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dengan judul The Oldest Known Malay Manuscript: A 16th Century Malay Translation of the ‘Aqa’id al-Nasafi terbitan Universiti Malaya pada tahun 1988. Karya ini merupakan bukti paling kukuh berkenaan kehadiran Islam bermazhab akidah ASWJ di Nusantara, namun ia menunjukkan bahawa kehadirannya bermula dari abad ke-16 dan ini, menurut al-Attas, adalah disebabkan terbatasnya penemuan-penemuan terhadap fakta sejarah (al-Attas 1988)

Kemudian, penemuan manuskrip akidah dan tasawuf bertajuk Bahr al-Lahut (Bahr al-Dahut) yang dikarang sekitar abad ke-12 Masihi oleh Shaykh ᶜAbdullāh ᶜĀrif telah menyebabkan Mahayudin (1994) membatalkan dakwaan yang dibuat oleh al-Attas (1988) tersebut. Penemuan manuskrip ini merupakan satu penemuan yang sangat bermanfaat dalam menentukan tarikh bertapaknya pemikiran akidah dalam kalangan masyarakat Nusantara. Kitab ini asalnya merupakan kitab Arab yang telah diterjemah ke dalam bahasa Melayu tanpa disebutkan nama penterjemahnya. Sungguhpun begitu Mahayudin menemui nama pemilik kitab Bahr al-Lahut yang berbahasa Arab, iaitu Hawash Abdullah yang didapatinya daripada keturunan Shaykh Yūsuf Tāj al-Khalwatī iaitu seorang ulama Bugis (Mahayudin 1994).

Pandangan mengenai terdapatnya seorang ulama dan pendakwah ASWJ yang bernama Shaykh ᶜAbdullāh ᶜĀrif di Nusantara dibuktikan oleh A. Hasjmy yang mengambil daripada buku Do Hollander.  A. Hasjmy telah memberikan bukti yang kukuh mengenai kehadiran seorang ulama ke Aceh bernama Shaykh ᶜAbdullāh ᶜĀrif pada tahun 1177 Masihi, iaitu seorang pendakwah dari Arab (A. Hasjmy 1981). Mahayudin dan A. Hasjmy adalah dua orang sarjana yang berpandangan bahawa Shaykh ᶜAbdullāh ᶜĀrif merupakan seorang tokoh ulama Syiah berdasarkan penemuan kitab Bahr Lahut ini (Mahayudin 2001). Analisis Mahayudin terhadap kandungan kitab terjemahan tersebut membawa kepada kesimpulan bahawa Shaykh ᶜAbdullāh ᶜĀrif merupakan seorang tokoh ulama Syiah berdasarkan pemikiran tasawuf falsafi yang ditulis oleh Shaykh ᶜAbdullāh ᶜĀrif dalam kitab tersebut. Walau bagaimanapun, penelitian lanjut terhadap manuskrip kitab yang dilampirkan oleh Mahayudin (1994) mendapati berkemungkinan Mahayudin atau A. Hasjmy atau mana-mana sarjana yang berpendapat Shaykh ᶜAbdullāh ᶜĀrif merupakan seorang Syiah sebenarnya telah terkeliru dalam membuat kesimpulan berkenaan. Ini ialah kerana, jika diteliti aspek akidah yang dibawa oleh Shaykh Abdullah dalam kitab ini, jelas didapati bahawa beliau mengisbatkan sifat-sifat Allah SWT mengikut landasan akidah ASWJ tanpa terpengaruh dengan Syiah. Malah di permulaan kitab beliau ini, beliau dahului dengan perbincangan akidah yang menyatakan bagi Allah SWT ada Zat dan ada Sifat yang menjelaskan hakikat kedudukan pemikiran akidah beliau. Beliau secara jelas juga menolak Allah SWT bertempat dan bermasa, justeru menafikan pengaruh fahaman Mujassimah seperti Khawarij dan lain-lain dalam pemikiran beliau.

Dalam karya Bahr al-Lahut seringkas sembilan mukasurat ini, isinya memuatkan ilmu mengenai akidah dan ilmu tasawuf. Pengaruh akidah ASWJ sama ada salaf atau khalaf, sangat jelas kelihatan daripada ciri-ciri penulisannya dalam kitab Bahr al-Lahut. Sungguhpun ringkas, namun ia mengandungi ajaran mentauhidkan Allah SWT melalui sifat-sifat Allah SWT sepertimana yang dicatatkan dalam tulisannya iaitu (Mahayudin Yahaya 1994: 41):

Allah SWT Maha Agung. Allah mempunyai Zat dan Sifat seperti Sifat Qudrat, Iradat dan Ilmu. Zat Allah tiada terhingga, tiada bertempat dan tiada bermasa. Zat Allah Qadim. Zat Allah diibaratkan seperti cermin yang jernih (bersih).

 

Petikan di atas jelas menunjukkan bahawa pemikiran akidah Shaykh ᶜAbdullāh ᶜĀrif adalah berasaskan akidah ASWJ iaitu berkaitan dengan sifat-sifat Allah SWT seperti Qudrat, Ilmu, Iradat serta Allah SWT tidak bertempat atau bermasa. Kitab ini dihasilkan sekitar abad ke-12 Masihi dan aliran Ashāᶜirah serta Maturidiyyah sudah lama berkembang dengan pesat bermula dari abad ke-10 Masihi lagi, iaitu setelah kewafatan Abū al-Ḥasan al-Ashᶜarī pada tahun 941 Masihi bersamaan 330 Hijrah. Sekiranya Shaykh Abdullah beraliran Syiah, maka sudah tentu pernyataan penerimaan terhadap sifat Allah SWT tidak ditonjolkan kerana Syiah berpegang bahawa bagi Allah SWT tiada sifat, sepertimana pandangan golongan Muktazilah (Mohd Haidhar 2011: 52). Antara petikan lain daripada Kitab Bahr al-Lahut yang mempunyai unsur-unsur akidah ASW adalah (Mahayudin Yahaya 1994: 79):

Bahawa ini adalah satu risalah pada menyatakan barang yang ghaib-ghaib dan barang yang nyata-nyata. Daripada ini maka ketahui olehmu daripada kenyataan Haq Ta’ala itu. Dan aku karangkan kitab ini dan aku namai akan dia Bahral-Dahut (Bahr al-Lahut) ertinya Bahr al-Dahut itu yang tiada terhingga akan Dia dan tiada berkesudahan akan Dia, dan barangsiapa melihat akan dia ᶜuẓmah iaitu dialah yang terlebih bahagia, tetapi tiada melihat orang, itulah di dalamnya melainkan penglihatannya ᶜuẓmah daripada kebesarannya daripada haq Allah SWT kerana tiada Dia berhingga-hingga-Nya dan tiada Dia berkesudahan Ia daripada tiap-tiap kā’ināt dan tiada dinyatakan kepada seorang zat-Nya Allah SWT itu kerana Qadim Zat Allah SWT tiada sekutu baginya pada sesuatu.

Di samping itu, bukti lain bahawa Shaykh ᶜAbdullāh ᶜĀrif bukanlah seorang ulama Syiah, bahkan seorang ulama ASWJ ialah kerana dikatakan bahawa beliau datang ke Pasai dengan membawa bersamanya kitab Ihya’ ᶜUlūm al-Dīn karangan Imam al-Ghazālī. Pandangan ini disokong oleh Wan Mohd Saghir yang jelas menyatakan kedatangan Shaykh ᶜAbdullāh ᶜĀrif adalah dengan membawa bersama pemikiran ASWJ (Kamis Ismail 2003). Beliau juga dilaporkan pernah berguru dengan ulama besar ASWJ iaitu Shaykh ᶜAbd al-Qādir al-Jīlani[1]. Berdasarkan kepada perbahasan di atas, adalah jelas bahawa Shaykh ᶜAbdullāh ᶜĀrif merupakan seorang tokoh ulama ASWJ. Malah jika diterima pandangan yang disokong oleh Wan Mohd Saghir tentang kedatangan Shaykh ᶜAbdullāh ᶜĀrif Ashāᶜirah bersama kitab Ihya’ ᶜUlūm al-Dīn yang membawa pemikiran al-Ashᶜarī melalui metod al-Ghazālī ke Nusantara, malah hujah-hujah lain sebelum ini, adalah hampir mustahil untuk mensabitkan Shaykh ᶜAbdullāh ᶜĀrif sebagai seorang tokoh ulama Syiah, bahkan sebaliknya. 

Pengaruh aliran akidah ASWJ, khususnya Ashāᶜirah semakin jelas di zaman kesultanan Melayu Melaka iaitu pada abad ke 15 Masihi. Ketika pemerintahan Sultan Mansur Shah, baginda telah dihadiahkan sebuah kitab berjudul Dār al-Manzum (Dār al-Mazlum) oleh Maulana Abū Bakar dari Jeddah. Kitab tersebut kemudiannya dihantar ke Pasai untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu (Abdul Rahman Abdullah 1981). Terdapat pendapat lain yang mengatakan bahawa judul kitab tersebut adalah Dār al-Mazium yang dihadiahkan oleh seorang ulama Haḍramaut, Yaman (Dasuki Ahmad 1982). Kitab tersebut membahaskan persoalan akidah berhubung dengan masalah zat, sifat dan perbuatan Allah SWT dan merupakan karangan Abū Isḥāq al-Marwazī, iaitu seorang ulama mazhab Shāfiᶜī yang terkemuka (Wan Zailan 1994). Namun Siti Hawa Salleh (1997) pula berpendapat bahawa kitab tersebut dikarang oleh Abū Isḥāq al-Shirāzī pada abad ke-15 Masihi.

Selain itu, wujud banyak perbincangan mengenai persoalan Qadar Allah SWT semasa zaman pemerintahan kerajaan Melayu Melaka. Sejarah Melayu menukilkan bahawa pada ketika ini, masyarakat Melayu sudah mula bertelingkah dan berpecah kerana perbezaan pandangan dalam masalah Qadar. Perbincangan tersebut menjurus kepada masalah rezeki dan nasib, di mana menurut fahaman Jabariyyah, nasib atau rezeki seseorang itu sudah ditentukan sejak azali lagi dan manusia tidak memiliki daya ikhtiar untuk mengubah kehendak Tuhan. Sebaliknya, fahaman Qadariyyah pula mendukung kebebasan ikhtiar manusia atas alasan bahawa manusia bertanggungjawab terhadap perbuatannya sendiri (Shellabear W.G. 1950). Daripada pada sudut ini, jelas bahawa pengaruh yang dominan dalam pemikiran umat Melayu pada ketika itu adalah isu yang menjadi perbahasan dalam kalangan ulama Kalam iaitu Ashāᶜirah, Muktazilah, Qadariyah, dan Jabariyyah. Aliran Syiah tidak membincangkan isu atau persoalan seumpama ini, justeru secara sekali gus menafikan pengaruh Syiah dalam kalangan masyarakat Melayu pada abad-abad terawal di Alam Melayu.


Bersambung........

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

036373
Hari ini: 194
Minggu Ini: 1,592
Bulan Ini: 2,488
Tahun Ini: 36,373
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.