Penemuan al-Attas telah melakarkan sejarah yang terpenting dalam menentukan aliran pemikiran akidah Ashāᶜirah terawal dalam masyarakat Melayu abad ke-16 dan 17 Masihi. Al-Attas telah membatalkan penemuan yang lama mengatakan bahawa karya akidah pertama yang merupakan karya tertua adalah karya Nurudin al-Raniri yang mensyarahkan karya Sharh al-ᶜAqā’id al-Nasafiyyah dalam bahasa Melayu yang diberi judul Durrat al-Farā’id bi Sharh al-ᶜAqā’id pada tahun 1630 Masihi. Manuskrip tertua yang ditemui al-Attas adalah sebuah manuskrip terjemahan Melayu iaitu terjemahan dari karya akidah Maturidiyyah milik Abū Hafs ᶜUmar al-Nasafī iaitu sebuah manuskrip bertarikh antara 1591 Masihi hingga 1599 Masihi (al-Attas 1988). Daripada penemuan al-Attas ini berkemungkinan bahawa pemikiran akidah masyarakat Melayu di rantau ini yang terawal adalah berasaskan kepada akidah Maturidiyyah. Walaupun begitu, perlu juga diberikan perhatian kepada penemuan kajian Wan Zailan, pada tahun 1994 di mana beliau mendapati bahawa ulama Nusantara yang menulis sebuah kitab Jawi Melayu, iaitu Bukhair al-Jauhari berjudul Tāj al-Salatin, yang ditemui bertarikh 1603 Masihi iaitu awal abad ke-7 Hijrah. Kitab ini merupakan kitab asas yang sebenarnya bukanlah membincangkan persoalan ilmu kalam secara mendalam, tetapi ia merupakan antara kitab pertama tertua dalam bahasa Melayu yang ada membincangkan persoalan akidah Ashāᶜirah dan masalah Ketuhanan selaras dengan ajaran al-Ghazālī (Wan Zailan 1994). Bagaimanapun, kedua-dua aliran sama ada al-Maturidiyyah atau al-Asha'irah adalah bernaung di bawah akidah ASWJ.
Lakaran pemikiran al-Asha'irah dalam penulisan dan pengajaran dalam kalangan ulama Melayu Nusantara dapat dilihat lebih berkembang lagi setelah munculnya Hamzah Fansuri (meninggal 1590M.). Kebanyakan sarjana berpendapat bahawa Hamzah Fansuri merupakan seorang ulama yang sangat terkenal dalam bidang tasawuf, tetapi mereka terlupa bahawa Hamzah juga sebenarnya merupakan seorang tokoh ulama akidah yang membawa pemikiran Imam al-Sanūsī dalam menjelaskan pemikiran Ashāᶜirah, yang dimuatkan oleh Hamzah Fansuri dalam karyanya Sharāb al-ᶜĀshiqīn. Dalam banyak penulisan yang ditemui tidak ada sarjana yang berpendapat bahawa Hamzah Fansuri merupakan seorang tokoh ulama beraliran Ashāᶜirah yang bertanggung jawab menyebarkan pemikiran akidah ke pelusuk Nusantara. Kebanyakan para sarjana mengatakan bahawa beliau merupakan seorang tokoh tasawuf falsafi dan cenderung mengatakan aliran tasawuf falsafi yang didokong oleh beliau adalah pengaruh daripada Syiah. Antara sarjana terbabit ialah seperti Mahayudin Yahaya, A. Hasjmy, Abdul Rahman Abdullah, Kamis bin Ismail dan beberapa sarjana orientalis. Setelah diteliti salah satu karya asli beliau, iaitu Sharāb al-ᶜĀshiqīn, khususnya di bahagian awal kitab tersebut, adalah jelas bahawa Hamzah Fansuri bukanlah seorang yang beraliran Syiah, bahkan jauh sekali dan sangat tidak tepat jika mana-mana sarjana mengatakan bahawa beliau sebagai seorang yang beraliran Syiah. Dalam karya tersebut beliau secara jelas telah meletakkan batu asas pemikiran akidah mengikut teologi aliran al-Asha'irah yang tulen melalui penggunaan metode Sifat Dua Puluh al-Sanusi. Malah beliau menghuraikan secara agak terperinci menerusi bahasa puisi yang indah dalam memperjelaskan Sifat Dua Puluh kepada masyarakat. Fakta ini menunjukkan bahawa pemikiran akidah Hamzah Fansuri bukanlah daripada aliran Syiah sebagaimana yang disangka oleh kebanyakan sarjana yang terpengaruh dengan pemikiran orientalis.
Sebenarnya karya Sharāb al-ᶜĀshiqīn ini adalah sebuah karya yang dikarang dengan tujuan untuk meperjelaskan persoalan wahdat al-wujūd dalam ilmu tasawuf yang telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat ketika zaman Hamzah Fansuri. Dalam keadaan sedemikian menyebabkan tumpuan penulisan beliau dalam kitab tersebut tidak banyak terfokus kepada persoalan akidah. Walau bagaimanapun, dalam kitab tersebut beliau telah meletakkan tunjang asas akidah sebagai intipati permulaan sebelum memasuki perbincangan dimensi yang lebih mendalam mengenai ilmu tasawuf, khususnya persoalan wahdat al-wujud, supaya masyarakat tidak terpesong daripada pemikiran dan kepercayaan kepada Allah SWT.
Sesungguhnya Hamzah Fansuri berfungsi sebagai tokoh yang memberikan penjelasan terhadap selok belok fahaman wahdat al-wujūd melalui karya-karya tasawuf beliau, khususnya Sharāb al-ᶜĀshiqīn. Dalam tempoh-tempoh sebelum kemunculan beliau, fahaman ini gagal diperjelaskan dengan baik kepada masyarakat Muslim Acheh sehingga menimbulkan salah faham mengenai konsep wahdat al-wujūd. Perihal ini disokong oleh Abdul Hadi WM seperti yang terdapat dalam penulisan beliau. Menurut Abdul Hadi (2008) pada akhir abad ke-16 Masihi perkembangan sastera sufi mencapai kemuncaknya dalam tradisi intelektual Melayu. Pada masa inilah muncul tokoh terkemuka Hamzah Fansuri yang disusuli pula dengan kemunculan banyak penyair sufi yang merupakan murid-murid beliau. Sebahagian besar karya-karya yang mereka hasilkan tidak meletakkan nama pengarang seperti tulisan-tulisan yang dihasilkan oleh Abdul Jamal dan Hasan Fansuri. Misalnya Syair Perahu (tiga versi), Syair Dagang, Ikat-ikatan Bahr al-Nisa`, Syair Alif, dan lain-lain. Melalui karya-karya tersebut para sufi Melayu membentuk mazhab tersendiri dalam penulisan puisi kerohanian yang menggunakan media syair dan sajak empat baris yang mereka cipta sendiri dengan menggabungkan puitik pantun Melayu dan ruba’i Parsi (Abdul Hadi WM 2008). Justeru, adalah boleh dilihat jelas peranan yang dimainkan oleh Hamzah Fansuri bersama para murid beliau serta ulama pada ketika itu yang cuba menghasilkan pelbagai pendekatan untuk memberikan penjelasan mengenai ilmu tasawuf kepada masyarakat.
Hamzah Fansuri menggunakan bahasa Melayu sebagai alat yang berkesan bagi memahamkan masyarakat mengenai ilmu tasawuf, kerana masyarakat pada ketika itu tidak dapat menguasai bahasa Arab. Maka itu, Hamzah Fansuri mencatatkan bahawa Sharāb al-ᶜĀshiqīn ditulis untuk memenuhi tuntutan masyarakat Melayu di Acheh pada saat itu yang mahukan jawapan terhadap kemusykilan tentang aᶜyan al-thābitah yang temasuk dalam persoalan tasawuf wujudiyyah. Dalam konteks ini Hamzah Fansuru mencatatkan (Hamzah Fansuri t.th: 11-12):
Bismillah al-rahmān al-rahīm, alhamdulillāhi rabbi al-ᶜālamīn wal ᶜāqibatu li al-muttaqīn wa al-ṣalātu wa al-salāmu ᶜala rasūliḥi muhammadin wa ᶜāliḥi wa aṣhābiḥi ajmaᶜīn, ketahui bahawa fakir dhaif Hamzah Fansuri hendak menyatakan jalan kepada Allah Subhānaḥu wa Taᶜāla dan ma’rifat Allah SWT dengan bahasa Jawi dalam kitab ini insya Allah Taala supaya segala hamba Allah SWT yang tiada tahu akan bahasa Arab dan bahasa Parsi supaya dapat membaca akan dia. Adapun kitab ini dinamai Syarabal-ᶜAsyiqin yakni minuman segala orang yang berahi supaya barang siapa hendak meminum minuman orang yang berahi ke dalam kitab ini supaya dapat diperolehnya kerana perkataan orang yang berahi dalam kitab ini dimukhtasarkan juga tiada muẓawwal adapun makrifat Allah SWT terlalu mushkil jika tiada guru yang sempurna dan murid yang bijaksana tiada terbicarakan kerana makrifat Allah SWT rahsia Nabi ṣallAllah ᶜalaihi wasallam tetapi barang kuasa kita yakni kita tuntut seperti sabda Rasulullah ṣallAllah ᶜalaihi wasallam:
من طلب شيآ جدا و جد
Yakni barang siapa menuntut sesuatu pada hal disungguh-sungguhinya nescaya diperolehnya. Dan sabda Rasulullah ṣallAllah ᶜalaihi wasallam:
طلب علم فريضة على كل مسلم و مسلمات
Yakni menuntut ilmu itu fardu atas segala Islam laki-laki dan segala Islam perempuan. Dan sabda Rasulullah ṣallAllah ᶜalaihi wasallam:
أطللب علم ولوكان بالصين
Yakni pergi tuntut oleh mu ilmu jikalau di benua China sekalipun. Dan firman Allah s.w.t Taala:
وما خلقت الجن الأنس الا ليعبدون
Yakni tiada Ku jadikan jin dan manusia melainkan mereka menyembah Daku yakni mengenal Daku. Dan firman Allah s.w.t Taala pada hadis kudsi:
كنت كنزا مخفيا فاخببت ان اعرف فخلقتالخلق لاعرف
Yakni adalah Aku pada perbandaraan yang tarbunyi maka dahulu Ku kasihi dikenal Daku maka Ku jadikan segala makhluk supaya dikenal Aku.
Dalam konteks pemikiran akidah yang dibawa dan dipegang oleh Hamzah Fansuri--iaitu yang berasaskan akidah ASWJ aliran Ashāᶜirah--maka ia dapat dilihat dengan jelas dalam ungkapan kata-kata Hamzah Fansuri seperti berikut (Hamzah Fansuri t.th: 8-10):
Mengenal dirimu fi ilmu yang mudah, oleh mu ghāfil menjadi susah, wajhu Allah SWT jangan kau ubah, zahir rupanya barang olah, yogya engkau ketahui bahawa sesungguhnya wajib ᶜala kulli mukallaf mengetahui yang wajib kepada Tuhan kita rabb al-samāwāti wa al-arḍ, dan mengetahui . . . Tuhan kita wāhid al-qaḥḥār setengah yang wajib pada hak Subhānaḥu wa Taᶜāla dua puluh sifat adapun yang dahulu diketahui wujud itu dinamai sifat nafsiah, yakni yang mengimpunkan sekalian sifat yang wajib kepada hak pangeran kita, apabila sifat yang lima dinamai sifat salbiah, dan iaitu qidam baqa’ mukhalafatu lilhawadith qiyamu binafsiḥi wahdaniyaḥ, adapun sebut lagi tujuh sifat yang dinamai sifat maᶜāni, dan iaitu ya hayyat kedua alim yang ketiga pada kudrat, apabila keempatnya dinamai iradat samaᶜ basar dan kalam, dan yaitu menjadikan alam muhitnya lengkap kepada sekalian afᶜal, adapun maᶜnawiyyaḥ itu tujuh sifat dinamai ia hayyun dan alim, dan ia lagi qadir dan murīdun samīᶜun baṣīrun mutakallimun, iki kihang sifat kang anang istifna wujud qidam baqa’ mukhalafatu lilhawadith qiyamuḥu binafsiḥi samaᶜ baṣar kalam samiᶜan baṣiran mutakalliman iki kahing sifat anang iftiqar wahdaniyaḥ kudrat iradat ilmu hayyat qādiran murīdan ᶜāliman hayyan.
Berdasarkan petikan di atas adalah jelas dapat disimpulkan bahawa pemikiran akidah yang dianut oleh Hamzah Fansuri adalah berasaskan kepada sifat dua puluh yang diasaskan oleh Imam al-Sanūsī iaitu akidah ASWJ aliran Ashāᶜirah. Malah pembahagian sifat 20 tersebut kepada 4 bahagian juga menepati apa yang telah disusun oleh Imam al-Sanūsī. Sarjana yang berpendapat bahawa beliau adalah seorang tokoh Syiah hakikatnya mungkin telah tersalah dalam menganalisis dan menyatakan pegangan akidah yang dianuti oleh Hamzah Fansuri. Malah jauh terpesong dalam mengkategorikan beliau sebagai penganut mazhab Syiah. Beliau merupakan seorang tokoh ulama yang terkenal kehebatan dalam berbagai disiplin ilmu dalam Islam serta telah merantau ke hampir kebanyakan negara untuk menuntut ilmu. Beliau sendiri telah meletakkan asas sebelum mempelajari ilmu tasawuf mestilah menguasai syariat supaya masyarakat tidak terpesong dari landasan ilmu Islam yang sebenar sebagaimana yang dilakukan oleh mazhab Syiah. Beliau menyebut lagi (Hamzah Fansuri t.th: 13)
Bagi kita memagar diri kita supaya kita jangan diharu syaitan adapun barang siapa memagar dirinya dengan pagar syariat tiada dapat diharu syaitan adapun barang siapa menyangka syariat ini kecil atau mencela dia kafir naᶜūdhubillāhi minḥā kerana syariat tiada bercerai dengan tarikat, tarikat tiada bercerai dengan hakikat, hakikat tiada bercerai dengan makrifat seperti kapal syariat seperti lunas tarikat seperti papan hakikat seperti isinya makrifat akan labanya apabila lunas dituangkan nescaya kapal itu karam laba pun lenyap modal pun lenyap marugi kita wallaḥu aᶜlam bi al-sawāb
Lebih jelas lagi kelihatan bahawa beliau bukan seorang yang bermazhab Syiah sebagaimana yang dikatakan oleh sebahagian sarjana adalah dalam petikan kata-kata beliau yang menyebut tentang rukun Islam iaitu (Hamzah Fansuri t.th: 14):
Adapun perkara syariat sendirinya pertama syahadat dan sembahyang fardu memberi zakat dan puasa fardu jika ada berẓawādah pergi naik haji kelimanya ini syariat Nabi Ṣallallaḥu ᶜAlaiḥi Wasallam adapun syariat tiga perkara sawatu syariat barang dilihatnya tiada dilarangnya sawatu syariat yang disuruhnya sawatu syariat yang diperbuat Nabi Ṣallallaḥu ᶜAlaiḥi Wasallam seperkara bagi kita membawa iman akan Nabi Ṣallallaḥu ᶜAlaiḥi Wasallam bahwa ia pesuruh Allah SWT barang katanya sungguh barang perbuatannya benar barang siapa iktikadnya sabda Nabi Ṣallallaḥu ᶜAlaiḥi Wasallam dijadikan Allah Subhānahu wa Taᶜāla lebih daripada makhluk sekalian apabila ia lebih daripada makhluk sekalian nescaya barang perbuatannya benar barang katanya sungguh
Mohd Haidhar (2011) telah melakukan analisis terhadap pemikiran Syiah yang berbeza rukun Islamnya dengan apa yang dibawa oleh Hamzah Fansuri. Rukun Islam Syiah ada 8 perkara iaitu pertamanya solat, keduanya puasa, ketiganya amar makruf nahi mungkar, keempatnya berzakat, kelimanya khumus iaitu seperlima daripada pendapatan yang diperolehi untuk Allah s.w.t dan Rasulullah serta kaum kerabat Nabi, keenam tawalla dan ketujuh tabarra. Tawalla dan tabarra adalah bermaksud menyokong orang yang dizalimi, dan menentang orang yang menzalimi orang lain iaitu keperluan untuk sentiasa bersama dengan yang haq dan menentang yang batil. Kelapan adalah wilayah iaitu kepimpinan.
Dengan ini jelaslah bahawa Hamzah Fansuri bukanlah pendokong kepada aliran Syiah, malah beliau berpegang kepada akidah ASWJ beraliran Ashāᶜirah. Sungguhpun beliau ditentang hebat oleh sikap radikal al-Raniri dalam dimensi tasawuf wujudiyyah, hal itu tidak boleh menafikan hakikat bahawa beliau bukanlah seorang yang bermazhab Syiah. Malahan tidak pun ada bukti sama ada daripada kata-kata, perbuatan mahupun penulisan beliau yang jelas menunjukkan bahawa beliau berpegang kepada mazhab Syiah. Cuma apa yang ada hanyalah tidak lebih daripada sekadar pandangan sebahagian sarjana yang terpengaruh dengan pandangan yang mengatakan bahawa tasawuf wujudiyyah yang dibawa oleh beliau adalah pengaruh Syiah. Hal ini berdasarkan pandangan para pengkaji bidang tasawuf yang telah membuat semacam suatu kesimpulan bahawa ajaran sufi yang berkembang selepas abad ke-2H atau ke- 9M, telah diresapi oleh pengaruh falsafah asing seperti unsur-unsur Hinduisme, Buddhisme, Neo-Platonisme, Majusi dan Syiah Batiniyyah yang terhasil menerusi percampuran budaya di Asia Barat. Juga dikatakan bahawa ajaran sufi di dunia Islam bermula di wilayah utara Khurasan, Parsi yang dikembangkan oleh bekas penganut Hindu, Majusi dan Neo-Platonisme yang telah memeluk Islam dan mengikuti aliran Syiah. Malah dikatakan juga bahawa salah seorang tokoh terawal sufi termasuk Jābir bin Hayyān yang merupakan pengikut Imam Jaᶜfar al-Sādiq yang dikatakan sebagai Syiah (Mohd Samsuddin & Azmul 2011).
