Di samping penemuan manuskrip oleh al-Attas dan kitab tulisan Bukhair al-Jauhari serta Hamzah Fansuri, terdapat tokoh-tokoh ulama lain yang terlibat secara langsung dengan aliran pemikiran akidah ASWJ. Antara tokoh ulama yang mula menterjemah kitab ASWJ karya ulama Ashāᶜirah adalah Shaykh Nurudin al-Raniri. al-Raniri merupakan tokoh ulama tersohor Nusantara sekitar abad ke-16 dan 17, di mana beliau merupakan seorang Mufti dalam zaman kesultanan Melayu Aceh yang meninggal dunia pada tahun 1658 Masihi bersamaan dengan 1068 Hijrah (Azra 1994). Karya akidah yang ditemui diterjemahkan oleh beliau adalah karya ulama besar Ashāᶜirah iaitu Saᶜd al-Dīn al-Taftazāni bertajuk Sharh al-ᶜAqā’id al-Nasafiyyah yang sangat terkenal dalam bidang ilmu kalam. Terjemahan al-Raniri tersebut diberi judul Durrat al-Farā’id bi Sharh al-ᶜAqā’id yang disiapkan sekitar tahun 1630 Masihi. Terdapat perbezaan pandangan mengenai al-Raniri berkait dengan sama ada beliau berpegang kepada aliran Maturidiyyah ataupun al-Asha'irah (al-Attas 1988; Jamalluddin & Abdul Karim 2009; Azyumardi Azra 1994). Walaupun begitu wujud pandangan yang lebih kuat menunjukkan bahawa al-Raniri merupakan seorang yang beraliran al-Ashāᶜirah dalam bidang akidah dan bermazhab Shāfiᶜī dalam bidang fiqh (Wan Mohd Nor & Khalif 2009).
Imam al-Nasafi sendiri sememangnya seorang tokoh ulama Maturidiyyah, namun begitu ramai sarjana cenderung mengatakan bahawa Imam al-Taftazāni—iaitu tokoh yang membuat ulasan terhadap kitab al-Nasafi yang diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh al-Raniri--merupakan seorang tokoh ilmu kalam yang masyhur dalam aliran Ashāᶜirah dan beliau juga berguru dengan ulama Ashāᶜirah yang terkemuka iaitu al-Ījī (Watt 1962). Dan apa yang lebih jelas dalam konteks ini ialah bahawa kandungan kitab Durrat al-Farā’id bi Sharh al-ᶜAqā’id itu sendiri juga memuatkan perbincangan mengenai sifat 20 yang telah dibahaskan oleh seorang tokoh ulama akidah ASWJ aliran Asha'rah, iaitu al-Sanūsī. Perbahasan mengenai sifat 20 ini menunjukkan bahawa akidah yang dibawa dalam Durrat adalah akidah berasaskan aliran Ashāᶜirah sebagaimana yang telah dibawa oleh Imam al-Sanūsī (Muhammad ᶜAbdullāh 2000). Berdasarkan karya al-Raniri pada abad ke-17 ini sudah jelas menunjukkan fahaman akidah ASWJ aliran Ashāᶜirah di Nusantara adalah fahaman yang masyhur dalam kalangan masyarakat awam di rantau ini. Pandangan-pandangan tentang pemikiran Shīᶜah yang dikatakan sebagai mazhab terawal yang dianuti dalam kalangan masyarakat Nusantara adalah jauh meleset berdasarkan dari analisis yang telah dibuat di atas.
Sebenarnya, sebelum daripada al-Raniri sendiri, terdapat seorang tokoh ulama Nusantara yang juga terkemuka pada abad ke-16, iaitu Muhammad Jilani bin Ḥasan Muhammad al-Humaidi (al-Hamidi). Beliau adalah bapa saudara al-Raniri yang dikatakan datang ke Nusantara sekitar tahun 1580 Masihi hingga 1583 Masihi dan mengajarkan beberapa ilmu Islam termasuk mantiq dan fiqh. Kemudian, pada zaman pemerintahan Sultan ᶜAlauddin Riᶜayat Shah, al-Hamidi datang sekali lagi ke Nusantara untuk mengajar ilmu akidah ASWJ dan beliau dikatakan berjaya memberikan pencerahan terhadap kekeliruan masyarakat pada ketika itu tentang persoalan al-aᶜyān al-thābitah, iaitu satu isu dalam ilmu kalam berkaitan dengan aᶜyān dan aᶜrāḍ (Azyumardi Azra 1995). Daripada penjelasan ini menunjukkan bahawa sebelum al-Raniri sudah ada ulama lain yang memainkan peranan menyebar dan memberi kefahaman kepada masyarakat berkaitan dengan kekeliruan yang melibatkan hubungan antara falsafah dan akidah.
Perihal akidah ASWJ, khususnya dalam aliiran Ashāᶜirah di Nusantara, menjadi semakin jelas dapat dilihat dalam karya tokoh ulama yang seterusnya iaitu 'Abd al-Rauf al-Sinkili (1615-1695 M). Beliau merupakan antara tokoh ulama sesudah al-Raniri yang membicarakan persoalan tawhid di Nusantara. Dalam pembicaraan al-Sinkili ini—yang berlaku pada abad ke-17 Masih--juga dapat dilihat secara lebih jelas pengaruh daripada pemahaman akidah melalui metode al-Sanūsī. Al-Sinkili merupakan antara tokoh ulama yang telah membahaskan persoalan Sifat 20 dalam kitab Tasawufnya iaitu ᶜUmdat al-Muhtajin. Pembahagian sifat 20 yang jelas mengikut metodologi Imam al-Sanūsī diselitkan dalam perbicaraan Tasawufnya dalam kitab tersebut. Sebenarnya beliau juga boleh dikatakan antara tokoh pertama yang membicarakan sifat 20 di Nusantara. Beliau telah menghuraikan perbahasan sifat dua puluh merangkumi sifat yang wajib, mustahil dan harus. Selain dari kitab beliau ᶜUmdat al-Muhtajin ini yang membahaskan tentang teologi al-Ashᶜarī menerusi metodologi Imam al-Sanūsī, kitab beliau yang lain yang mebahaskan persoalan yang sama adalah kitab Syair Makrifah. Tetapi perbahasan Sifat 20 dalam kitab beliau ini adalah dalam bentuk syair dan puisi (Wan Zailan 1994).
Perkembangan pemikiran akidah ASWJ beraliran Asha'irah dalam pemikiran akidah di Nusantara telah bertapak kukuh dengan sokongan pemerintahan Islam di Nusantara yang berpusat di bawah kekuasaan Aceh. Pemikiran akidah umat Islam di rantau ini telah diterapkan oleh kerajaan dengan penerapan metodologi Asha'irah dalam perbahasan berkaitan ilmu akidah. Pada zaman keagungan Aceh inilah kerajaan telah mengisytiharkan bahawa pegangan akidah umat Islam di bawah kekuasaan Aceh adalah pegangan yang berasaskan kepada ilmu kalam ASWJ beraliran Ashāᶜirah sebagai pegangan rasmi kerajaan Aceh. Serentak dengan itu juga aliran yang lain--iaitu 72 aliran menurut Hadith Nabi SAW--adalah aliran yang ditentang kerajaan dan disebut sebagai aliran yang sesat. Sesiapa yang berani menentang atau mengikuti aliran selain ASWJ pada ketika itu akan dipenjara, denda ataupun dibuang negeri (Wan Zailan 1994).
Dalam abad ke-18 pula pendekatan teologi ASWJ aliran al-Ashᶜarī lebih ditekankan oleh golongan ulama Nusantara yang hidup pada ketika itu. Institusi-institusi pengajian pondok dan pesantren sudah pun mula menggunakan kitab-kitab pengajian yang berasaskan sifat 20 Imam al-Sanūsī. Malahan kitab-kitab yang diterjemah dan diberi syarah jelas berasaskan kitab Umm al-Barāhin milik Imam al-Sanūsī. Tradisi Syarah kitab Umm al-Barāhin menjadi luas dalam kalangan ulama Nusantara pada ketika itu. Antara ulama yang terawal mensyarahkan kitab Umm al-Barāhin di samping mengubahsuainya menjadi satu syarah yang sesuai dengan penerimaan masyarakat Melayu pada ketika itu adalah dilakukan oleh Shaykh Muhammad Zayn Faqih Jalal al-Din al-ᶜAshi. Beliau telah mensyarah dan memperhalusi aliran Ashāᶜirah dalam kitabnya itu berdasarkan metodologi Imam al-Sanūsī. Kitab al-'Ashi ini ditulis lebih kurang seratus tahun sesudah al-Raniri menterjemah dan mensyarahkan Sifat 20 dalam kitabnya Durr al-Farā’id (Che’ Razi Jusoh 2010) iaitu pada tahun 1757 Masihi. Shaykh Muhammad Zayn Faqih Jalal al-Din al-ᶜAshi meneruskan usaha beliau dalam mengembangkan aliran Ashāᶜirah dalam kitab beliau yang diberi nama Bidāyah al-Hidāyah. Usaha beliau ini adalah dengan menterjemah dan mensyarahkan semula kitab Umm al-Barāhin. Berikutan dari itu juga kitab-kitab Ashāᶜirah Melayu dikembangkan lagi dengan kitab karangan Shaykh Nawawī Bentan (1815-1897M.) yang mensyarahkan juga kitab Umm al-Barāhin dengan diberi judul Zarīᶜat al-Yaqīn. Kemudian muncul pula ajaran Sifat 20 Imam al-Sanūsī ini dalam bentuk penulisan syair-syair seperti yang telah dilakukan oleh Tok Syihab al-Din al-Falimbani (Palembang) iaitu dalam kitabnya yang berjudul Syair Sifat Dua Puluh (Abdul Rahman Abdullah 1989)
Sekitar tahun yang terhampir dengan Shaykh Muhammad Zayn Faqih Jalal al Din al-ᶜAshi (Aceh) muncul sebuah kitab yang berjudul Zuhrat al-Murīd fi Bayān Kalimat al-Tawhīd yang juga menjelaskan pemikiran aliran Ashāᶜirah di Nusantara. Kitab tersebut dikarang oleh Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani (1704-1832M.) pada tahun 1764M. (Wan Zailan 1994). Serentak dengan itu juga lahir kitab-kitab karangan ulama dari Fatani seperti 'Aqidah Ahlu al-Sunnah Wa al-Jamaah karangan Shaykh Abdul Rahman Pauh Bok sekitar tahun 1780-an (Ahmad Fathy al-Fatani 2002). Selain daripada itu, sekitar abad ini juga dan tidak lama selepas daripada karangan Shaykh Muhammad Zayn Faqih Jalal al Din al-Ashi (1690), muncul juga sebuah kitab dari Shaykh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dengan judul Tuhfat al Rāghibīn fi Bayān Haqīqat Īmān al-Mu’minīn, iaitu sekitar tahun 1774 Masihi (Che’ Razi Jusoh 2010)
Kalangan para ulama dari Fatani juga tidak kurang hebatnya dalam bidang akidah ASWJ beraliran Ashāᶜirah di Nusantara. Tradisi ulama dalam mensyarahkan kitab-kitab aliran Ashāᶜirah menjadi pesat dalam perkembangan akidah Melayu Nusantara. Justeru, banyak pendapat daripada para pengkaji yang menyokong bahawa pemikiran akidah ASWJ dalam aliran Ashāᶜirah di Nusantara sudah menjadi sebati dan sukar hendak dilupuskan pemikirannya. Sehinggakan puluhan, bahkan tidak mustahil ratusan kitab Melayu berasaskan aliran Ashāᶜirah telah dihasilkan dan dipelajari, dan sekali gus meletakkan aliran ini menjadi aliran arus perdana dalam pegangan tauhid atau akidah di alam Melayu sehingga ke hari ini (Che’ Razi Jusoh 2010).
Pemikiran akidah Ashāᶜirah ini terus berkembang sehingga ke abad 19 Masihi. Dalam konteks pemikiran akidah ini sebenarnya jika dirujuk semula perjalanan sejarah dalam beberapa abad berkaitan, maka jelas bahawa abad ke-18 dan 19 Masihi merupakan puncak kegemilangan ulama Nusantara dalam kaitan dengan aliran Ashāᶜirah di sekitar Alam Melayu. Jika dilihat, lahirnya ulama-ulama dari Fatani, Aceh, Kedah (yang ketika itu tunduk di bawah kekuasaan Aceh, yang telah mengisytiharkan aliran Ashāᶜirah sebagai mazhab rasmi dalam akidah) dan lain-lain menghasilkan kitab-kitab yang berasaskan pemikiran Ashāᶜirah. Bilangan para ulama Ashāᶜirah di Nusantara adalah ramai dan melibatkan beberapa buah negara sekitar Nusantara seperti Tanah Melayu, Aceh, Fatani, dan lain-lain. Sebagai contoh lihat sahaja ulama dari Fatani yang hidup sekitar abad ke-19 Masihi yang mengajar dan menulis sendiri kitab-kitab akidah ASWJ berfahaman Ashāᶜirah seperti Shaykh Daud al-Fatani (meninggal1847M.), Shaykh Abdul Kadir Bukit Bayas (meninggal 1864M.), Tuan Hasan Besut (meninggal 1864M.), Tok Shaykh Duyung (meninggal 1889M.), Shaykh Muhammad Saleh bin Zainal Abidin al-Fatani (meninggal 1891M.), Tok Shaykh Bendang Daya (meninggal 1895M. ) dan ulama-ulama yang lain (Ahmad Fathy al-Fatani 2002). Selain itu institusi-institusi pengajian pondok dan pesantren juga sudah pun mengamalkan tradisi pengajian yang tidak formal menggunakan kitab-kitab ulama Melayu dalam mazhab Ashāᶜirah dan jelas sebenarnya memang sehingga ke hari ini sekalipun, institusi seperti ini masih lagi memainkan peranan dalam menyebarkan aliran pemikiran akidah Ashāᶜirah di Nusantara.
Sekitar abad ke-19 juga aliran Ashāᶜirah dikembangkan lagi dengan penghasilan kitab-kitab karangan ulama Nusantara. Kitab-kitab akidah ini juga membicarakan perkara dan pemikiran yang sama iaitu Sifat 20 al-Sanūsī. Antaranya adalah seperti kitab akidah bertajuk Ini Kitab Sifat Dua Puluh yang dikarang oleh Sayyid Uthman bin Yahya al-Betawi pada tahun sekitar 1886 Masihi. Selain itu Sirāj al-Huda oleh Muhammad Zayn al-Din bin Muhammad Badawi al-Sambawi pada tahun 1885, ᶜAqīdah al-Nājin fi ᶜIlm Usūl al-Dīn karangan Zayn al-Abidin Muhammad al-Fatani tahun 1890. Selain itu, apa yang paling penting sekali adalah kitab Umm al-Barāhin digunakan sebagai bahan pengajaran di Melaka pada pertengahan abad ke-19 seperti diakui oleh ᶜAbdullāh bin Abdul Kadir Munshi yang meninggal pada tahun 1854 Masihi (Wan Zailan 1994).
Dalam abad ke-19 juga lahir tokoh-tokoh ulama yang paling berpengaruh di Nusantara seperti ulama dari kawasan Banjar, Kedah dan ulama dari Fatani serta Kelantan. Ulama-ulama ini diberi penghormatan yang tinggi oleh masyarakat awam dan ilmuwan-ilmuwan Islam yang lain. Mereka menjadi tempat rujukan terpenting dalam bidang akidah dan ilmu agama, malah mereka juga mendapat nama dalam institusi-institusi pengajian agama. Kitab-kitab mereka digunakan dalam pengajian pondok dan pesantren sehinggalah ke abad 21 ini. Antara tokoh ulama Fatani yang terkenal dengan akidah mazhab al-Ashᶜarī adalah Shaykh Dawud bin ᶜAbdullāh al-Fatani. Pengaruh beliau dalam akidah Ashāᶜirah memberi kesan sehingga ke hari ini. Antara kitab beliau yang terpenting adalah Durr al-Thāmin yang dikarang pada tahun 1886 dan kitab kuning bertulis tangan bertajuk Sifat Dua Puluh. Ulama dari Kelantan pula ialah Abdul Samad bin Muhammad Salleh (meninggal 1891M.) yang lebih dikenali dengan gelaran Tuan Tabal. Beliau membahaskan Sifat 20 aliran Ashāᶜirah dalam kitabnya yang bertajuk Bi Kifāyat al-ᶜAwwām. Selain di Kelantan, Kedah juga melahirkan seorang tokoh ulama beraliran Ashāᶜirah yang terkenal iaitu Muhammad Tayb bin Masᶜud al-Banjari daripada keturunan Muhammad Arsyad al-Banjari. Beliau membahaskan akidah Ashāᶜirah dalam kitabnya yang berjudul Miftah al-Jannah (Wan Zailan 1994: 84-106). Beberapa tahun selepas itu, Shaykh Dawud bin ᶜAbdullāh al-Fatani mengarang pula sebuah kitab lain dalam bidang akidah aliran Ashāᶜirah iaitu Ward al-Zawāhir fī Bayān Kalimat al-Tawhīd yang dikarang sekitar tahun 1829 Masehi, iaitu 13 tahun selepas menghasilkan al-Durr al-Thāmin. Karya tersohor ini boleh dikatakan antara karya yang paling popular karangan Shaykh Dawud kerana selepas ia ditulis dan dicetak sehingga kini, ia masih dipelajari dan dikaji sehingga ke peringkat universiti. Selain itu kitab beliau yang lain adalah al-Bahjat al-Saniyah fi al-ᶜAqā’id al-Sunniyah (Che’ Razi Jusoh 2010).
Bersambung....
