Selain daripada perkembangan pemikiran akidah ASWJ beraliran Ashāᶜirah menerusi kitab-kitab jawi yang dikarang oleh ulama-ulama Nusantara, golongan pemerintah juga memainkan peranan penting dalam perkembangan ini dan menjadi contoh kepada rakyatnya yang lain. Dalam catatan tulisan Omar Awang (1984: 83) di Pulau Penyengat, Riau-Lingga, sekitar tahun 1858 Masehi, seorang putera Sultan Melayu di sana iaitu Engku Haji Muda Raja Abdullah menuntut ilmu akidah dalam aliran Ashāᶜirah daripada kitab Umm al-Barāhin karangan al-Sanūsī. Selain itu Sultan berkenaan juga mempelajari kitab-kitab karangan ulama Ashāᶜirah seperti kitab Minhāj al-ᶜĀbidīn karangan al-Ghazālī dan juga kitab Jawhar al-Tawhīd karangan Ibrahim al-Laqāni. Sebelum ini telah dicatatkan peranan sultan Melaka yang mengambil kitab Dār al-Mazlum—iaitu kitab akidah Ashāᶜirah dan fiqh Shāfiᶜī--yang dihantar ke Pasai untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu bagi kegunaan masyarakat tempatan. Peranan golongan pemerintah juga sebenarnya menjadi pemangkin perkembangan pemikiran akidah ASWJ di Nusantara dan kesannya jelas sehingga ke hari ini.
Kesinambungan penyebaran pemikiran akidah al-Ashᶜirah ini diteruskan lagi oleh ulama yang tidak kurang hebatnya dalam kalangan ulama Nusantara yang mana kitabnya digunakan sehingga ke hari ini. Malah kitabnya itu telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dengan disertakan teks Arabnya sekali. Kitab berkenaan boleh didapati secara mudah di perpustakaan dan kedai-kedai buku pada masa kini. Tokoh tersebut ialah Shaykh Ahmad bin Muhammad Zayn al-Fatani (1856 – 1908 M.) yang merupakan ulama tersohor. Beliau mengarang kitab Farīdat al-Farā’id fī ᶜĪlm al-ᶜAqā’id iaitu sebuah kitab akidah ASWJ aliran Ashāᶜirah yang paling masyhur dalam kalangan masyarakat Melayu sehingga ke hari ini. Karya terbesar ini diselesaikan penulisannya pada 1895 di Mekah dalam bahasa Arab dan sudah banyak diterjemahkan dalam bahasa Melayu edisi Jawi dan Rumi. Kitab ini telah diberikan syarah oleh beberapa orang ulama selepas beliau seperti yang dilakukan oleh Tuan Guru Haji Nik Abdullah Ahmad al-Jambuwi al-Fatani dengan diberi judul Pati Faridat al-Farā’id. Kemudian Tuan Guru Haji Abdullah b. Haji Ibrahim b. Abd al-Karim al-Fatani al-Jabi pula menghasilkan syarah yang diberi judul ᶜUmdat al-Tālib al-Mujtahid fī Sharh Farīdat al-Farā’id (Che’ Razi Jusoh 2010).
Menjelang abad ke-20 sudah ramai ulama Nusantara yang menterjemah, mensyarah, menaqal, menulis semula, dan mengkaji kitab-kitab pemikiran akidah al-Ashᶜarī dan aliran Asyaᶜirah di sepanjang abad tersebut. Perkembangan aliran Ashāᶜirah di Nusantara sekitar abad ke-20 dan awal abad ke-21 ini sudah tumbuh dan berkembang sepenuhnya. Malah ulama-ulama pendukung aliran Ashāᶜirah pada abad ke-20 dan awal abad ke-21 juga sudah mula menulis kitab-kitab untuk menolak pandangan golongan yang menyalahi pemikiran akidah aliran Ashāᶜirah dan cuba mempertikai kebenaran dan kedudukan al-Ashāᶜirah sebagai aliran autentik ASWJ. Keghairahan para ilmuwan Islam di Nusantara dalam menyebar, membahas, dan menulis semula pemikiran aliran Ashāᶜirah boleh disimpulkan sebagai telah mencapai tahap yang sangat memuaskan, sehingga aliran Ashāᶜirah di Nusantara tidak mampu lagi digugat oleh penentang-penentang aliran ini.
Perbahasan-perbahasan mengenai pemikiran akidah ASWJ aliran Ashāᶜirah di abad ke-20 ini adalah cukup meluas sekali. Malahan kitab-kitab yang dikarang juga cukup banyak dan telah menjadi rujukan dalam kalangan masyarakat Nusantara. Antaranya ialah seperti ᶜUmdat al-Murīd fī ᶜIlm al-Tawhīd yang selesai ditulis pada tahun 1899 Masihi oleh Shaykh Dawūd bin Ismāᶜil al-Fatani, Tamrīn al-Ṣibyān fī Bayīni Arkān al-Islām wa al-Īmān oleh Tuan Husein Nasir bin Muhammad Tayyib al-Masᶜūdī al-Banjari (1900), Hidāyat al-Rahmān karangan Haji Abd al-Latif bin Haji Muhammad Nuruddin (Haji Tambi) Melaka yang juga selesai ditulis pada tahun yang sama (1900), Irsyād al-Anām fi Bayāni Qawāᶜid al-Īman wa al-Islām karangan Shaykh Abd al-Qadīr bin Ṣabir Mandahiling (Mendailing) selesai ditulis pada hari isnin 22 Jamad al-Awwal 1320 bersamaan 1902 Masihi, Uṣul al-Dīn Iᶜtiqād Ahl al-Sunnah Wa al-Jamāᶜah karangan Shaykh Muḥammad Azharī al-Falimbānī (1905), Fath al-ᶜAlīm karangan Mufti Haji Abd al-Rahman Siddiq bin Muhammad Afif al-Banjari(1906), ᶜAqīdat al-Munjiyati fī Bayāni ᶜAqīdat al-Mu’minīn Wa al-Mu’mināt oleh Shaykh Muḥammad ᶜAlwī bin ᶜAbdullāh Khatib Andut al-Kampari (1906), Isnād al-Ghulām fī Bayāni al-Īmān Wa al-Islām oleh ᶜAbd al-ᶜAziz bin Muhammad Nūr al-Funtiyani (Pontianak) yang diselesaikan pada hari selasa, 12 Jamad al-Awwal 1325 bersamaan 1907 Masihi, Kifāyat al-ᶜAwām karangan Haji Muhammad bin Haji Muhammad Salih al-Haddad (1908), Uṣūl al-Dīn fī Sabīl al-Iᶜtiqād karangan Haji Muhammad Qāsim bin haji Ahmad Pontianak (1910), Matn al-Jawharat al-Tawhīd Gantung Maᶜnā oleh 'Abd al-Qadir bin Abd al-Rahman al-Filfilani (1912), Sharh Bakūrat al-Amānī oleh Shaykh Ismail bin Abd al-Qadir al-Fatani (Pakda El al-Fatani) yang ditulis dalam tahun 1335 bersamaan 1916 Masihi, Bidāyat al-Tawhīd fī ᶜIlm al-Tawhīd oleh Shaykh Muhammad Basiyuni Imran (1917), Hidāyat al-Mutafakkirīn fī Tahqīq maᶜrifat Rabb al-ᶜĀlamīn karangan Tuan Husin Nasir bin Muhammad Tayyib al-Masᶜūdī al-Banjari (1918). Beliau juga menulis kitab Uṣūl al-Tawhīd fī Maᶜrifat Ṭuruq al-Īmān li al-Rabb al-Mujīd, namun tiada maklumat bila ia disiapkan, walau bagaimanapun ia telah dirumikan oleh Noraine Abu dan diterbitkan dalam bentuk terkini oleh Penerbitan al-Hidayah (2006), Najat al-Ikhwān fī mā yaṣḥulu bih al-Islām wa al-Īmān oleh Haji Abd al-Mubin bin Muhammad Tayyib Jabbar Shah al-Jarimi al-Fatani (1918), al-Muqadimāt al-Tawhīdiyyah oleh Haji Muhammad Syarif bin Abd al-Rahman(1919), ᶜAqā’id al-Īmān oleh Mufti Haji Abd al-Rahman Siddiq bin Muhammad Afif al-Banjari (1919), al-ᶜIqd al-Farīd fī ᶜIlm al-Tawhīd oleh Qadhi Haji Wan Ismail bin Shaykh Wan Ahmad al-Fatani (1922), Fath al-Majīd fī ᶜIlm al-Tawhīd oleh Haji Abd al-Mubin bin Muhammad Tayyib Jabbar Shah al-Jarimi al-Fatani (1923), Fawā’id al-Zayn fī ᶜIlm ᶜAqā’id Uṣūl al-Dīn karangan Haji Muhammad Zayn Nuruddin bin Tuan Imam Shaykh Haji Abbas Ibn Haji Muhammad Lashub (1923), Dilālat al-ᶜAwām oleh Haji Ahmad Suraji bin Ismail bin Muhammad al-Kalantani (1923), Bidāyat al-Ṭālibīn ilā maᶜrifati Rabb al-ᶜĀlamīn karangan Tuan Husin Nasir bin Muhammad Tayyib al-Masᶜūdī al-Banjari (1925), Jiwa Iman Pada Menjilahkan Amalan karangan Mufti Haji Ibrahim bin Muhammad Yusuf bin Muhammad Salih al-Kalantani (1926), Uṣūl al-Tawhīd fī Maᶜrifat Ṭuruq al-Īman li Rabb al-Majīd tulisan Tuan Husin Nasir bin Muhammad Tayyib al-Masᶜūdī al-Banjari(1927), Pegangan yang Terutama pada Sedikit Daripada Pangkal Agama oleh Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abd al-Rahman bin Tuanku Nur bin Raja Belat Ibnu Rhaja Dathu al-Fatani al-Jawi (1933), Nazam sekurang-kurang Farḍu ᶜAyn Pada Bicara Ilmu Uṣuluddin karangan Haji Mustafa bin Muhammad Taihir al-Nakuni (Nakon Samarat) selesai ditulispada malam Isnin 8 Rabiul Awwal 1354 bersamaan 1935 Masihi, Tarikh Sebutan Ahl al-Sunnah wa al-Jamāᶜah oleh Imran Salim bin Haji al-Ashᶜarī Aqil (1940), Miftah al-Ṣibyān fī ᶜAqā’id al-Īmān karangan Haji Muhamad Zayn Nuruddin bin Tuan Imam Shaykh Haji Abbas bin Haji Muhammad Lashub(1946), Tadhkirat al-Ṭufūliyyah fī Tawhīdi Rabb al-Bariyyah oleh Haji Ḥasan bin Umar al-Jakani al-Fatani (1948), Perisai Bagi Sekalian Mukallaf oleh Shaykh Abd al-Qadir bin Abd al-Mutalib Mandaili al-Indunisi (1956), Ṭarīqat al-Hudā ila Allah oleh Ḥasan bin Su, Ismail bin Haji Husin kampung Cempaka, Bachok, Naratiwat Fatani (1959), Kebersihan Iᶜtiqad oleh Yusuf bin Sulung (1961), Fath al-Jalīl wa Syifā’ul Ghalīl oleh Haji Wan Ibrahim bin Abd al-Qadir bin Mustafa al-Fatani (1966), Manhāj al-Ṣibyān fī Maᶜrifat al-Islām wa al-Īmān oleh Ismail bin Encik Hat al-Kawi, Kampung Kubat Setar, Fatani (1969), Dato’ ᶜAbdullāh bin Abd al-Rahman Muar telah menghasilkan dua buah kitab syarah akidah Melayu berdasarkan kitab al-ᶜUqūd al-Durriyyah karangan Shaykh Hamzah Fathullah. Kitab-kitab tersebut ialah Matn al-Risālat al-Tawhīdiyyah dan Sharh Risālat al-Tawhīdiyyah, Tuan Guru 'Abd Aziz bin Ismail al-Fatani menulis kitab Risalat al-Misbah al-Munir (1989) karangan tuan Guru Abd Aziz bin Ismail al-Fatani dan dicetak oleh Pustaka Aman Press pada tahun 1989,1990 dan 1994, Pegangan Sejati Ahli Sunnah Wal-Jama’ah Suatu Keluhuran dan Kemurnian Pegangan Hidup dikarang oleh Ustaz Mohd Zaidi ᶜAbdullāh yang megikut metodologi penulisan para alim ulama terdahulu walaupun dipersembahkan dalam bentuk moden. Buku ini diterbitkan oleh Syatariyah Niagajaya Sdn. Bhd., dengan cetakan pertama pada tahun 2000 (Che’ Razi Jusoh 2010).
Berdasarkan catatan-catatan di atas menunjukkan secara jelas bahawa prestasi dan kerjaya ASWJ di rantau Nusantara adalah amat cemerlang sekali. Ia menerajui dan mendoninasi segenap aspek kehidupan ummah rantau ini dengan tidak memberi ruang kepada aliran lain, seumpama Shi'ah, Muktazilah dan lain-lain, untuk bertapak. Walaupun ada pandangan yang cuba menghujahkan bahawa Shi'ah pernah memainkan peranannya di peringkat awal kedatangan Islam ke rantau ini, namun pandangan itu tidak dapat bertahan berhadapan dengan fakta-fakta lebih jelas bahawa ASWJ lah sebenarnya memulakan kerjaya dakwahnya di rantau Nusantara ini bermula sejak kehadiran Islam, dan seterusnya menguasai sepenuhnya kehidupan ummah menerusi segenap aspek ajarannya.
Dalam konteks akidah secara khusus, catatan di atas menyerlahkan sejelas-jelasnya—tanpa sebarang keraguan--tentang peranan akidah ASWJ yang diajar dan dianut oleh kalangan umat Islam di rantau ini. Cukup banyak sekali tulisan-tulisan dan terjemahan yang dihasilkan oleh kalangan ulama ASWJ untuk memdedahkan kepada masyarakat selok belok pemikiran akidah ASWJ. Institusi pendidikan seumpama pondok dan pasentren serta juga sekolah-sekolah agama memainkan peranan untuk menyebar luas dan memantapkan ajaran dan pemikiran akidah ASWJ, khususnya dalam aliran Asha'irah.
Dengan itu ternyatalah bahawa pola perkembangan akidah ASWJ di rantau Nusantara ini menggunakan pendekatan penulisan, pengajaran serta pendidikan sebagai wahana yang digerakkan oleh kalangan ulama ASWJ, diikuti dengan sokongan daripada pihak pemerintah. Semua usaha ini telah benar-benar berjaya mengenegahkan pemikiran akidah ASWJ sehingga menjadi sesuatu yang cukup lumrah di tengah masyarakat Muslim Nusantara. Justeru, penghayatan akidah bentuk ini merupakan suatu yang merata di tengah masyarakat ummah. Mereka tidak kenal bentuk pemikiran akidah yang di luar daripada ajaran ASWJ yang begitu meluas pendedahannya sama ada dalam bentuk tulisan dan juga pengajaran serta pendidikan.
Apa yang lebih utama dalam konteks semasa sekarang ialah penerusan dan pengukuhan penghayatan akidah ASWJ yang sudah diasas dan dimantapkan kedudukannya oleh para ulama dan masyarakat awam sejak zaman berzaman di rantau ini. Pola laluan yang telah diguna pakai oleh golongan ulama dalam memantapkan pegangan akidah ASWJ tersebut—iaitu penulisan, pengajaran dan pendidikan—amat perlu diberikan perhatian serius oleh kalangan cendekiawan semasa dalam menghadapi pelbagai bentuk cabaran masa kini, khususnya yang berkaitan dengan pengukuhan dan penghayatan akidah. Pemikiran akidah ASWJ ini sebenarnya telah memberikan sumbangn besar kepada umat Islam di rantau ini dalam rangka menyatukan mereka di bawah naungan panji-panji ASWJ. Penyatuan dan perpaduan seumpama inilah yang amat diperlukan oleh umat Islam demi maruah dan kredibiliti mereka sebagai satu ummah. Perpecahan, sesungguhnya akan mengundang kerugian sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh peristiwa sejarah Perang Padri (1833M.-1838M.) yang berlaku di Sumatra Barat yang akhirnya memberi ruang kepada Belanda mecengkam lebih hebat pengaruh dan dominasinya ke atas umat Islam. Justeru, penghayatan terhadap akidah ASWJ yang sudah sekian lama bertapak serta sudah cukup mereta dalam kalangan ummah perlu dipertahan dan diperkukuhkan supaya umat Islam terus kuat dan dapat merajui arah perjalanan tamadun manusia secara keseluruhannya.
Apa yang dapat disimpulkan di sini ialah betapa aliran pemikiran akidah ASWJ, khususnya yang berteraskan pendekatan al-Asha'rah, benar-benar bertapak dengan kukuh di dasar kehidupan ummah di rantau Nusantara ini. Inilah benteng kukuh pegangan akidah ummah. Hakikat ini mesti diakui dan diiktiraf sepenuhnya oleh semua umat Islam. Menghormati peri hakikat ini telah menghasikan kedamaian dan kerukunan hidup ummah seperti yang telah dibuktikan sepanjang perjalanan sejarah ummah sejak kedatangan Islam ke rantau ini. Seandainya ada pihak yang cuba menggugat pegangan yang bersifat arus perdana dalam kalangan ummah ini, pastinya akan menimbulkan persengketaan dan perpecahan. Dan sesungguhnya gerakan penggugatan terhadap pegangan akidah ASWJ ini telah berlaku dan menjadi punca perpecahan umat Islam di Malaysia berasaskan faktor pegangan akidah. Pegangan akidah yang sepatutnya menjadi asas perpaduan umat Islam, telah mengambil peranan sebaliknya disebabkan oleh gerakan penggugatan tersebut. Beberapa pihak telah memainkan peranan dalam proses mengerakkan penggugatan berkenaan.
