SIRI 10 - PENGHAYATAN DAN PENGUKUHAN AKIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH (ASWJ)

SIRI 10 - PENGHAYATAN DAN PENGUKUHAN AKIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH (ASWJ)

PENGUKUHAN AKIDAH ASWJ DI MALAYSIA

Dalam konteks pengukuhan, Malaysia diguna pakai sebagai lokasi perbincangan bagi membolehkan perbincangan dan penganalisisan menjadi lebih terarah, di samping Malaysia juga boleh dijadikan contoh dalam proses membuat tinjauan tentang sejauh mana kukuh atau sebaliknya akidah ASWJ tersebut. Proses perbincangan akan di bahagikan kepada beberapa sub-tajuk seperti berikut:

§  Kedudukan ASWJ di Malaysia

§  Kebebasan beragama di Malaysia

§  Kekebalan ASWJ di Malaysia

§  Kaedah pengukuhan ASWJ di Malaysia

Kesemua sub-tajuk di atas akan diberikan pencerahan sewajarnya bagi membina kefahaman dan seteruskan memperakukan betapa aliran ASWJ merupakan satu aliran yang tidak boleh dinafikan sama sekali kekukuhan dan kedudukannya yang jelas di Malaysia di dirantau Nusantara ini. 

Kedudukan ASWJ Di Malaysia

 

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan, namun agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan (Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan Malaysia). Ini menunjukkan bahawa agama Islam mempunyai kedudukan yang istimewa kerana ia adalah satu-satunya agama yang disebut di dalam Perlembagaan. Bagaimanapun, terdapat perselisihan dalam mendefinisi dan mentafsirkan Islam yang termaktub dalam Perlembagaan. Adakah ia khusus kepada satu aliran mazhab sahaja? Atau menerima sahaja mazhab yang wujud dalam dunia Islam? Mohamed Imam (1994) berpendapat bahawa definisi Islam di dalam perlembagaan Malaysia ialah mazhab ASWJ. Ini bermakna Islam yang dimaksudkan oleh Perlembagaan Persekutuan adalah Islam bermazhab ASWJ. Kenyataan ini berpandukan kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam sebilangan Negeri di Malaysia yang memasukkan ASWJ sebagai mazhab rasmi Negeri. Antara negeri tersebut ialah Kedah, Kelantan dan Perlis. Negeri-negeri ini telah mengistiharkan ‘Agama Islam bermazhabkan Ahli Sunah Waljamaah sebagai agama rasmi negeri dan Sultan juga mestilah bermazhab tersebut (Nurjaanah Abdullah 2007). Negeri Johor juga sedang dalam proses menambah baik Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri dengan memasukkan ‘Islam Ahli Sunah Waljamaah al-Asya’irah wa al-Maturidiah’ sebagai mazhab rasmi negeri tersebut (Tahrir 2013).

 

          Manakala bagi Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, Melaka dan Terengganu menyatakan Agama Islam adalah agama rasmi negeri tanpa menyebut Mazhab ASWJ. Hanya Perak yang meletakkan Islam bermazhab Shafie sebagai mazhab negeri (Seksyen 39, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 1992). Sebagaimana yang diketahui, mazhab Shafie adalah sebahagian daripada mazhab Ahli Sunah Waljamaah. Peruntukan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak jelas menunjukkan bahawa mazhab ASWJ adalah mazhab yang diiktiraf dalam sistem pentadbiran negeri tersebut.

 

          Kebelakangan ini, apabila isu Syiah dibangkitkan, terdapat sebilangan para ilmuan, para tokoh akademik dan masyarakat mempersoalkan frasa ‘Islam sebagai Agama Persekutuan’ yang terdapat di dalam Perlembagaan. Mereka mencadangkan agar ‘Ahli Sunah Waljamaah’ dimasukkan ke dalam Perlembagaan Malaysia supaya masyarakat tahu bahawa Islam yang dianuti di Malaysia adalah bermazhab ‘Ahli Sunah Waljamaah’. Apabila ‘Ahli Sunah Waljamaah’ dimasukkan, secara rasminya maka mazhab lain atau ajaran sesat sama sekali tidak boleh disebarkan dan diamalkan di Malaysia kerana ia bertentangan dengan pegangan Ahli Sunah Waljamaah. Dalam keadaan sekarang, perlembagaan negara hanya menyatakan ‘Islam Agama Persekutuan’ dan tidak menjelaskan maksud Islam itu dengan lebih terperinci. Ini memberi ruang kepada mazhab tertentu yang mengaku sebagai Islam boleh menyebarkan ajaran mereka di Malaysia, seperti Syiah (Ezad Azraai et.al 2011).

 

          Dalam Perlembagaan negara Iran misalnya, telah memasukkan perkataan mazhab rasmi iaitu Syiah Ithna Asyarah–Ja’afariyah (Imam Dua Belas). Dalam Perkara 12, Perlembagaan Republik Islam Iran menyatakan; “The official religion of Iran is Islam and the Twelver Ja’fari school in usul al-Din and fiqh, and this principle will remain eternally immutable”. Bagaimanapun, penganut ASWJ dibenarkan untuk mengamalkan akidah dan fiqh mereka secara bebas terutamanya dalam aspek pendidikan, proses perbicaraan di mahkamah dan agama (Perkara 12, Perlembagaan Republik Islam Iran 1996) (Ezad Azraai et.al 2011).

 

          Apabila Perlembagaan Persekutuan tidak mendefinisikan Islam dalam Perkara 3, maka satu kaedah pentafsiran perlu digariskan. Pentafsiran itu dapat dibuat dengan melihat kepada sebarang peruntukan dalam statut bertulis yang digubal menerusi kuasa Perlembagaan. Pentafsiran juga boleh diperolehi dengan menganalisis keputusan mahkamah di Malaysia yang menunjukkan bahawa mazhab ASWJ adalah rujukan dan pegangan di Malaysia. Hal yang sama dapat dilihat dalam banyak enakmen di peringkat negeri di Malaysia. Ini menjelaskan lagi bahawa Islam yang diterima dan diiktiraf di Malaysia hanyalah ASWJ. Selain itu, ASWJ telah dijadikan sebagai sumber rujukan sama ada dalam Pentadbiran Islam dan sebagai salah satu syarat dalam perlantikan jawatan berkaitan agama Islam (Harding, A 2002).

 

          Bukti utama bahawa undang-undang Islam di Malaysia hanya mengiktiraf ASWJ ialah menerusi rujukan nas dan mazhab yang dinyatakan secara jelas oleh Enakmen Pentadbiran Agama Islam di negeri-negeri di Malaysia. Semua Enakmen tersebut telah mentafsirkan istilah ‘Hukum Syarak’ iaitu ‘Undang-undang Islam mengikut mana-mana mazhab yang diiktiraf dalam Islam, seperti yang diperuntukan dalam seksyen 2 Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 (Harding. A 1996). Setiap negeri telah memasukkan peruntukan berkaitan dengan rujukan nas dan mazhab, apabila sesuatu keputusan fatwa hendak dikeluarkan ataupun rujukan dalam mentadbir perundangan Islam. Bagaimanapun, peruntukan-peruntukan yang ada hanya berkaitan dengan hukum fiqh iaitu merujuk kepada qaul muktamad dalam mazhab Shafie. Sekiranya bercanggah dengan kepentingan awam, pandangan dalam mazhab Hanbali, Hanafi dan Maliki akan dirujuk. Sekiranya Mufti atau Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa tiada satu qaul muktamad daripada empat mazhab itu, para Mufti bolehlah membuat fatwa itu mengikut ijtihad tanpa terikat dengan qaul muktamad daripada mana-mana Mazhab yang empat tersebut (Mohammed Imam 1994).

 

          Peruntukan di atas terdapat dalam semua negeri melainkan Perlis. Menurut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis tahun 2006 di bawah seksyen 54 menyatakan bahawa dalam memperakukan fatwa dan membenarkan pendapat, jawatankuasa fatwa negeri Perlis hendaklah mengikut al-Quran dan al-Sunah. Ini ada kaitan dengan kecenderungan Jawatankuasa fatwa negeri Perlis yang terpengaruh dengan fahaman Salafi-Wahabi yang sedang berkembang di Malaysia. Selain itu, daripada hukum syarak pula mereka merujuk kepada Ahli Sunah Waljamaah (Seksyen 2 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis 2006). Namun dari segi hukum akidah tidak dinyatakan secara jelas dalam mana-mana peruntukan di dalam negeri tersebut (Nurjaanah Abdullah 2007).

 

          Sehubungan dengan ini adalah boleh dijelaskan bahawa Negeri Kelantan lebih terkehadapan berbanding dengan negeri yang lain kerana menyatakan secara bertulis bahawa semua perkara akidah perlu mengikut pandangan ASWJ. Bagi menyelesaikan kekeliruan ini, perlu diketahui bahawa ‘Hukum Syarak’ merangkumi akidah dan fiqh. Justeru, dalam peruntukan yang sedia ada berkenaan ‘rujukan nas’, mazhab yang diterima hanyalah Shafie, Maliki, Hanbali dan Hanafi. Kesemua mazhab ini adalah terdiri daripada golongan mazhab ASWJ. Oleh itu, mazhab Ahli Sunah Waljamaah tetap digunakan dalam perkara akidah walaupun tidak dinyatakan secara bertulis oleh setiap negeri melain negeri Kelantan (Ezad Azraai et. al 2011).

 

          Menurut Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 telah membuat beberapa ketetapan yang berkaitan dengan Ahli Sunah Waljamaah sebagai mazhab yang diiktiraf sebagaimana berikut (Kertas kerja JKF bil. 2/102.2012):

 

1.    Menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunah Waljamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.

2.    Menyokong dan menerima cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri-negeri bagi peruntukan dengan nyata bahawa agama bagi Persekutuan dan Negeri-negeri hendaklah agama Islam berasaskan pegangan Ahli Sunah Waljamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.

3.    Memperuntukan pindaan kepada semua Undang-undang dan Hukum Syarak bagi menyelaraskan takrif hukum syarak atas undang-undang Islam seperti berikut: Hukum Syarak atau Undang-undang Islam bererti undang-undang Islam yang berasaskan kepada pegangan Ahli Sunah Waljamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.

4.    Memperakukan bahawa ajaran Islam yang selain daripada Ahli Sunah Waljamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam dan demikian penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada pegangan Ahli Sunah Waljamaah adalah dilarang.

5.    Menetapkan bahawa semua umat Islam di negara ini adalah tertakluk kepada undang-undang Islam hukum syarak yang berasaskan pegangan ajaran Ahli Sunah Waljamaah sahaja.

6.    Menetapkan bahawa penerbitan, penyiaran dan penyebaran buku, risalah, filem, video dan lain-lain berhubung dengan ajaran Islam yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunah Waljamaah adalah diharamkan.

Fatwa yang telah dikeluarkan ini benar-benar menggambarkan bahawa Islam yang diiktiraf di Malaysia adalah pegangan Ahli Sunah Waljamaah sahaja. Fahaman atau ajaran selain daripada itu, perlu dikawal dan disekat. Oleh itu, semua Muslim hendaklah membuat pentafsiran berasaskan kepada metodologi Ahli Sunah Waljamaah. 

Ketetapam Muzakarah Fatwa Kebangsaan di atas diperkukuh oleh tujuh resolusi Konvensyen Akidah Antarabangsa 2014 (K-Akidah) yang diadakan di Seremban pada 2-4 Disember 2014. Resolusi tersebut dirumus untuk memantapkan pegangan akidah umat Islam di Malaysia. Resolusi berkenaan adalah seperti berikut (Utusan Malaysia 4 Disember 2014):

1)    Aqidah umat Islam di bumi Malaysia adalah Akidah Ahli Sunnah Waljamaah (ASWJ) yang berteraskan manhaj/prinsip al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah, manakala dalam fiqhnya berpegang kepada mazhab Syafie melainkan dalam masalah ifta’ serta tasawuf mengikut jalan Shaykh Junayd al-Baghdadi yang muktabar termasuk dalamkerangka ASWJ

2)    Manhaj ASWJ hendaklah difahami secara sahih mengikut kefahaman yang telah disepakati oleh ijmak ulama keseluruhannya (ulama Salaf dan Khalaf).

3)    al-Wasatiyyah adalah ciri istemewa manhaj ASWJ menjadikan ia layak untuk menjadi pegangan umat Islam kerana ia menjamin keselamatan serta kesetabilan negara.  Adapun sifat ekstrem dalam perkataan seperti mengkafirkan orang dan perbuatan melampau seperti keganasan agama adalah perbuatan yang membawa kepada perpecahan dan merbahaya kepada kesetabilan negara

4)    Pembahagian tauhid kepada Uluhiyyah, Rububiyyah dan Asma’ wa al-Sifat adalah terkeluar daripada prinsip ASWJ dan pegangan konsep sifat 20 yang merangkumi perkara kenabian dan perkara ghaib adalah tauhid yang menjadi pegangan ASWJ

5)    Berpegang kepada salah satu daripada mazhab yang empat adalah sesuatu yang telah disepakati oleh ASWJ

6)    Fahaman Wahabi, Syiah Imamiah, librelisme adalah fahaman yang ekstrem dan menyeleweng dari prinsip ASWJ yang menjadikan wasatiyah senagai manhajnya

7)    Tidak boleh mengingkari perkara khilafiah melainkan perkara yang telah diijmakkan seperti tidak boleh menghukum kafir, bida’ah, syirik dan sebagainya.

          Kemudian, Multaqa Majlis Perunding Islam (MPI), Kluster Pemikiran Islam yang berlangsung pada 9 Januari 2018 di Hotel Marriot, Putrajaya, antara lain-lain, menyepakati resolusi berikut:

a)    Menyedari hakikat bahawa dunia Sunni ketika ini sedang berhadapan dengan rempuhan pelbagai aliran pemikiran yang berbahaya, Multaqa hari ini menyeru pemerintah dan massa umat seluruhnya untuk memadu tekad dan meningkatkan komitmen kolektif mempertahankan keutuhan Dunia Melayu sebagai kubu pertahanan wilayah Sunni dengan melestarikan tradisi wasatiyyah kalam al-Ash'ari, fiqh al-Shafi'i dan tasawuf al-Ghazali.

b)    Menyedari hakikat bahawa cabaran yang dihadapi umat Islam masa kini telah banyak berubah, pemikiran Islam (termasuk ilmu Kalamnya—iaitu Usuluddinnya) perlu dikembangkan dan dikemaskini untuk menjawab cabaran pemikiran masa kini seperti sekularisme, libralisme, modenisme, pascamodenisme dan lain-lainnya.  Di samping memelihara warisan silam, para ilmuwan Muslim harus mampu mengungkapkan wacana Islam kontemporari (al-khitab al-Islami al-mu'asir) berasaskan prinsip al-asalah wa al-mu'asarah dalam pengertian beroreintasi kekinian tanpa harus tercabut dari akar keasliannya.

c)    Menyedari hakikat telah berlakunya proses pendangkalan kefahaman dan penghayatan tentang mazhad Ahli Sunnah Waljamaah dalam kalangan massa umat, Multaqa ini berpendapat perlunya gerakan "celik sunnah" dalam pengertian pemasyarakatan semula pengertian dan tuntutan faham Alhi Sunnah Waljamaah, termasuk maqasid al-'Aqa'id (objektif utama akidah). Dengan demikian akidah mampu berfungsi sebagai kekuatan pembinaan karakter umat.  Untuk itu perlu ditampilkan ilmuwan yang benar-benar berkompetensi dan berautoriti.

d)    Menyedari peri pentingnya peranan pengajian kalam dan akidah (Usuluddin), terutama di institusi-institusi pengajiajn tinggi, Multaqa berpendapat perlunya pemberdayaan dan penyegaran institusi-institusi tersebut bagi memungkinkannya membina generasi yang mengakar pada turath dan sekali gus memiliki kompetensi tinggi menangani isu-isu pemikiran kontemporari.  Untuk itu orientasi pengajian tidak hanya tertumpu pada teks warisan, tetapi juga pada pembinaan daya fikir analitikal, kritis dan inovatif, dengan memanafaatkan ilmu Mantiq yang dipromosi oleh sarjana-sarjana silam.

e)    Menyedari wujudnya perkembangan fenomenal dalam pengajian sains, pemikiran Islam harus mampu membawa pemikiran saintifik dan falsafah sains ke dalam bingkai worldview (pandangan sarwa), aksiologi (sistem nilai) dan epitemologi (teori dan falsafah ilmu) Islam. Untuk itu gerakan keintelektualan yang mendukung aspirasi tersebut perlu diberdayakan dengan penyediaan dana dan kemudahan seperlunya.

 

Bersambung...

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

042827
Hari ini: 427
Minggu Ini: 1,995
Bulan Ini: 8,942
Tahun Ini: 42,827
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.