KETIKA KITA MENJADI "BEKAS"

KETIKA KITA MENJADI "BEKAS"

Ketika kita menjadi "bekas" rasanya lebih bebas kalau tidak banyak halangan. Itu adalah kata-kata lazim seorang pekerja ketika membayangkan persaraannya.
 
Tetapi, ada "bekas" yang akan digerudi sehingga bocor, musnah dan akhirnya menjadi bahan buangan. "Bekas" begitu dianggap bermasalah dan penuh kebejatan, kerana ia dibenci atas pelbagai alasan.
 
Ada "bekas" berhujung dengan penemuan diri yang berubah secara total. "Bekas" itu ingin mewujudkan diri dalam sarang yang baharu atau meperbaharui hakikat diri, yakni mencari ruhnya yang "hilang" atau "tersesat jalan".
 
Ada "bekas" hidup dalam suasana sepi kerana semakin jauh ditinggalkan atas pelbagai sebab dah situasi, tetapi lebih beruntung sekiranya kesihatan masih boleh ke sana - ke mari. Ukuran material bukan lagi menjadi buruan, apa yang dikejar ialah ketenangan.
 
Ada "bekas" harungi hidup dalam situasi kecewa dan konflik, akhirnya mengambil keputusan menyendiri dan buat apa yang patut sehingga sampai masa di panggil pulang. "Bekas" itu menjadi seorang yang cuba mengubati luka, luka kerana hatinya terluka dengan pasangan atau anak-anaknya sendiri, juga mungkin kawan-kawan. Kata orang, ketika kita "ada jawatan" banyak orang dayang. Bila tidak lagi berjawatan, semua menghilang. Tak mengapa, asalkan kita tahu bahawa setiap daripada kita akan ada "jalan pulang" dan sedang menuju kepada "jalan pembetulan".
 
Ada "bekas" beralih diri kerana pasangan tidak lagi serasi. Fasa konflik dan dominasi dalam rumah tangga sudah tidak dapat didamaikan, kerana ada "rasa tertekan" dan "terikat", kejemuan masa luang yang banyak dan "keterpaksaan" bila selalu ada. Fasa konflik ini juga melibatkan situasi perebutan kuasa, seperti kata penulis buku, 5 Love Languages, Gary Chapman.
 
Sepatutnya, ketika masa bersama itu ada, sesama berusaha untuk menyulam semula "cinta" yang sebelumnya terbatas makna dan peluang bersama. Atau, kata setengah orang, dalam cinta pertemuan itu sesuatu yang akhirnya menyedihkan. Pertemuan akan berakhir dengan perpisahan, kerana pertemuan tidak lagi ada romansanya bila terlalu panjang dan tanpa jeda.
 
Masa luang yang banyak adalah kesempatan, tetapi ada juga menjadikannya sebagai beban. Beban berat yang terpaksa digalas dan dipikul termasuk beban emosi dan kata-kata. Kalau sebelumnya, mungkin sekali sehari memasak, tetapi bila menjadi "bekas", berubah dari pagi hingga malam. Dua puluh empat jam bertentang mata, kimia cinta sudah berubah menjadi "racun".
 
Ketika kita menjadi "bekas", kita tidak lagi banyak terbeban dengan anak-anak. Mereka semua sudah besar, dan kalau ada pun mungkin yang bongsu. Ketika itu, tenaga kita semakin berkurangan, mungkin juga ada emosi juga sudah mula berpindah, berpindah untuk bermain-main dengan cucu.
 
Sayangnya, cucu tidak bersama, maka mulalah berfikir "ziarah cucu". Alangkah bahagianya para cucu yang selalu di hati, tetapi alangkah hibanya pasangan yang tidak lagi diutamakan dalam hubungan. Hubungan bukan lagi bersifat erotisme, tetapi hadir dalam bentuk saling memberi, menerima dan melayan makna "cinta" sebenar yang lebih dalam. Di sinilah keajaiban sentuhan (touch) dan betapa nikmatnya bila saling memenuhi hati dengan iman dan amal.
 
Syukurlah, jika kita menjadi "bekas" beroleh ketenangan dan mampu menyempurnakan hasrat yang tertangguh, atau mula dengan penerokaan baharu yang dapat merintis kepada perjalanan yang lebih baik, biarpun tidak ke mana-mana asalkan lebih tahu dalam dan luar diri.
 
Lebih tahu itu kerana ada keinginan untuk mengetahui, ada hasrat yang terbuka dan ada jalan yang nampak cahayanya. Kita berusaha untuk mentranformasikan diri, yakni pergi dari situasi kini ke situasi akhir, hijrah diri menjadi lebih baik dan memenuhi janji yang sudahpun diungkapkan sebelum kita lahir. Kita pernah berjanji, tidak akan berganjak bahawa Allah itulah Tuhan kami, dan Nabi Muhamamd adalah pembimbing kami.
 
Ketika itu, ruh-ruh dikumpulkan sebelum Tuhan menciptakan kita. Kemudian ruh itu dimasukkan ke dalam jasad, jasad pula berada dalam "acuan" pada ahim seorang wanita. Bila dilahirkan, jasad itu membesar dan seterusnya mampu berfikir, membuat keputusan dan menyara diri sendiri. Seterusnya, sampai ke tahap matang, menyara orang lain dan hidup sebagai pasangan dan berkeluarga.
 
Jasad hanya sekadar "rumah" untuk ruh. Jasad hancur, ruh tidak hancur. Ruh inilah "diri kita" di hadapan Allah SWT, bukan jasad. Jasad adalah "diri kita" semasa kita hidup dan dari jasad inilah kita dikenali orang. Tetapi dalam kehidupan ini, ramai yang terlupa ruh, ramai yang sentiasa menjaga jasad,.kurang menjaga ruh. Bila jasad alami gangguan baharulah berusaha untuk membaiki ruh, dan mencari harapan daripada Tuhan.
 
Ketika menjadi "bekas" kita cuba mempercantikkan ruh, kerana sebelumnya kita banyak menghabiskan masa dan tenaga untuk mencantikkan jasad. Kita biasakan diri, berpakaian cantik dan malu dilihat orang kaoau berpakaian buruk, compang-camping dan kusut masai. Tetapi, tidak ramai yang malu dengan Allah SWT yang memiliki kita dan seluruh alam. Dia tidak meminta kita berpakaian cantik, tetapi hati mahu cantik, jiwa sentiasa mengingati dan bersyukur kepada-nya.
 
Di situ kita mula mengerti apa yang tidak kita mengerti, tetapi sebenarnya masih banyak yang belum kita mengenali dan 'tidak akan mengerti". Kata para sufi, apa yang ada pada kita bukan hanya setitik, bahkan kurang darinya. Dari setitik itu ramai yang berkata: Saya tahu sebab saya baca dan amati. Walhal, ibarat kata ahli sufi, sebatang buluh jangan dicuba mengukur dalamnya lautan. Sekepal garam tidak mampu memainkan air sekolah.
 
Jalaludin Rumi, ketika bertemu dengan Syamsudin al-Tabrizi pernah berkata " Engkau tidak akan mengerti" tatkala ditanya apa yang sedang dilakukan. Syamsudin kemudian mengambil kitab yang sedang dibaca oleh Rumi, lalu melemparkannya ke kolam penuh air.Jalaludin cuba memungutnya, dihalang oleh Syamsudin. Akhirnya, Syamsudin mengumpulkan helaian demi helaian kitab itu.
 
Rumi kehairanan melihat helaian-helaian yang dipungut kembali itu tidak basah. Lalu, Syamsudin berkata dengan perkataan yang Rumi pernah katakan: "Kamu tidak akan mengerti".
 
Begitu juga kita dengan Tuhan. Sebijak mana pun kita, belum mampu untuk mengungkap rahsia Tuhan, kerana Allah itu Maha Mengetahui. Jadi, dalam hidup ini tidak perlulah kita mendabik dada, faham teori dan faham ilmu, pakar itu dan pakar ini.
 
Cukuplah sekadar berkata, hanya sedikit sahaja yang saya ketahui, kerana saya adalah manusia yang terbatas akal dan terbatas pengetahuan. Dalam keterbatasan itulah kita tidak perlu berhenti untuk belajar, sebab kita diminta untuk belajar sehingga ke liang lahad.tetaoi, janganlah mengundur, semakin lama belajar semakin bodoh walaupun Hamka pernah berkata: Ketika saya membaca sebuah buku, saya rasakan saya banyak tahu. Bila saya membaca lebih banyak buku, saya mula merasakan saya makin banyak tidak tahu.
 
Maksud Hamka bahawa semakin banyak kita membaca, semakin banyak perkara yang perlu kita tahu. Semakin banyak membaca semakin banyak persoalan yang perlu kita cari jawapannya, kerana ilmu itu sentiasa berkembang dan berubah, kerana ilmu itu tidak bersifat kekal dan abadi. Ia sangat bergantung kepada manusia yang memerhati dan mencerapnya. Seperti ilmu tentang bumi dan cakerawala.
 
Awalnya sesiapa yang berjaya bumi ini bulat dan mengiringi matahari akan menerima akibat yang fatal. Hari ini, ia sudah menjadi pengetahuan umum yang kalau nak dipertikaikan, perlu ada teori yang jelas dan boleh dipertanggungjawabkan. Kita perlu sedar, wakauounsains berjaya merumuskan bahawa air itu terdiri dari atom hidrogen dan mereka belum nasuha menghasilkan air. Begitu jua, kemajuan sains dalam pengklonan, walaupun sudah ada "rahim buatan" mereka tidak akan mampu mencipta nyawa.
 
Biarpun sains berjaya mencipta anak ayam sehingga tidak lagi perlu benih pejantan untuk mengeluarkan telur, telur itu tidak dapat menghasilkan anak ayam. Anak ayam tetap memerlukan telur yang berasal dari cantuman dua jenis benih yang disenyawakan: X dan Y, dari betina dan jantan. Sebab itu kata ahli sufi, ada benih dalam diri seseorang: benih sebuawa dan benih campuran. Benih campuran ini akan menghasilkan zuriat, benih senyawa akan menumbuhkan kasih sayang, cinta dan harapan.
 
Benih senyawa inilah yang menjadi induk kepada keimanan dan kebangunan jiwa yang memenuhi janji primordial dengan Tuhan. Benih senyawa inilah yang akan membawa seseorang sama ada je Jalan Tuhan atau Jalan Setan. Benih senyawa boleh berubah, sekiranya dididik dengan tarbiyah dan pedoman yang baik, pedoman yang diajarkan oleh agama. Potensi menjadi "manusia suci" tetap ada, selagi seseorang itu mengenal dirinya sebagai seorang hamba, bukan majikan kepada dirinya sendiri.
 
Apa yang penting bagi kita yang sedang dan bakal menjadi bekas ialah " tidak ada kebingitan di luar. Kita dapat tidur lena, dan bila bangun dari tidur setiap kali kita buka jendela, angin pagi masuk dengan lembutnya. Jiwa jadi tenang, tidak perlu menjengok ke luar sebab bising tidak berlaku. "
 
Itulah ketenangan yang kita mahu, dalam ketenangan yang kita mampu menghening diri. Dalam proses menghening diri, kita mampu bertanya: kenapa aku lupa janji, janji primordial bahawa kita adalah hamba-Nya, dan teruslah berproses "tunaikan janji"; kerana Allah SWT tidak pernah mungkir janji.
 
Kita harus buang kepercayaan yang menghalangi kita memahami kebenaran. Buangkan kenyataan "air laut itu hijau" untuk kita tahu, air laut tidak pernah ada warna sejak laut itu ada. Kalau kita melihatnya air laut itu biru, maka ia bukan sebuah kebenaran, ia hanyalah kepercayaan berdasarkan cerapan dan kod warna yang kita kenal.
 
Kod itu terbentuk dari luar, tetapi sudah bersarang dalam diri sehingga kita menyatakan itu adalah kebenaran. Sebenarnya, ia adalah persepsi.
 
Ketika kita menjadi "BEKAS', bukan lagi untuk MENAKLUKI GUNUNG. Ketika kita adalah "BEKAS", kita wajib berlatih tanpa rasa jemu dan letih untuk "MENAKLUKI DIRI KITA SENDIRI." Dan, puncaknya adalah HATI. Ketika menjadi "bekas" inilah masa terbaik untuk membaiki jiwa spiritual, agar pengakhiran meraih husnul khotimah.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

043099
Hari ini: 227
Minggu Ini: 2,267
Bulan Ini: 9,214
Tahun Ini: 43,099
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.