SEBENARNYA AIDIL ADHA ITU APA?

SEBENARNYA AIDIL ADHA ITU APA?

 

Sewaktu kecil hanya ada dua hari raya yang diraikan dan dinantikan. Pertama Hari Raja Aidilfitri, yang dipanggil Hari Raya Puasa. Aidiladha pula dipanggil Hari Raya Haji. Oleh kerana orang yang pergi haji biasanya orang dewasa atau tua, maka ia dianggap sebagai perayaan untuk orang tua.
 
Di Hari Raya Haji, kanak-kanak tidak merasa meriah sebagaimana Hari Raya Puasa. Dua sebab kenapa kurang meriah: Hari Raya Haji tidak ada riuh rendah seperti Hari Raya Puasa. Hari Raya Puasa terasa meriah kerana ia dirayakan selepas sebulan menjalani ibadah puasa, dan kerana itu, seminggu sebelumnya, cukup ramai ayah ibu menghitung macam-macam, termasuk menu hidangan utama.
 
Hari Raya Haji tidak banyak persiapan dibuat, bahkan tidak ada aktiviti pasang lampu sepanjang jalan atau kawasan halaman rumah. Tidak ada ibu bapa yang risau anak-anak tidak berbaju baharu, kerana pakaian Hari Raya Puasa boleh dipakai kembali.
 
Hari Raya Haji meriah dengan jamuan terbuka ramai-ramai, kerana adanya korban lembu atau kambing. Korban itu adalah ibadat, dan dilaksanakan selepas sembahyang sunat Aidiladha sehingga Hari Raya ketiga. Itu bererti mood Hari Raya Haji sekadar tuah hari berbanding Hari Raya Puasa, sehingga berakhir bulan Syawal.
 
Setelah dewasa, kita pun tahu bahawa Hari Raya Puasa adalah lebih meriah kerana persiapan sebelumnya yang mungkin dua bulan sebelum puasa. Ia juga dirayakan sampai sebulan. Rumah terbuka juga banyak dibuat perang sehingga kita pun kadangkala tidak terkejar untuk menyahut undangan. Hujung minggu jalan jadi sesak di Kuala Lumpur, kerana banyak rumah terbuka.
 
Hari Raya Haji tidak ada rumah terbuka, kecuali tiga hari pertama bagi mereka yang melaksanakan ibadat korban. Selepas tiga hari, suasana jadi seperti hari-hari biasa. Namun, jalan+jalan utama ke Kuala Lumpur tetap sesak kerana "perantau" kembali merantau.
 
Tahun ini, ramai yang ambil cuti panjang. Ia kebetulan jatuh pada musim cuti sekolah. Turut bersambung dengan dua cuti umum, iaitu cuti Keputeraan Yang Di Pertuan Agong dan Hari Wesak. Orang Sabah dan Sarawak meraikan Hari Gawai Dayak (1 Jun 2026) dan Pesta Kaamatan (30 - 31 Mei 2026).
 
Kenapa Aidiladha seringkali dipanggil Hari Raya Korban dan juga Hari Raya Haji? Kenapa Aidiladha dikatakan sebagai perayaan orang tua? Lama-kelamaan, saya mula faham kenapa Aidiladha dijoloki sebagai Hari Raya Janji atau Hari Raya Korban. Dua istilah itu, korban dan haji adalah dua rukun yang terdapat dalam ibadah haji, yakni rukun Islam kelima. Rukun kelima yang wajib dilaksanakan oleh setiap orang Islam yang mampu, bukan sahaja dari segi kewangan bahkan persiapan mental dan upaya diri.
 
Namun, ada juga yang diajarkan kepada kita, walaupun kesihatan tidak mengizinkan tetapi dengan azam yang kuat, ibadat itu salaf dilaksanakan dengan bangunan orang lain. Ia mengingatkan kita kepada kisah Uwais al-Qarni untuk menunaikan hasrat ibunya, yang namanya tidak diketahui dengan jelas hanya tercatat sebagai Ummu Uwais (ibu Uwais) menunaikan haji.
 
Ummu Uwais mengalami lumpuh tetapi hidup dalam suasana penuh iman dan takwa. Uwais merupakan seorang hidupnya dengan kemiskinan dan sehariannya sebagai pengembala kambing. Namun, dua beranak itu cukup zuhud dan sangat mencintai Allah SWT.
 
Bahkan, ketika Nabi Muhammad SAW patah gigi semasa Perang Uhud, Uwais yang mendengarnya bertindak mengetuk giginya sehingga patah sebagai tanda "simpati" dan sayangnya kepada Rasulullah SAW. Beliau memeluk Islam pada zaman Rasulullah SAW, dan terus mengabdikan diri sebagai seorang hamba Allah SWT yang berserah kepada-Nya tanpa rasa prejudis. Beliau sangat teringin untuk menemui Rasulullah SAW, walau bagaimanapun, hasrat itu tidak kesampaian.
 
Uwais pernah berusaha untuk berjumpa dan berhasrat mendengar sabda baginda, tetapi tidak kesampaian. Uwais pernah meninggalkan ibunya untuk bertemu Rasulullah SAW di Madinah, setelah berjalan lebih 400 kilometer, sampai di rumah baginda, beliau hampa kerana Rasulullah SAW berada di medan perang. Oleh kerana tidak tahu bilakah Rasullullah SAW akan pulang, dan mengenangkan si ibu tinggal bersendirian, Uwais mengambil keputusan pulang ke Yaman.
 
Sekembalinya dari perang, Rasulullah diberitahu tentang seorang pemuda datang untuk bertemu, tetapi atas setianya kepada ibu, dia tidak sanggup menunggu lama. Setelah itu, Rasulullah memberitahu puterinya, Fatimah, bahawa pemuda itu adalah "penghuni langit", yang cukup kental imannya dan sangat menyayangi ibunya yang sudah tua, lumpuh dan buta. Juga dalam buku, Maulana Uwais Ahmed Akhtarul Paderi, Riwayat Hidup dan Peristiwa Pada Zaman Uwais al-Qarni, P.Jaya: The Biblio Press, cetakan ke-4, 2024).
 
Uwais menggendong ibunya berjalan kaki dari Yaman ke Mekah untuk menunaikan ibadat haji. Uwais tidak mampu membeli unta untuk membawa mereka berdua untuk perjalanan yang sangat jauh itu, ribuan kilometer (antara 1200 hingga 1500 kilometer dalam kiraan masa kini, dan ia bergantung lokasi di Yaman). Uwais bertekad tidak mahu menghampakan hasrat ibunya, lalu beliau mula melakukan persiapan mental dan tenaga untuk memenuhi niat ibunya. Uwais membeli seekor anak lembu. Anak lembu itu kemudian diletakkan di atas sebuah puncak bukit.
 
Setiap pagi, Uwais mendaki bukit itu untuk menjaga anak lembu. Ia menjadi latihan fizikal berbulan-bulan lamanya, sehinggalah Uwais merasakan ada kemampuan untuk melakukan perjalanan yang panjang itu. Selain perjalanan yang panjang, Uwais juga harus memikirkan bagaimana untuk menanggung beban di belakangnya, dan latihan mendaki bukit itu ikut disusuli dengan membawa beban yang dianggarkan menyamai berat ibunya dan barang-barang yang akan dibawa.
 
Ada riwayat mengatakan, Uwais berlatih mendaki bukit selama lebih lapan bulan, sehingga anak lembu yang ditempatkan dipuncak bukit mencapai berat 100 kilogram. Mungkin itu menjadi anggaran beban yang akan digalasnya nanti, yakni menyamai berat ibunya yang sudah tua dan lumpuh. Uwais juga mengalami masalah kulit, yakni berpenyakit sopak. Kisah Uwais itu membawa makna satu lagi bentuk pengorbanan yang menjadi pengajaran kedua terbesar dalam ibadat haji.
 
Pada musim haji tahun ini, tersibar video tentang jemaah haji yang uzur dikendung oleh anak atau saudara mara yang ikut bersama mengerjakan haji. Menariknya, ada komen menyifatkan " ramai Uwais'; mereka berkorban tenaga dan sanggup berhadapan dengan cabaran menunaikan hasrat orang tua yang uzur untuk memenuhi rukun Islam kelima itu.
 
Pengorbanan pertama ialah kisah Nabi Ibrahim AS yang dengan rela sanggup mengorbankan anaknya, Nabi Ismail AS setelah mendapat perintah dari Allah SWT. Nabi Ismail AS yang ketika itu menginjak remaja tidak sedikit pun membantah apabila ayahnya menyatakan perintah tersebut. Bayangkan, Nabi Ibrahim AS yang mendapat cahaya mata ketika berusia 86 tahun dan isterinya, Hajar. Ketika berkahwin dengan Nabi Ibrahim, Hajar dikatakan masih muda dan lebih muda daripada isteri pertama, Sarah. Namun tidak ada riwayat tentang umur Hajar ketika berkahwin dengan Nabi Ibrahim.
 
Apa yang kita dapati ialah Nabi Ibrahim tidak pernah berhenti berdoa agar dikurniakan zuriat, dan sangat mengharapkan agar zuriat itu menjadi penyambung generasi. Setelah mendapat zuriat pertama, Nabi Ismail, Nabi Ibrahim tidak lama kemudian dikurniakan seorang lagi anak, dan kali ini menerusi isteri pertama, Sarah yang dikatakan juga sudah berusia. Anak itu ialah Ishak, yang kemudian diangkat menjadi Nabi Ishak, yang dipanggil Isaac oleh penganut Yahudi. Ishak pula mendapat zuriat dan dinamakan Yaacob, yang kelak menjadi Nabi Yaacob (Jacob), dan menjadi simbol kepada kelahiran bangsa Israel.
 
Kisah pengorbanan Nabi Ismail setiap kali khutbah Aidiladha menjadi kisah yang diungkapkan tentang pengorbanan, ketaatan dan memenuhi perintah Allah SWT. Ia bukan sekadar cerita lagenda, sebaliknya membawa makna bahawa pengorbanan sentiasa dituntut dalam kehidupan umat Islam. Ia meliputi pengorbanan terhadap apa yang kita ada untuk membolehkan fakir dan miskin merasai apa yang mereka tidak mampu. Ia bukan bermakna pengorbanan itu hanya sekadar menyembelih binatang ternakan pada hari Tasyrik.
 
Kalau bulan Ramadhan sebagai pengorbanan terhadap nafsu, maka dalam ibadat haji membawa pengorbanan puncak yang menjadi titik tolak keimanan seseorang terhadap rahmat yang Allah SWT berikan. Kita berkorban emosi, dengan tidak merasa marah, bosan, benci dan iri hati bila melihat sesuatu yang buruk berlaku. Kita menjadi seorang yang penyabar, dan juga seorang dermawan. Kita bersedia bersedekah tanpa kita rasa perlukan promosi sedangkan kedermawanan seseorang cukup tidak ikhlas bila mencari publisiti media dalam bulan Ramadhan.
 
Ketika mengharapkan peroleh haji mabrur setelah melakukan pertaubatan, memohon keampunan dan hapuskan dosa-dosa silam. Namun, setelah kembali daripada mengerjakan haji, ramai yang dilihat cukup alim dan berubah dalam tempoh beberapa minggu. Setelah masa berlalu, ada yang kembali kepada tabiatnya yang lama, tabiat yang tidak menepati Amar Makruf Nahi Mungkar. Kehidupan p@enuh dengan "menarik" pada untaian kata-kata tetapi melangkaui moral kehidupan "insan yang suci' walaupun sudah merasakan "disucikan" dalam ritual ibadat haji.
 
Sudah lupa pada makna tawaf mengelilingi Ka'bah, wukuf, saei, melontar (menghalau syaitan) dan sebagainya. Maka, ibadat haji itu seumpama kembara rohani, yang tujuannya membaiki jiwa dan nuraini ke Jalan Allah. Tetapi, kerana setelah kepulangan ke tanah air tidak banyak mengubah tabiat dan perilaku, ianya hanyalah sekadar pelancongan spiritual, tidak membawa kepada kelahiran "insan yang suci'".
 
Tentunya, "insan yang suci'" seumpama "bayi", suci dosa silam dan berada dalam batasan diri, dekat dengan perintah Allah SWT. Ramai yang berkata: bagaimana boleh diibaratkan sebagai bayi sedangkan diri sudah dewasa? Bayi tidak ada tanggungjawab, tetapi kita sentiasa dihadapkan dengan tanggungjawab: kepada diri, kepada ahli keluarga, kepada masyarakat, kepada negara, dan terbesar adalah kepada-Nya.
 
"Kami ke sini, atas janji-Mu; juga kerana rasa tanggungjawabku dalam memenuhi seruan-Mu.
 
Kami ke sini, tidak mahu berpisah dengan-Mu, dalam hati, fikir dan Nurani. Engkaulah yang menentukan, apa yang akan kuhadapi sekembalinya nanti: Engkau yang kuharapkan, dalam sedar dan lena. "
 
Sebenarnya, kami sedang diuji dengan kesabaran kerana pengorbanan itu juga adalah sisi-sisi terbesar dalam kamus kesabaran. Tanpa kesabaran, tidak ada pengorbanan. Umpama dalam perkahwinan, dengan pengorbanan emosi, ego ia akan membentuk "kebahagiaan" kerana 'kebahagiaan" hadir setelah kita berusaha menjadi seorang yang penyabar dan tidak berkelakuan untuk memenuhi tuntutan ego sendiri.
 
Lantunan itu mengibnatkan pada sebuah puisi harapan Jalaludin Rumi:
"Semalaman aku bersumpah
kusangkakan sampah demi hidup-Mu
Aku tidak akan berpaling pandang dari wajah-Mu
Bila Engkau memukul dengan pedang
aku tidak akan berganjak dari-Mu
Aku tidak akan mencari sembuh dari yang lain
kepedihanku ialah kerana berpisah dengan-Mu
Bila Engkau akan melemparkan aku ke dalam api
aku bukan Mukmin bila berdengki
Aku bangkit dari jalan-Mu
bagi debu
kini aku kembali
ke debu jalan-Mu."
 
"Sumpah Setia", dari Kasidah Cinta Jalaludin Rumi, Yogyakarta: Narasi-Terawang Press, cetak kedua, 2026, hal.213-214).

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

045917
Hari ini: 335
Minggu Ini: 2,327
Bulan Ini: 12,032
Tahun Ini: 45,917
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.