Perakuan daripada kelompok-kelompok manusia Muslim berautoriti di Malaysia ini—yang pastinya mewakili kalangan akar umbi khalayak umat Islam secara keseluruhan—adalah sudah jelas menunjukkan bahawa mazhad atau aliran ASWJ yang berasaskan aliran Asha'irah dalam hal ehwal akidah, al-Shafi'iyyah dalam fekah dan al-Ghazali dalam hal ehwal tasawuf mestilah dijadikan paksi pegangan dan amalan seluruh umat dalam kehidupan harian mereka. Perakuan-perakuan tersebut sebenarnya diputuskan dengan mengambil kira serangan-serangan bahaya daripada pemikiran dan amalan yang bercanggah dengan ASWJ yang sekali gus mengancam dan menggugat kestabilan dan perpaduan ummah.
Ditinjau lebih jauh dalam kerangka ini (JAKIM, Kertas Dasar Pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah (ASWJ) Sebagai Aliran Arus Perdana Di Malaysia, 8-13), maka boleh dicatatkan bahawa berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, terdapat beberapa negeri yang memperuntukkan dengan jelas bahawa Islam yang diamalkan di negeri tersebut adalah berdasarkan mazhab Ahli Sunnah wal-Jamaah seperti Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan. Malahan Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan dengan jelas menyatakan bahawa Ahli Sunnah wal-Jamaah adalah berdasarkan pegangan Abu Hasan al-Asy’ari dan Abu Mansur al-Maturidi. Antara contoh adalah seperti berikut:
a. Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah: Article 33A. Religion Of State: “The Religion of the state shall be the Muslim Religion of Ahli Sunnah wal-Jamaah as heretofore professed and practiced in the state”
b. Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis: Article 5. Religion of the State: “ The Religion of the State shall be the Ahli Sunnah wal-Jamaah as heretofore professed and practiced in the state”
Negeri Perlis juga menerusi fatwa yang bertarikh 13 Mac 1988 juga telah mendefinisikan Ahli Sunnah wal-Jamaah seperti berikut: “kumpulan orang Islam yang berpegang kepada al-Quran, as-Sunnah dan pendapat para sahabat yang bersepakat di atas kebenaran yang nyata dari Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah SAW”
c. Undang-Undang Negeri Kelantan: Perkara 9 (1) : “Apakala Takhta Kerajaan Kelantan itu tertinggal kosong……………….., maka wajiblah di atas Majlis Perajaan Negeri memilih dan melantik mana-mana seorang menjadi Raja :
Dengan syarat bahawa orang yang hendak dipilih dan dilantik itu hendaklah seorang lelaki yang cukup umur, sempurna akal, daripada bangsa Melayu dan diperanakkan di dalam Negeri Kelantan, daripada bapanya yang juga telah diperanakkan di dalam Negeri Kelantan, rakyat Raja yang dahulu, beragama Islam bermazhab Ahlus Sunnah wal-Jamaah…….”
Perkara 4 (1) “Ahlus Sunnah wal-Jamaah maknanya ialah mazhab Abu Al-Hassan Al-Asha’ri dan Abu Mansoor al-Maturidi dan orang yang mengikut jejak langkah keduanya”.
Terdapat beberapa enakmen negeri yang menyebutkan tentang Ahli Sunnah wal-Jamaah seperti:
a. Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 Negeri Perlis: Seksyen 46. Jawatankuasa Fatwa : (2) Jawatankuasa hendaklah terdiri daripada : (c) Enam orang lain yang beragama Islam Ahli Sunnah wal-Jamaah, termasuk tidak lebih daripada tiga orang anggota Majlis yang dilantik oleh Majlis.
b. Enakmen Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994 : Seksyen 37. Rujukan yang mesti diikuti: (2) Jika Majlis atau Jamaah Ulama' berpendapat bahawa qaul yang muktamad dari Mazhab Syafie boleh membawa kepada keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, Majlis atau Jamaah Ulama' bolehlah dengan keizinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan mengikut qaul dari mana-mana Mazahab Islam yang muktabar, kecuali dalam perkara-perkara yang bersangkutan dengan akidah, maka qaul Ahli Sunnah wal-Jamaah hendaklah diikut.
c. Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 Negeri Pahang: Seksyen 18. Buku, Majalah dsb Dalam Kawalan dan Simpanan: “Mana-mana orang yang ada dalam kawalannya, simpanannya atau padanya buku, majalah, dokumen atau surat yang mengandungi ajaran, fatwa atau penetapan yang bertentangan dengan Ahli Sunnah wal-Jamaah atau dengan mana-mana fatwa yang telah sah dikeluarkan dalam Negeri Pahang melakukan satu kesalahan………….”
Ahli Sunnah wal-Jamaah yang dimaksudkan dalam enakmen-enakmen ini boleh ditafsirkan sebagai aliran Asya’irah dan Maturidiyyah apabila dirujuk kepada Undang-Undang Negeri, Enakmen Pentadbiran Agama Islam, keputusan-keputusan fatwa, warta serta peraturan tauliah di beberapa buah negeri. Antara keputusan dan peraturan yang menjelaskan bahawa Ahli Sunnah wal-Jamaah ialah mazhab Asya’irah dan Maturidiyah:
a. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003: Adalah ditetapkan bahawa umat Islam di Negeri Johor Darul Takzim hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah wal-Jamaah, segi akidah berpandukan kepada mazhab Imam Abu Hasan Al-Ashari dan Abu Mansur Al-Maturidi, syariat berpandukan kepada mazhab Imam Syafie. Walaubagaimanapun tiga mazhab yang muktabar iaitu Al-Hanafi, Al-Maliki, Al-Hanbali boleh dirujuk dan digunakan dalam menyelesaikan masalah-masalah tertentu dan dari segi tasawuf hendaklah berpegang dengan Imam Junaid Al-Baghdadi dan Imam Al-Ghazali. Walaubagaimanapun mazhab tasawuf muktabar yang lain boleh diamalkan selagi ianya tidak bertentangan dengan mazhab Ahli Sunnah wal-Jamaah.
b. Warta Kerajaan Negeri Kedah bertarikh 10 November 2016: “Adalah ditetapkan bahawa umat Islam di Negeri Kedah Darul Aman hendaklah mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah wal-Jamaah yang diamalkan sejak dahulu hingga sekarang berdasarkan perkara 33A Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah Tahun 1959 seperti berikut: (a) Dari segi aqidah, berpandukan kepada manhaj Imam Abu al-Hassan al-Asy’ari dan Abu Mansur al-Maturidi”.
c. Warta Kerajaan Negeri Johor bertarikh 25 Oktober 2016 : “Adalah ditetapkan bahawa umat Islam di Negeri Johor Darul Takzim hendaklah hanya mengikuti ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah wal-Jamaah, dari segi akidah berpandukan kepada mazhab Imam Abul Hassan al-Asy’ari dan Abu Mansur al-Maturidi, Syariat berpandukan mazhab Imam Syafie, walaubagaimanapun tiga mazhab yang muktabar iaitu al-Hanafi, al-Maliki, al-Hanbali boleh dirujuk dan digunakan dalam menyelesaikan masalah tertentu dan dari segi tasawuf hendaklah berpegang dengan Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali. Walaubagaimanapun mazhab tasawuf muktabar yang lain boleh diamalkan selagi ianya tidak bertentangan dengan mazhab Ahli Sunnah wal-Jamaah”.
d. Peraturan Tauliah mengajar Negeri Pahang: “Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991: Kaedah-Kaedah Masjid 1998 : Kaedah 21.B (ii) Hendaklah mengajar mengikut akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah aliran Asya’irah dan Maturidiyah”.
Berdasarkan kepada Undang-Undang Kerajaan Kelantan, warta dan fatwa oleh beberapa Kerajaan Negeri serta peraturan tauliah di beberapa negeri, jelas menunjukkan bahawa arus perdana Ahli Sunnah wal-Jamaah di Malaysia adalah merujuk kepada mazhab Asya’irah dan Maturidiyah
Keautoritian Ahli Sunah Waljamaah sebagai mazhab ‘Rasmi’ juga dapat dilihat dalam aspek perjawatan dalam organisasi agama Islam, sama ada badan kerajaan mahupun profesional. Negeri Perlis dan Johor adalah negeri yang mensyaratkan para peguam Syarie mestilah berakidah dengan Ahli Sunah Waljamaah menerusi seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah Negeri Perlis 1991 dan kaedah 9 iaitu kaedah-kaedah peguam Syarie Johor 1982 (Rehman, J 2000). Berbanding dengan negeri yang lain seperti Wilayah Persekutuan yang hanya sekadar mensyaratkan beragama Islam. Manakala Selangor tidak menyatakan sebarang syarat bersifat agama bagi peguam syarie. Selain itu, perlantikan tujuh ahli Mahkamah Rayuan Syariah di negeri Perlis disyaratkan berpegang dengan fahaman Ahli Sunah Waljamaah. Bagi negeri Kelantan telah menetapkan syarat untuk menjadi ahli Majlis Agama dan Istiadat Melayu Kelantan mestilah seorang Islam yang berakidah Ahli Sunah Waljamaah (Ezad Azraai et. al 2011).
Seterusnya dalam seksyen 26 kaedah-kaedah Pentadbiran Undang-undang Islam Wilayah Persekutuan telah mensyaratkan bagi ‘Pentauliahan mengajar agama Islam’ 2006 dinyatakan bahawa setiap guru agama yang telah diberikan tauliah kebenaran untuk mengajar agama Islam, mestilah tidak mengajar atau berdakwah sebarang ajaran yang bertentangan dengan Ahli Sunah Waljamaah. Di samping itu, para guru juga tidak dibenarkan menghina perkara khilafah yang terdapat dalam empat mazhab dalam Ahli Sunah Waljamaah. Daripada dua perkara ini, (pentauliahan mengajar agama Islam dan tidak dibenarkan menghina perkara khilafah) menjelaskan bahawa Dewan Undangan Negeri dan Parlimen mempunyai niat untuk mendefinisikan Islam sebagai Ahli Sunah Waljamaah. Peruntukan ini juga menguatkan lagi bahawa mazhab dan ajaran selain Ahli Sunah Waljamaah tidak diiktiraf oleh mana-mana perundangan Islam bertulis di Malaysia. Bagi mengukuhkan pernyataan ini, kedudukan Ahli Sunah Waljamaah perlu disabitkan ke dalam kes-kes yang diputuskan oleh Mahkamah di Malaysia (Nurjaanah Abdullah 2007).
Mahkamah Sivil dan Syariah turut mengiktiraf mazhab ASWJ sebagai asas dalam kerangka perundangan di Malaysia. Di mahkamah syariah mengutamakan mazhab ASWJ sebagai asas perundangan Islam. Manakala bagi mazhab dan ajaran yang lain tidak mendapat tempat dalam kerangka perundangan Islam di Malaysia (Joseph, A.L.R 2009). Sebagai contoh dalam kes Pendakwa v Abd. Talib bin Harun. Tertuduh telah dituduh menjalankan perbuatan yang bertentangan dengan Hukum Syarak iaitu berkahwin secara Mut’ah, menyebar ajaran sesat, menerima zakat serta mengajar tanpa tauliah. Tertuduh telah dituduh di bawah seksyen 85, 153, 162 dan 165 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor 1978. Bagaimanapun, tertuduh mengaku bahawa beliau adalah pengikut ajaran Syiah Imamiah yang membenarkan perkahwinan mut’ah. Justeru, kes ini disabitkan juga di mahkamah syariah di Malaysia walau bagaimanapun kes ini digugurkan atas sebab tiada bahan bukti yang kukuh. Daripada penghakiman kes ini, jelas menunjukkan undang-undang syarak yang ditegakkan di Malaysia adalah ASWJ. Mana-mana pihak yang mendakwa menganut mazhab selainnya, adalah tertakluk kepada perundangan Islam di Malaysia. Ini bermaksud sekiranya perkahwinan itu dilaksanakan di bawah hukum ajaran Syiah, ia tetap juga perlu didaftarkan di bawah undang-undang di Malaysia. Daripada kes ini, mahkamah menegaskan bahawa tindakan mahkamah yang membuat keputusan dan hukum tidak harus difahami sebagai suatu penentangan terhadap mana-mana mazhab tertentu, tetapi tindakan ini kepada orang Islam yang melanggar peruntukan undang-undang syarak yang dikuatkuasakan di setiap negeri (Kirby, M 2008).
Manakala di mahkamah sivil, perbicaraan tentang mazhab ASWJ yang digunakan di Tanah Melayu bermula semenjak tahun 1918 Masihi. Ketika itu, hakim-hakim Inggeris sudah menyedari dan mengiktiraf mazhab yang digunapakai di Tanah Melayu. Mahkamah sivil menolak autoriti kes Banoo Begum v Mir Abed Ali memandangkan kes ini diputuskan mengikut mazhab Syiah. Mahkamah menyatakan bahawa kes ini boleh memberi kesan sekiranya pembuat wasiat adalah seorang yang bermazhab Syiah, tetapi tidak memberi kesan kepada seorang Melayu yang bermazhab Shafie yang merupakan sebahagian daripada mazhab ASWJ (Cooray, A 2000).
Pemakaian mazhab ASWJ yang lain selain Shafie adalah diterima dalam perkara-perkara yang melibatkan orang Islam. Para ulama menyatakan bahawa semua umat Islam boleh memilih untuk mengikuti mana-mana empat mazhab, yang mereka cenderung dalam melaksanakan kewajipan agama. Sama ada diamalkan sebahagian atau sepenuhnya. Ini memandangkan keempat-empat mazhab ini tergolong dalam ASWJ (Harding, A 1996).
Karean, V. S (2006) dan Nurjaanah Abdullah (2007) menyatakan bahawa Islam yang dijadikan sebagai Agama Persekutuan sebenarnya adalah Islam Ahli Sunah Waljamaah. Perkara ini telah diterangkan oleh statut-statut Enakmen Pentadbiran Islam Negeri-negeri di Malaysia menyatakan Ahli Sunah Waljamaah sebagai dasar dan kerangka kepada perundangan Islam. Persoalannya, sejauh mana kumpulan mazhab minoriti selain Ahli Sunah Waljamaah, walaupun masih Muslim, mempunyai hak penyebaran mazhab dan ideologi mereka?
Bersambung....
