Kebebasan Beragama
Apabila membincangkan isu kebebasan beragama ia meliputi tiga aspek yang perlu diberikan perhatian iaitu hak menganut, mengamal dan mengajar agama berkenaan. Menurut Taylor, P.M (2006) di bawah komponen pengajaran agama, wujud hak penyebaran agama atau dakwah kepada individu dan kelompok lain. Kebebasan beragama adalah suatu yang dijamin oleh Perkara 18 Universal Declaration of Human Rights (Deklarasi Hak Asasi Manusia Antarabangsa) dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan di Malaysia. Walaupun Islam agama Persekutuan sebagaimana yang dinyatakan dalam Perkara (3) Perlembagaan Persekutuan, berdasarkan peruntukan ini, kelihatan bahawa setiap seorang bebas untuk memilih apa-apa mazhab, ajaran dan ideologi dalam Islam. Tiada peruntukan undang-undang yang menghalang seseorang itu berbuat sedemikian, melainkan apabila mazhab dan ajaran tersebut diisytiharkan sebagai ajaran sesat. Perlu diketahui bahawa terdapat perbezaan antara ajaran Islam yang benar (Ahli Sunah Waljamaah) dan kumpulan minoriti ajaran yang dikategorikan sebagai ajaran sesat serta kumpulan minoriti ajaran yang masih Muslim tetapi tidak berpegang dengan mazhab ASWJ.
Di Malaysia, terdapat sekatan perundangan terhadap aktiviti penyebaran agama kepada orang Islam. Harding, A (1996) menyatakan Perkara 11 secara jelas menggariskan perbezaan antara mengamalkan agama dan menyebarkan agama. Perkara 11 ini jugalah yang menggambarkan konsep kebebasan beragama di Malaysia tidak bersifat mutlak, dan ia bersyarat, sebagaimana yang telah dilakukan di Barat. Ini bermakna kebebasan beragama di Malaysia tidak meliputi semua bentuk dan aktiviti keagamaan. Menurut Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan, kebebasan beragama tertakluk di bawah Fasal 4: ‘Undang-undang Negeri serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Undang-undang persekutuan mengawal atau menyekat pengembangan apa jua doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganuti agama Islam’. Di samping itu, Perkara 11 ini hanya memberikan kebebasan untuk menganut apa-apa kepercayaan, kefahaman dan agama, tetapi tidak boleh menyebarkan sebarang mazhab dan ajaran yang bertentangan dengan ASWJ kepada orang Islam. Ini bermakna sebarang penyebaran agama selain Islam mazhab ASWJ adalah dilarang. Sekatan ini meliputi ajaran dan mazhab yang bertentangan dengan ASWJ.
Memandangkan peruntukan perlembagaan bersifat umum, justeru wajar ia dijelaskan sebagai umum merangkumi semua jenis agama, mazhab atau ajaran dalam sesuatu agama. Harding, A (2002) menyatakan bahawa peruntukan Perkara 11 (4) turut melibatkan mana-mana individu Muslim atau tidak, agama selain Islam ataupun kumpulan dalam Islam itu sendiri. Selain itu, Perkara 11 (5) apa jua agama, kepercayaan, ajaran dan iktikad yang boleh mengancam keselamatan awam, kesihatan dan moral tidak boleh diamalkan di Malaysia dan boleh dianggap sebagai satu kesalahan serta dikenakan tindakan undang-undang.
Nasir Disa (2013) menyatakan bahawa kawalan perundangan terhadap kebebasan menyebarkan agama perlu dalam konteks di Malaysia. Hakim Raja Azlan Shah dalam kes Prosecutor v Ooi Kee Saik (Perlembagaan Persekutuan 1995) menyatakan seperti berikut:
‘Tidak boleh terdapat keadaan membenarkan kebebasan mutlak atau tanpa kawalan yang keseluruhannya bebas dari sekatan; kerana ini akan menjurus kepada kacau-bilau. Pemilikan semua hak adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang munasabah yang dianggapkan sebagai penting kepada keselamatan, kesihatan, keamanan dan ketenteraman awam dan moral masyarakat. Apa yang cuba dilakukan oleh Perlembagaan dalam mengisytiharkan hak-hak rakyat ialah mengimbangkan antara kemerdekaan individu dan kawalan sosial’
Daripada kenyataan di atas, menunjukkan bahawa sekatan kebebasan beragama tidak menyentuh kepada anutan dan amalan, tetapi hanya menghalang sebarang aktiviti penyebaran terhadap orang Islam sahaja. Jika ajaran, ideologi dan mazhab itu disebarkan kepada bukan Islam, maka tindakan undang-undang tidak boleh diambil. Menurut Kirby, M (2008) bahawa sekatan kepada beragama adalah suatu yang sah. Perkara ini disebut dalam Konvensyen Antarabangsa Tentang Hak Sivil dan Politik 1976 (International Covenant on Civil and Political Rights – ICCPR):
‘Article 18 (3): Freedom to manifest one’s religion or beliefs may be subject only to such limitations as are prescribed by law and are necessary to protect public safety, order, health or morals or the fundamental rights and freedoms of others’
Walaupun, peruntukan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan selari dengan ICCPR, namun Malaysia tidak menandatangani ICCPR. Justeru, peruntukan perundangan yang menghalang penyebaran agama kepada Muslim tidak dianggap sebagai ketidakpatuhan kepada konvensyen tersebut. Selain itu, sekiranya terdapat penyebaran agama bukan Islam kepada Muslim dan juga kawalan negeri terhadap dakwah dalam ajaran Islam adalah bertujuan untuk mengekalkan kestabilan masyarakat. Walaupun peruntukan ini dilihat bermasalah kerana bercanggah dengan konsep kebebasan beragama, namun tujuan peruntukan ini adalah untuk mengekalkan kestabilan masyarakat di Malaysia yang begitu sensitif dengan penyebaran agama lain ataupun mazhab selain ASWJ berpotensi untuk menjejaskan keselamatan negara dan keharmonian kaum. Sebagai contoh kes pengharaman kumpulan al-Arqam yang difatwakan sebagai terkeluar daripada mazhab ASWJ. Pengikut al-Arqam telah ditahan dua kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada tahun 1994 dan 1996 kerana menjejaskan keselamatan negara (Nurjaanah Abdullah 2007). Contoh kes Hajah Halimatunsaadiah bte Hj. Kamaruddin v Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia menyatakan mahkamah telah membenarkan hak seseorang itu untuk mengamalkan tuntutan agamanya sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan tetapi mempunyai had batasan iaitu tidak boleh menjejaskan keselamatan awam. Walaupun kes ini tidak membincangkan tentang hak menyebarkan agama, namun mahkamah secara jelas membuktikan bahawa kebebasan beragama hanyalah tertakluk kepada kepentingan awam dan keselamatan negara. Justeru, prinsip perundangan ini turut mentadbir hak penyebaran mana-mana agama dan ajaran (Ezad Azraai et.al 2011).
Di samping itu, Coalition of Malaysian NGO’S (COMANGO) iaitu gabungan NGO liberal dan anti Islam Malaysia yang menghantar laporan kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk melobi negara-negara dunia supaya menekan Malaysia agar menerima tuntutan mereka, antaranya ialah (Azril Amin 2014); (Nasharuddin Mat Isa 2014):
i Kebebasan untuk murtad.
ii Menghalalkan seks songsang (LGBT).
iii Menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu.
iv Memaksa tafsiran perkauman menurut sekular liberal Barat.
v Menghapuskan kesalahan jenayah syariah.
vi Menuntut perterjemahan ‘God’ kepada Allah oleh Kristian Katolik di Malaysia.
vii Menuntut kebebasan beragama bagi ajaran sesat juga Syiah di Malaysia.
viii Menuntut agar mana-mana ibu bapa yang memeluk Islam tidak diberi hak penjagaan anak.
Berkaitan dengan isu ini terdapat beberapa peruntukan hak asasi manusia yang perlu ditandatangani oleh setiap negara. Satu konvensyen telah diadakan di Geneva pada tahun 2013 adalah bertujuan untuk menandatangani Deklarasi Hak Asasi Manusia yang diwakili oleh setiap negara termasuk Malaysia. Cadangan menantadatangani deklarasi mendapat tentangan hebat daripada negara-negara OIC di seluruh dunia. Menurut Azril Amin (2013) dan Shamrahayu Abdul Aziz (2014) menyatakan isu yang dibawa oleh COMANGO ini berakarkan daripada liberal dan sekular bertujuan untuk merosakkan akidah masyarakat Islam. Isunya apabila sesebuah negara menandatangani Deklarasi Hak Asasi Manusia yang terdiri daripada beberapa fasal hak asasi manusia ia akan membawa kepada kerosakkan sesebuah negara. Ini kerana fasal-fasal yang terdapat dalam Deklarasi adalah bertentangan dengan fitrah manusia. Dalam hal yang berkaitan, COMANGO mengambil kesempatan mengemukakan perkara berikut:
i Mempromosikan hak-hak manusia.
ii Mengasingkan agama daripada masyarakat.
iii Politik berkembang bebas daripada agama.
Apabila sesebuah negara itu telah menandatangani Deklarasi tersebut, secara automatik negara tersebut bebas melakukan apa sahaja perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam. Dalam kawasan Asia Tenggara setakat ini hanya Thailand yang telah menandatangani fasal-fasal yang berada di dalam Deklarasi itu, antaranya ialah hak kebebasan transeksual. Ini bermakna amalan lesbian, gay, transeksual dan biseksual (LGBT) bebas dilaksanakan di Thailand. Ini merupakan hak asasi manusia yang telah terkeluar daripada fitrah manusia itu sendiri (Azril Amin 2013; Nasharuddin Mat Isa 2014).
Kebebasan beragama mempunyai dua jenis iaitu forum internum dan forum externum. Forum internum bermaksud kebebasan untuk menganut dan bersifat mutlak dan dijamin oleh semua perlembagaan dan konvensyen antarabangsa. Manakala forum externum adalah amalan atau manifestasi agama yang melibatkan pihak lain di tempat awam (Vickers, L 2008). Scharffs (2011) pula menyatakan forum externum merangkumi semua bentuk ibadah, pengajaran, penyebaran dan amalan agama. Aktiviti penyebaran agama termasuklah menyediakan bahan bertulis dan bercetak untuk tujuan dakwah. Forum externum adalah hak yang tidak diberikan sepenuhnya, malah pihak kerajaan atau badan perundangan boleh menyekatnya. Justeru, apa-apa manifestasi agama adalah tertakluk kepada mana-mana perundangan boleh disekat. Sebarang penyebaran dan pengajaran agama kepada individu atau kumpulan di mana-mana tempat sama ada di rumah ibadah, sekolah, Institut Pengajian Tinggi Awam / Swasta (IPTA/IPTS) dan rumah perlulah mengikut lunas undang-undang yang wujud di sesebuah negara.
Selain itu, sekatan boleh dibuat berasaskan kepada justifikasi untuk menjaga keselamatan awam, moral, kesihatan dan lain-lain. Menurut Breams (2006) undang-undang sekatan itu mestilah benar-benar boleh bertindak sebagai pelindung kepada semua perkara yang disebut keselamatan awam, moral dan kesihatan. Oleh itu, perundangan terbukti sebagai suatu yang perlu. Sehubungan itu, berdasarkan hujah-hujah ini sekatan undang-undang terhadap penyebaran ideologi dan ajaran kumpulan Muslim minoriti adalah sah dan merupakan suatu amalan yang diterima oleh masyarakat antarabangsa. Jika diteliti pada semua konvensyen antarabangsa berkenaan hak kebebasan beragama, semuanya memberikan kebebasan beragama kepada setiap individu (forum internum) tetapi membenarkan undang-undang untuk menyekat mana-mana bentuk manifestasi (forum externum) yang menjejaskan keselamatan awam, moral dan kesihatan serta hak asasi yang lain. Menurut Rehman, J (2000) sebarang keganasan terhadap kumpulan minoriti agama dan pelanggaran hak ke atas mereka bukanlah suatu kesan daripada pemakaian perundangan Islam. Sebaliknya keadaan keganasan itu kesan daripada situasi politik dan perlembagaan sesebuah negara yang tidak efektif dalam mempertahankan hak beragama rakyatnya. Jelasnya, apa yang diamalkan dalam perundangan di Malaysia adalah tidak bercanggah dengan konvensyen antarabangsa berkenaan hak kebebasan beragama kerana amalan di Malaysia termasuk di bawah forum externum sebagai yang dimaksudkan oleh konvensyen. Apa yang menjadi kebimbangan pendokong sekularis amalan ini akan mencambahkan trend Islamisasi dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Ini adalah implikasi yang begitu ditakuti oleh para pendukung sekularis yang berterusan berhujah bahawa Islam hanyalah agama ritual di Malaysia.
Bersambung...
