SIRI 13 - PENGHAYATAN DAN PENGUKUHAN AKIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH (ASWJ)

SIRI 13 - PENGHAYATAN DAN PENGUKUHAN AKIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH (ASWJ)

Kekebalan ASWJ Di Malaysia

 

Timbul persoalan adakah terdapat peruntukan undang-undang yang boleh dikenakan terhadap pengikut mana-mana agama, mazhab atau ajaran selain ASWJ? Menurut Jadual 9 Senarai II, Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan memperuntukan kuasa kepada kerajaan negeri untuk ‘mengawal pengembangan akidah dan kepercayaan antara orang yang menganut agama Islam’, suatu peruntukan yang berhubung dengan Perkara 11. Sehubungan itu, setiap negeri telah menggubal dua jenis statut iaitu satu enakmen jenayah di bawah sistem perundangan syariah yang akan dikuatkuasa oleh mahkamah syariah dan satu lagi enakmen di bawah sistem perundangan sivil yang akan dikuatkuasakan oleh mahkamah sivil. Kewujudan dua statut dalam sistem perundangan ini bertujuan untuk memastikan tiada siapa boleh terlepas daripada tindakan perundangan jika melakukan sebarang penyebaran agama mahupun ajaran kepada orang Islam.  Nurjaanah Abdullah (2007) menyatakan, bahawa mahkamah syariah hanya boleh mendakwa orang Islam di Malaysia. Oleh itu, hanya Muslim yang membawa ajaran bertentangan dengan Islam ‘ASWJ' sahaja yang boleh didakwa. Pendakwaan di mahkamah syariah tidak boleh dibuat terhadap bukan Muslim yang menyebarkan ajaran agama mereka terhadap Muslim, sebaliknya mahkamah sivil adalah tempat pembicaraan yang tepat.

      Peruntukan berkaitan penyebaran agama terhadap orang Islam atau sesama Islam itu sendiri telah berkembang bermula pada zaman pemerintahan British sehingga pada hari ini. Jika dilihat enakmen pentadbiran Islam di negeri-negeri sebelum merdeka, terdapat beberapa bentuk peruntukan yang melibatkan kawalan terhadap sebarang ajaran dan mazhab yang bercanggah dengan ASWJ (Nawaz, M.K 1965). Sebagai contohnya:

i. Mengajar apa-apa ajaran Islam tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa agama.

ii. Mengajar dan menyebarkan apa-apa ajaran atau mengajarkan amalan yang bercanggah dengan hukum syarak.

iii. Mencetak dan menerbitkan bahan terbitan yang bercanggah dengan hukum syarak.

Selepas merdeka, sistem perundangan telah dikemaskini dan lebih terperinci. Sehingga hari ini, setiap negeri di Malaysia telah memperuntukan statut yang berkaitan dengan kesalahan jenayah akidah di bawah enakmen kesalahan jenayah syariah negeri. Menerusi peruntukan inilah pelbagai mazhab dan ajaran sesat yang bertentangan dengan ASWJ dikenakan tindakan. Nasir Disa (2013) menyatakan antara peruntukan itu ialah kesalahan mengembangkan doktrin agama yang bertentangan dengan Islam[1] serta mengajar dan amalan salah[2]. Antara contoh peruntukan statut berkaitan dengan penyebaran ajaran agama ialah seksyen 7(1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 telah memperuntukkan tentang kesalahan doktrin serta ajaran palsu dan sesat yang bertentangan dengan hukum syarak dan fatwa boleh dikenakan denda RM 5,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman tersebut.

Di samping itu, terdapat satu statut yang mengawal dan menyekat pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam di negeri-negeri di seluruh Malaysia yang tidak ditadbir oleh mahkamah syariah, tetapi oleh mahkamah sivil. Terdapat sembilan negeri sudah menguatkuasakan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada Orang Islam yang ditadbir di bawah mahkamah sivil iaitu: (1) Enakmen No.1 (Terengganu) 1980, (2) Enakmen No. 11 (Kelantan) 1981, (3) Enakmen No, 1 (Selangor) 1988, (4) Enakmen No.10 (Perak) 1988, (5) Enakmen No, 1 (Melaka) 1988, (6) Enakmen No, 11 (Kedah) 1988,(7) Enakmen No, 5 (Pahang) 1989, (8) Enakmen No, 9 (Negeri Sembilan) 1991 dan (9) Enakmen No, 12 (Johor) 1991. Antara kesalahan yang berada di kesemua sembilan buah negeri ini di bawah statut kesalahan akidah ialah:

 

                          i.         Memujuk.

                         ii.         Menghasut orang Islam supaya mengubah kepercayaan.

                       iii.         mendedah orang Islam berumur bawah 18 tahun kepada pengaruh agama bukan Islam.

            iv.          Mendekati orang Islam untuk mendedahkannya kepada apa jua ucapan atau pertunjukan mengenai agama bukan Islam.

              v.         Menyebarkan risalah penerbitan berkaitan mana-mana agama selain Islam kepada orang Islam.

           vi.         Mengedarkan bahan cetakan mengenai agama bukan Islam di tempat awam kepada orang Islam.

 

Kesemua perkara di atas ini mestilah didapati bertentangan dengan mazhab ASWJ. Menurut M. K. Nawaz (1965) perkara di atas juga menjelaskan bahawa peruntukan undang-undang jenayah syariah lebih tertumpu untuk mengawal sebarang penyebaran ajaran daripada kumpulan mazhab minoriti terhadap penganut Muslim ASWJ. Walaupun para pengikut kumpulan mazhab Muslim (bukan ASWJ hli Sunah Waljamaah) telah terjejas hak mereka untuk menyebarkan ajaran mereka, namun mereka masih bebas untuk menganut dan mengamalkan ajaran mereka. Walau bagaimanapun tafsiran Nawaz ini, tidak selari dengan ketetapan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan 1996 yang menyebut (E-Fatwa, Portal Rasmi Fatwa Malaysia 2013): 

Menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan ASWJ dari segi akidah, syariah dan akhlak’dandengan hukum syarak dan undang-undang Islam dan demikian penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada pegangan ASWJ adalah dilarang’ 

Selain itu, peruntukan undang-undang di setiap negeri sudah cukup kuat untuk mensabitkan kesalahan terhadap mazhab dan ajaran yang bertentangan dengan Ahli Sunah Waljamaah. Hal ini dibuktikan dengan terdapaperuntukan dalam enakmen jenayah syariah di setiap negeri di Malaysia. Nasir Disa (2013) menyatakan, persoalan yang timbul mengapa masih tiada tindakan yang diambil terhadap ajaran dan amalan mazhab yang bertentangan dengan Ahli Sunah Waljamaah? Adakah semua perkara yang berkaitan dengan ajaran dan amalan mazhab yang bertentangan dengan Ahli Sunah Waljamaah, termasuk akidah perlu diselesaikan dengan menunggu keputusan fatwa? Dalam hal ini, Nasir Disa (2013) menegaskan bahawa undang-undang jenayah syariah di setiap negeri sudah lengkap dan cukup kuat untuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap mana-mana mazhab dan ajaran yang sesat termasuk Syiah. Beliau juga berpendapat, hal ini mungkin disebabkan bidang penguatkuasan di setiap negeri masih lemah atau penguatkuasa tidak mendalami undang-undang jenayah syariah negeri dengan lebih mendalam. Kesannya apabila mereka membuat serbuan ke markaz-markaz ajaran sesat, mereka ini tidak dapat mengenalpasti bahan-bahan bukti yang kukuh dan berkaitan. Ini menyebabkan kesalahan tidak boleh disabitkan dan sesuatu kes itu mudah digugur.  

Setiap undang-undang yang telah digubal boleh dikaitkan dengan mana-mana kesalahan yang hampir sama dengan yang telah diperuntukan di dalam undang-undang walaupun ia tidak dinyatakan secara jelas tanpa perlu menunggu keputusan Majlis Fatwa Kebanggsaan. Oleh kerana itu, sekiranya berlaku sebarang permasalahan akidah dan syariah dalam sesebuah negeri, pihak berkuasa agama negeri boleh mensabitkan kesalahan tersebut dengan enakmen negeri yang telah sedia ada. Dalam masalah ini, Nasir Disa (2013) selanjutnya menegaskan, pihak berkuasa agama negeri atau bidang penguatkuasaan perlu mengambil tindakan-tindakan seperti berikut bagi memperkemaskan prosedur penguatkuasaan, iaitu:

i. Pegawai-pegawai penguatkuasa perlu mahir dalam perundangan dan enakmen jenayah syariah negeri masing-masing.

ii. Memahami serta mendalami enakmen undang-undang jenayah syariah di negeri masing-masing.

iii. Menggiatkan seminar, latihan, bengkel mengenai undang-undang  berkaitan dengan enakmen jenayah syariah negeri.

iv. Mengadakan ujian undang-undang jenayah syariah.

v. Membina dan memperkemaskan modul latihan penguatkuasaan.

vi, Memperkukuhkan kerjasama dengan beberapa pihak yang penting dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Agama Islam Negeri dan beberapa badan NGO yang lain serta masyarakat.

Sehingga kini, semua negeri telah memfatwakan pengharaman Syiah. Daripada empat belas buah negeri tersebut, hanya Sarawak dan Sabah yang belum mewartakannya atau dalam proses pewartaan, manakala 12 yang lain telah berbuat demikian.  12 negeri tersebut adalah (JAKIM 2014):

               i.         Wilayah Persekutuan (8 Mac 1997, PU(B)106);

              ii.         Selangor (24 September 1998, PU10);

             iii.         Negeri Sembilan (12 Mac 1998, NS.PU5);

            iv.         Terengganu (25 September 1997, PUN Tr.1110);

              v.         Kelantan (2 Januari 1997, No. 1)

            vi.         Melaka (27 Julai 1997, M.PU5);

           vii.         Pulau Pinang (6 Januari 1997, Pg.PU1);

          viii.         Kedah (18 Februari 1999, No. 37);

            ix.         Perak (4 Januari 2012);

              x.         Johor (16 Februari 2012, No. 1156);

            xi.         Perlis (7 Ogos 2012, No. 109);

           xii.         Pahang (12 September 2013, No. 1564)

Berdasarkan analisis terhadap warta yang telah dikeluarkan, wujud persamaan dan perbezaan sighah (kenyataan) fatwa dalam pewartaan di setiap negeri. Namun begitu, perbezaan tidak menjejaskan kebolehgunaan pewartaan tersebut untuk dikuatkuasakan. Ini kerana, selagi pewartaan tersebut ada menetapkan bahawa segala amalan atau kepercayaan yang bercanggah dengan ASWJ adalah dilarang, maka secara umumnya ia boleh diguna pakai untuk menyekat apa jua ajaran yang bertentangan dengan ASWJ termasuk Syiah dan selainnya. Walau bagaimanapun, sekiranya fatwa tersebut diperincikan dengan menyebut ciri-ciri ajaran, ia lebih sempurna dan lebih kukuh bagi memudahkan pihak penguatkuasaan, pendakwaan dan mahkamah untuk membuat penyiasatan, penilaian dan keputusan (JAKIM 2014).

Hasil daripada perbincangan dan huraian yang dicatatkan setakat ini, adalah jelas bahawa Mazhab ASWJ mempunyai kewibawaan dan keutuhan, malahan boleh diungkapkan sebagai mazhab rasmi negara ini.  Dengan kedudukan yang sedemikian ASWJ sebenarnya berupaya mengawal dan mempertahankan agama Islam yang maha suci dari dicerubuhi oleh ajaran-ajaran yang sesat dan menyeleweng. Di samping itu ASWJ juga berupaya memertabatkan ajaran agama Islam selaras dengan pegangan rasmi negara, iaitu ajaran ASWJ yang dari segi akidah berpegang kepada ajaran al-Asha’irah dan al-Maturidiyah; dari segi fiqh dan hukum hakam berpegang kepada al-Shafi’iyyah dan dari segi akhlak dan tasawuf berpegang kepada pandangan al-Ghazali.



[1] Seksyen 5 Enkmen Kesalahan Jenayah Syariah (Johor) 1997, seksyen 166 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu (Pahang) 1982, seksyen 5 Enakmen kesalahan Jenayah Syariah (P.Pinang) 1996, seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Perak) 1992, seksyen 5 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, seksyen 5 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997.

[2] Seksyen 9 Enakmen Jenayah Syariah (Perak) 1992, Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Sabah) 1995.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

064642
Hari ini: 478
Minggu Ini: 2,996
Bulan Ini: 5,378
Tahun Ini: 64,642
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.