Nabi muhammad saw bukan sahaja seorang manusia amat sempurna perilaku dan tutur katanya, bahkan baginda adalah seorang yang rendah hati dan sentiasa mentaati perintah allah subha wata’ala. Atas peribadi yang cukup rendah hati, bertoleransi (adil dan tegas), baginda berjaya memimpin dan memandu manusia untuk hidup dengan kasih sayang dan penuh kemesraan.
Bahkan dalam kehidupan berkeluarga, baginda sentiasa menjadi suri teladan sepanjang zaman dalam membahagiakan hati dan menguruskan emosi sehingga disayangi oleh setiap orang yang mengenalinya semasa hayatnya dan juga setelah kewafatannya.
Kita sebagai umat islam sangat beruntung kerana Allah swt telah mengutuskan seorang nabi dan rasul yang menjadi pemimpin para nabi dan rasul, yang menuntun kita ke jalan yang dikehendaki oleh Allah swt dengan menunjukkan contoh teladan terbaik, yang kita sangat perlukan sebagai hamba allah yang serba lemah ini.
Dalam menghadapi kehidupan ini, Allah swt sentiasa mengingatkan kita agar sentiasa mengingati-nya, mencintainya kerana pada dirinya (Muhammad) adalah suri teladan terbaik yang tidak dapat kita perolehi daripada orang lain.
Mencintai Rasulullah saw pasti akan menjadi paksi seluruh kehidupan kita. Di mana sahaja orang membicarakan tentang kemuliaan Nabi saw, kita juga akan bersama menghayati sejarah hidupnya dan sunahnya. Kita akan menggabungkan diri dengan orang-orang yang mencintainya. Sudah tentu kita akan berasa bahagia ketika menyaksikan orang yang memuliakan baginda, sebaliknya menjadi amat kecewa apabila ada yang cuba mencaci dan memperlekehkan baginda.
Meneladani perilaku Nabi Muhammad tidak dapat direalisasikan hanya dengan mempelajarinya. Kita harus memasukkan cinta kepada baginda terlebih dahulu ke lubuk hati dengan rasa insaf dan rendah diri. Setelah rasa cinta tertanam, maka dengan mudah ia akan membangkitkan nikmat dan rahmat dalam setiap tindakan kita dan dengan semangat itulah, ia akan membangkitkan gerakan kita untuk meneladani Rasulullah saw.
Mencintai Rasulullah saw menjadi satu keharusan dalam iman. Ia menjadi prinsip, bukan pilihan suka atau tidak suka. Seorang muslim harus menyimpan rasa cinta kepada Nabi Muhammad. Idealnya, kita akan mencintai baginda lebih daripada segala sesuatu yang lain, bahkan diri sendiri. Justeru, hari kelahirannya dikira 'hari Allah' yang bersejarah dalam agama allah dan diperintahkan untuk memperingatinya seperti mana firman-nya yang bermaksud: "...dan peringatkanlah mereka dengan hari-hari allah (peristiwa agama yang bersejarah bagi suatu ummah)." (maksud surah ibrahim: 5)
Bagi umat islam hari ini, tiada suatu nikmat lain yang lebih besar daripada kelahiran dan kedatangan junjungan besar Rasulullah saw ke alam maya ini. Baginda diutuskan sebagai rahmat untuk alam semesta.
Menyedari kedudukan baginda sebagai ikutan dan teladan, menuntut kita tidak terpaku dalam kelakuan (kelaziman) lahiriah dan melupakan hakikat ajarannya yang sebenar. Lebih daripada itu harus disedari bahawa ajaran Rasulullah berorientasikan kepada usaha perpaduan kemanusiaan.
Namun perpaduan yang diajarkan itu tidak meleburkan perbezaan tetapi tetap menghormati setiap perbezaan antara kaum kerana setiap daripada mereka telah memilih jalan kehidupan sendiri, sehingga mereka harus mencapai prestasi kebajikan masing-masing.
Dalam konteks kehidupan masyarakat majmuk kita telah berjaya membawa keserasian sosial di negara ini,dan ia adalah salah satu hakikat daripada ajaran Nabi Muhammad s.a.w. kita amat bersyukur kerana dunia tertumpu kepada kita dengan penuh penghargaan bahawa ajaran nabi Muhammad s.a.w terpancar dalam kehidupan bangsa malaysia.
Islam di malaysia, menurut pandangan dunia luar, menampakkan wajah-wajah yang menarik dan karakternya yang memikat sebagai kerahmatan lil alamin (sebagai rahmat bagi seluruh alam, seluruh manusia) jauh daripada radikalisme dan ekstremisme yang melanda dunia masa kini.
Mereka mengagumi pendekatan keagamaan kita, mereka menunjuki malaysia sebagai model alternatif bagi kewujudan kerukunan hidup antara umat beragama di permukaan bumi ini. Ramai di kalangan cendekiawan muslim terkenal meramalkan bahawa Islam yang indah, sejuk dan menarik yang menghidupkan kembali nilai-nilai luhur, toleransi daripada ajaran Nabi Muhammad saw akan menyingsing dari bumi malaysia.
Jelas sekali bahawa pengamalan agama dalam masyarakat malaysia merupakan model yang paling dekat dengan nilai al-quran dan sunah Nabi Muhammad saw banyak kalangan kita yang menganggap bahawa kerukunan hidup dalam masyarakat majmuk adalah hal yang biasa dan lumrah, kerana telah sebati dalam jiwa raga bangsa, sehingga prestasi ini tidak kita anggap suatu keunggulan dan keistimewaan yang patut diyakini.
Namun jika kita melihat dari dunia luar, kita akan tahu dan sedar betapa besar nikmat allah yang dilimpahkan kepada bangsa kita. Nilai luhur bangsa serta ajaran toleransi Nabi Muhammad saw telah berakar dalam jiwa, berkat kearifan dan jasa para pemimpin terdahulu yang kemudian diteruskan oleh pemimpin-pemimpin yang ada hari ini.
Pada hari ini, kita berkumpul dan berselawat sebagai tanda terima kasih dan mengingati perjalanan dakwah Rasulullah saw kerana bimbingan dan petunjuk yang diteladani baginda telah membawa kita ke suatu fasa kehidupan yang lebih baik, kita dibebaskan daripada nilai-nilai jahiliah (kebodohan) akal, dan juga tingkah laku sehingga kita dapat membezakan makna kemanusiaan dan kebinatangan.
Namun, mungkin kerana kita mula merasakan ‘amar makruf dan nahi mungkar’ sebagai sesuatu doktrin yang lumrah, terlalu biasa maka kita seringkali mengabaikannya sehingga tercetus semula suasana gelisah, resah dan hidup dalam keadaan serba salah. Kita kadangkala ikut cemas, setiap hari ada cerita panas, ada kisah sedih dan ada tragedi kemanusiaan yang tidak dapat dielakan berlaku dalam masyarakat. Ia berlaku kerana kita mulai menyingkirkan pemahaman asas terhadap larangan yang wajib dijauhkan, iaitu nahi mungkar.itulah sebabnya kita tidak dapat hidup tenang dan tenteram; kita hidup dalam aneka keserakahan. Kita cukup mudah terdorong untuk menyebelahi perilaku nahi mungkar kerana ia hadir dalam bentuk keseronokan dan pesona tertentu berbanding amar makruf yang kesannya tidak hadir dengan segera atau cepat .
Secara mudahnya, kita memahami bahawa nahi mungkar itu adalah apa sahaja yang dilarang atau wajib dijauhkan daripada pemikiran dan tindakan kita kerana ia berakhir dengan kerosakan atau masfadah. Amar makruf adalah perilaku atau tindakan yang amat dituntut dan digalakkan kerana ia membawa kebaikan (maslahah) secara menyeluruh dan lebih mendalam serta berkekalan.
Kebaikan itu bukan sahaja untuk diri sendiri, ia juga melimpah kepada orang lain, termasuk ahli keluarga, masyarakat dan negara. Asas-asas amar makruf itulah telah menjadikan Islam sebagai satu cara hidup yang cukup berkesan dan faktor kenapa Islam mudah diterima oleh masyarakat jahiliah yang dianggap kasar dan gasar. Hati mereka berjaya dilembutkan kerana Nabi Muhammad saw menunjukkan teladan yang cukup berkesan.
Menurut Imam al-Ghazali amar makruf nahi mungkar merupakan ‘suatu keperluan hidup bermasyarakat’ dan disebut sebagai ‘paksi yang agung dalam agama’kerana masing-masing memerlukan satu sama lain. Oleh kerana ‘keperluan hidup bermasyarakat’, ahli-ahlinya wajib mematuhi tatacara dan sistem kehidupan yang ditetapkan; mengikuti segala ajaran agama dan menjauhi larangan bagi menjadi umat terbaik. Manusia hidup dalam ‘jaringan’ iaitu jaringan kehidupan dengan Allah swt (hablum minnallah) dan dengan sesama manusia (hablum minal nas).
Apa yang al-Ghazali ingin tegaskan ialah amar makruf dan nahi mungkar sebagai tunjang utama yang akan menumbuhkan kebaikan dan melenyapkan kebatilan; ia mestilah berjalan seiringan kerana jika salah satunya ditinggalkan, akan menyebabkan ketimpangan.
Allah swt berfirman dengan maksud:
“Mereka diliputi kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (agama) allah dan tali (perjanjian) dengan manusia, dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari allah dan mereka diliputi kerendahan yang demikian itu kerana mereka kafir kepada ayat-ayat allah dan membunuh para nabi tanpa alasan yang benar, yang demikian disebabkan mereka derhaka dan melampaui batas.”
Asas yang dirintis oleh Nabi Muhammad saw juga menjadikan islam cukup berpengaruh dan begitu cepat berkembang berbanding penyebaran agama-agama lain yang berlaku sebelumnya. Islam disebarkan bukan dengan cara kekerasan; Islam hadir dalam jiwa dan naluri penuh keinsafan bahawa ‘ia adalah cahaya’ yang sebenar-benarnya. Perilaku Nabi Muhammad saw misalnya, menyebarkan dakwah secara berlemah lembut, bahkan baginda bertindak sebagai ‘pendidik’ dengan mengajar ‘apa yang tidak diketahui’ berdasarkan wahyu yang diterima.
Pendekatan sedemikian kemudiannya disambung oleh para sahabat, ulama dan pendidik selepas itu sehinggalah seorang orientalis dari United Kingdom, Sir Thomas Arnold mengakui bahawa Islam cepat tersebar kerana pendekatan dakwahnya yang mudah difahami dan boleh diterima – down to earth – kerana Islam tidak bersifat elitis, yakni hanya membina kelompok elit agama.
Sumber kekuatan Islam ialah cara hidup yang dianjurkan sangat menekankan kepada prinsip ‘membina diri’ dan kemudiannya dikembangkan kepada orang lain. Membina diri bererti mendidik diri sendiri dengan keyakinan bahawa Allah swt adalah Tuhan Yang Maha Esa manakala nabi-nabi adalah pesuruh Allah swt yang berperanan sebagai pembimbing dan pemimpin. Islam juga memberikan ‘kuasa kepimpinan’ kepada setiap orang, tetapi ‘kuasa’ itu hadir dengan tanggungjawab dan perlu dilaksanakan secara beramanah.
Prinsip kepimpinan membawa pengertian ada hubungan dengan orang lain. Dalam unit yang kecil, kepimpinan itu boleh dilihat dalam kehidupan keluarga, dan yang menjadi pemimpin itu diberikan tanggungjawab untuk mencorakkan bentuk dan nilai kekeluargaan tersebut. Dan, tentunya, sebuah keluarga yang bahagia berasaskan nilai-nilai iman dan taqwa.
Dalam kehidupan berumah tangga, Nabi Muhammad saw telah memberikan kita contoh teladan terbaik, tidak melebih-lebihkan kehidupan dengan kebendaan sebaliknya meyakinkan mereka (isteri-isteri mengenai peranan dan tanggungjawab masing-masing), sangat sederhana.
Baginda tidak meninggalkan kekayaan harta benda untuk direbut, tetapi yang ditinggalkan ialah didikan dan amalan baik, agar dijadikan panduan dan pedoman, dalam usaha membina kehidupan ummah yang sejahtera, kehidupan ummah yang mendapat keredhaan, kehidupan ummah yang mendapat berkat dan rahmat illahi.
Tentunya, jika kita membaca pelbagai sirah baginda, kita akan menemui sesuatu yang cukup istimewa peribadi yang ditunjukkan olehnya. Kita menemukan semangat dan jiwa kental Nabi Muhammad saw berhadapan dengan cabaran tatkala memula, menyebar dan memperkemaskan dakwah. Baginda ‘tidak berganjak’ dengan pelbagai ancaman, ugutan dan tawaran-tawaran yang menggiurkan; baginda terus beristiqomah dan hidup dengan cukup sederhana atau kadangkala sanggup ‘menahan lapar’ kerana sedar bahawa kehidupan yang bergelumang dengan kebendaan dan kemewahan akan memadamkan semangat untuk terus berdakwah.
Itulah juga yang diperkatakan oleh Imam al-Ghazali dalam memperbaharui ‘jiwa agama’ setelah masyarakat yang berada pada zamannya – abad pertengahan dan pada masa Daulah Abasiyyah – cukup berkecamuk dengan konflik politik dan kerakusan para elit menguasai harta serta berfoya-foya. Keadaan masyarakat ketika itu, berkecamuk dengan pelbagai aliran pemikiran telah menyebabkan umat Islam berada dalam suasana ‘berpecah-belah’ dan sekelompok yang lain berusaha mendominasi.
Al-Ghazali mengambil pendekatan melakukan reformasi moral dengan berpaksikan al-Qur’an dan sunnah; tanpa rasa takut kepada serangan oleh mereka yang telah menyingkirkan ‘wahyu’ sebagai sumber ‘kekuatan Islam’ dengan menggantikan kekuatan akal. Al-Ghazali cekap berhadapan dengan serangan-serangan tersebut, bahkan beliau sentiasa mencari hujah untuk mematahkan serangan-serangan sehingga beliau mampu membangunkan sebuah asas pemikiran yang kuat, dan cukup berpengaruh hingga ke hari ini.
Apa yang dilakukan oleh al-Ghazali itu menunjukkan bahawa dengan kekuatan ilmu dan kefahaman terhadap al-Qur’an, umat Islam tidak akan ‘tersesat’ dan mengalami ‘kesempitan hidup’ sebagaimana yang sedang kita hadapi pada masa ini meskipun daripada perspektif kemudahan dan kebendaan, ia melampaui apa yang ada dan dimiliki oleh umat islam pada abad pertengahan.
Umat Islam pada zaman tersebut terus cekal dan hidup dalam keyakinan yang lebih baik, kerana meraka sangat mencintai agama dan ilmu pengetahuan. Mereka bukan sahaja muncul sebagai pemikir yang cemerlang bahkan sebagai pemimpin yang terbilang.
Al-Ghazali boleh dianggap sebagai ‘penyambung’ kepada kebenaran dan kehebatan ilmu pentetahuan, kerana menerusi ilmu pengetahuan itulah semangat dan jiwa yang kental dapat terbina. Atas sifat dan sumbangan itu al-Ghazali menjadi model yang cukup besar dalam dunia intelektual Islam, bahkan asas-asas reformasi akhlak yang disampaikan itu berjaya meletakkan islam sebagai sebuah kekuatan sekali lagi sehingga mampu mengharungi rempuhan pemikiran dan kegoncangan jiwa umat islam di seluruh dunia, termasuk di nusantara.
Tentunya, dalam membina ‘keluarga besar muslim’, apa yang kita harapkan akan lahirnya sebuah perpaduan yang lebih kuat, sebagaimana al-Ghazali perkatakan menerusi pembinaan peribadi dan pembangunan karakter, termasuk dalam kehidupan berkeluarga. Tetapi, apa yang disaran, dikupas dan dianjurkan oleh al-Ghazali adalah sesuatu yang sangat dekat dengan perilaku Nabi Muhammad saw, tetapi diterapkan menerusi pendekatan ‘penyucian jiwa’.
Malangnya, apabila kita bercakap mengenai ‘penyucian jiwa’ ramai di antara umat Islam sendiri melahirkan rasa takut dan bimbang, kerana istilahnya dalam bahasa arab adalah tasawuf. Tasawuf dilihat sebagai suatu ‘pelarian’ dan juga kaedah yang tidak selari dengan pemikiran rasional, serta antisosial apabila proses penyucian jiwa itu menjadikan seseorang meninggalkan nikmat hidup di dunia. Pengamal tasawuf juga dianggap mereka yang aneh, bahkan ada yang menggelarnya sebagai ‘manusia tidak rasional’.
Tentunya, apabila ‘jiwa kita bersih’, kita mampu hidup dengan sejahtera. Bahkan ketika kita berhadapan dengan masalah, jiwa kita menjadi tidak tenteram. Jiwa yang tidak tenteram itulah membangkitkan pelbagai keburukan sehingga ada yang berakhir dengan tragedi. Ertinya, untuk hidup yang lebih baik, kita sepatutnya mampu membersihkan jiwa, dan pembersihan jiwa adalah pemangkin yang mampu menawarkan solusi terbaik untuk hidup bahagia dan sejahtera,
Hakikatnya, kita kadangkala dilanda kemelut diri sehingga kita sukar untuk meletakkan semula sempadan antara amar makruf dan nahi mungkar, kerana kita merasakan agama itu hanyalah sebuah kepercayaan atau asas yang dibentuk oleh budaya, sedangkan Islam yang disebarkan oleh Nabi Muhammad saw adalah ‘cara hidup’ bukan sekadar budaya dan kepercayaan.
Ia suatu sistem kehidupan yang menyeluruh, teratur dan berkerangkakan keyakinan bahawa Allah swt adalah penentu segala-galanya. Tanpa petunjuk dan izin-Nya, apa yang kita inginkan, rancang dan cita-citakan tidak akan menjadi kenyataan. Itulah doktrin Islam yang wajib diyakini sedalam-dalamnya, selagi kita sedar bahawa kita hanya makhluk yang diciptakan oleh-Nya.
Akhirul kalam, seruan kepada semua umat Islam di seluruh Malaysia dan masyarakat bukan Islam secara khususnya agar kembali menghidupkan budaya amar makrif nahi mungkar bagi membendung kemelut yang melanda kehidupan kita, termasuk kehidupan dalam keluarga, masyarakat dan negara. Ini kerana Islam boleh menerima perbezaan pandangan, tetapi tidak boleh berbeza iktikad terhadap perkara-perkara yang sudah jelas hukumnya.
Jika perbezaan pandangan atau pendapat itu dalam bentuk aliran pemikiran atau di peringkat ranting, ia wajar dihormati kerana ia tidak akan mematikan pokok asalnya. Itulah sebenarnya semangat yang kita inginkan ketika kita menyambut ulangtahun kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad saw, kerana baginda telah membuktikan setiap wasilah dan manhaj yang dilaksanakan sangat berkesan dalam membangunkan sebuah kehidupan yang harmoni, sejahtera dan cemerlang, sehingga islam mampu menguasai lebih sepertiga wilayah di dunia sepanjang empat belas abad lama, yakni sebelum kejatuhan empayar Uthmaniyyah pada dekad kedua abad ke-20 (1924).
Apa yang kita dapat pelajari daripada sejarah Rasulullah saw ialah kepimpinan baginda tidak bersifat retorik, ia dibangun dan disuburkan dengan niat yang ikhlas, pengorbanan yang jujur dan kewajipan memperkasakan amar makruf nahi mungkar, adab pekerti yang mulia dan tindakan yang luhur. Jika ini dapat kita lakukan dalam seluruh aspek kehidupan, kita akan menemui jalan kehidupan yang penuh dengan kekuatan dan jiwa yang tenang.
