SAYANG NABI DITUDUH BIDAAH

SAYANG NABI DITUDUH BIDAAH

Tersentak hati dan rasa kesal kerana ada di kalangan umat Islam sendiri  membuat kenyataan bahawa sambutan ulangtahun kelahiran Nabi Muhamad s.a.w. tidak mempunyai “fadilat” dan “menyimpang”. Setelah tradisi berjalan sekian lama, hanyalah sambutan mutakhir ini menimbulkan kontroversi.

Lebih menyedihkan lagi apabila mereka yang menggelarkan dirinya sebagai intelektual Islam pragmatik membenarkan dirinya menjadi penepis kepada tradisi yang telah sekian lama berakar umbi itu.

Tidakkah mereka yang menentang sambutan ulangtahun kelahiran Rasullullah pada setiap 12 Rabiul Awal, dan pada tahun ini bersamaan dengan 25 Ogos 2026 (hari Selasa) sedar, dengan cara itu akan meningkatkan semangat setiap orang Islam untuk merujuk kepada wawasan Islam dan petunjuk yang ditinggalkan oleh baginda? Dengan mengingati kelahirannya, kita sebagai umat Islam akan kembali mengimbau bagaimana seorang anak yatim yang berhati mulia telah berjaya memimpin ummat sehingga menjadikan Islam sebagai agama penuh rahmat?

Dengan mengingati ulangtahan kelahiran Rasullullah, kita akan menilai kembali apakah selama ini kita telah berbuat sesuatu yang betul sebagaimana diteladani oleh baginda? Ini akan memberikan kita keinsafah, bahawa rentang sejarah yang bakal kita lalui nanti akan dipenuhi dengan langkah penh keinsafan, langkah penuh berpedoman dan perasan rendah diri atas teladan yang ditinggalkan.

Maulidurrasul perlu disambut sebagai tanda orang Islam menyayangi baginda dan mengeratkan hubungan kerohanian antara baginda dengan umatnya. Allah sendiri memuliakan  nabi maka adalah sunat bagi kita sebagai orang Islam turut meraikan hari kelahiran baginda. Kalau ada yang mengatakan bahawa perayaan Maulud Nabi merupakan satu perbuatan bid’ah maka bid’ah yang kita lakukan itu adalah untuk menunjukan rasa cinta yang amat mendalam kepada  Rasulullah saw yang amat kita cintai itu Biar  orang tahu kita ini pelaku bid’ah yang mencintai Nabi. Disamping demi kesejahteraan dan lambang penyatuan ummat, ia adalah sesuatu yang memangnya dianjurkan oleh Islam.

Kenapa kita terlalu mencintai Rasulullah saw.? Apakah yang akan terjadi bila hati sangat terpaut dengan seseorang yang kita cintai? Pertama: sudah tentu perilaku kita (iaitu fikiran, perasaan, dan tindakan) akan sangat dipengaruhi oleh apa dan siapa yang kita cintai. Kedua; jika kita mencintai seseorang, sudah tentu kita akan berusaha untuk berperilaku saperti orang itu.

Mencintai Rasulullah saw, pasti akan menjadi paksi seluruh kehidupan kita. Di mana sahaja orang menbicarakan  tentang kemuliaan nabi saw  kita juga akan turut bersama menghayati sejarah hidupnya dan sunnahnya. Kita akan mengabongkan diri dengan orang-orang yang mencintainya. Sudah tentu kita  akan merasa bahagia ketika menyaksikan orang yang memuliakan baginda, sebaliknya menjadi amat kecewa apabila ada yang cuba mencaci dan memperlekehkan baginda. 

Pada hakikatnya meneladani perilaku Nabi Muhamad saw tidak dapat direalisasikan hanya dengan mempelajarinya. Kita harus memasukkan cinta kepada baginda terlebih dahulu kelubuk hati dengan rasa insaf dan rendah diri. Setelah rasa cinta tertanam , maka dengan mudahnya ia akan membangkitkan nikmat dan rahmat dalam setiap tindakan kita dan, dengan semangat itulah membangkitkan gerakan kita untuk meneladani Rasullullah s.a.w.

Mencintai Rasulullah menjadi suatu  keharusan dalam iman. Ia menjadi prinsip, bukan pilihan  suka atau tidak suka. Seorang Muslim harus menyimpan rasa cinta kepada Nabi Muhamad s.a.w, walaupun secuil. Idealnya, kita akan mencintai baginda lebih dari segala sesuatu yang lain, bahkan diri sendiri. Dan itulah pada hakikatnya iman yang paling sempurna. Sabda nabi “Tidak beriman seseorang sehingga aku (Nabi) lebih ia cintai dari dirinya sendiri. (Riwayat Bukhari dan Muslim)                                                                                                                      

Justeru hari kelahirannya dikira “hari Allah” yang bersejarah dalam agama Allah dan diperintahkan untuk memperingatinya seperti mana firmanNya yang bermaksud: “dan peringatkanlah mereka dengan hari-hari Allah (peristiwa agama yang bersejarah bagi suatu ummah)” (Maksud Surah Ibrahim: 5)

Demikian juga sehingga Allah SWT dengan sinis menyindir mereka yang tidak langsung mengambil ingatan terhadap “hari Allah”.Ini dapat difahami dari firmanNya yang bermaksud: “katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman hendaklah mereka memaafkan (kejahatan dan gangguan) mereka yang tidak menaruh harapan (ingatan) kepada hari-hari Allah (yang disuruh melakukan yang demikian itu (memperingatinya) kerana Tuhan akan membalas suatu puak itu dengan apa yang mereka usahakan”(Surah al- Jaathiyah :14)

Bagi umat Islam hari ini tiada suatu nikmat lain yang lebih besar dari kelahiran dan kedatangan jujungan besar Rasulullah ke alam maya ini. Baginda diutuskan sebagai rahmat untuk ‘alam semesta”. Ini sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud:“tiada Kami utuskan kamu melainkan sebagai rahmat untuk ‘alam semesta seluruhnya”(Maksud surah al-Anbiya : 107)

Justeru itu acara sambutan atau pesta besar-besaran  ini pernah diadakan oleh penduduk Madinah sewaktu menyambut ketibaan Rasulullah (peristiwa hijrahnya). Mereka beramai-ramai berarak mengalu-alukan kehadiran baginda. Turut dicatatkan, ada di antara mereka sanggup memanjat pokok tamar,  menaiki bumbung-bumbung rumah, ada yang memukul gendang dan bernasyid.

Sudah diketahui umum  kita digalakkan mengadakan ‘akikah (sembelih) dua ekor kambing untuk menyambut kelahiran anak lelaki dan seekor kambing untuk bayi perempuan serta bercukur dan bertahnik dan sebagainya. Ini semua untuk melahirkan (menandakan) kesyukuran terhadap nikmat Allah. Dalam hal ini,  Allah SWT berfirman yang bermaksud “dan adapun dengan nikmat Tuhanmu itu maka hendaklah engkau sebut-sebut (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.(Surah al- Dhuha: 11)

Apakah nikmat kedatangan utusan Allah ini dinilai begitu remeh dan hina sekali. Menolak usaha memperingati kehadiran insan mulia ini sebenarnya adalah satu usaha memecahbelahkan perpaduan ummat, dan sesungguhnya ia adalah satu sikap politik yang terlalu sempit dan jumud. 

Perlu difahami walau bagaimana tinggi sanjungan dan selawat yang dipersembahkan oleh kita sebagai umatnya, selama-lamanyapun tidak dapat menandingi jasa dan kelebihan rahmat dan pertunjuknya kepada kita. Sebab itu kita disuruh sentiasa berselawat dan mengucap selamat kepadanya untuk kebaikan kita sendiri.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

086510
Hari ini: 448
Minggu Ini: 448
Bulan Ini: 12,977
Tahun Ini: 86,510
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.