JPM HAL EHWAL AGAMA DALAM BAHAYA?

JPM HAL EHWAL AGAMA DALAM BAHAYA?

Kebelakangan ini, perhatian awam tertumpu kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Marhamah Rosli, menyusuli timbulnya pelbagai desakan dan kontroversi yang meresahkan masyarakat Islam.

Isu ini meledak apabila timbul dakwaan yang mengaitkan kaedah pengajaran dan pendekatan motivasi beliau dengan doktrin New Age Movement (NAM)—sebuah aliran pemikiran neo-spiritual alternatif yang sering membaurkan konsep tenaga, vibrations, dan penyembuhan rohani dengan terma-terma keagamaan.

Penglibatan beliau dalam skim Galeri Souqemas pada tahun 2014 serta isu-isu yang lain, menimbulkan persoalan serius di kalangan umat Islam dalam negara - Adakah JPM Hal Ehwal Agama dalam bahaya?

Kontroversi Timbalan Menteri Agama

Dalam tradisi pentadbiran Islam (siyāsah syar'iyyah), kepimpinan yang memegang portfolio hal ehwal agama bukan sekadar satu kedudukan politik atau keistimewaan pentadbiran. Ia adalah amanah yang amat berat di hadapan Allah SWT dan seluruh warganegara.

Agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Perdana Menteri wujud atas satu objektif utama, iaitu memelihara kesucian akidah awam daripada sebarang fahaman yang mengelirukan, serta memastikan setiap figura yang memimpin portfolio ini memiliki integriti yang tidak dipertikaikan.

Apabila seseorang dilantik untuk menguruskan hal ehwal agama rakyat, setiap patah perkataan, kaedah pengajaran, mahupun rekod perniagaan yang pernah diwakilinya akan menjadi subjek semakan awam. Ia bukan kerana permainan politik, tetapi kerana kesucian agama memerlukan tahap kejelasan yang paling tinggi.

Tuduhan Mengajar Kalam “New Age Movement” Di satu sisi, kita mesti berpegang kepada prinsip tabayyun. YB Senator Marhamah Rosli telah menafikan pembabitannya dengan ajaran New Age Movement tersebut, dan pihak JAKIM juga telah mengambil langkah memanggil beliau untuk sesi penjelasan dan khidmat nasihat.

Namun di sisi yang lain, persoalan yang dibangkitkan tidak boleh dipandang sepi. Penggunaan istilah seperti "Quantum Allah" atau kaedah “Energy Healing” dalam sesi motivasi kerohanian bukanlah satu perkara remeh. Adakah ia benar-benar sekadar masalah terma motivasi sebagaimana yang dicanang, atau ia satu kecelaruan teologi yang boleh merosakkan pemahaman masyarakat terhadap konsep Asma' wa Sifat Allah SWT?

Pengamal fahaman ini mendakwa bahawa doa itu adalah bayangan, rasa (feeling), atau emosi visualisasi untuk mendapatkan apa yang dihajati. Mereka menyelewengkan Hadis Qudsi sahih di mana Allah berfirman: "Aku berada pada persangkaan hamba-Ku terhadap-Ku." Sedangkan para ulama menjelaskan bahawa bersangka baik dengan Allah (husn al-zhann) bukanlah bermaksud emosi visualisasi Law of Attraction. Bersangka baik bermaksud meyakini bahawa Allah mendengar doa, tidak memungkiri janji, dan sentiasa memberikan yang terbaik, sama ada disegerakan permintaan tersebut, disimpan sebagai ganjaran di akhirat, atau dijauhkan daripada keburukan yang seumpamanya.

Lebih berbahaya, doktrin ini mempromosikan kefahaman sempit bahawa doa hanya "mustajab" jika kita mendapat benda fizikal yang kita bayangkan, seperti harta atau wang ringgit. Malah, emosi fitrah manusia seperti takut, bimbang, atau sedih digambarkan seolah-olah merosakkan doa. Ini adalah kebatilan yang nyata.

Rasulullah SAW sendiri berdoa dalam Peperangan Badar dalam keadaan amat bimbang dan takut akan kekalahan tentera Islam, namun Allah memakbulkan doa Baginda dengan menurunkan bantuan 1,000 malaikat. Penyebaran ideologi Law of Attraction (LOA) yang cuba di-Islamkan oleh sebahagian pengamal motivasi hakikatnya merosakkan asas akidah dan tauhid. Doktrin LOA berakar daripada fahaman bahawa fikiran manusia dan alam semesta (universe) menentukan realiti, satu pemikiran yang menafikan kekuasaan mutlak Allah SWT sebagai Pencipta dan Pentadbir takdir. Malah dalam bentuk yang ekstrem menjadikan diri sendiri seolah-olah tuhan kepada realiti kehidupan. Percubaan untuk menyamakan LOA dengan konsep doa adalah satu penyelewengan yang berbahaya, kerana ia mengajar manusia bahawa doa hanya "mustajab" jika mereka mendapat apa yang mereka gambarkan, lalu menyemai benih sangka buruk (su’u al-zhann) kepada Allah apabila hajat mereka tidak disegerakan.

Islam mengajar bahawa doa adalah ibadah dan pengabdian penuh hamba kepada Allah, bukan teknik psikologi untuk memaksa alam semesta menunaikan kehendak nafsu. Sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis sahih riwayat Abu Sa’id al-Khudri, setiap doa seorang Muslim sentiasa dijawab oleh Allah melalui salah satu daripada tiga cara: sama ada disegerakan doanya di dunia, disimpan sebagai ganjaran pahala di akhirat, atau dijauhkan keburukan yang seumpamanya. Mengaitkan doa dengan prinsip LOA bukan sahaja memalingkan keimanan kita daripada Qada' dan Qadar, tetapi menjebak masyarakat ke dalam fahaman kufur yang terselindung di sebalik bahasa motivasi dan kerohanian.

Kontroversi Galeri Souqemas Di Sabah
Keresahan awam menjadi semakin parah apabila masyarakat mengimbau kembali rekod dan latar belakang beliau sebelum memegang jawatan awam, termasuk keterlibatan dalam promosi entiti perniagaan seperti isu pelaburan emas Galeri Souqemas di Sabah.

Isu ini membuka mata kita tentang satu fenomena sosial yang berbahaya di Malaysia, iaitu apabila imej penceramah, ustazah, atau gelaran agama dijadikan alat pemasaran spiritual, untuk meraih kepercayaan kewangan awam. Sehingga hari ini, isu Galeri Souqemas yang dikatakan berhutang sebanyak RM14 juta masih belum diselesaikan sepenuhnya.

Apabila polemik akidah dan rekod komersial ini bertaut, ia mewujudkan garis syubhah yang amat tebal. Maka tidak hairanlah timbul desakan daripada pelbagai pihak agar beliau memohon maaf, malah mengundurkan diri atau diistirahatkan daripada portfolio hal ehwal agama demi memelihara wibawa institusi tersebut.

Menuntut Ketelusan
Isu ini bukan lagi sekadar polemik peribadi yang boleh diselesaikan di sebalik pintu tertutup bilik mesyuarat. Masyarakat Islam di Malaysia berhak mengetahui pendirian tegas daripada kementerian. Kita perlu bertanya secara jujur kepada pimpinan tertinggi agama, khususnya Menteri Agama dan pihak JAKIM - Apakah bentuk teguran, nasihat, mahupun ketetapan rasmi yang telah dikeluarkan terhadap fahaman dan kaedah pengajaran ini? Adakah elemen-elemen ini diselitkan sekali dalam program-program dalaman JAKIM atau agensi lain di bawah JPM?

Apabila premis kerajaan seperti Dewan Auditorium JAKIM sendiri dikaitkan dengan penganjuran program yang menyebarkan doktrin mengelirukan ini, ketiadaan kenyataan terbuka daripada pihak kementerian hanya akan menimbulkan persepsi yang amat berbahaya, seolah-olah agensi agama tertinggi negara membiarkan premisnya dijadikan medan untuk melegitimasi ajaran yang meragukan. Masyarakat tidak menuntut hukuman melulu, tetapi masyarakat menuntut kejelasan, kebenaran, dan pertanggungjawaban (akauntabiliti).

Pentingnya Adab
Kontroversi yang melanda institusi agama hari ini seharusnya menjadi iktibar yang mendalam buat kita semua. Ia mengajar kita bahawa dalam menguruskan agama negara, kita memerlukan pemisahan yang tegas antara motivasi komersial dengan ketulenan akidah Islam. Kita tidak boleh membiarkan jargon-jargon New Age yang dibalut dengan bahasa agama terus menyusup masuk ke dalam fikiran masyarakat atas nama motivasi.

Pada akhirnya, segala kemelut yang berlaku ini kembali kepada satu tiang asas yang semakin dilupakan dalam masyarakat kita, iaitu Adab. Islam meletakkan garis adab yang amat tinggi dalam aspek siyāsah, termasuk adab melantik pemimpin.

Adab memilih pimpinan menuntut kita menilai calon berasaskan dua syarat utama yang ditegaskan al-Quran: Al-Qawiyyu Al-Amīn—iaitu keahlian yang berwibawa (competence) serta integriti dan sifat amanah yang tinggi (trustworthiness). Adab ini melarang kita mengangkat seseorang hanya kerana populariti, keahlian parti, atau gelaran agama semata-mata, terutamanya jika figura tersebut masih diselimuti garis syubhah, kecelaruan akidah, atau rekod komersial yang meragukan. Pemimpin tertinggi yang melantik wajib mengikut panduan ini, agar tidak memberi jawatan sesuka hati.

Buat para pemegang amanah dan institusi agama, adab kepimpinan menuntut ketelusan dan keberanian untuk menyatakan kebenaran di hadapan rakyat, bukannya membisu demi menjaga kedudukan politik. Apabila adab melantik pimpinan dipatuhi dan adab terhadap ilmu dipelihara, barulah kesucian akidah dapat dipertahankan dan keharmonian ummah akan terpelihara.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

104202
Hari ini: 570
Minggu Ini: 2,279
Bulan Ini: 570
Tahun Ini: 104,202
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.