Negara semakin hilang adab. Inilah realiti masyarakat Islam dalam negara yang sedang kita hadapi hari ini. Sudah berkali-kali Ulil Amri dalam negara memberi peringatan dan teguran kepada umat Islam, namun ia seakan-akan tidak diambil iktibar langsung. Di dalam titah terbarunya, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah telah menitahkan rasa dukacita yang amat mendalam terhadap krisis adab yang semakin parah merobek jiwa masyarakat Melayu dan umat Islam.
Maka mengapakah keruntuhan adab masih berlaku di dalam sebuah masyarakat yang saban hari berbangga dengan gelaran ummah beragama?
Maksud Adab Dan Akhlak
Dalam konteks Islam, Adab bukan sekadar bersopan-santun secara luaran. Sebagaimana yang dijelaskan oleh para ulama, adab adalah pengiktirafan dan pengakuan terhadap kedudukan sesuatu pada tempatnya yang betul. Ia bermula daripada kedudukan Allah SWT sebagai Pencipta, hirarki ilmu, sesama manusia, sehinggalah kepada alam sekitar.
Secara praktikalnya, adab adalah disiplin rohani dan minda yang menterjemahkan kefahaman agama menjadi tindakan yang betul. Seseorang yang mempunyai adab akan mengetahui bagaimana cara bercakap dengan orang lebih tua, bagaimana berbeza pandangan dengan ilmuwan, dan bagaimana mahu mengawal lidah serta jarinya di media sosial.
Pengajaran Sejarah
Kita menyaksikan keruntuhan adab di sekeliling kita. Perbezaan pendapat tidak lagi diurus dengan hikmah, sebaliknya diwarnai dengan fitnah, caci maki, dan pengkhianatan. Hubungan sesama manusia dipenuhi penipuan dan kebenjolan emosi, manakala hubungan dengan Sang Maha Pencipta dikotori dengan sikap nifaq serta kezaliman.
Kita telah membina satu bentuk keislaman yang terapung, sebuah kefahaman yang penuh dengan tata dan aturan luaran, tetapi tidak dipancang dengan hikmah dan doktrin ihsan yang menumbuhkan adab. Kita mengagungkan ilmu dan mengumpul hafalan, tetapi membuang adab yang sepatutnya mendasari ilmu tersebut.
Dalam relung sejarah Islam, para ulama muktabar tidak tergesa-gesa mengumpul ribuan hadis atau menguasai disiplin fiqh sebelum mereka mendidik jiwa dengan adab. Rekod sejarah mencatatkan, ramai dalam kalangan salafussoleh mempelajari dan mendidik adab pada diri mereka melebihi tempoh masa mereka mengumpul ilmu. Tanpa adab, ilmu hanya akan melahirkan manusia biadab yang bijak memanipulasi hukum. Tanpa adab, seorang umara atau pemimpin akan dengan mudah terpalit dengan skandal pengkhianatan, pecah amanah, dan keruntuhan moral.
Tamadun materialisme yang megah tanpa adab hanyalah menunggu masa untuk hancur. Kota-kota besar dan istana indah dalam sejarah akhirnya ditinggalkan menjadi runtuhan tanpa penghuni, bukan kerana ditelan bencana alam, tetapi kerana kebiadaban manusia yang menghuninya.
Era Kecerdasan Buatan (AI)
Keperluan menta'adibkan atau mengadabkan manusia ini menjadi semakin mendesak apabila kita melangkah ke era Kecerdasan Buatan (AI) dan automasi. Dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, teknologi bukan sahaja menukar lanskap kerja, tetapi berisiko menghakis kapasiti mental dan moral manusia.
Islam telah lama menyediakan hirarki pemeliharaan atau Maqasid Syariah: memelihara Agama, memelihara Nyawa, memelihara Akal dan Kesihatan Mental, memelihara Keturunan dan Keluarga, serta memelihara Harta. Apabila adab diletakkan di puncaknya, teknologi seperti AI akan dijadikan alat pengabdian, bukan alat pemusnah peradaban.
Tasawud Dan Ta’adib
Bagi merawat barah kebiadaban, umat Islam mesti berani kembali kepada teras pendidikan rohani yang hakiki iaitu Tasawuf dan Ta'adib.
Hari ini, wujud persepsi yang menakut-nakutkan masyarakat terhadap tasawuf, seolah-olah ia adalah ajaran asing yang berbahaya. Malah wujud juga pihak ajaran sesat yang menyamar sebagai pengamal dan pengajar tasawuf. Namun pepatah Inggeris mengatakan - “don't throw the baby out with the bathwater.” - yang membawa maksud jangan membuang sesuatu yang berharga atau penting, ketika menyingkirkan perkara yang tidak elok di dalamnya.
Tradisi tarekat mempunyai kepelbagaian wirid dan hizib mengikut salasilah syeikhnya. Namun, kunci utama tasawuf itu sendiri adalah sejagat: iaitu Tashdiq (memperakui kebenaran Tuhan) dan Taslim (tunduk patuh secara mutlak). Tasawuf yang sebenar adalah latihan adab harian. Amalan-amalan sederhana yang diajar oleh ibu bapa di rumah seperti mengajar anak bersifat jujur, mendidik hati supaya sentiasa ikhlas, membersihkan dada daripada hasad dengki, dan menghormati alam sekitar.
Kerosakan paling kritikal dalam politik hari ini—termasuk politik yang bertopengkan nama Islam—adalah ketiadaan adab. Kebiadaban politik ini berpunca daripada kekotoran hati yang kehilangan يلشخة†khasyiah ( ا) atau rasa
takut kepada kebesaran Allah, walaupun di bibir mereka lancar menjaja doktrin bahawa Tuhan itu Maha Melihat. Apabila mata hati (baṣīrah) ditutup oleh ilḥād dan tipu daya syaitan, mereka mula menganggap perbuatan fitnah, dendam, dan pengkhianatan itu sebagai 'jihad' atau syiar Islam yang sebenar.
Reformasi Pendidikan & Tadbir Urus
Justeru kepimpinan negara tidak boleh lagi bertindak secara ad-hoc atau sekadar menganjurkan kempen bermusim. Usaha memartabatkan kembali adab memerlukan suatu provokasi pemikiran dan desakan nasional untuk meletakkan kurikulum adab di tempatnya yang asal. Bukan satu pandangan yang ekstrem jika umat Islam mendesak agar pembelajaran tasawuf menerusi amalan amali dan ta’ādīb diwajibkan dari peringkat dasar sekolah sehinggalah ke peringkat universiti.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Bahagian Pendidikan Islam, serta agensi awal kanak-kanak seperti KEMAS, mesti meneliti semula kurikulum pendidikan agama. Pendidikan Islam tidak boleh lagi ditaksir semata-mata melalui gred peperiksaan bertulis atau hafalan hukum-hakam luaran. Kurikulum mesti diserapkan dengan modul Ta'adib dan Tazkiyah al-Nafs, dengan mengajar anak-anak adab berinteraksi dengan alam, tumbuhan, haiwan, sesama manusia berbeza pandangan, dan adab terhadap Sang Pencipta sejak dari bangku tabika lagi.
Setiap institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia mesti menawarkan kursus teras atau elektif mengenai Prinsip Adab dan Peradaban Islam kepada semua mahasiswa Muslim. Sebelum mereka dilatih menjadi jurutera, doktor, atau ahli politik, mereka mesti dibentuk dengan integriti rohani supaya tidak lahir graduan berilmu tetapi biadab dan mudah korup.
Media massa dan platform digital mesti menetapkan piawaian adab yang tegas. Budaya cancel culture, penyiaran fitnah, dan amalan maki-hamun di media sosial atas nama kebebasan bersuara mesti dihentikan melalui kesedaran adab berhujah.
Namun ummah ini mesti menyedari hakikat bahawa mencetak adab bermula di dalam rumah. Rumah adalah madrasah pertama di mana anak-anak mempelajari akhlak melalui teladan ibu bapa, seperti bagaimana tutur kata dijaga, bagaimana emosi dikawal, dan bagaimana ihsan dizahirkan dalam kehidupan seharian.
Umat Islam hari ini mungkin tidak panjang hayatnya untuk menyaksikan pohon peradaban berbuah sepenuhnya. Namun sebagaimana pesanan Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Imam Ahmad: “sekiranya kiamat sudah berada di hadapan mata dan di tanganmu ada sebatang benih kurma, maka teruskanlah menanamnya.”
Seruan para Sultan selaku Ulil ‘Amri merupakan cermin untuk masyarakat melihat kecacatan jiwa sendiri. Namun umat Islam dalam negara tetap berdegil, mengejar nafsu, kuasa dan harta, sambil berselindung dengan pelbagai alasan. Apakah susah atau mustahil untuk kita melihat kepada kelemahan hati masing-masing, dan menurut kembali tuntutan adab? Kerana hanya dengan adab, kita dapat membina semula sebuah peradaban yang diredhai Tuhan.
