DARI TANGER KE JABAL AL-‘ALAM: SEBUAH ZIARAH DAN PERJALANAN TAWAKAL

DARI TANGER KE JABAL AL-‘ALAM: SEBUAH ZIARAH DAN PERJALANAN TAWAKAL

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT yang telah mengurniakan kepada kita nikmat iman, Islam, al-Quran, kesihatan, masa dan kesempatan untuk duduk bersama-sama dalam majlis ilmu dan zikir.

Selawat dan salam kita panjatkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga Baginda, para sahabat dan mereka yang mengikuti Baginda dengan ihsan sehingga hari kiamat.

Disini saya ingin kongsikan sedikit kesah perjalanan saya ke Morroco. Satu peristiwa sejarah buat saya.

Pada Tahun 1979, ketika usia saya baru sekitar dua puluhan, saya bersama Sidi Haji Zahari Zakaria telah melakukan satu perjalanan ziarah di Maghribi yang hingga hari ini masih saya ingat dengan penuh rasa syukur.

Perjalanan itu bermula di Tanger dan akhirnya membawa kami ke Jabal al-‘Alam untuk menziarahi seorang wali Allah yang masyhur, Sidi ʿAbd al-Salam Ibn Mashish رحمه الله.

Pada waktu itu, saya masih terlalu muda untuk memahami sepenuhnya makna perjalanan tersebut. Saya hanya tahu bahawa kami menerima satu arahan daripada Shaykh ʿAbd al-Qadir al-Sufi رحمه الله, dan kami perlu melaksanakannya.

Hari ini, setelah hampir lima puluh tahun berlalu, saya melihat perjalanan itu dengan pandangan yang sangat berbeza.

Saya mula memahami bahawa perjalanan tersebut bukan sekadar perjalanan dari Tanger ke Jabal al-‘Alam. Ia adalah sebahagian daripada tarbiah seorang salik—belajar mendengar, berjalan, mencari, bersabar, berkhidmat, bertawakal dan akhirnya melihat kembali semua pengalaman itu dengan hati yang lebih matang.

Arahan yang ringkas, tetapi membawa perjalanan yang panjang

Perjalanan itu bukanlah perjalanan yang kami rancangkan sendiri.

Shaykh ʿAbd al-Qadir al-Sufi رحمه الله meminta kami pergi ke Tanger untuk mencari dan menziarahi Sidi Haji Ahmad.

Itulah sahaja arahannya.

Kami tidak diberikan alamat, nombor telefon atau petunjuk jalan yang terperinci. Kami hanya diberikan nama dan amanah untuk pergi mencari beliau.

Pada tahun 1979, keadaan tentu sangat berbeza daripada hari ini. Tiada telefon bimbit, tiada internet dan tiada Google Maps. Kami tidak mempunyai peta yang terperinci, apatah lagi cara mudah untuk menghubungi seseorang yang hanya diketahui namanya.

Namun kami pergi.

Pada ketika itu, sebagai anak muda yang sedang belajar dalam perjalanan kerohanian, kami menerima arahan Shaykh sebagai sesuatu yang perlu dilaksanakan. Kami tidak merasa perlu untuk mengetahui seluruh perjalanan sebelum memulakannya.

Hari ini saya memahami bahawa dalam perjalanan seorang salik, ketaatan kepada arahan Shaykh bukan semata-mata soal menurut secara zahir, tetapi juga belajar untuk berjalan dengan adab, tujuan dan kesediaan menerima pelajaran yang mungkin tersembunyi di sebalik sesuatu arahan.

Seorang murid tidak semestinya perlu mengemukakan terlalu banyak soalan kepada setiap arahan. Setiap arahan boleh mempunyai pengajarannya sendiri.

Arahan supaya kami pergi mencari Haji Ahmad, misalnya, pada pandangan saya hari ini memberi satu isyarat bahawa Shaykh sangat menghormati para fuqara dan orang-orang yang mempunyai ilmu serta pengalaman agama, walaupun mereka mungkin tidak dikenali oleh dunia luar.

Kami disuruh berjalan, tetapi bukan berjalan tanpa tujuan.

Kami disuruh mencari, tetapi dalam pencarian itu mungkin ada sesuatu yang sebenarnya sedang mencari kami.

Mencari Sidi Haji Ahmad di Tanger

Sesampainya kami di Tanger, kami bertemu dengan seorang pemuda tempatan yang mengatakan bahawa beliau mengenali Haji Ahmad dan boleh membawa kami kepadanya.

Kami menerima tawarannya.

Kemudian kami mendapat tahu bahawa pemuda tersebut sebenarnya sedang berdepan dengan cabaran kehidupan yang agak berat. Namun pada waktu itu, kami menerimanya dengan penuh tawakal.

Pemuda itu membawa kami mencari Haji Ahmad dari pagi hingga hampir waktu Maghrib.

Masalahnya, nama Haji Ahmad di Tanger bukanlah sesuatu yang jarang. Terlalu ramai yang mempunyai nama tersebut. Keadaan kami ketika itu boleh diibaratkan seperti mencari seorang bernama John di London.

Namun setelah seharian mencari, akhirnya kami berjaya mengenal pasti Haji Ahmad yang dimaksudkan.

Rumah beliau pula agak jauh dan hari sudah hampir Maghrib. Kami tidak sempat untuk pergi ke rumahnya pada malam itu.

Maka kami menuju ke sebuah masjid untuk bermalam.

Adab orang Maghribi melayan tetamu

Satu perkara yang sangat memberi kesan kepada saya dalam pengalaman di Maghribi ialah adab mereka melayan tetamu.

Setelah kami sampai di masjid, kami diperkenalkan kepada imam masjid. Kami menjelaskan kepada beliau bahawa kami adalah musafir dan sedang mencari Sidi Haji Ahmad atas satu amanah yang diberikan kepada kami.

Tanpa banyak soal, imam masjid tersebut terus mengajak kami menginap di rumahnya.

Kami sangat menghargai pelawaan itu, tetapi kami merasakan bahawa memadai sekiranya kami mendapat izin untuk tidur di masjid sahaja. Kami tidak mahu menyusahkan beliau dan berasa lebih selesa begitu.

Selepas solat Isyak, sesuatu yang tidak kami sangka berlaku.

Ada seseorang datang menghantar makanan untuk kami.

Saya masih ingat hidangan itu—setalam couscous dengan seekor ayam yang dibelah dua, khusus untuk kami.

Masya-Allah.

Murah sungguh rezeki kami malam itu.

Kami hanyalah dua orang anak muda yang datang dari jauh, tanpa kenalan dan tanpa mengetahui dengan tepat ke mana perjalanan ini akan membawa kami. Namun Allah menemukan kami dengan manusia yang memuliakan tetamu dan memberi kami makan tanpa kami meminta.

Peristiwa kecil seperti ini, apabila dikenang kembali selepas hampir lima puluh tahun, terasa begitu besar maknanya.

Ia mengingatkan saya bahawa memuliakan tetamu bukan sekadar adat. Ia adalah sebahagian daripada akhlak Islam yang hidup dalam masyarakat.

Bertemu Sidi Haji Ahmad

Keesokan harinya kami pergi ke rumah Sidi Haji Ahmad.

Kami ketika itu hanyalah pelajar berusia sekitar dua puluhan. Kami datang bukan kerana kedudukan atau nama kami sendiri, tetapi kerana membawa satu amanah: kami datang atas arahan Shaykh ʿAbd al-Qadir al-Sufi رحمه الله.

Kami menyampaikan salam daripada Shaykh dan saling bertanya khabar.

Kami dilayan dengan penuh hormat dan kemuliaan.

Kebetulan pada waktu itu ada seorang anak muda yang boleh berbahasa Inggeris dan membantu kami berkomunikasi. Jika tidak, mungkin perbualan kami akan menjadi seperti ayam dan itik.

Di rumah Sidi Haji Ahmad, kami duduk bersama, berzikir dan berwirid. Beliau memberikan nasihat kepada kami. Tidak semua yang disampaikan dapat saya ingat selepas begitu lama, tetapi beberapa perkara kekal dalam ingatan.

Antaranya ialah kepentingan berpegang teguh kepada jalan agama.

Dan satu nasihat yang sangat jelas:

Jangan tinggalkan solat.

Nasihat itu bukan sahaja ditujukan kepada kami, bahkan juga kepada pemuda yang telah menemani kami mencari Haji Ahmad.

Apabila saya fikirkan kembali hari ini, saya tertanya-tanya apakah pertemuan itu mempunyai makna yang lebih luas.

Pemuda yang pada awalnya hanya kami kenali sebagai orang yang membantu kami mencari Haji Ahmad akhirnya turut duduk bersama seorang yang soleh dan mendengar nasihat tentang solat dan agama.

Mungkin sahaja—dan saya menyebutnya sebagai renungan, bukan sebagai sesuatu yang dapat saya pastikan—Allah sedang membuka satu jalan untuk pemuda itu kembali mendekati-Nya.

Mungkin perjalanan kami untuk mencari Haji Ahmad bukan hanya membawa kami kepada Haji Ahmad.

Ia mungkin juga membawa seorang pemuda kepada satu peringatan yang sangat penting dalam kehidupannya.

Kemudian kami menerima arahan seterusnya:

Pergilah ke Jabal al-‘Alam dan ziarah Sidi ʿAbd al-Salam Ibn Mashish رحمه الله.

Menuju Jabal al-‘Alam

Kami menyewa sebuah kereta dan meneruskan perjalanan bersama Sidi Haji Zahari Zakaria.

Dalam perjalanan mendaki gunung, jalannya berliku-liku. Alhamdulillah, Haji Zahari sangat cekap memandu.

Ketika itu timbul satu persoalan dalam hati saya:

Apa sebenarnya yang ada di atas gunung ini?

Kami diberitahu bahawa di sana terdapat makam seorang wali Allah untuk diziarahi.

Tetapi sebagai anak muda berusia dua puluhan, saya tertanya-tanya juga: Apakah yang hendak saya doakan? Apakah yang saya harapkan daripada lawatan ini?

Pada usia seperti itu, kebanyakan anak muda tentu lebih banyak memikirkan keseronokan dan pengalaman dunia. Kami pula sedang mendaki sebuah gunung semata-mata untuk menziarahi makam seorang wali yang hidup berabad-abad sebelumnya.

Saya sendiri belum memahami sepenuhnya mengapa perjalanan itu begitu penting.

Kami sampai di kawasan Jabal al-‘Alam ketika hampir Maghrib.

Ketika itu hari sudah gelap. Dalam keadaan cahaya yang semakin kurang, saya melihat orang-orang Maghribi berjalan menuju ke satu arah. Dari kejauhan, dalam keadaan yang samar, mereka kelihatan seperti bayang-bayang manusia yang bergerak bersama-sama.

Dalam hati saya timbul sedikit rasa takut.

Saya berkata kepada guide kami, lebih baik kita turun sahaja. Tempat ini masih asing bagi kami, keadaan pula sudah gelap dan kami tidak benar-benar mengetahui apa yang menunggu di atas.

Tetapi kami teruskan juga.

Akhirnya kami turun sedikit dari kawasan atas untuk mencari tempat yang sesuai mendirikan khemah. Di situlah kami bermalam.

Pagi di Jabal al-‘Alam

Keesokan harinya, setelah selesai bersarapan, suasana berubah sama sekali.

Matahari mula memancar dan cahaya pagi menerangi alam sekitar. Walaupun matahari sudah cerah, udara tetap dingin kerana kami berada di kawasan yang tinggi.

Kami sedar bahawa sebelum matahari semakin meninggi, kami perlu berada di atas.

Maka kami pun mendaki semula.

Semakin tinggi kami naik, semakin terasa keindahan alam gunung itu. Jalan yang pada malam sebelumnya menimbulkan rasa takut kini kelihatan dalam cahaya pagi yang begitu berbeza.

Apabila kami sampai di kawasan makam, kami dapati sudah ramai orang datang menziarah.

Pada ketika itulah saya mula melihat tempat tersebut dengan mata yang berbeza daripada malam sebelumnya.

Makam yang sederhana

Makam Sidi ʿAbd al-Salam Ibn Mashish رحمه الله pada masa kami menziarahinya sangat sederhana.

Di kawasan tersebut terdapat sebuah masjid yang dikaitkan dengan tempat ibadah beliau. Bangunannya juga sederhana, berbentuk empat segi panjang, kira-kira 7 × 4 meter. Dindingnya tersusun daripada batu dan bata, seakan-akan bahan yang digunakan pada binaan makam.

Bahagian atasnya terbuka tanpa siling. Apabila kami masuk, kami dapat merasakan angin gunung yang bertiup perlahan.

Kesederhanaan tempat itu sendiri memberi satu kesan kepada saya.

Tiada kemewahan.

Tiada sesuatu yang dibuat untuk menarik perhatian manusia.

Hanya sebuah tempat di atas gunung, batu-batu, masjid yang sederhana dan makam seorang hamba Allah yang kehidupannya telah berlalu begitu lama.

Tetapi manusia tetap datang.

Di hadapan makam Sidi ʿAbd al-Salam Ibn Mashish

Kami memberi salam kepada Shaykh ʿAbd al-Salam dengan penuh adab.

Kemudian kami mencari tempat untuk duduk di celah-celah batu.

Kami membaca Yasin dan melakukan zikir serta wirid yang telah kami pelajari.

Saya duduk menghadap makam itu dan cuba memahami siapakah manusia yang kami datang untuk ziarahi. Pada tahun 1979, kami tidak ada internet digunung, tidak ada telefon bimbit untuk kami cari maklumat. Kami redha dengan ketentuan dan aturan Allah swt.

Dalam hati terasa seolah-olah kami sedang berada di hadapan seseorang yang hidupnya benar-benar telah dihabiskan untuk Allah.

Terasa seorang Shaykh yang tidak berhenti berzikir.

Terasa seorang manusia yang seluruh hidupnya telah diarahkan kepada pengabdian kepada Allah.

Dan tiba-tiba timbul dalam diri saya satu keinginan:

Alangkah baiknya kalau saya dapat mengikuti amal seperti ini.

Bukan kerana makam itu sendiri, tetapi kerana kehidupan orang yang berada di dalamnya telah meninggalkan kesan yang begitu panjang.

Saya terasa kecil.

Saya terasa betapa sedikitnya ilmu yang saya ada.

Saya terasa seolah-olah ada satu nur daripada kehidupan seorang wali yang masih memberi manfaat kepada manusia yang datang selepasnya.

Kami terus berada di situ sehingga hampir waktu Zuhur.

Di bawah sedikit daripada makam terdapat sebuah masjid. Apabila masuk waktu Zuhur, kami turun ke masjid tersebut untuk menunaikan solat.

Seolah-olah Shaykh masih hidup

Satu perkara yang begitu mengesankan saya ialah suasana di sekeliling makam.

Ramai manusia datang dan pergi.

Ada yang membaca al-Quran, ada yang berzikir dan berdoa, dan ada yang duduk dengan tenang.

Tempat itu hidup.

Dalam usia kami yang masih muda ketika itu, saya merasakan seolah-olah Shaykh masih hidup.

Bukan dalam pengertian bahawa jasadnya masih hidup, tetapi kerana kesan kehidupannya terus hidup dalam masyarakat.

Beliau telah berkhidmat ketika hidupnya, dan selepas kewafatannya masyarakat masih datang, mengingati Allah, berzikir, membaca al-Quran dan mengambil pengajaran daripada kehidupannya.

Saya terfikir bahawa inilah antara bentuk kehidupan seorang wali yang terus memberi kesan kepada masyarakat. Ini dapat saya bandingkan dengan keadaan di makam wali Sunan Ampel di Indonesia. Bandar dan pasar terbentuk disekitar makam dan pengunjung kedua dua pasar dan makam memeriahkan kehidupan umat.

Seseorang mungkin telah meninggalkan dunia, tetapi ilmu, amal, akhlak, tarbiah dan teladan yang ditinggalkannya boleh terus hidup.

Segala manfaat hakiki tetap daripada Allah سبحانه وتعالى. Tetapi Allah boleh menjadikan kehidupan seorang hamba yang soleh sebagai sebab untuk manusia lain mengingati-Nya.

Sekali lagi, kami dijemput makan

Selesai solat Zuhur, kami bersiap untuk turun kerana perjalanan kembali ke Tanger masih jauh.

Tiba-tiba kami didatangi seorang lelaki berjubah lengkap dengan turbus, penutup kepala tradisional Maghribi.

Beliau memberi salam dan bertanya dari mana kami datang. Cara beliau bertanya begitu mesra, seolah-olah benar-benar ingin mengenali kami.

Kami menjelaskan bahawa kami datang dari England dan asalnya dari Malaysia.

Sebaik sahaja mendengar penjelasan itu, beliau memegang tangan saya dan mengajak kami makan tengah hari di rumahnya.

Kami mendapatkan persetujuan guide kami dan menerima pelawaan tersebut. Rumah yang sederhana tetapi penghuninya mempunyai hati sebesar lautan.  Mereka sangat meraikan tetamu dan musafir. 

Jelas bagi saya dapat melihat sendiri satu akhlak yang sangat mengesankan daripada masyarakat Maghribi:

memuliakan tetamu dan memberi makan kepada musafir.

Bagi mereka, melayan tetamu bukan sekadar adat. Ia adalah amalan yang mereka kaitkan dengan sunnah Rasulullah ﷺ dan satu bentuk ibadah. Mereka tahu doa musafir itu tidak berhijab dan beliau mohon kami berdoa untuk diri dan keluarganya.

Kami datang sebagai orang asing. Tidak dikenali dan tidak mempunyai hubungan keluarga dengan mereka. Namun kami diterima sebagai tetamu.

Dan mereka memberi kami makan.

Dari masjid di Tanger hingga ke rumah seorang yang tidak kami kenali di Jabal al-‘Alam, pengalaman yang sama berulang.

Musafir diberi tempat. Tetamu diberi makan. Orang asing dimuliakan.

Itulah salah satu kenangan yang paling saya hargai daripada perjalanan tersebut.

Ziarah sebagai satu bentuk tarbiah

Apabila saya melihat kembali perjalanan ini hari ini, saya semakin memahami bahawa setiap arahan yang diberikan oleh Shaykh mempunyai kemungkinan pelajaran yang tersendiri.

Arahan pertama:

Pergi ke Tanger. Cari Haji Ahmad.

Kami tidak tahu apa yang menanti.

Kami mencari sepanjang hari.  Kami dipertemukan dengan seorang pemuda yang tidak kami kenali.

Kami bermalam di masjid.  Kami menerima makanan yang tidak disangka.

Kami bertemu Haji Ahmad.  Kami duduk berzikir dan menerima nasihat supaya berpegang kepada agama dan jangan meninggalkan solat.

Kemudian kami menerima arahan kedua:

Pergi ke Jabal al-‘Alam. Ziarah Sidi ʿAbd al-Salam Ibn Mashish.

Kami pun berjalan.

Semua ini bagi saya hari ini kelihatan seperti satu rangkaian tarbiah.

Pada masa itu kami hanya melaksanakan arahan.

Hari ini saya melihat bahawa arahan tersebut mengajar kami berjalan dengan tujuan.  Bukan sekadar berjalan kerana ada jalan.

Bukan sekadar mencari kerana ada sesuatu yang hendak dicari.

Tetapi berjalan dengan niat untuk kembali kepada Allah.

Hampir lima puluh tahun kemudian

Apabila saya mengenang kembali pengalaman ini selepas hampir lima puluh tahun, ada bahagian-bahagian daripada perjalanan tersebut yang baru sekarang saya mula mengerti.

Ketika berusia dua puluhan, saya hanya melihat sebuah gunung.

Hari ini saya melihat sebuah perjalanan.

Dahulu saya hanya melihat sebuah makam.

Hari ini saya melihat kesan sebuah kehidupan.

Dahulu saya tertanya-tanya apakah yang perlu saya doakan di makam seorang wali.

Hari ini saya lebih memahami bahawa antara perkara yang paling penting dalam ziarah ialah mengambil iktibar daripada kehidupan orang yang diziarahi.

Saya melihat seorang manusia yang hidupnya diabdikan kepada Allah sehingga selepas kewafatannya pun manusia masih datang, mengingati Allah dan mengambil manfaat daripada jejak kehidupannya.

Dan mungkin itulah yang paling saya bawa pulang daripada Jabal al-‘Alam.

Bukan sekadar kenangan bahawa saya pernah sampai ke sana.

Tetapi satu pertanyaan kepada diri sendiri:

Apakah yang akan tinggal daripada hidup saya apabila saya sudah tiada?

Adakah orang akan mengingati Allah kerana sesuatu yang pernah saya lakukan?

Adakah ada ilmu yang terus dimanfaatkan?

Adakah ada manusia yang pernah saya bantu?

Adakah ada kehidupan yang menjadi lebih baik kerana saya pernah hadir di dalamnya?

Itulah soalan yang dahulu tidak saya fikirkan.

Tetapi hari ini, selepas perjalanan hidup yang panjang, soalan itu terasa semakin penting.

Saya juga semakin memahami bahawa perjalanan seorang salik bukan semestinya perjalanan yang kita fahami sejak awal.

Kadangkala kita hanya diberi satu arahan.

Kita berjalan.

Kemudian Allah membuka jalan berikutnya.

Kita mencari seseorang.

Kemudian kita dipertemukan dengan orang lain.

Kita menyangka kita sedang menuju kepada satu tempat.

Tetapi dalam perjalanan itu, hati kita sebenarnya sedang dibawa menuju kepada sesuatu yang lebih dalam.

Sering kita rasa kita sedang mencari Allah, sebenarnya kitalah yang sedang dicari.

Mungkin itulah rahsia perjalanan ini.

Pada usia dua puluhan, saya menyangka saya sedang mencari Sidi Haji Ahmad.

Kemudian saya menyangka saya sedang menuju ke Jabal al-‘Alam untuk menziarahi Sidi ʿAbd al-Salam Ibn Mashish.

Tetapi hampir lima puluh tahun kemudian, saya melihatnya dengan pandangan yang berbeza.

Mungkin sejak awal lagi, Allah sedang membawa saya mencari diri saya sendiri—supaya akhirnya saya belajar mencari-Nya.

Wassalam

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

106546
Hari ini: 628
Minggu Ini: 4,623
Bulan Ini: 2,914
Tahun Ini: 106,546
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.