SAYA MENEMUI GURU

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT yang telah mengurniakan kepada kita nikmat iman, Islam, al-Quran, kesihatan, masa dan kesempatan untuk duduk bersama-sama dalam majlis ilmu dan zikir.

Selawat dan salam kita panjatkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga Baginda, para sahabat dan mereka yang mengikuti Baginda dengan ihsan sehingga hari kiamat.

Di sini saya ingin kongsikan pengalaman saya “mencari” seorang Shaykh khasnya Shaykh Mursyid. Perkataan “mencari” dalam kes ini lebih sesuai dikatakan saya menemui seorang guru.

Ketika saya sampai di Norwich, England pada tahun 1978, tujuan utama saya hanyalah untuk belajar dan berjaya mendapat segulung ijazah.  Saya datang sebagai seorang anak muda yang ingin melanjutkan pelajaran, mengikuti A-Level dan seterusnya menyambung pengajian ke universiti mengambil ijazah matematik. Saya tidak pernah membayangkan bahawa perjalanan ke England itu akhirnya akan mempertemukan saya dengan seorang Shaykh dan membuka satu perjalanan lain dalam hidup saya — perjalanan mencari ilmu, mengenal diri dan mendekatkan diri kepada Allah swt.
 
Pada awalnya saya tidak begitu memahami dunia Islam, tasawuf dan tarekat. Boleh dikatakan Islam saya hanyalah agama keturunan, alhamdulillah dilahirkan dalam keluarga agama.  
Saya hanya mengetahui bahawa terdapat sekumpulan orang Islam di Norwich yang dipimpin oleh seorang Shaykh. Saya juga pernah diberi peringatan oleh senior supaya berhati-hati dan jangan terlalu dekat dengan kumpulan tersebut kerana mereka solat dengan tangan di sisi, bukan bersedekap seperti yang biasa saya lihat.
 
Setelah bertanyatanya, barulah saya mengetahui bahawa mereka mengikuti mazhab Iman Maliki. Apa yang pada mulanya kelihatan asing kepada saya sebenarnya mempunyai asas dalam tradisi ilmu Islam yang muktabar.
 
Namun, pada waktu itu saya belum mempunyai keinginan untuk menjadi murid sesiapa. Saya tidak ada langsung ide untuk berguru.  Saya masih melihat kehidupan saya sebagai seorang pelajar. Saya datang untuk belajar dan mendapatkan kelayakan akademik. Tetapi Allah mempunyai perancangan yang lebih luas daripada apa yang saya bayangkan.
 
Pertemuan yang membangkitkan rasa ingin tahu
 
Pada suatu petang selepas solat Asar, saya menghadiri satu majlis ilmu yang disampaikan oleh Shaykh Abdal Qadir AsSufi.
 
Setelah selesai Shaykh memberi kuliah, beliau memandang ke arah seorang anak muda bukan Islam hadir dalam majlis tersebut. Shaykh memandangnya lalu bertanya:
 
“Are you Muslim?”
 
Pemuda itu menjawab bahawa dia bukan Islam… “No!” Dengan pantas.
 
Shaykh kemudian berkata kepadanya:
 
“But you have a Muslim look!”
 
Kata-kata itu kelihatan sederhana, tetapi suasana selepas itu sangat menarik. Pemuda tersebut terus berbicara dengan Shaykh dan akhirnya beliau menerima pelawaan memeluk Isam dan beliau mengucapkan syahadah. Setelah selesai, suasana di masjid begitu meriah dengan ucapan tahniah kepada pemuda tersebut, ada yang bagi tasbih, ada yang sarungkan serban dan suasana itu tidak dapat saya lupakan. Saya cuma jadi pemerhati, saya segan untuk kedepan. 
 
Peristiwa itu memberi kesan yang mendalam kepada saya.
 
Saya mula tertanya-tanya: Siapakah sebenarnya orang ini? Apakah ilmu yang ada padanya sehingga cara beliau berbicara dan membawa agama mampu menyentuh hati seseorang?
 
Daripada rasa ingin tahu itu timbul bunga keinginan untuk belajar dengannya.
 
Tetapi saya masih muda. Walaubagaimana pun saya tahu penting berguru dalam beragama.  Ayah saya pun berguru di Kelantan.  Saya tidak tahu bagaimana memilih seorang guru. Saya juga bimbang tersalah memilih guru. Dalam perkara agama, saya merasakan bahawa keputusan seperti itu bukan sesuatu yang boleh dibuat secara terburu-buru.
 
Lalu saya teringat kepada ayah.
 
Pesanan Ayah
 
Pada hujung tahun, ketika saya pulang bercuti, saya mengambil kesempatan untuk bertanya kepada ayah tentang keinginan saya belajar dengan Shaykh.
 
Saya ceritakan kepada ayah tentang Shaykh, tentang majlis ilmu yang saya hadiri dan tentang ilmu yang beliau ajarkan. Saya terangkan bahawa Shaykh banyak berbicara tentang Islam, tasawuf, tarekat, pembentukan diri dan dakwah.
 
Ayah mendengar dengan teliti. Kemudian beliau bertanya:
 
“Ilmu apa yang Shaykh ajar?”
 
Saya menjelaskan sekali lagi tentang tasawuf dan tarekat serta bagaimana Shaykh mengajak orang kafir kembali kepada Allah bukan hanya melalui pengetahuan, tetapi melalui perubahan diri dan kehidupan.
 
Setelah mendengar penjelasan saya, ayah berkata:
 
“Anak, pergilah belajar dengan dia kerana ilmu yang dia ajar itu tinggi dan ayah tidak mampu mengajarnya.”
 
Kata-kata itu sangat saya ingat sehingga hari ini.
 
Saya melihat jawapan ayah bukan sekadar memberikan izin kerana saya meminta. Ayah sendiri mempunyai latar belakang ilmu agama dan pernah berguru dengan Tok Kenali. Oleh itu, ayah memahami bahawa ilmu tasawuf dan pembentukan rohani bukan perkara yang boleh dipandang ringan. Beliau mungkin tidak mengenali Shaykh secara peribadi, tetapi beliau dapat memahami jenis ilmu yang saya ceritakan dan melihat bahawa ilmu itu mempunyai tempat yang tinggi dalam tradisi Islam.
 
Pada masa yang sama, ayah tetap mengingatkan saya supaya tidak mengabaikan tanggungjawab saya sebagai seorang pelajar:
 
“Jangan abaikan pengajian ilmu hisab yang kerajaan suruh belajar itu.”
 
Nasihat itu sangat menggambarkan cara ayah melihat kehidupan. Belajar agama tidak bermakna meninggalkan tanggungjawab terhadap ilmu dunia. Saya perlu bersungguh-sungguh dalam pengajian akademik, tetapi pada masa yang sama tidak menutup hati daripada ilmu yang membentuk manusia.
 
Saya pulang ke England dengan hati yang lebih tenang. Saya sudah mendapat restu ayah.
 
Tetapi satu persoalan masih belum terjawab:
 
Bagaimana saya hendak memberitahu Shaykh bahawa saya mahu menjadi muridnya?
 
Kembali ke Norwich
 
Selepas pulang daripada cuti, saya berpindah daripada Hill House Road, kira-kira lima kilometer dari kolej, ke Grove Road yang lebih dekat dengan tempat pengajian dan masjid.
 
Rumah itu sederhana tetapi selesa. Ada bilik mandi, dapur dan sebuah ruang tamu yang menjadi tempat saya belajar, makan dan kadang-kadang tidur. Kehidupan saya kembali kepada rutin sebagai seorang pelajar.
 
Saya mula memberi perhatian yang lebih serius kepada pengajian A-Level 1979. Saya telah berjanji kepada ibu bapa bahawa saya akan belajar bersungguh-sungguh dan mendapatkan keputusan yang baik.
 
Dalam masa yang sama, saya terus ke masjid dan mengikuti majlis-majlis ilmu apabila ada kesempatan.
 
Keinginan untuk belajar dengan Shaykh semakin kuat, tetapi saya masih tidak tahu bagaimana untuk memulakannya.
 
“Ya Shaykh, I want to be your murid”
 
Pada suatu hari selepas solat Zuhur, Shaykh mengajak saya makan tengah hari di rumahnya.
 
Kami berjalan bersama menuju ke rumah Shaykh di Christ Church Road.
 
Saya masih ingat cara beliau berjalan. Shaykh tinggi dan langkahnya agak laju. Saya yang ketika itu baru berusia sekitar 19 tahun berjalan di sebelahnya sambil berfikir bagaimana hendak menyampaikan hasrat yang selama ini saya simpan.
 
Saya mahu meminta menjadi muridnya.
 
Tetapi bagaimana hendak mengatakannya?
 
Saya tidak menyediakan ucapan. Saya tidak tahu apakah adab yang tepat. Saya hanya berjalan dan berfikir.
 
Apabila sampai di hadapan rumah, Shaykh menekan loceng menunggu pintu dibuka.  Saya duduk dibawa juga menunggu jawapan Shaykh.  Terasa terlalu lama untuk pintu di buka.  Shaykh tidak menjawab. Apabila pintu dibuka beliau berpaling ke arah saya dan berkata:
 
“Welcome.”
 
Saya menjawab:
 
“Thank you.”
 
Entah bagaimana, pada saat itu saya terus berkata:
 
“Ya Shaykh, I want to be your murid.”
 
Shaykh memandang saya dan diam seketika kemudian menjawab:
 
“Zuhaimy, keep company.”
 
Sebuah arahan daripada Shaykh tanpa menjawab soalan saya mohon menjadi muridnya dan kami masuk ke dalam rumah.
 
Hanya itu.
 
Tidak ada upacara khusus. Tidak ada penjelasan panjang. Tidak ada lafaz yang saya fahami sebagai satu bentuk penerimaan formal menjadi murid.
 
Saya sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku.
 
Adakah saya sudah menjadi murid? Adakah permohonan itu terlalu remeh? Fikiran penuh dengan pertanyaan.. terasa malu dengan Shaykh.
 
Atau adakah Shaykh hanya meminta saya terus bersama dan belajar dahulu?
 
Saya tidak mempunyai jawapannya.
 
Di rumah Shaykh
 
Di rumah Shaykh sudah ada beberapa orang fuqara. Saya melihat bahawa orang yang datang ke rumah beliau akan dilayan sebagai tetamu. Makanan disediakan dan mereka makan bersama. Mereka makan setalam tetapi menggunakan sudu bukan dengan jari. Itu budaya baru bagi saya.
 
Selepas itu kami membaca qasidah. Shaykh memberikan nasihat dan berbicara tentang agama, kehidupan dan perjalanan manusia menuju Allah.
 
Saya pulang ke rumah dengan hati yang penuh persoalan.
 
Saya telah menyatakan keinginan saya dengan jelas.
 
Tetapi jawapan Shaykh hanya:
 
“Keep company.”
 
Saya belum memahami maksudnya.
 
Namun saya terus hadir setiap majlis ilmu apabila ada kesempatan.
 
Pada waktu itu kehidupan saya tetap tertumpu kepada pelajaran. Saya juga terlibat dalam beberapa kegiatan mahasiswa dan masyarakat Islam, termasuk usrah Jemaah Islah Malaysia, Winter Gathering, Jemaah Tabligh dan Suara Islam. Tetapi semakin lama, saya mula menyedari bahawa ada sesuatu yang berbeza pada majlis Shaykh. Majlis majlis ini tidak menyentuh hati saya, tidak seperti ketika berada dalam majlis Shaykh Abdal Qadir. Tidak ada kurangnya majlis ilmu lain yang kurang adalah diri saya sendiri. 
 
Memahami kata-kata Shaykh
 
Kemudian saya mula menghadiri majlis zikir dan pengajian yang diadakan di Masjid Ehsan serta di rumah-rumah beberapa orang fuqara.
 
Dalam salah satu majlis, Shaykh menerangkan tentang tarekat Darqawiyyah dan pentingnya keep company — hidup bersama dan mendampingi orang-orang yang sedang berjalan menuju Allah.
 
Shaykh memberikan beberapa perumpamaan yang mudah difahami.
 
Jika seseorang sakit, dia mencari doktor.
 
Jika mahu membaiki kereta, dia mencari mekanik yang baik.
 
Orang yang berkawan dengan pencuri akan belajar daripada pencuri. Orang yang sentiasa bersama peminum akan mudah terikut dengan kehidupan mereka.
 
Begitu juga seseorang yang mahu berubah menuju Allah perlu mendampingi orang-orang yang sedang berusaha untuk berubah. Berubah untuk kembali kepada Allah kerana semua kita akan bertemu Allah dan menjawab setiap perlakuan kita didunia ini.
 
Saya mula memahami bahawa perubahan manusia bukan hanya berlaku melalui membaca buku atau mendengar kuliah. Persekitaran, sahabat dan orang yang kita dampingi mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap hati dan kehidupan kita.
 
Di sinilah saya mula memahami jawapan Shaykh kepada saya:
 
“Keep company.”
 
Bukan sekadar datang untuk mendapatkan ilmu daripada seorang guru, tetapi hidup bersama satu lingkungan manusia yang sedang berusaha menghidupkan agama dalam diri mereka.
 
Belajar tanpa kelas yang formal
 
Shaykh tidak mengajar saya seperti seorang pensyarah di dalam kelas dengan silibus yang tersusun.
 
Ilmu datang dalam pelbagai keadaan.
 
Kadang-kadang selepas zikir.
 
Kadang-kadang ketika berjalan.
 
Kadang-kadang di rumahnya.
 
Kadang-kadang melalui perbualan ringkas.
 
Kadang-kadang melalui satu ayat al-Quran atau hadis.
 
Kadang-kadang melalui kisah para awliya.
 
Saya mula belajar bahawa ilmu agama bukan hanya untuk diketahui, tetapi untuk diamalkan.
 
Shaykh berbicara tentang al-Quran, hadis, akidah, penciptaan, akal, nafsu dan kehidupan manusia. Banyak perkara yang pada ketika itu saya belum mampu fahami sepenuhnya.
 
Namun sesuatu telah mula berubah dalam diri saya.
 
Saya mula melihat agama bukan hanya sebagai pengetahuan yang perlu dipelajari untuk menjawab soalan peperiksaan, tetapi sebagai jalan untuk membentuk manusia.
 
Pada satu ketika Shaykh pernah menyebut:
 
“Only thirsty man drink.”
 
Kata-kata itu ringkas tetapi semakin lama semakin saya faham.
 
Orang yang haus akan mencari air.
 
Orang yang benar-benar mempunyai keperluan kepada Allah akan mencari jalan untuk mendekatkan diri kepada-Nya.
 
Begitu juga dengan zikir. Majlis zikir bukan sekadar satu pertemuan biasa. Ia menjadi tempat para fuqara berkumpul, mengingati Allah, menguatkan antara satu sama lain dan menyuburkan kembali hati yang mungkin menjadi lemah kerana kehidupan dunia.
 
Saya juga teringat kata-kata Abu Madyan dalam kitab “100 steps” karangan shaykh tentang kehidupan bersama para fuqara — bahawa di situlah seseorang dapat merasakan satu bentuk kegembiraan dan kemanisan hidup yang sukar ditemui dalam kesibukan dunia.
 
Ilmu yang mengubah cara melihat kehidupan
 
Semakin lama saya mengikuti pengajian Shaykh, semakin saya memahami bahawa tasawuf bukan ilmu yang terpisah daripada kehidupan.
 
Ia bukan sekadar membicarakan pengalaman kerohanian.
 
Ia berkaitan dengan bagaimana seseorang mengenal dirinya, membersihkan hatinya, memperbaiki akhlaknya dan menjalani kehidupan sebagai hamba Allah.
 
Dalam salah satu pengajian tentang tasawuf yang kemudiannya saya catat dalam karya 100 Langkah, saya mula memahami beberapa asas pemikiran para ahli tasawuf.
 
Saya teringat kata-kata Imam Junayd:
 
“Seandainya aku tahu ada ilmu lain yang lebih tinggi daripada tasawuf, tentu aku akan pergi mencarinya, sekalipun terpaksa merangkak.”
 
Kata-kata seperti ini membuatkan saya melihat tasawuf bukan sebagai ilmu sampingan, tetapi sebagai satu usaha untuk membawa ilmu agama masuk ke dalam kehidupan manusia.
 
Hasan al-Basri dan para ahli tasawuf juga mengingatkan bahawa manusia perlu kembali kepada hakikat dirinya sebagai hamba Allah.
 
Ilmu yang tidak mengubah hati belum sempurna kesannya.
 
Zikir yang tidak melahirkan kesedaran belum mencapai tujuannya.
 
Dan pengetahuan yang tidak menghasilkan adab masih belum benar-benar menjadi ilmu.
 
Setelah sekian lama
 
Apabila saya melihat kembali peristiwa di Norwich itu selepas bertahun-tahun, saya mula melihatnya dengan cara yang berbeza.
 
Pada waktu itu saya menyangka bahawa saya yang mencari Shaykh.
 
Saya yang ingin menjadi murid.
 
Saya yang bertanya kepada ayah.
 
Saya yang berjalan ke rumah Shaykh.
 
Saya yang akhirnya berkata:
 
“Ya Shaykh, I want to be your murid.”
 
Tetapi apabila saya renungkan kembali, saya merasakan mungkin perjalanan itu tidak bermula daripada saya.
 
Sebelum saya meminta untuk menjadi murid, Shaykh sudah mengajak saya berjalan bersamanya.
 
Sebelum saya memahami apa itu keep company, saya sudah berada di sisinya.
 
Dan sebelum saya benar-benar memahami apa yang saya cari, Allah telah mempertemukan saya dengan orang yang menjadi sebab saya mengenali satu dimensi ilmu yang selama ini tidak saya ketahui.
 
Mungkin itulah salah satu hakikat perjalanan mencari guru.
 
Kita menyangka kita sedang mencari guru.
 
Tetapi kadang-kadang, setelah bertahun-tahun, kita sedar bahawa sebenarnya gurulah yang menemukan kita.
 
“Keep company” sebagai satu perjalanan
 
Hari ini, apabila saya melihat kembali jawapan Shaykh — “Keep company” — saya tidak lagi melihatnya sebagai jawapan yang tidak lengkap.
 
Sebaliknya, saya melihatnya sebagai satu jawapan yang sangat mendalam.
 
Shaykh tidak menjanjikan sesuatu yang segera.
 
Beliau tidak memberikan saya satu gelaran.
 
Beliau tidak mengatakan bahawa dengan satu lafaz saya telah selesai menjadi murid.
 
Sebaliknya, beliau menunjukkan satu jalan:
 
Dampingilah. Perhatikan. Belajarlah. Amalkan. Berubah.
 
Murid bukan sekadar seseorang yang mempunyai hubungan rasmi dengan seorang Shaykh.
 
Murid ialah seseorang yang bersedia untuk berubah.
 
Ilmu perlu masuk ke dalam amal.
 
Amal perlu membentuk adab.
 
Adab perlu melembutkan hati.
 
Dan hati yang hidup perlu membawa seseorang semakin dekat kepada Allah.
 
Melihat kembali perjalanan itu
 
Kini saya melihat peristiwa di Norwich bukan sekadar satu kisah seorang pelajar berusia 19 tahun yang meminta untuk menjadi murid seorang Shaykh.
 
Ia merupakan salah satu titik penting dalam perjalanan hidup saya.
 
Saya datang ke England untuk mendapatkan ilmu akademik. Allah memberikan saya ilmu tambahan yang istimewa.
 
TAllah memperkenalkan saya kepada satu bentuk ilmu yang tidak pernah saya tahu dan jangkakan.
 
Ayah memberi saya keberanian untuk pergi belajar dengan Shaykh, sambil mengingatkan saya supaya tidak meninggalkan amanah akademik.
 
Shaykh pula tidak memberikan saya jawapan yang panjang. Hanya dua perkataan:
 
“Keep company.”
 
Bertahun-tahun kemudian barulah saya semakin memahami maknanya.
 
Dalam kehidupan ini, kita tidak pernah benar-benar tahu apa yang Allah aturkan untuk kita.
 
Kita merancang untuk menjadi sesuatu, tetapi Allah mungkin membawa kita kepada sesuatu yang lebih besar daripada rancangan kita.
 
Saya datang ke Norwich sebagai seorang pelajar.
 
Saya pulang membawa bukan sahaja ilmu matematik dan statistik, tetapi juga satu pandangan baharu tentang agama, ilmu, manusia dan kehidupan.
 
Saya belajar bahawa agama bukan hanya untuk diketahui.
 
Tasawuf bukan hanya untuk dibicarakan.
 
Zikir bukan hanya untuk dilafazkan.
 
Dan menjadi murid bukan hanya tentang mendapatkan seorang guru.
 
Menjadi murid ialah kesediaan untuk berubah.
 
Apabila saya mengenang kembali langkah pertama itu, saya hanya mampu mengucapkan syukur kepada Allah.
 
Syukur kerana Allah mempertemukan saya dengan ayah yang memberikan nasihat pada saat saya memerlukannya.
 
Syukur kerana Allah mempertemukan saya dengan Shaykh.
 
Syukur kerana Allah memperkenalkan saya kepada para fuqara yang menjadi teman dalam perjalanan.
 
Dan syukur kerana daripada satu pertemuan yang kelihatan begitu sederhana — berjalan menuju rumah Shaykh selepas Zuhur — Allah membuka satu perjalanan yang kesannya terus saya rasakan hingga hari ini.
 
Barangkali benar, kita menyangka kita sedang mencari jalan.
 
Tetapi hakikatnya, Allah yang membuka jalan, Allah yang menemukan manusia di sepanjang jalan itu, dan Allah jualah yang menentukan ke mana akhirnya kita sampai.
 
Perjalanan saya baru bermula.

Professor Dr Zuhaimy Ismail

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

107773
Hari ini: 599
Minggu Ini: 1,193
Bulan Ini: 4,141
Tahun Ini: 107,773
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.