Kisah Nabi Nuh a.s. bukan sekadar kisah tentang banjir besar dan sebuah bahtera. Ia adalah kisah tentang iman, keluarga, kasih sayang, tanggungjawab ibu bapa dan hakikat bahawa cinta seorang ayah kepada anaknya tidak semestinya mampu menyelamatkan anak itu daripada kebinasaan jika anak tersebut memilih untuk berpaling daripada Allah.
Di sinilah letaknya salah satu pengajaran paling mendalam daripada kisah Nabi Nuh a.s.: kita boleh melahirkan seorang anak, membesarkannya, menyayanginya dan mendoakannya, tetapi kita tidak memiliki hatinya. Hidayah tetap milik Allah, sementara anak itu sendiri mempunyai pilihan dan tanggungjawab terhadap keimanannya.
Anak seorang nabi pun tidak terkecuali daripada hukum ini.
Al-Quran menceritakan bahawa Nabi Nuh a.s. mempunyai seorang anak yang enggan beriman. Ketika banjir besar melanda dan bahtera sedang bergerak di atas gelombang yang tinggi seperti gunung, Nabi Nuh masih memanggil anaknya:
“Wahai anakku, naiklah bersama kami dan janganlah engkau bersama orang-orang yang kafir.”
Namun anak itu menjawab bahawa dia akan berlindung di sebuah gunung yang akan menyelamatkannya daripada air bah.
Nuh menjawab:
“Tidak ada yang dapat melindungi pada hari ini daripada ketetapan Allah selain orang yang dirahmati-Nya.”
Lalu gelombang memisahkan antara mereka dan anak itu termasuk orang yang ditenggelamkan.
Bahtera Hari Ini Bukan Kayu, Tapi Didikan
Nabi Nuh menyediakan bahtera kayu yang menyelamatkan jasad. Kita hari ini perlu menyediakan bahtera didikan yang menyelamatkan iman. Ramai ibu bapa sibuk menyediakan kapal persiaran dunia untuk anak - tuisyen mahal, gajet canggih, baju berjenama - tetapi lupa membina bahtera solat, Al-Quran dan akhlak di dalam rumah. Tanpa bahtera ini, anak akan karam dalam banjir fitnah akhir zaman.
Gunung Yang Disangka Selamat
Anak Nuh berkata, “Aku akan berlindung di gunung.” Hari ini anak-anak kita juga mempunyai gunungnya sendiri. Gunung kawan-kawan, gunung populariti di TikTok, gunung alasan “nanti besar pandailah dia”. Gunung itu nampak tinggi dan selamat, tetapi semuanya akan tenggelam apabila ombak ujian Allah datang jika tidak ada iman sebagai sauh.
Isteri Nuh Juga Tenggelam - Didikan Ibu Sama Penting
Al-Quran menyebut isteri Nuh juga termasuk orang yang menentang (Surah At-Tahrim:10). Ini isyarat besar. Nuh berdakwah di luar selama ratusan tahun, tetapi di dalam rumah ada isteri yang tidak sehaluan. Iktibarnya: kesolehan ayah tidak cukup jika ibu tidak bersama mendayung bahtera yang sama. Bahtera keluarga mesti didayung oleh dua tangan, ayah dan ibu.
Jangan Berhenti Memanggil Walaupun Ombak Sudah Tinggi
Paling menyentuh hati ialah, Nuh memanggil anaknya ketika air sudah setinggi gunung dan bahtera sudah mula belayar. Maknanya, selagi nyawa anak masih ada, jangan pernah berhenti memanggil. Walaupun dia sudah jauh, sudah degil, sudah hanyut bersama kawan-kawannya, panggil lagi dengan cinta: “Wahai anakku, naiklah bersama kami.”
Di sinilah hati seorang ayah diuji pada tahap yang paling dahsyat. Nabi Nuh bukan seorang ayah yang tidak menyayangi anaknya. Sebaliknya, kasih seorang ayah tetap ada walaupun anaknya memilih jalan yang salah. Dalam keadaan bahaya yang hampir menelan segala-galanya, baginda masih memanggil anaknya supaya naik ke bahtera. Itulah cinta seorang ayah.
Tetapi kisah ini juga mengajar bahawa cinta tidak sama dengan hidayah. Cinta boleh memanggil, tetapi tidak mampu memaksa hati. Cinta boleh menasihati, tetapi tidak mampu menggantikan iman. Cinta boleh menyediakan bahtera, tetapi anak itu sendiri mesti memilih untuk menaikinya.
Cinta Tidak Dapat Menggantikan Iman
Selepas anaknya tenggelam, Nabi Nuh a.s. masih memohon kepada Allah. Baginda berkata:
“Wahai Tuhanku, sesungguhnya anakku itu daripada keluargaku dan sesungguhnya janji-Mu itu benar.”
Allah kemudian menjelaskan kepada Nabi Nuh bahawa anak tersebut bukanlah daripada keluarganya dalam pengertian yang dijanjikan keselamatan kerana amalannya bukan amal yang soleh.
Ayat ini bukan bermaksud hubungan darah menjadi tidak bernilai. Sebaliknya, ia mengajar bahawa hubungan darah mempunyai batas, sedangkan hubungan iman mempunyai kedudukan yang lebih tinggi di sisi Allah. Seorang anak tetap anak kita dari sudut darah. Kita tetap wajib menyayanginya, menjaganya dan menunaikan tanggungjawab terhadapnya. Tetapi keselamatan akhirat bukan diwarisi melalui nama keluarga, keturunan atau kedudukan ibu bapanya. Anak nabi tidak mendapat tiket percuma ke syurga. Demikian juga anak orang soleh. Kesolehan ibu bapa tidak boleh dipindahkan kepada anak seperti harta pusaka.
Cinta Perlu Tegas Dengan Kebenaran
Inilah puncak cinta yang tidak mengkhianati. Cinta sejati bukan bermaksud membela anak walaupun dia salah. Cinta sejati ialah berani mengatakan “Ini salah, wahai anakku,” walaupun hati sendiri remuk. Kita sayang anak, tetapi kita lebih sayang kebenaran Allah.
Nabi Tidak Mampu Memaksa Hidayah
Kisah Nabi Nuh juga mengajar satu hakikat yang sangat besar kepada ibu bapa: tugas kita ialah mendidik, menyeru dan menunjukkan jalan; hidayah adalah milik Allah.
Nabi Nuh berdakwah selama beratus-ratus tahun. Baginda menyeru kaumnya siang dan malam, secara terang-terangan dan secara sembunyi-sembunyi. Namun tidak semua menerima dakwahnya.
Jika seorang nabi yang begitu lama berdakwah pun tidak mampu menjadikan semua orang beriman, apatah lagi kita sebagai ibu bapa.
Sebab itu kita jangan terlalu cepat menyalahkan diri sendiri apabila anak melakukan kesilapan. Tetapi pada masa yang sama, jangan pula menjadikan alasan “hidayah milik Allah” sebagai alasan untuk kita tidak mendidik mereka.
Hidayah milik Allah, tetapi pendidikan adalah tanggungjawab kita. Kita tidak boleh berpeluk tubuh. Kita mesti bina bahteranya hari ini, sebelum banjirnya tiba esok.
