Dan (ingatkanlah juga peristiwa kebinasaan) Qarun dan Firaun serta Haman. Dan demi sesungguhnya Nabi Musa telah datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang jelas nyata, lalu mereka berlaku sombong takbur di bumi (mendustakannya), padahal mereka tidak dapat melepaskan diri (dari azab Allah). - (Surah Al-Ankabut, Ayat 39)
Al-Quran berulang kali mengingatkan kita tentang kaum-kaum terdahulu yang ditimpa kehancuran. Firaun, Qarun, Kaum ‘Ad, Kaum Nabi Shu’aib, Namrud, bahkan Kaum Nabi Lut. Semua dari mereka ini memiliki satu penyakit yang sama, takabbur dan enggan bergantung kepada Allah SWT . Mereka percaya pada kuasa, kekayaan, kekuatan, dan hawa nafsu mereka sendiri. Tetapi akhirnya, kesombongan itu telah membawa mereka kepada azab Allah SWT.
Kaum Ad merupakan saudara jauh kaum Thamud. Kemahiran kaum Ad dalam membina bangunan yang besar dan kota diaplikasikan oleh kaum Thamud sesudahnya.
Tetapi malang sekali kerana kesombongan kaum ini kota megah ini tidak mampu bertahan lama apabila Allah swt menghantar puting beliung dan angin ribut yang kuat yang memusnahkan segala kemegahan mereka sehingga menjadi debu tanpa jejak.
Daripada kisah daripada Al-Quran mengenai kemusnahan kaum Ad, kita dapat melihat bagaimana kota Iram yang dijadikan sebagai kota perdagangan yang berfungsi sebagai pusat pertukaran barang dagangan oleh kaum Ad yang memiliki pelbagai kemudahan, pengaruh dan pertahanan, akhirnya hancur dibenam ke dalam padang pasir oleh Allah swt dalam tempoh masa 8 hari 7 malam sahaja.
Kaum Ad yang telah diberi peluang oleh Allah swt untuk menyembahnya setelah diberikan pelbagai kenikmatan dunia tidak mampu diselamatkan dengan kesombongan dan kekafiran mereka dalam menyekutukanNya. Pengajaran yang sudah dikhabarkan tidak didengar, malahan ianya memakan diri. Keagungan kota Iram dan kemegahan kaum Ad ditamatkan oleh Allah swt dan peninggalan mereka masih tidak diketahui keberadaannya. Ianya masih kekal menjadi sebuah tanda tanya kepada umat manusia.
Kisah secara terperinci mengenai Nabi Lut a.s. bersama umatnya yang mengisahkan penyelewengan akhlak mereka, dakwah Nabi Lut kepada umatnya agar dibersihkan perlakuan mereka yang salah, penolakan dakwah oleh umatnya serta menerangkan azab dan seksa ke atas umatnya. Dan jangan kita lupakan Kaum Nabi Lut. Mereka menolak fitrah, menghalalkan hubungan sejenis, dan menjadikan maksiat sebagai budaya. Allah merakamkan dalam Surah Al-A’raf ayat 81:
“Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan syahwatmu, bukan kepada perempuan. Bahkan kamu ini kaum yang melampaui batas.”
Kesombongan mereka bukan pada kuasa atau harta, tetapi pada nafsu yang diangkat menjadi agama. Akhirnya, mereka dibinasakan dengan hujan batu dari tanah yang terbakar, sebagai pengajaran kepada umat manusia sehingga hari ini.
Di dalam kisah Nabi Musa AS, Firaun adalah simbol politik zalim. Dia bukan sahaja menindas Bani Israel, malah mengaku dirinya tuhan. Firman Allah SWT dalam Surah An-Nazi’at ayat 24 yang bermaksud:
“Maka Firaun berkata: Akulah tuhan kamu yang paling tinggi.” - (Surah An-Nazi’at, ayat 24)
Namun, kekuasaannya tenggelam bersama dirinya di Laut Merah. Sehebat mana pun kuasa politik manusia, ia tetap tidak mampu menandingi kuasa Allah SWT. Apabila Fir’aun mengaku dirinya sebagai tuhan, maka hilang kebergantungannya kepada Allah SWT secara total. Lalu dia dijadikan simbol keangkuhan, sebagai peringatan kepada seluruh umat manusia setelahnya.
Qarun pula adalah lambang kesombongan harta. Dia merasa bahawa kekayaannya datang dari ilmunya sendiri. Allah SWT merakamkan kata-katanya dalam Surah Al-Qasas ayat 78 yang bermaksud:
“Sesungguhnya aku hanya diberi harta ini kerana ilmu yang ada padaku.” - (Surah Al-Qasas, Ayat 78)
