JANGAN GUNA NAMA PERPADUAN KABURKAN BATAS AKIDAH

JANGAN GUNA NAMA PERPADUAN KABURKAN BATAS AKIDAH

KUALA LUMPUR — Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menegaskan bahawa konsep perpaduan nasional dan semangat kemasyarakatan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan hukum syarak atau membelakangkan pandangan pihak berautoriti agama Islam.

Ketua Penerangannya, Azrol Mansor berkata, PERKASA memandang serius kenyataan Presiden Majlis Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (MAHIMA), Datuk N. Sivakumar berhubung isu penglibatan pelajar Islam dalam aktiviti membersihkan kuil Hindu di Georgetown, Pulau Pinang.

Menurut beliau, perpaduan yang sebenar mesti dibina atas dasar kefahaman serta pematuhan terhadap batas agama masing-masing, bukannya menganggap semua bentuk penglibatan dalam aktiviti keagamaan di rumah ibadat lain sebagai perkara biasa yang tidak boleh dipersoalkan.

PERKASA turut merujuk penjelasan Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Sukki Othman pada 13 Oktober lalu yang mengingatkan umat Islam supaya mengelakkan kerja pembersihan yang mempunyai kaitan langsung dengan penyediaan atau penyelenggaraan tempat dan peralatan khusus bagi ritual agama lain.

“Persoalan utama bukan sama ada umat Islam boleh membantu masyarakat bukan Islam, tetapi apakah bentuk bantuan yang dilakukan, di manakah bantuan itu dilaksanakan dan adakah tugasan tersebut mempunyai kaitan langsung dengan ritual atau amalan keagamaan agama lain.

“Jangan kerana terlalu ghairah membawa slogan perpaduan, akhirnya batas yang telah dijelaskan oleh pihak berautoriti agama dipandang remeh atau diketepikan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Azrol turut menambah bahawa bantuan kemanusiaan seperti tindakan Kuil Sri Maha Kaliamman di Putra Heights yang menyediakan tempat perlindungan sementara kepada mangsa letupan saluran paip gas tidak boleh disamakan dengan kerja yang membabitkan ruang atau peralatan ibadah.

Sehubungan itu, PERKASA mengemukakan beberapa tuntutan termasuk mendesak Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang memberikan penjelasan rasmi secara terperinci mengenai perbezaan gotong-royong umum dan penyelenggaraan tempat ritual.

Pertubuhan itu juga meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta pihak sekolah memastikan aktiviti luar pelajar Islam mempunyai skop tugasan yang jelas tanpa menjejaskan pegangan akidah mereka, selain menggesa MAHIMA menghormati keputusan dan penjelasan pihak berautoriti agama Islam. – ZT

Sumber: bebasnews.my

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

113757
Hari ini: 367
Minggu Ini: 2,766
Bulan Ini: 10,125
Tahun Ini: 113,757
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.