ANTARA "BENCI DAN RINDU": SERUMPUN TAPI TIDAK SERASI

ANTARA "BENCI DAN RINDU": SERUMPUN TAPI TIDAK SERASI

Kisah hubungan budaya antara Malaysia dan Indonesia kembali mencetuskan polemik dalam kalangan netizen setelah seorang artis Indonesia Boy Hamzah menyelar cadangan memboikot produk kosmetik jenama Kahf oleh beberapa orang yang beremosi.
 
Jenama Kahf ialah kosmetik lelaki,.manakala jenama Wardah untuk perempuan dikeluarkan oleh sebuah syarikat pengeluar bahan kecantikan dan penjagaan diri Indonesia, PT Paragon Technology and Innovation (Paragon Corp.). Produk jenama Kahf mula dihasilkan pada tahun 2020 dengan menggunakan bahan alami (semulajadi atau herba) dan mulai dipasarkan di Malaysia Oktober 2022.
 
PT Paragon Technology and Innovation diasaskan oleh Nurhayati Subakat, seorang ahli farmasi. Beliau lahir di Padang Panjang, Sumatera pada tahun 1950 adalah lulusan jurusan farmasi dari Institut Teknologi Bandung tahun 1975. Kejayaan beliau ialah merevolusikan pembuatan bahan-bahan penjagaan diri menggunakan bahan alami, dengan memakai jenama Kahf, Wardah, Emina, Make Over, Laborer dan Biodef.
 
Boy Hamzah ialah seorang pelakon Indonesia yang lahir pada tahun 1989 dan mula dikenali ramai setelah berlakon, antaranya drama 7 Manusia Harimau, dan Ketika Cinta Bertasbih. Ketika ini, Boy Hamzah sedang berusaha menjadi seorang usahawan, maka itulah sebabnya beliau mungkin bimbang tidak boleh diterima oleh khalayak awam Malaysia sekiranya ingin mengembangkan saya niaganya nanti.
 
Boy Hamzah memandang rendah dengan Malaysia kerana penduduknya adalah lebih kecil berbanding Indonesia (8 atau 10 kali ganda). Beliau akhirnya disanggah oleh netizen Malaysia, walaupun jumlah pasaran Malaysia adalah kecil, kuasa beli rakyat Malaysia adalah lebih dua kali ganda daripada rakyat Indonesia berdasarkan perbandingan pendapatan perkapita. Berdasarkan ukuran kuasa beli, Malaysia ialah USD 24,224 berbanding Indonesia, USD 9,089.3. Ia merupakan 2.7 kali ganda walaupun jumlah penduduk adalah sekitar 35 juta berbanding Indonesia hampir 228 juta (anggaran 2026).
 
Namun, apa yang cukup mengecewakan apabila Boy Hamzah membuat kenyataan bahawa Malaysia tidak ada sekiranya tidak ada Indonesia. Kenyataan itu dianggap bodoh dan sebagai sombong yang tidak melihat makna sejarah, kerana Indonesia dan Malaysia hanya muncul secara berasingan dalam batasan sempadan akibat kolonialisme. Tentunya, Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 menjadi garis pemisah sehingga melekat dalam nurani masyarakat Alam Melayu yang luas dalam ego dasar kolonial, pecah dan perintah.
 
Pada penelitian sejarah, Leonard Y Andaya, pakar sejarah Asia Tenggara moden (Malaysia dan Indonesia) dari Universiti Hawaii menjelaskan, tidak benar orang Melayu Malaysia berasal dari wilayah-wilayah Indonesia, terutama Sumatera. Dalam satu kertas penyelidikan akademiknya (2001), Leonard Andaya mengatakan, orang Melayu sama-sama berkembang dan membina kehidupan mereka di kawasan pesisir Selat Melaka. Ini bermakna pesisir Selat Melaka antara kedua wilayah itu menjadi tempat asal muasal orang Melayu. (Leonard Y Andaya, The Search for the "Origins" of Melayu, Journal of Southeast Asian Studies, Oktober 2001; https://sabrizain.org/malaya/library/search.pdf)
 
Penjelasan itu menolak teori bahawa orang Melayu di Tanah Melayu adalah bangsa penghijrah, kerana dua pesisir pantai di Selat Melaka itulah sebenarnya leluhur mereka. Mereka bebas bergerak antara satu pesisir ke pesisir lain. Hal ini menjelaskan bahawa pandangan Boy Hamzah bahawa jika tanpa Indonesia, Malaysia tidak wujud.
 
Rakyat Malaysia cukup mengingati bagaimana isu kuda kepang, nasi lemak, batik yang menjadi pertikaian yang sudah membakar emosi rakyat Indonesia. Ia belum masuk lagi isu Ambalat dan pertikaian sempadan antara Malaysia dan Indonesia. Kalau nak diikutkan, semuanya boleh menjadi suatu permusuhan besar seandainya emosi rakyat kedua buah negara tidak dapat dikawal.
 
Kini, kedengaran juga soal standardisasi minyak kelapa sawit, yang mengikut ukuran piawaian Malaysia. Indonesia pernah mendakwa, harga tidak perlu ditetapkan berdasarkan piawaian tersebut dengan alasan, merekalah pengeluar terbesar minyak sawit (46.7 juta tan) dunia ketika ini. Malaysia sudah jatuh di tangga kedua (20.2 juta tan). Tetapi mereka lupa, penetapan standard minyak kelapa sawit sudah berabad lamanya dilakukan oleh Malaysia, malah ia sudah berlaku sejak Indonesia masih belum menanamnya secara komersial.
 
Indonesia kini berusaha untuk memperluaskan lagi jumlah kawasan penanaman kelapa sawit dan peluasan itu dilakukan hampir setiap tahun. Ladang-ladang dibuka dengan ghairahnya, tetapi tidak dilakukan secara lebih sistematik, hanya dengan cara membakar hutan sebelum kelapa sawit ditanam. Persoalan itulah yang membawa kepada "eksport jerebu" berlaku setiap tahun antara bulan Ogos hingga November, yakni ketika musim kemarau. Tahun ini ia menjadi semakin parah disebabkan oleh El Nino.
 
Dasar itu telah membawa perubahan tektonik dan sejarah Alam Melayu, hanya kerana kolonial tidak lagi mahu berperang sesama sendiri merebut wilayah jajahan. Dengan kejayaan tersebut mereka boleh menguasai setiap sumber alam yang ada, kerana negara-negara mereka sendiri ketandusan bahan untuk membolehkan industri berkembang selain memperluaskan pasaran produk.
 
Perspektif sejarah tidak membataskan antara satu wilayah kekuasaan yang kita kenali sebarang, walaupun sebelumnya telah muncul pelbagai kerajaan dan sistem pemerintahan di Sumatera, Jawa mahupun Tanah Melayu. Sejarah itu menunjukkan hubungan antara kedua-dua negara bukanlah dibahaskan oleh sempadan, bahkan mempunyai banyak persamaan dari segi budaya, bahasa, pandangan alam dan cara hidup, yang tidak terhad dalam konteks ekonomi sebagaimana kita amalkan sekarang.
 
Bagaimanapun, antara kedua-duanya ada perbezaan dari segi bahasa pada makna istilah sesetengah perkataan, tetapi tidak secara kerangkanya. Indonesia dan Malaysia mempunyai kerangka bahasa yang berteraskan Melayu biarpun secara etniknya, tidak semua pribumi Indonesia mengakui mereka adalah Melayu. Berbeza dengan Malaysia, majoriti rakyatnya adalah orang Melayu biarpun ada perbezaan bahasa dan budaya bersandarkan kelompok, daerah atau kenegerian.
 
Indonesia sebuah negara kepulauan yang cukup besar, dan tentunya, kalau nak diukur ia jauh lebih besar daripada Malaysia. Bahkan, ada rakyat Indonesia pernah menyamakan keluasan Malaysia tidak lebih daripada propinsi Jawa Timur, tetapi ia pembangunan Malaysia adalah lebih terkehadapan daripada Jawa Timur.
 
Indonesia dan Tanah Melayu mula berhadapan dengan pemulauan yang cukup mengingatkan kedua-dua negara tatkala Gayang Malaysia dilancarkan akibat bantahan Soekarno terhadap penggabungan Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu. Ketika itu konsep Indonesia Raya (the greater Indonesia) menjadi tujuan dan hasrat, walhal penggabungan itu berlaku atas persetujuan antara wilayah-wilayah berkenaan, bukan dalam bentuk paksaan atau boleh disamakan sebagai penjajahan.
 
Setelah konfrontasi Malaysia-Indonesia berakhir, ia tidak bermakna hubungan antara kedua negara tidak bermasalah. Akibat proses pembangunan Malaysia begitu pesat selepas mencapai kemerdekaan, ramai warganegara Indonesia memilih untuk mencari pekerjaan di Malaysia. Kemuncaknya ialah kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia mencanak kepada 8 peratus setahun untuk tempoh 1980-an, yang memaksa Malaysia mencari sumber tenaga buruh secara besar-besaran.
 
Bukan setakat pembangunan yang menjadi faktor, bahkan faktor politik tempatan turut mendorong ramai rakyat Malaysia berhijrah ke Malaysia, terutama dari Pulau Sumatera, terutama Aceh. Sebab itulah di Malaysia kita mudah menemui etnik Aceh di hampir semua negara. Mereka ketika ini giat berniaga. Begitu juga dengan masyarakat keturunan Minangkabau, yang secara sejarahnya sangat berkait dengan Negeri Sembilan, ikut menjalani kehidupan yang lebih baik di Malaysia, dan ada di antaranya menjadi pengusaha restoran Nasi Padang, kedai kosmetik dan jamu, selain membuka kedai runcit, peniaga buku dan kitab.
 
Sebahagian besar mereka sudah diterima sebagai penduduk tetap dan warganegara, sama ada melalui perkahwinan dengan rakyat tempatan mahupun atas permohonan setelah lama tinggal di Malaysia. Jadi, sudah tentu budaya ini berkembang dan mempengaruhi masyarakat tempatan, juga menyumbang kepada ekosistem kemasyarakatan Malaysia. Jadi, adalah tidak wajar menuduh bahawa tanpa Indonesia tidak wujud Malaysia, kerana tanpa Malaysia tentunya rakyat Indonesia tidak akan mengalami perubahan nasib yang lebih baik sehingga sanggup melepaskan kewarganegaraan tanah leluhurnya.
 
Tentunya, tidak semua warganegara Indonesia mampu beradaptasi dengan kehidupan masyarakat tempatan, sebaliknya, mereka masih ikut memperkukuhkan kedudukan mereka sehingga membentuk koloninya sendiri, terutama dalam kalangan PATI. Hal inilah akhirnya membawa kepada "perbezaan" yang cukup ketara antara rakyat Malaysia dengan rakyat Indonesia yang sedikit sebanyak menimbulkan cabaran sosial, terutama dalam tafsiran budaya dan agama.
 
Rakyat Indonesia di Indonesia cukup sensitif dengan apa yang berlaku ke atas rakyatnya di Malaysia. Ketika muncul isu pembantu rumah yang dibelasah oleh majikan di Malaysia, mereka pernah menganjurkan demonstrasi "sweeping Malaysia". Pada suatu ketika, mereka menjadikan demonstrasi sebagai tekanan sehingga menyebabkan Petronas yang beberapa tahun memasuki pasaran runcit petroleum di Indonesia terpaksa mengambil langkah menamatkan operasi.
 
Malaysia tidak pernah melancarkan boikot atau demonstrasi sehingga menyebabkan entiti perniagaan Indonesia berkubur. Ini kerana rakyat Malaysia sentiasa menunjukkan kematangan dan kebijaksanaan dalam memenangi sesuatu isu, biarpun isu itu cukup kuat menggema.
 
Misalnya, setiap tahun Malaysia terpaksa hadapi "sesak nafas" dan udara kotor akibat tindakan para petani membakar hutan untuk membuka lahan pertanian, terutama kelapa sawit. Kita tahu, dan semua orang tahu bahawa dengan membakar hutan itu adalah cara paling lazim dan tidak memerlukan kos yang tinggi. Bahayanya tetap ada, namun dalam nada sombong, Ketua Bahagian Komunikasi (BAKOM) kerajaan Indonesia, seperti cuba meratakan pemikiran masyarakat Malaysia dengan berkata, Indonesia juga turut mengeksport oksijen. Ramai yang ketawa dengan kenyataan tersebut.
 
Rakyat Malaysia ketawa kerana tidak semua oksijen dikeluarkan oleh sumber hutan. Dianggarkan sekitar 50 peratus oksijen terhasil daripada pelbagai proses yang membabitkan fotosintesis di samudera (lautan). Ini bermakna, kalau hutan dikatakan Indonesia mengeksport oksijen ke Malaysia dan negara tetangga, ia sesuatu yang cukup kelakar. Malaysia masih mempunyai hutan yang luas dan dipertahankan sebagai sumber alam untuk kehidupan. Sayangnya, setelah hutan itu dibakar, ada yang berkata ia akan membolehkan lebih 1213 juta hektar tanah boleh dimanfaatkan sebagai kawasan baharu tanaman kelapa sawit. Ertinya, Indonesia sendiri sedang merosakkan paru-paru yang menghasilkan oksigen.
 
Beberapa bulan lalu, Indonesia dikejutkan dengan banjir bandang yang berlaku hampir menyeluruh di Sumatera. Wilayah-wilayah yang tidak pernah mengalami amukan banjir bandar ikut terkena "amarah langit" namun Indonesia tidak bersedia menetapkan bencana itu sebagai "bencana nasional". Malah, enggan menerima bantuan negara asing kerana Indonesia memikirkan, bencana itu dapat ditangani dengan mudah. Setelah banjir surut, Indonesia alami luahan volkanik kerana beberapa gunung berapinya meletup hampir serentak. Belum pun reda dengan amukan Anak Karakatau, muncul pula gelombang kabut asap.
 
Kali ini, Singapura mengambil pendekatan yang berbeza, tidak lagi mahu menggunakan saluran diplomatik sebaliknya, menggunakan saluran undang-undang. Singapura mendedahkan beberapa syarikat penanaman kelapa sawit dikatakan terlibat dalam mencetuskan gelombang asap, dan mengeksportnya ke negara jiran, terutama Singapura, Brunei dan Malaysia. Namun, Jawa sedang mengalami kabut asap yang terhasil daripada pembakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan. Ada netizen menyindir, karma itu sudah dikembalikan ke Indonesia, mereka yang bercakap sombong sebelumnya, akan merasai pedihnya menghirup asap berkarbon.
 
Oleh kerana ada netizen Indonesia yang beremosi, mereka ikut memberikan reaksi agar produk Malaysia yang ada di Indonesia wajar diboikot, misalnya rangkaian kedai DIY (Do It Yourself). Namun, emosi marah tersebut dilihat tidak mampu memberikan kesan kepada perniagaan DIY kerana keperluan-keperluan rakyatnya tidak dapat dipenuhi oleh rangkaian kedai serupa milik rakyat Indonesia. Ia memerlukan modal yang besar, dan kaedah pengagihan yang sistematik. Buat masa ini, tidak ramai usahawan Indonesia mampu melakukannya, termasuklah mendapatkan bekalan secara menyeluruh dan konsisten.
 
Beberapa hari lalu, netizen Malaysia menganjurkan agar suri rumah tidak lagi membeli beberapa produk masakan daripada Indonesia, terutama pati santan jenama Kara dan Mama Koko. Dianjurkan diganti dengan jenama Malaysia: Adabi, Saji, M&S dan Jasmine. Ertinya, rakyat Malaysia mempunyai banyak pilihan. Namun, apa patut difikirkan ketika ingin melancarkan kempen boikot ialah apakah kesannya kepada rakyat tempatan. Mampukah tenaga kerja diserapkan apabila sesebuah rangkaian perniagaan ditamatkan operasinya, seperti DIY. Hampir keseluruhan tenaga kerja rangkaian DIY di Indonesia adalah rakyat tempatan.
 
Berbeza dengan Malaysia, jika semua entiti perniagaan, jenaka Indonesia diboikot, tidak ramai melibatkan rakyat tempatan. Ini kerana produk itu diimport dan dijual di kedai serbaguna tempayan, yang mempunyai alternatif terhadap barangan yang sama, sama ada diimport dari negara lain atau keluaran tempatan. Ia tidak menyebabkan perniagaan ditutup. Kalau ditutup pun ialah premis perniagaan yang dimiliki oleh rakyat Indonesia yang dikenalpasti berniaga melalui "sewaan lesen" mahupun milik mereka sendiri.
 
Kini, rakyat Malaysia sedang mencari jalan mengelakkan daripada membeli barangan di kedai Aceh, makan Nasi Padang, Ayam Gepuk, Ayam Penyet dan sebagainya. Mereka bersedia ke kedai tersebut sekiranya pengusahanya adalah rakyat Malaysia biarpun leluhurnya adalah Indonesia.
Apa pun, apa hang berlaku di Indonesia sangat mudah diketahui oleh rakyat Malaysia dalam zaman digital. Begitu juga di sebaliknya. Ia tidak boleh disorok lagi seperti zaman kerajaan (pemerintah) berkuasa segala-galanya, termasuk mengawal media. Sebab itulah, apa saja kutukan dan jenaka bodoh rakyat Indonesia terhadap negara sendiri yang dipanggil "Konoha" dapat rakyat Malaysia ikuti dengan mudah, cepat dan tabularasa.
 
Namun, dalam keghairahan netizen Indonesia cuba mencari rezeki menerusi pungutan follower di muka buku, ternyata terlalu banyak nilai moral yang diketepikan. Saban hari kita akan ketemu dengan "janda" atau wanita yang menawarkan "jodoh" setelah merasakan "kesunyian" atau bernikah lagi setelah tidak ada yang sudi atau lama keseorangan. Kita dapat lihat pelbagai aksi, yang kadangkala sangat paradoks: ada ketikanya menutup aurat dan berada di sejadah, dalam masa yang lain, didedahkan sebahagian aset yang dapat menarik minat mana-mana orang. Itulah wajah dan sisi hodoh manusia yang kehilangan akal waras dan nilai moral.
 
Sekarang ini, kata orang Indonesia seperti alami "sudah jatuh ditimpa tangga"; nilai rupiah merosot sehingga satu dolar bersamaan 18,000 rupiah dan bursa saham bakal diundurkan ke kategori "stand alone". Benar, bukan semua rakyat Indonesia terkesan dengan kejatuhan bursa saham, tetapi sangat terkesan dengan kejatuhan nilai mata wang. Sebabnya, mata wayang perdagangan dunia masih berpaksikan dolar biarpun sudah ada usaha untuk menggunakan mata wang sendiri. Ia hanya boleh dipraktikkan di antara negara tertentu, bukan kesemua negara.
 
Di Bali berlaku keadaan berbaris panjang untuk mendapat petrol dan tentunya akan mempengaruhi kemasukan pelancong. Bali yang terkenal sebagai "pintu masuk pelancong" terpaksa menerima hakikat, akan lebih ramai yang akan bertangguh ke sana atas sebab langit berkabut dan masalah pengangkutan akibat kekurangan petrol. Beberapa hari lalu, Batam mengalami gangguan elektrik dan bekalan air bersih kerana paipnya mengalir air bercampur lumpur dan cacing halus.
 
Lebih mendukacitakan ialah terdedah pihak yang mengambil kesempatan ketika rakyat menanggung pedih dan sudah bernafas akibat kabut tebal. Pihak yang bertanggungjawab menguruskan bantuan, dilaporkan "sunglap" segalanya, termasuk bajet dan dana. Jenaka perkiraan matematik Presiden Indonesia juga cukup geli: 10 + 6 = 17. Begitu juga kata-kata, asap akibat kebakaran dianggap sebagai "asap semulajadi", atau alami.
 
Seharusnya, Boy Hamzah dapat berfikir semula tentang kenyataannya, walaupun sudah terceduk menjawab pertanyaan, bukan menyampaikan hasrat seolah-olah Indonesia telah menjadikan segala-segalanya termasuk munculnya Malaysia. Alangkah baiknya pengaruhnya sebagai aktor yang dikenali ramai di Indonesia membangun citra baik, terutama menyeru masyarakat untuk tidak menonjolkan kebodohan langsung di media sosial, dan menghantar isyarat kepada pemerintah, bertindaklah dengan bijaksana, bukan bercakap seolah-,olah diri lebih besar daripada orang lain. Kalaupun Indonesia lebih besar dan ramai penduduknya tidak bermakna bayangkan diri seperti dinosaur.
 
Walaupun ramai yang benci dengan ungkapan-ungkapan begitu, Indonesia tetap dirindui oleh sebahagian rakyat Malaysia. Boy Hamzah perlu sedar, rakyat Malaysia merupakan pelancong terbesar ke Indonesia. Dan, tentunya, hasil yang diraih daripada pelancongan rakyat Malaysia ke Indonesia cukup besar, dan sudah memberikan rezeki kepada peniaga, penguasa hotel, penyedia perkhidmatan pengangkutan, dan pemandu pelancong warga Indonesia. Jika berterusan membenci dan mengecam Malaysia, reaksi rakyat Malaysia juga besar nanti, termasuk tidak lagi jadikan Indonesia sebagai destinasi pelancongan utama.
 
Jangan benci sampai jadi putus perhubungan; serumpun tapi terus menyimpan dendam.
 
Sindir Guy R McPherson (Prof Emeritus Ekologi dan Evolusi Biologi, Universiti Arizona, Amerika Syarikat) : Jika kamu memikirkan ekonomi itu penting daripada alam sekitar, tahanlah nafas dan hitunglah wangmu." Berapa lama boleh menahan nafas? Adakah ia lebih lama daripada saat kita masih bernafas walaupun tidak ada wang?

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

117033
Hari ini: 172
Minggu Ini: 172
Bulan Ini: 13,401
Tahun Ini: 117,033
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.