PENYELEWENGAN AKIDAH DAN AGAMA: TINDAKAN  SIAPA?

PENYELEWENGAN AKIDAH DAN AGAMA: TINDAKAN SIAPA?

1. PENDAHULUAN

Penyelewengan agama atau akidah dimana-mana negeri di Malaysia boleh diambil tindakan oleh pihak pegawai penguatkuasa agama (PPA) di bawah Jabatan Agama Negeri dan pihak polis.  Punca kuasa berkenaan adalah kuasa-kuasa negeri di bawah Perkara 74 (2) Perlembagaan, Jadual Kesembilan , Senarai Kedua yang juga termasuk kuasa Wilayah-Wilayah Persekutuan di bawah Perkara 3 (5) Perlembagaan mengenai Agama bagi Persekutuan.

Kuasa tersebut diperturunkan  pula ke dalam Enakmen Pentadbiran Islam dan lain-lain di negeri-negeri khususnya Enakmen Jenayah Syariah Negeri-Negeri yang berkaitan dengan KESALAHAN BERHUBUNGAN DENGAN AQIDAH mengenai : Pemujaan Salah, Ajaran atau amalan salah, Dakyah agama, dil, Dakwaan Palsu, Mendakwa bukan Islam ,Takfir , Doktrin Palsu dan sebagainya. Namun kesalahan ini boleh didakwa terhadap pelakunya orang Islam sahaja dalam negeri masing-masing. 

Tindakan penguatkuasaan dalam kes ini boleh diambil oleh penguatkuasa agama (PPA) dan polis. Namun pihak polis banyak menyerahkannya kepada pihak PPA kerana ia berkaitan dengan agama.

Perlembagaan Persekutuan bukan sahaja memberi kuasa untuk menjaga agama Islam bagi menguat kuasakannya terhadap  orang Islam yang melakukan penyelewengan atau penghinaan tetapi juga terhadap orang yang bukan Islam yang melakukan di’ayah, penyelewengan dan propaganda kepada orang yang menganut agama Islam. Perkara ini diperuntukkan dalam Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa: “Undang-undang negeri dan berkenaan dengan Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”.

Perkara 11(4) menegaskan bahawa penyebaran agama selain daripada agama Islam kepada orang Islam adalah dilarang sama sekali terutamanya dari segi penyebaran di’ayah.  Selain itu,peruntukan ini juga secara tidak langsung memberi kuasa kepada kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan untuk mengubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat penganut agama bukan Islam menyebarkan atau mengembangkan ajaran serta kepercayaan mereka kepada orang Islam.

Berdasarkan kuasa tersebut, maka kerajaan-kerajaan negeri boleh meluluskan undang-undang untuk mengawal pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam. Hampir kesemua negeri di Malaysia mempunyai Enakmen khas yang mengawal penyebaran di’ayah kepada orang Islam, kecuali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang.

Antara Enakmen yang digubal oleh kerajaan negeri ialah Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Terengganu, 1980 (Enakmen No 1/1980); Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor, 1988 (Enakmen No 1/1998); dan Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Johor, 1991 (Enakmen No 2 /1991). Perkataan ‘Agama bukan Islam’ yang digunakan didalam enakmen ini ditafsirkan sebagai meliputi agama-agama seperti Kristian, Hindu, Buddha, Sikh atau apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana agama tersebut.

Undang-undang berkenaan memberi kuasa kepada Mahkamah Majestrit atau Mahkamah Sivil untuk mendengar kes tersebut dan penguatkuasaannya dilaksanakan oleh pihak polis atau mana-mana pegawai awam yang diberi tauliah secara bertulis oleh Raja supaya menjalankan kuasa-kuasa pegawai bertauliah dalam Enakmen tersebut. Ini disebabkan kes berkenaan  melibatkan orang yang bukan Islam. Istimewanya undang-undang ini ia berbentuk awam walaupun demikian ia bersifat undang-undang negeri kerana berkItan dengan agama.

2. KUASA PENTADBIRAN DAN PENGUATKUASAAN

DYMM Sultan dan Raja adalah ketua bagi negeri beraja dan sebagai ketua agama. Manakala Menteri Besar merupakan gelaran bagi Ketua Eksekutif kerajaan negeri di Malaysia yang mempunyai Raja atau Sultan. Sebagai pemerintah mereka mempunyai kuasa kuasa eksekutif sesuatu Negeri meliputi pentadbiran mana-mana peruntukan tertentu dalam undang-undang dan boleh bagi maksud itu memberikan kuasa kepada dan mengenakan kewajipan pada mana-mana pihak berkuasa Negeri itu.

Dalam hal pentadbiran dan penguatkuasaan agama Pemerintah telah memberikan kuasa kepada Jabatan Hal Ehwal Agama melalui PPA untuk menguatkuasakan undang-undang. Kepada Jabatan Pendakwaan Syarie melalui Pendakwa Syarie untuk membawa kes-kes berkaitan ke Mahkmah Syariah dan memberi kuasa kepada Jabatan Kehakiman Syariah Negeri melalui Hakim-Hakim Syarie untuk menjalan keadilan atau kehakiman serta perlaksanaan perintah atau hukuman. Juga kepada Jabatan Mufti untuk menentukan sesuatu yang berkaitan hukum syarak melalui fatwa.

Disebabkan setiap negeri mempunyai kuasa membuat undang-undang yang berkaitan agama maka bagi mengelakan percanggahan dan perbezaan maka ia memerlukan penyelarasan dari segi penguatkuasaan, pendakwaan dan perundangan diperingkat Persekutuan. Inilah fungsi JAKIM bersama Jabatan Peguam Negara (AGC), MAIN negeri , Penasihat Undang-Undang negeri dan lain-lain agensi kerajaan yang berkaitan.

3. JAKIM AGENSI PERSEKUTUAN

Di Peringkat Persekutuan untuk menyelaraskan pentadbiran dan pengurusan Islam, perundangan, kehakiman dan fatwa dan sebagainya Majlis Raja-Raja Melayu (MRR) melalui Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) maka (JAKIM) ditubuhkan ia merupakan agensi kerajaan Persekutuan di Malaysia yang mentadbir hal ehwal agama Islam di Malaysia. Pentadbirannya diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri Malaysia. Keujudannya dibuat melalui kuasa eksukutif Kerajaan Malaysia.

JAKIM berperanan sebagai sebuah badan penyelaras pembangunan agama dan kemajuan ummah di Malaysia. Ia juga berperanan menjalankan penyelarasan hal ehwal agama dalam lingkungan sempadan pentadbiran yang dipertanggungjawabkan dan berwaspada supaya tidak melanggar garis tanggungjawab yang menjadi hak pentadbiran pada peringkat negeri.

JAKIM juga memainkan peranan sebagai urus setia bagi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI). JAKIM turut mengendalikan tiga masjid utama[4] di Malaysia iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. 
JAKIM turut bertanggungjawab terhadap penggubalan dan penyeragaman undang-undang syarak di Malaysia. 
JAKIM juga turut berperanan dalam menyelaras dan membangunkan pendidikan Islam. JAKIM mengendalikan pusat pendidikan dan latihan seperti Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS), Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) dan Darul Quran. Selain itu, JAKIM juga mengendalikan modul Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang dilaksanakan di premis yang berdaftar dengan agensi agama Islam negeri-negeri.

4. PENYELEWENGAN AKIDAH DI MALAYSIA

Mengikut Bahagian Penyelidikan JAKIM sebanyak 155 ajaran telah difatwakan sebagai sesat di negara ini sejak tahun 1950 sehingga kini. Daripada jumlah itu, terdapat beberapa lagi ajaran sesat yang masih aktif, manakala selebihnya telah berjaya dibendung sepenuhnya. 

Antara ada yang menjadi ancaman yang besar kepada kesucian alidah di negara kita. Daripada jumlah itu, 53 daripadanya telah dibuktikan sebagai
'sesat' serta dinasihatkan kembali kepada kebenaran. 43 daripadanya telah pun memberhentikan gerakan mereka. Di antara kumpulan-kumpulan ajaran sesat yang disenaraikan ialah:

1.  Perguruan Persaudaraan Imu Dalam Al-Ma'unah Malaysia (Al-Ma' unah).
2. Aurad Muhammadiah (Darul Arqam)
3. Imu Tajalli atau Hakikat Insan
4. Tarikat Ayah Pin'
5. Ajaran Taslim.
6. Ajaran Hakikat Haji Ghazali Othman.
7. Qadyani Ahmadiah.
8. Tariqat Naqsyabandiah.
9. Ajaran Ilmu Hakikat Jahar Dumin.
10. Tariqat Mufarridiah.
11. Ajaran Al-Baha’iyyah.
12. Ajaran Batiniyah.
13. Tariqat Samaniah Ibrahim Bonjo.

Kita bersyukur walaupun ajaran sesat tersebut mempunyai bilangan yang agak besar tapi kegiatan mereka dapat dibendung dan diambil tindakan. Kegiatan mereka tidak sampai mengganggu aktiviti ibadah kita namun dengan kerjasama semua pihak ia dapat dibendung walaupun keujudannya masih silih berganti.  

5. PERANAN FATWA BERKAITAN AKTIVITI PENYELEWENGAN AGAMA

Jabatan Mufti berperanan untuk mengeluarkan fatwa terhadap sesuatu amalan, ajaran atau doktrin yang dikaitan dengan agama samada ia sah atau menyeleweng. 

Fatwa yang diwartakan adalah penting agar tindakan undang-undang dapat diambil bagi membanteras fahaman dan pemikiran yang menyeleweng yang dikaitkan dengan ajaran Islam. Ini sekali gus dapat menjaga dan memelihara kesucian agama Islam seterusnya menghindarkan orang ramai daripada terikut-ikut dengan sangkaan ia adalah benar.
Fatwa-fatwa yang dikeluarkan ini adalah selepas melalui proses kajian dan penyelidikan yang dijalankan dengan begitu teliti dan mengambilkira pandangan pakar yang berkaitan dengan bidang berkenaan. 

Manakala penguatkuasaan undang-adalah dilakukan oleh pihak Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri atau pihak polis. Penguatkuasaan bermaksud penyiasatan, tangkapan dan pemeriksaan. Bila semuanya telah lengkap barulah diserahkan hasil berkenaan kepada pihak pendakwaan untuk di dakwa YDT di Mahkamah. Manakala pihak Hakim setelah mendengar kes tersebut akan membuat sabitan, keputusan dan hukuman.

Inilah yang disebut pengasingan kuasa untuk menentu keadilan dapat dilaksana dengan setiap pihak untuk melaksanakan peranan masing tanpa meceroboh bidangkusa pihak yang lain. Inilah yang dimaksudkan dengan  “ultra virés” iaitu melampaui atau di luar kuasa atau autoriti yg sah sese-orang, sesebuah badan, jabatan dan sebagainya. Sebaliknya, jika pihak berkuasa bertindak secara melangkaui kekuasaan atau maka pihak yg terjejas boleh mendapat penghakiman yg sewajarnya bahawa tindakan yang dibuat tidak sah.

6. KESIMPULAN

Apa yang dapat disimpulkan ialah usaha yang perlu dibuat bukan sedikit untuk menangani ajaran sesat di negara ini. Kerana ia bersifat putus bersambung dari satu masa kesatu masa. Apa yang ia mesti, ia dibendung disetiap masa dan ketika agar tidak menjadi barah di negara kita.

Dalam hal ini kerjasama amat diperlukan dari semua pihak termasuk orang awam, pihak berkuasa agama dan juga agensi persekutuan, kerajaan negeri dan ahli politik agar dapat sama-sama meletakkan agenda pembasmian ajaran sesat dalam masyarakat kita sebagai keutamaan pada masa kini. Ini kerana dalam agama Islam, konsep amar makruf nahi munkar menuntut sumbangan dari semua pihak dan perlu dilihat secara menyeluruh. la bukan tugas pihak berkuasa semata-mata, malah itulah peranan setiap individu muslim dalam melaksanakan tanggungjawab agama dan hidup bermasyarakat. 

Salam hormat dari saya,

Dato’ Hj Muhamad Asri Hj Abdullah,
Mantan Ketua Hakim Syarie Negeri Perak dan Hakim Rayuan Syariah JKSM. 

19 Rab. I 1446. Isnin.
23 hb Sept 2024
Bandar Melaka. Melaka.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

046583
Hari ini: 40
Minggu Ini: 2,993
Bulan Ini: 12,698
Tahun Ini: 46,583
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.