Perkembangan mutakhir mengenai isu tahanan rumah Dato' Sri Najib Razak telah membuka satu pekung yang amat membimbangkan. Pembayaran denda RM50 juta telah dijelaskan di kaunter Mahkamah Tinggi, dan Perintah Bermeterai telah pun dikeluarkan. Namun, tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang secara tiba-tiba mengeluarkan kenyataan media untuk "menangguhkan" pelepasan tersebut di saat-saat akhir atas alasan kekeliruan tafsiran telah menimbulkan persoalan terbesar dalam sejarah perundangan negara.
Lebih menggegarkan lagi, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sendiri telah bertitah secara tegas bahawa "tidak sepatutnya timbul sebarang kekeliruan" berhubung isu tahanan rumah ini. Justeru apa yang sebenarnya terjadi?
Di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, Kuasa Pengampunan adalah hak prerogatif eksklusif Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Apabila Perintah Pengampunan telah dititahkan pada 18 September 2026 dengan syarat tunggal iaitu pembayaran denda RM50 juta, dan syarat tersebut telah dipenuhi secara sah di Mahkamah Tinggi, maka dari sudut perundangan dan Perlembagaan, pelepasan beliau untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah wajib dilaksanakan serta-merta.
Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa kekeliruan tidak sepatutnya wujud memuktamadkan hakikat ini: Bahawa Perintah Pengampunan tersebut adalah sah di sisi Perlembagaan.
Kebebasan seseorang individu, biar siapa pun beliau, bukanlah perkara remeh (trivial matter) yang boleh dimain-mainkan. Jika sesuatu Perintah Diraja itu sah di sisi Perlembagaan, pelaksanaannya tidak boleh ditangguh atau digantung semata-mata untuk memuaskan selera tafsiran pentadbiran atau bantahan pihak AGC. Prinsip Rule of Law menuntut agar kesahan undang-undang ditentukan menerusi proses mahkamah yang telus, bukannya atas kemudahan dan keselesaan politik eksekutif.
KEPINCANGAN AGC
Rakyat dan pemerhati undang-undang berhak bertanya: Pertamanya, Peguam Negara adalah anggota rasmi Lembaga Pengampunan yang turut hadir dalam mesyuarat 18 September 2026. Mengapa dari tarikh keputusan itu dibuat, pihak AGC berdiam diri selama tujuh minggu tanpa melakukan sebarang penelitian atau memohon sebarang penjelasan di mahkamah?
Kedua, mengapa isu "dua interpretasi" ini baru tiba-tiba dibangkitkan pada hari denda RM50 juta dijelaskan di kaunter, iaitu ketika Najib Razak sudah bersedia melangkah keluar dari Penjara Kajang?
Lebih ganjil lagi, jika AGC mahu memfailkan tindakan mahkamah untuk memohon penjelasan, tindakan itu di bawah undang-undang adalah terhadap Kerajaan Malaysia sendiri. Ini bermakna, Penasihat Undang-Undang Kerajaan memohon penjelasan daripada Penasihat Undang-Undang Kerajaan. Peguam Negara bertanyakan soalan kepada Peguam Negara, kecelaruan seolah-olah bertanya kepada dirinya sendiri.
Apakah ini satu bentuk prosedur kehakiman yang sah, atau adakah kita sedang menyaksikan bibit-bibit amalan 'undang-undang rimba' di mana badan eksekutif memegang kuasa untuk menangguhkan titah Raja dan perintah mahkamah melalui kenyataan media semata-mata?
KUASA ITU AMANAH
Dalam ajaran Islam, tindakan manusia yang paling cenderung melanggar prinsip keadilan adalah tindakan yang menggunakan kekuasaan.
Kekuasaan dalam Islam bukannya lesen untuk bertindak sewenang-wenangnya, atau alat untuk memuaskan dendam politik. Kekuasaan adalah Amanah Allah yang wajib ditunaikan dengan seadil-adilnya.
Al-Quran memberi amaran bahawa salah satu bentuk penyalahgunaan kekuasaan yang paling bahaya bukannya sekadar melakukan kezaliman secara langsung, tetapi juga berupa langkah penguasa yang memanipulasi dan merekayasa kekuasaan untuk menafikan hak yang telah ditetapkan oleh undang-undang atau melambat-lambatkan keadilan.
Menafikan pelepasan yang telah disahkan oleh Perlembagaan dan Perintah Pengampunan Diraja semata-mata atas kecenderungan politik atau tekanan kelompok adalah satu bentuk penyelewengan amanah kuasa yang amat berat di sisi hukum alam dan syariat.
Di tengah-tengah kehangatan isu ini, kenyataan terbuka Perdana Menteri yang menyatakan pandangan peribadi beliau bahawa beliau "tidak bersetuju kerana ia boleh memberi persepsi awam bahawa rasuah berskala besar boleh terlepas tanpa hukuman" telah mengundang krisis konseptual yang amat serius dari sudut perundangan dan tadbir urus negara.
Pertamanya, retorik eksekutif ini secara tidak langsung menghakis keyakinan awam terhadap institusi kehakiman dan Perlembagaan. Hakikatnya, Dato’ Sri Najib bukannya terlepas daripada hukuman, sebaliknya tetap menjalani pemenjaraan berkanun di kediaman yang diwartakan berserta pembayaran denda RM50 juta.
Tambahan pula, hak memohon pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan adalah hak universal setiap banduan tanpa mengira latar belakangnya. Falsafah keadilan dalam perundangan dan juga dalam Islam tidak berasaskan dendam politik semata-mata, sebaliknya merangkumi hukuman serta pemulihan dan keinsafan (rehabilitation). Menundukkan proses perundangan di bawah selera persepsi awam adalah satu bentuk penyelewengan terhadap prinsip keadilan.
PERSPEKTIF AL-QURAN
Ditegaskan bahawa pendirian ini bukanlah berasaskan taksub atau kecenderungan membela mana-mana individu. Ini adalah soal prinsip perundangan dan tuntutan agama.
Allah SWT berfirman dengan begitu jelas di dalam Surah Al-Ma'idah ayat 8:
"Tegakkanlah keadilan, kerana keadilan itu lebih dekat kepada takwa. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum (atau seseorang) mendorong kamu untuk tidak berlaku adil..."
Islam mengajar kita bahawa sekalipun seseorang itu pernah dikritik, dibenci, atau dipandang serong oleh musuh politiknya, keadilan ke atas haknya tetap wajib ditegakkan secara saksama.
Apabila hukum dan Perlembagaan telah memberi hak tahanan rumah selepas syarat denda RM50 juta dijelaskan, kebencian emosi atau prasangka politik tidak boleh dijadikan alasan untuk merompak hak perlembagaan tersebut. Menegakkan keadilan kepada pihak yang kita tidak sukai adalah ujian tertinggi ketakwaan sesebuah bangsa dan kepimpinan.
AMARAN SEJARAH KEPADA PENGUASA
Dalam sejarah peradaban dan keagamaan, penegakan keadilan adalah tugas suci setiap nabi dan rasul. Dan sepanjang sejarah itu juga, para penguasa sentiasa diperingatkan dengan satu amaran yang amat keras:
“Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki.” - Surah Ali-’Imran ayat 26
Mana-mana penguasa atau pentadbir yang menggunakan helah undang-undang demi menganiaya atau menangguhkan keadilan demi kepentingan diri, lambat laun akan mengalami kehinaan akibat perbuatannya sendiri. Sejarah telah membuktikan kebenaran Sunnatullah ini berulang kali: kekuasaan duniawi adalah perhiasan sementara, namun balasan atas kezaliman dan penyelewengan amanah adalah pasti.
KELUHURAN PERLEMBAGAAN
Pendirian setiap rakyat negara ini sepatutnya beramanah demi menegakkan Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang (Rule of Law), serta memelihara Institusi Raja Berperlembagaan daripada dicerobohi oleh kehendak politik eksekutif.
Keadilan yang hakiki bukannya dibina atas emosi politik mahupun kepentingan kelompok. Keadilan sejati adalah menghormati lunas perundangan secara telus, mematuhi amanah kuasa yang diberi, dan memastikan Rule of Law tertegak saksama tanpa ada dwi-standard atau manipulasi pentadbiran.
Apabila Yang di-Pertuan Agong telah bertitah bahawa kekeliruan tidak sepatutnya timbul, dan denda RM50 juta telah dibayar, sebarang cubaan untuk menggantung Perintah Diraja menerusi kenyataan media adalah satu tindakan yang meruntuhkan benteng keselamatan dan kedaulatan negara.
Ingatlah amaran Al-Quran, tegakkanlah keadilan, kerana itulah yang lebih mendekati takwa. Jangan biarkan kebencian merobek keadilan, dan jangan biarkan kuasa membuatkan kita lupa kepada kekuasaan Allah yang Maha Mengatasi segala-galanya.
