Beberapa minggu lalu heboh istilah "generasi strawberi/strawberry generation" setelah seorang pendakwah dikatakan mendapat amaran untuk menjawab permintaan majikan dalam Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) yang dibangunkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), khususnya oleh Bahagian Aduan Awam.
Saya kurang pasti dengan perkembangan sistem tersebut walaupun pernah juga berinteraksi dengannya pada suatu ketika. Saya sudah tidak lagi melihat atau melayari sistem itu sejak bersara, yang kini sudah menjangkau satu dekad.
Generasi Strawberi awalnya muncul sebagai sindiran terhadap generasi muda (Generasi Y dan Z) yang tidak tahan berhadapan dengan tekanan. Ia seperti buah strawberi, cantik di lihat pada luarannya, tetapi apabila ditelan (dipicit), ia akan pecah. Istilah ini mula diperkenalkan di Taiwan pada tahun 1990-an.
Bahasa mudahnya, generasi strawberi adalah generasi yang cantik, lemah lembut tetapi tidak berdaya tahan, termasuklah berhadapan dengan tekanan persekitaran, pekerjaan dan psikologi. Mereka mudah goyah atau koyak, tetapi mereka juga tidak segan untuk memberontak.
Tentunya, kita faham mereka kerana jiwanya sensitif dan fikirannya belum matang. Tetapi, ledakan kemarahan mereka akan memberikan kesan yang cukup, bahkan kalau berlaku dalam skala massa, ia boleh menyebabkan situasi kemasyarakatan yang menjadi alat sokongannya dipersoalkan, bukan sahaja dilihat gagal, malah ia mencerminkan dasar sesebuah kerajaan tidak lagi kondusif atau perlukan perubahan sistemik.
Sekitar akhir tahun lalu, beberapa buah negara Eropah berhadapan dengan. amukan generasi muda (Gen Y, Gen Z atau dipanggil Milineal Generations dan kini digelar Generasi Strawberi). Banyak perkara yang mereka tuntut, dan banyak perkara yang mereka mahukan kerajaan agar lebih berempati dengan persekitaran mereka, termasuk suasana sekolah yang tidak kondusif. Ketika musim sejuk, sekolah tidak menyediakan alat pemanas dan apabila musim panas, tiada penghawa dingin.
Walaupun kadar kelahiran bayi di Eropah semakin menyusut, ia tidak bermakna keperluan sekolah tidak lagi menjadi persoalan penting. Sekolah masih menjadi tempat yang cukup menajam kritik awam, kerana sekolahlah yang akan melahirkan kumpulan pekerja kemudiannya, sama ada pekerja mahir atau separuh mahir. Sebahagian sekolah-sekolah sudah terlalu lama infrastrukturnya, bahkan ada yang menjangkau usia ratusan tahun.
Apabila sesebuah bangunan sudah berusia, banyak perkara yang perlu dibuat dan kos penyelenggaraan semakin tinggi. Dalam masa yang sama, oleh kerana Eropah sedang bingung memikirkan sumber tenaga untuk menjana industri, keperluan domestik dan sebagainya, tentunya semakin besar belanja untuk memperolehnya. Gas dah minyak daripada Rusia sudah tidak boleh dibeli oleh negara Eropah, sebabnya mereka bersubahat dengan aspirasi Rumah Putih bagi memaksa Rusia tunduk.
Apabila Rumah Putih meletakkan dasar dan sekatan, Eropah juga akan ikut melakukannya, kerana nilai eksport produk mereka ke Amerika Syarikat cukup besar. Eropah boleh lumpuh industri sekiranya Amerika Syarikat membuat keputusan menghalang kemasukan produknya. Banyak negara Eropah menjadi tidak terarah apabila Donald Trump menggertak untuk menaikkan tariff, selain mengawal syarikat-syarikat mereka dengan syarat tertentu jika ingin terus berniaga di Amerika Syarikat.
Trump menggunakan doktrin Make America Great Again (MAGA) sejak beliau menduduki Rumah Putih pada tahun 2007. Empat tahun kemudian, MAGA tidak bergema, tetapi gema yang lebih kuat dan nyaring dimulakan kembali apabila Trump berjaya menguasai Rumah Putih kali kedua (2024).
Kali ini, Trump semakin "kemaruk" dan tidak pedulikan kritikan dan kecaman, baik dari dalam negaranya sendiri atau masyarakat antarabangsa. Bagi Trump segala-galanya mesti Amerika, tidak negara lain.
Bagi Trump, Amerika perlu memperkuatkan ekonomi domestiknya, dan mengharapkan para pelabur mereka kembali membangunkan atau mengeluarkan produk dalam negeri. Tidak lagi menempatkan kilang dan pejabat operasi di luar negara. Jika tidak, produk tersebut akan dikenakan tarif yang lebih tinggi.
Trump tidak peduli, kalau dikilangkan di Amerika, harganya akan menjadi lebih tinggi, kos pengeluaran berkali ganda besar. Apa yang Trump inginkan, kilang-kilang itu mampu memberikan pekerjaan rakyatnya sendiri. Bila tiada pengangguran, persekitaran domestik juga berkembang dan ia mencergaskan pelbagai sektor lain seperti pembinaan, perumahan, pengangkutan, perkhidmatan dan sebagainya.
Trump beranggapan, akibat pelaburan luar negaralah nilai dolar menjadi semakin tercabar, apatah lagi bila BRICS mula mengambil langkah permulaan "nyahdolar" atau dedolarization. Urusniaga antara negara anggota BRICS dan penyokongnya disarankan dilakukan dalam nilai matawang negara masing-masing selain mata wang yuan (remmimbi, China).
China diharapkan akan menjadi negara peneraju BRICS kerana negara itu berada di kedudukan ekonomi kedua terkuat global. China juga diramalkan akan merampas kedudukan Amerika sebagai ekonomi terbesar dalam tempoh kurang 30 tahun lagi, iaitu antara 2040 atau 2050.
Semuanya itu yang mempengaruhi kerajaan-kerajaan di Eropah menyembunyi atau menangguhkan perbelanjaan besar ke atas pendidikan. Akhirnya, generasi strawberi meledak marah bulan lalu sehingga menyebabkan suasana di Perancis, Switzerland, Albania, Jerman, Sepanyol, Portugal, Belgium dan Serbia. Mereka turun ke jalan raya berdemontrasi.
Mereka mahukan suasana pembelajaran di sekolah kondusif, kos sara hidup yang tidak menjerut poket dan perkhidmatan awam yang lebih baik. Akibat kemarahan itu, berlaku beberapa insiden membakar bangunan, kenderaan dan kemudahan awam di Basel dan Zurich. Dua bandar ini berada di Switzerland, sebuah negara yang dikategorikan sebagai terkaya di Eropah.
Di pinggir kota Paris, para pelaj ar sekolah menengah di kawasan miskin keluar ke jalan raya. Mereka membantah kerana sekolah kekurangan guru, bilangan pelajar semakin bertambah tetapi bilik darjah tidak bertambah. Ia menjadikan kelas semakin padat. Bangunan sekolah semakin daif. Mereka mahu semua masalah itu diatasi segera. Tetapi mereka tidak berdemo sehari dua, sebaliknya terus melakukan beberapa kali. Sayangnya, suara-suara mereka tidak didengari, sebaliknya terpaksa bertembung dengan pihak polis.
Generasi Z turut mengemukakan tuntutan yang sama di Switzerland, Belgium dan Jerman. Suara-suara mereka dibalas dengan gas pemedih mata serta meriam air. Tindakan itu boleh membangkitkan kemarahan yang lebih besar. Demontrasi tidak mudah ditamatkan, sebaliknya semakin ramai yang turun ke jalan raya.
Jawapan-jawapan yang bersifat politik tidak diterima, sebaliknya mereka mengharapkan kerajaan sedia membaiki dan melengkapkan keperluan yang tidak pun berkaitan dengan dasar ekonomi negara.meteja melihat dasar ekonomi hanya sekadar memenuhi tuntutan para kapitalis yang juga bertindak sebagai oligarki dalam sistem pemerintahan, politik dan pembentukan dasar.
Mereka mahukan kebajikan golongan miskin, generasi muda diberikan pertimbangan yang saksama, termasuklah kemudahan prasarana pendidikan dan jumlah guru yang mencukupi. Bagi mereka, perangkaan ekonomi tidak memberikan mereka satu bentuk penyelesaian yang bermakna, ia hanya sebagai bahan eksploitasi politikus.