Secara ringkas, Mafia korporat merupakan satu rangkaian sindiket kolar putih yang menggabungkan elit perniagaan, jurubank, peguam, pengarah proksi, dan pegawai pentadbiran di puncak kuasa. Berbeza dengan syarikat biasa yang bersaing berasaskan kecekapan pasaran, mafia korporat beroperasi dengan memanipulasi sistem demi memonopoli sumber ekonomi.
Anatomi penguasaan mereka terbina di atas tiga tiang utama. Teras pertama ialah menggunakan syarikat dan pengarah syarikat proksi dan pemegang saham penama. Dalang atau watak utama tidak menonjolkan namanya di dalam penyataan tahunan syarikat senarai awam (PLC). Sebaliknya, mereka menggunakan peguam atau individu boneka bagi menyembunyikan pemilikan sebenar.
Teras kedua ialah pembentukan rangkaian syarikat ali baba atau shell companies. Bagi memonopoli tender kerajaan, kartel korporat mendaftarkan puluhan syarikat berbeza. Pada mata kasar, ia seolah-olah puluhan syarikatbersaing menawarkan sebut harga untuk tender kerajaan. Hakikatnya, kesemua syarikat itu dimiliki oleh satu dalang yang sama di belakang tabir.
Teras ketiga ialah tindakan melumpuhkan penguatkuasaan. Mafia korporat membeli perlindungan dengan melantik bekas pegawai penguatkuasa atau penjawat awam berpangkat tinggi sebagai Pengarah Bebas bagi melindungi syarikat daripada tindakan undang-undang.
KES STUDI: SKANDAL PT TIMAH INDONESIA
Untuk memahami skala penjarahan mafia korporat di alam Melayu, kita merujuk kepada Skandal Korupsi PT Timah Tbk di Indonesia. Skandal yang melibatkan perantara korporat seperti Harvey Moeis dan Helena Lim ini mencatatkan nilai kerugian kewangan serta kerosakan ekologi mencecah IDR 271 trilion, atau bersamaan hampir RM 80 bilion.
Modus operandi kartel ini berjalan menerusi empat fasa yang amat berstruktur. Fasa pertama bermula dengan perlombongan haram di kawasan konsesi negara, di mana kartel swasta menceroboh dan melombong timah secara haram di kawasan konsesi milik syarikat berkanun kerajaan (BUMN), PT Timah Tbk.
Fasa kedua ialah menjual semula hasil rompakan itu kepada kerajaan. Syarikat tirai milik kartel menyewa peralatan dan menjual timah yang dirampas itu kembali kepada PT Timah Tbk pada harga yang digelembungkan berlipat kali ganda.
Fasa ketiga melibatkan pembersihan wang menerusi dana CSR dan pengurup wang. Puluhan trilion rupiah hasil penyelewengan dicuci melalui syarikat pengurup wang berprofil tinggi dan diselindungkan di sebalik dana sumbangan kebajikan tiruan.
Fasa terakhir ialah menutup salah laku dengan kehidupan glamor, di mana kartel memanfaatkan elit sosial bagi mengaburkan transaksi kewangan gergasi. Kesan penjarahan ini menjadi amaran terbuka kepada Malaysia: apabila Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) disusupi oleh kartel swasta menerusi perjanjian usaha sama dan pelantikan penama, harta serta sumber negara bakal disedut licin.
MODUS OPERANDI DI MALAYSIA
Bagaimana pula Mafia Korporat ini menerobos ekosistem di Malaysia?
Di pasaran saham Bursa Malaysia, mafia korporat melancarkan skema "Pump and Dump" serta "Hostile Corporate Raids". Mereka membeli pegangan minoriti di dalam syarikat awam yang kaya dengan rizab simpanan tunai (cash reserves). Menerusi pakatan bersama broker korup, naratif palsu dicanang di media sosial bagi menaikkan harga saham secara mendadak.
Apabila pelabur runcit marhaen terpedaya dan membeli saham tersebut, mafia akan menjual kesemua pegangan mereka secara mengejut (dumping). Harga saham jatuh merundum, nilai syarikat hancur, dan rizab tunai syarikat disedut keluar melalui dividen khas atau pengambilalihan aset sampah.
Sementara itu di sektor perolehan awam, mafia korporat menguasai tender-tender kritikal kerajaan dalam bidang perkhidmatan IT dan bekalan teknologi imigresen. Melalui rasuah strategik dan rangkaian syarikat proksi, pembukaan tender sekadar wayang formaliti, dan kos projek melambung tinggi berbanding nilai pasaran sebenar.
ANCAMAN KEPADA SEKURITI NASIONAL
Implikasi penjarahan mafia korporat merupakan ancaman secara terus kepada keselamatan dan kedaulatan negara. Apabila pelabur tempatan dan luar negara menyedari bahawa pasaran saham dikawal oleh kartel yang kebal daripada undang-undang, keyakinan terhadap integriti kewangan negara akan hancur. Modal asing mengalir keluar, dan bursa tempatan bertukar menjadi arena perjudian.
Lebih parah lagi, apabila projek strategik negara seperti sistem kawalan pintu sempadan imigresen atau monopoli bekalan makanan asas dikuasai oleh mafia korporat, keselamatan rakyat secara tergadai demi keuntungan kartel yang bertopengkan perniagaan.
PERSPEKTIF ISLAM
Islam menegaskan bahawa aktiviti ekonomi wajib berasaskan kejujuran dan ketelusan. Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Baqarah ayat 188:
"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta sesama kamu dengan jalan yang batil, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim (atau penguasa) kerana hendak memakan sebahagian dari harta manusia dengan dosa..." - Surah Al-Baqarah ayat 188
Dalam syariat Islam, monopoli pasaran secara zalim dinamakan al-Ihtikar (اﺣﺗﻛﺎر). Kekuasaan mentadbir dan pengurusan dana awam adalah satu Amanah. Menukarkan amanah rakyat menjadi lesen perompakan halus melalui kartel korporat adalah satu bentuk pengkhianatan (Khiyanah).
Sejarah mendedahkan iktibar agung menerusi Kaum Tsamud, masyarakat berteknologi tinggi yang memahat gunung menjadi kediaman tersergam. Kehancuran mereka bermula apabila golongan elit memonopoli sumber kekayaan dan hak awam. Surah An-Naml ayat 48 mendedahkan kewujudan kartel elit mereka:
"Dan di bandar itu terdapat sembilan orang ketua (elit) yang melakukan kerosakan di muka bumi, sedangkan mereka tidak melakukan kebaikan."
Sembilan ketua ini merupakan sekumpulan kecil golongan berpengaruh yang menggunakan instrumen ekonomi untuk menindas masyarakat demi kepentingan kelompok mereka sendiri. Begitu jugalah kegiatan mafia korporat yang bergerak di belakang tabir zaman ini.
KRISIS SISTEMIK
Namun, mafia korporat hanyalah satu simptom. Punca penyakitnya adalah sistem kapitalisme moden yang mengikat struktur kewangan dunia dengan amalan Riba.
Dunia korporat digerakkan oleh matlamat mengaut keuntungan secepat mungkin menerusi spekulasi kewangan dan manipulasi wang. Amalan yang Allah SWT telah mengisytiharkan perang ke atasnya, di dalam Surah Al-Baqarah ayat 279:
"Maka ketahuilah bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangi kamu (akibat perbuatan kamu yang terus mengambil riba)..." - Surah Al-Baqarah ayat 279
Kemelut mafia korporat di Malaysia adalah realiti kelam yang sedang mengikis daya saing negara dan melumpuhkan institusi penguatkuasaan. Selagi mana agensi regulasi bertolak kompromi, selagi mana pelantikan pengarah bebas dibeli demi kekebalan undang-undang, selagi itulah mafia korporat bertakhta di sebalik koridor kuasa.
