RASUAH MENGHANCURKAN PERADABAN

RASUAH MENGHANCURKAN PERADABAN

Perbuatan rasuah atau penyelewengan dana yang diamanahkan untuk kepentingan peribadi merupakan perbuatan keji yang bukan sahaja dikutuk oleh masyarakat bahkan Islam melaknatkan pelakunya. Islam memandang berat perbuatan rasuah kerana ia boleh memusnahkan negara dan menghancurkan etika bermasyarakat.

Dalam surah al-Baqarah, ayat 188, Allah SWT memberikan ketegasan mengenainya:
"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)."

Dr Muhmad Bakr Ismail dalam al-Feqhul Wahdih misalnya mentakrifkan rasuah sebagai sesuatu yang disogokkan kepada penzalim untuk mengambil hak yang bukan miliknya, atau untuk menghilangkan hak yang empunya sama  ada atas motif dendam atau penipuan dengannya, dan mendapatkan satu kedudukan yang tidak sepatutnya atau pekerjaan yang dia tidak berkelayakan.

Ulama tersohor pada masa kini, Dr Yusof al-Qardhawi dalam kitab al-Halal wal Haram Fil Islam menukilkan perbuatan rasuah itu termasuk memakan harta orang lain dengan cara yang batil, iaitu menerima rasuah atau makan suap. Rasuah ialah wang diberikan kepada penguasa atau pegawai supaya penguasa atau pegawai tersebut menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya, atau hukum yang merugikan lawannya agar menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada sesuatu kepentingan dan sebagainya.

Rasullullah SAW ketika menghuraikan keburukan rasuah bersabda: "Pemberi rasuah, penerima rasuah & orang perantaraan menguruskan rasuah (orang tengah) semuanya sama akan dimasukkan ke dalam neraka."  Neraka merupakan tempat di mana mereka yang melakukan kesalahan dan mengingkari perintah Allah SWT akan ditempatkan, termasuklah yang terbabit dengan gejala rasuah.

Beberapa penelitian terhadap gejala rasuah memberikan petunjuk bahawa kemusnahan sesebuah masyarakat dan negara berkait rapat dengan amalan rasuah. Malaysia pernah dikategorikan sebagai negara yang belum bersih daripada aktiviti rasuah amat memandang berat mengenainya dan terus bertekad untuk membenterasnya.  

Perbuatan rasuah dikaitkan dengan sikap penerimanya yang mahukan kemewahan melampaui kemampuan manakala si pemberinya memperoleh keuntungan mudah atau memadamkan kesalahan yang dilakukan. Misalnya, seorang penunggang motosikal bersedia memberikan sogokan berupa wang kepada anggota polis yang menahannya kerana kenderaan dan penunggangnya tidak mempunyai lesen yang sah.Akibat tidak mempunyai lesen yang sah, kesalahan itu akan menyebabkan penunggang motosikal didakwa di mahkamah. Proses pendakwaan sehinggalah keputusan dibuat, memerlukan perbelanjaan yang besar dan masa yang lama.

Si pemberi rasuah biasanya mahukan sesuatu urusan hariannya cepat tetapi dalam masa yang sama berusaha melangkaui peraturan dan norma yang sepatutnya. Si penerima rasuah pula sanggup mengetepikan peraturan sekiranya ganjaran diberikan sedangkan beliau sebenarnya sudah dibayar gaji untuk melaksanakan tugas berkaitan.
Pola member dan menerima ini kemudiannya menjadi satu tarikan sehingga menyebabkan sistem yang cantik dan berkesan menjadi lemah. Peraturan yang baik hanyalah sebuah kenyataan bersifat retorik, kerana ia hanya menjadi dokumen semata-mata, tidak diamalkan sepenuhnya.

Budaya tersebut perlu dibenteras dan Islam memandang ia sebagai satu bentuk jihad yang boleh mengembalikan maruah dan keadilan. Budaya rasuah menjadi suatu bentuk pengkhianatan di mana rakyat yang tidak mempunyai sumber dan keupayaan tidak akan memperoleh sesuatu perkhidmatan yang sepatutnya mereka dapat. Bila rasuah menggela, ia akan merosakkan negara dan menghancurkan institusi masyarakat.

Masyarakat lebih berkiblatkan kemewahan, dan bila kemewahan menjadi tarikan, seluruh sistem akan hancur, sesama rakyat terus bersengketa dan kembali kepada hukum rimba. Sebab itulah rasuah sukar dibenteraskan walaupun difahami bahawa ia adalah “apa yang diberikan dengan tujuan memalsukan kebenaran dan membenarkan kepalsuan, suatu perbuatan terkutuk, yang dilaknat oleh Islam.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

043039
Hari ini: 71
Minggu Ini: 370
Bulan Ini: 7,321
Tahun Ini: 43,039
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.