MAKALAH ini membincangkan persoalan semasa di Malaysia apabila timbul isu-isu keagamaan di dalam negara. Ia melibatkan persoalan sama ada perlu ada dialog antara Islam dan Kristian. Makalah ini melihat secara umum kedudukan agama dunia dan Islam, pandangan al-Quran tentang dialog agama dan jawapan kepada keperluan dialog di Malaysia.
Kedudukan Agama Dunia dan Islam
Agama-agama dunia (world religions) terbahagi kepada agama-agama tradisi atau klasik yang sudah terkenal. Ini termasuk agama Hindu, Buddha, Zoroaster, Yahudi (Judaism), Kristian, Islam, Konfusian, Tao, Shinto, Jain, Sikh dan Bahai. Di kalangan pengkaji agama, agama-agama ini juga dapat dipecahkan kepada: (1) agama dunia yang penting lagi berpengaruh, dan (2) agama yang berskala kecil lagi bersifat setempat.
Terdapat lima agama yang penting and mewarnai masyarakat dunia, iaitu Yahudi, Kristian, Islam, Hindu dan Buddha. Ada yang mengelarkan kelima-limanya sebagai lima agama besar atau big five kerana pengikut dan pengaruhnya yang besar. Pengaruh agama dalam dilihat dalam semua aspek kehidupan manusia termasuk sosial, ekonomi, politik dan sebagainya sama ada secara langsung atau tidak.
Manakala agama pada skala kecil lagi bersifat setempat iaitu agama Konfusian, Tao, Jain, Shinto dan Zoroaster. Agama Bahai yang hanya berusia sekadar 150 tahun mula dimasukkan ke dalam kategori agama klasik kerana secara geografi tersebar di merata dunia. Lagipun, dakwaannya sebagai agama terbaru dunia atau the newest world religion mula diterima walaupun ia pada mulanya adalah kumpulan serpihan Islam.
Menurut sumber Adherents.com dalam tahun 2014, bilangan penganut agama yang teramai ialah daripada kalangan Kristian diikuti Islam. Jumlah penganut Kristian ialah 2.1 bilion. Manakala penganut Islam pula berjumlah 1.5 bilion. Di tempat ketiga pula ialah penganut Hindu. Jumlah mereka ialah 900 juta. Manakala penganut Buddha pula berjumlah 376 juta. Berbanding dengan ke empat-empat agama di atas, jumlah penganut agama Yahudi agak kecil, iaitu 14 juta.
Manakala agama-agama berskala kecil dan setempat pula terdiri daripada agama tradisi Cina iaitu Konfusian dan Tao. Jumlah penganutnya dianggar sebanyak 394 juta. Penganut agama Shinto pula ialah 4 juta. Manakala penganut Bahai berjumlah 7 juta dan Jain 4.2 juta. Berbanding dengan agama lain, penganut agama Zoroster kecil jumlahnya iaitu 2.6 juta sahaja.
Jika anggaran kasar jumlah penduduk dunia dalam 2013 adalah sebanyak 7.2 billion (http://www.worldometers.info/world-population/), maka jumlah penduduk dunia yang menganut agama adalah ramai, iaitu hampir mencecah 6 billion. Ini menunjukkan kedudukan agama sangat penting bagi umat manusia. Dengan kata lain, manusia tidak dapat lari daripada kehidupan beragama. Mereka yang dikatakan menafikan agama sekalipun yang terdiri dari golongan sekular, ateis dan agnostik boleh dikatakan cenderung kepada anutan yang berbentuk rasionalis dan kecenderungan hawa nafsu. Jumlah mereka agak besar iaitu 1.1 bilion.
Kedudukan Islam sebagai agama wahyu yang terakhir memberi kelebihan tersendiri. Antaranya ia dapat menilai kedudukan agama-agama terdahulu. Selain itu Islam mempunyai pendekatan tersendiri dalam hubungannya dengan agama-agama dunia yang ada. Sepanjang sejarah perhubungan sesama manusia, umat Islam mengunakan pendekatan Islam ini.
Islam melihat agama besar dunia, iaitu agama Yahudi dan Kristian mempunyai status sama seperti Islam. Kedua-duanya merupakan agama tuhan atau the religion of God. Ia juga disebut sebagai agama langit atau agama samawi. Ini kerana Islam dan agama ini mengiktiraf kedatangan para nabi atau pesuruh Allah yang membawa agama Yahudi dan Kristian. Islam mengiktiraf kedudukan nabi-nabi mereka seperti Ibrahim, Musa, Daud dan Isa tanpa membezakan mereka. Kedatangan Islam adalah untuk menetapkan kebenaran dalam agama-agama ini. Prinsip utama ialah akidah tauhid dan segala amalan yang bertepatan dengannya. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun” (Ali Imran: 64).
Manakala kedudukan agama-agama lain selain daripada Yahudi dan Kristian pun walaupun ia tidak mencapai status agama samawi, Islam masih mengiktiraf kewujudannya. Ini kerana pada asasnya asal usul agama dan moral manusia berpunca daripada wahyu tuhan. Ini tambah dikuatkan lagi apabila Islam sendiri menyatakan bahawa pesuruh Allah didatangkan kepada semua umat manusia. Dan bagi tiap-tiap satu umat ada seorang Rasul (yang diutuskan kepadanya) (Surah Yunus: 47). Dan tiadalah Kami mengutuskan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). (al-Israa: 15). Agama-agama ini bagaimanapun tidak disebut sebagai agama samawi kerana sumber agama itu sendiri tidak menyatakan sedemikian.
Di atas dasar bahawa semua agama menyeru kepada kebaikan, Islam melihat perhubungan sesama manusia dapat diatur dengan baik atas asas agama. Ini kerana perbezaan lain seperti jantina, ras, bangsa dan negara dapat diharmonikan dengan ajaran agama. Apatah lagi ajaran agama juga dapat menyerasikan perhubungan antara manusia yang berbeza agama. Ini kerana agama mengajar supaya manusia menghormati antara satu sama lain atas asas ia sebagai manusia. Perhubungan baik sesama manusia juga terjalin walaupun seseorang itu mengelarkan diri sebagai ateis atau tiada agama. Ini kerana setiap manusia sudah dilahir dengan anutan fitrah atau din al-fitrah. Dengan kata lain setiap manusia atas kapasiti manusiawi dapat mengenal tuhan yang sebenar atau mematuhi aturan moral yang bersifat imperatif. Manusia dengan agama tidak dapat dipisahkan. Manusia bukan hanya manusia berakal malah manusia beragama.
Al-Quran dan Dialog Antara Agama
Menurut al-Quran, daripada sudut anutan agama, masyarakat manusia terbahagi dua, iaitu (1) mumin dan (2) kafir. Ia juga disebut sebagai (1) shakir dan (2) kafur. Bagi yang menganut agama (mumin) pula, penghayatannya juga berbeza. Ada yang percaya tetapi tidak mengamalkannya dan ada pula yang sebaliknya. Bagaimanapun, yang sempurna ialah mereka yang percaya dan mengamalkan kepercayaan dan aturan undang-undang agama dalam kehidupan mereka seharian.
Menurut al-Quran agama yang diwahyukan adalah satu. Ia berdasarkan kepada kepercayaan tawhid, iaitu kepercayaan kepada Tuhan yang satu. Dengan itu agama yang yang diturunkan adalah satu jua. Ini dapat dilihat daripada sudut intipati agama iaitu kesedaran adanya Tuhan dan kepercayaan padaNya, percaya kepada hari akhirat atau pembalasan dan keperluan untuk hidup atas asas yang betul dan bermoral.
Allah berfirman dengan maksud: Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi, dan orang-orang Nasaara (Nasrani), dan orang-orang Saabiin sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal salih, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbingan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak berdukacita. (al-Baqarah: 62)
Al-Quran menamakan semua komuniti agama sebelum Islam sebagai ahlu kitab atau ‘people of the Book’. Walaupun ia secara langsung dirujuk kepada orang Yahudi dan Nasrani atau Kristian, istilah ini dapat digunakan kepada semua kategori agama lain. Ini kerana menurut al-Quran kerana setiap ummah yang ada didatangi para rasul dan wahyu Ilahi. Dan bagi tiap-tiap satu umat ada seorang Rasul (yang diutuskan kepadanya) (Yunus: 47)
Walaupun begitu, agama yang lepas mengalami proses hakisan ajarannya atas sebab kelekaan manusia. Akhirnya ajaran yang asli bercampur baur dengan yang salah dan yang palsu. Sebahagian agama tersebut bagaimanapun mendapat sokongan pengikut yang tertentu sehingga kekal ke hari ini. Sebagai wahyu terakhir, al-Quran membatalkan wahyu dan ajaran agama terdahulu yang sudah rosak kerana bercampur antara yang benar dan yang salah.
Al-Quran menyebut hakikat ini dalam tradisi agama lain. Ia bagaimanapun tidak menjangka bahawa seluruh manusia menerima kandungannya. Dengan sebab itu al-Quran menganggap ia sebagai hidayah atau panduan kepada umat manusia. Ia juga mengajak manusia untuk melakukan perbandingan antara agama-agama yang ada. Pendekatannya sebagai panduan dan mengajak manusia melalui perbandingan agama adalah pendekatan yang sebaiknya. Ini kerana manusia mempunyai akal fikiran dalam menilai sesuatu. Dengan sebab itu juga al-Quran menentang pendekatan paksaan dalam agama (al-Baqarah: 256).
Dalam berhubung dengan penganut agama lain, al-Quran mengarahkan penganutnya supaya menghormati agama-agama tersebut terutama tuhan-tuhan mereka tidak dicela (al-Anam: 108). Al-Quran juga tidak menganggap ia begitu ekslusif sehingga menafikan kewujudan agama dan kitab-kitab wahyu yang lain. Sebaliknya ia mengajak ke arah petukaran idea yang berterusan menerusi dialog dan perbincangan sesama komuniti agama dan lain-lain golongan manusia (an-Nahl: 125; al-Ankabut: 46).
Hal ini menunjukkan kepentingan untuk mempelajari sejarah agama dalam masyarakat manusia. Dalam dunia kesarjanaan Islam, kita melihat bangkitnya tokoh seperti Ali ibn Rabban al-Tabari (m. 864), al-Masudi (m. 956), Abu Rayhan al-Biruni (m. 1048), Ibn Hazm (m. 1064), Imam al-Ghazali (m. 1111), al-Shahrastani (m. 1153), Ibn Taymiyyah (m. 1328) dan sebagainya yang mengkaji agama-agama dunia. Oleh kerana al-Quran ada menyebut hubungan antara Islam dengan agama lain, contohnya Yahudi dan Kristian, setiap Muslim mesti menerima hakikat ini.
Berbalik kepada dialog antara tradisi agama lain yang ada, kita mendapati al-Quran mengemukakan pendekatan yang umum dan boleh diguna-pakai dalam usaha meneruskan agenda tersebut. Kita juga mendapati bahawa prinsip dan pendekatan yang dikemukakan al-Quran sangat penting dihayati oleh semua.
Prinsip itu terkandung dalam ayat yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam. (Ali Imran: 64)
Landasan umum dikemukakan oleh al-Quran ke arah dialog antara agama ialah untuk mencari kebenaran. Ini kerana setiap agama sudah mengakui kewujudan tuhan. Atas tujuan ini segala idea yang negatif yang ada perlu diketepikan dan hasil kebenaran yang diperolehi berdasarkan dialog tersebut perlu diterima oleh semua. Dialog mencari kebenaran antara tradisi agama hanya membuang masa apabila kebenaran tidak diakui, atau tujuannya hanya untuk menang dalam perdebatan. Ismail al-Faruqi (1986), salah seorang pemikir Islam menamakan pendekatan ini sebagai meta-religion atau agama peringkat tertinggi.
Prinsip-Prinsip Dialog Antara Agama
Islam merupakan agama dialog atas sebab kapasitinya turun sesudah agama-agama besar lain. Dengan kata lain, Islam perlu berdialog dan berinteraksi dengan agama-agama yang ada supaya kebenaran yang dibawa diterima umum. Menurut Ghazali Basri (2009) dialog ialah perbincangan atau perbahasan di antara dua pihak mengenai sesuatu perkara. Pengalaman Islam sejak dahulu berdepan dengan agama-agama dunia dan penganutnya boleh dikatakan sebagai dialog.
Menurut Ghazali Basri, beberapa prinsip dialog perlu dipatuhi, antaranya (1) bersifat dan bersikap ikhlas dan jujur bagi menyampaikan kebenaran agar terhindar kepalsuan dan kebatilan (2) setiap hujah mestilah berasaskan ilmu serta hujah yang kukuh kerana tanpanya akan membawa mudarat (3) bersikap terbuka dalam pengertian memberi peluang kepada teman dialog untuk memberikan pendapatnya (4) bersikap tawadhu yang membawa maksud tiada sebarang tipu-daya atau hasad dengki yang menyelubungi perasaan seseorang yang memasuki dialog (5) penggunaan bahasa yag lunak di samping kefasihan bertutur dan (6) berdialog dengan penuh kebijaksanaan bagi tujuan membawa rakan dialog mengarah kepada jalan kebenaran (Ghazali Basri 2009: 175-76).
Kita tidak nafikan lagi bahawa tujuan dialog yang sebenar ialah mencari dan mencapai kebenaran di samping ada tujuan-tujuan lain termasuk untuk kenal-mengenali antara satu sama lain. Begitu juga ada tujuan dialog yang lain iaitu untuk mengetahui persamaan dan perbezaan yang ada antara agama-agama dunia dalam pelbagai sudut dan dimensi sama ada kepercayaan, ritual, perundangan dan nilai-nilai.
Perlu Dialog di Malaysia?
Keadaan negara Malaysia yang majmuk memerlukan kepada dialog antara agama. Kedatangan Islam dan penerimaan penduduk rantau Melayu secara umumnya pada awal kurun ke 15 Masihi memperlihatkan adanya interaksi antara Islam dengan agama-agama terdahulu termasuk Hindu dan Buddha yang datang lebih awal. Begitu juga kedatangan penjajah barat termasuk Portugis, Belanda, Sepanyol dan Inggeris yang membawa agama Kristian mazhab Katholik dan Protestant mendewasakan lagi penerimaaan Islam di alam Melayu. Umat Melayu serantau mampu berdepan dengan cabaran penjajah dan mampu mempertahankan akidah Islam dan umatnya sehingga ke hari ini.
Islam sebenarnya mempunyai tradisi keilmuan dalam menangani isu cabaran agama lain. Begitu juga sejarah silam menunjukkan kemampuan umat Islam dalam berdepan dengan pengaruh luar ini. Dengan kata lain, dialog antara Islam dan Kristian di Malaysia boleh berjalan dengan baik. Lebih-lebih jumlah penganut Kristian dan Islam merupakan penganut agama terbesar dunia. Walaupun begitu berbanding dengan penduduk dunia jumlah penganut Kristian di Malaysia berdasarkan bancian 2010 agak kecil iaitu 9.2 peratus penduduknya berbanding dengan majoriti penduduk Malaysia beragama Islam, iaitu 61.3 peratus.. Manakala penganut Buddha merangkumi 19.8 peratus dan Hindu 6.3 peratus.
Kita berkeyakinan umat Melayu Islam mampu sekali menghadapi cabaran keagamaan dengan tradisi dialog yang sudah berakar dalam tradisi Islam. Bagaimanapun, apa sahaja yang sudah disepakati pemerintah seperti isu kalimah Allah dan sebagainya hendaklah dihormati terlebih dahulu supaya dialog dapat berjalan dengan baik. Begitu juga kedudukan Islam dalam perlembagaan negara dan status orang Melayu sebagai orang Islam dan undang-undang yang lain perlu disepakati. Di samping itu apabila dialog hendak dilakukan, prinsip-prinsip dialog seperti yang sudah dikemukakan di atas perlu dipatuhi.
Prof. Madya Dr. Abdul Salam Muhamad Shukri ialah Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
RUJUKAN
Aasi, Ghulam Haider (2004). Muslim Understanding of Other Religions: A Study of Ibn Hazms Kitab al-Fasl fi al-Milal wa al-Ahwa wa al-Nihal. New Delhi: Adam Publishers & Distributors
al-Faruqi, Ismail R. dan Lois Lamya al-Faruqi (1986). The Cultural Atlas of Islam. New York: Macmillan
Al-Faruqi, Ismail Raji (1986). Meta-religion: Towards A Critical World Theology, American Journal of Islamic Social Sciences, vol. 3, no. 1, 13-57
Ghazali Basri (2009). Pengantar Ilmu Perbandingan Agama. Pusat Penerbitan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Bandar Seri Begamwan
Major Religions of the World Ranked by Number of Adherents, http://www.adherents.cm/Religions_By_Adherents.html (akses 14/1/14)
