ABU HURAIRAH r.a menyebutkan bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda, (yang bermaksud): Ada tiga pasang mata tidak terlihat dalam neraka; (iaitu) mata yang menangis kerana takut kepada Allah, mata yang (tidak tertidur untuk) berjaga di jalan Allah, dan mata yang menutup daripada apa yang diharamkan oleh Allah.” (Riwayat al-Khilai dalam kitab al-Fawaid dan Ibnu Asakir dalam kitab at-Tarikh)
Penjelasan Hadis
Maknanya adalah bahawa orang yang memiliki mata dengan ciri-ciri sebagaimana disebut oleh hadis di atas, maka ia tidak akan masuk neraka. Inilah tiga mata yang menyelamatkan pemiliknya dari seksaan api neraka.
Mata Yang Menangis Kerana Takut Kepada Allah s.w.t
Tangisan yang disebabkan rasa takut kepada Allah s.w.t memiliki makna dan nilai yang sangat tinggi di sisi-Nya, kerana tangisan seperti inilah yang dapat menyelamatkan dirinya dari azab neraka dan mengangkat darjatnya ke tingkat yang tinggi di sisi Allah s.w.t.
Uqbah bin Amir r.a bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah, apakah keselamatan itu? Rasulullah s.a.w menjawab: Tahanlah lisanmu, lapangkanlah rumahmu untukmu (maksudnya merasa tenteram di dalamnya), dan tangisilah kesalahan-kesalahanmu.” (Riwayat Tirmidzi)
Menangis kerana takut kepada Allah s.w.t. menyebabkan seseorang mendapatkan perlindungan-Nya di hari yang tidak ada naungan selain naungan Allah s.w.t (yakni, hari Kiamat), berdasarkan hadis yang bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Ada tujuh macam orang yang akan dinaungi oleh Allah dalam naungan-Nya pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya; (iaitu) pemimpin yang adil, pemuda yang memelihara - sejak kecilnya dalam beribadah kepada Allah, orang yang hatinya terpaut kepada masjid-masjid, dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah, keduanya berkumpul atas keadaan sedemikian itu dan keduanya berpisah atas keadaan sedemikian itu pula, lelaki yang diajak (melakukan perbuatan keji) oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan berparas cantik, lalu ia berkata: Sesungguhnya aku takut kepada Allah, dan orang yang bersedekah dengan suatu sedekah lalu disembunyikan sedekahnya itu sehingga seolah-olah tangan kirinya tidak tahu apa yang dinafkahkan oleh tangan kanannya dan orang yang mengingat Allah di waktu keadaan sunyi lalu melelehlah airmatanya. (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah r.a)
Menangis kerana takut kepada Allah s.w.t. menyebabkan seseorang dicintai oleh-Nya, berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Tiada sesuatu yang lebih dicintai oleh Allah s.w.t. daripada dua titisan dan dua bekas. Dua titisan itu ialah titisan airmata kerana takut kepada Allah dan titisan darah yang dialirkan demi membela agama Allah. Adapun dua bekas iaitu bekas luka dalam perjuangan di jalan Allah dan bekas dalam mengerjakan amalan fardhu yang ditetapkan Allah. (Riwayat Tirmidzi daripada Abu Umamah r.a)
Bekas luka dalam perjuangan di jalan Allah misalnya seperti bekas tapak kaki, debu, ataupun luka yang didapatkan ketika berjihad, atau bekas tinta hitam dalam menuntut ilmu.
Adapun bekas dari mengerjakan amalan-amalan wajib misalnya seperti bekas tangan dan kaki yang menggigil kerana berwudhuk, tetap basahnya anggota badan yang dibasuh dengan air wudhuk, bau mulut orang yang berpuasa, debu yang menempel pada telapak kaki ketika melaksanakan ibadah haji, dan sebagainya.
Yang paling utama adalah menangis ketika solat atau mengerjakan ibadah-ibadah lainnya kerana takut kepada Allah s.w.t. sebagaimana tersebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin as-Syikhkhir r.a, ia menuturkan: Aku mendatangi Rasulullah s.a.w ketika beliau sedang mengerjakan ibadat dan dari dadanya itu terdengar suara bagaikan mendidihnya kuali kerana beliau sedang menangis. (Riwayat Abu Dawud dan Tirmidzi)
Ali bin Abi Talib r.a berkata: Kami tidak memiliki seorang penunggang kuda bersama kami pada hari (hebatnya perang) Badar kecuali di Miqdad. Semua di antara kami telah tidur kecuali Rasulullah s.a.w yang berada di bawah pohon, solat dan menangis hingga pagi. (Riwayat Ibnu Khuzaimah)
Mata Yang (Tidak Tertidur Untuk) Berjaga di Jalan Allah
Tangisan air mata kerana takut kepada Allah dapat memadamkan lautan api, kerana rasa takut yang ia rasakan telah membakar hatinya, melelehkan hatinya yang keras, membuatnya menangis berlindangan air mata, dan memadamkan api maksiatnya. Rasulullah s.a.w menyetarakan antara mata yang menangis kerana takut kepada Allah s.w.t dengan mata yang berjaga di jalan-Nya kerana keduanya sama-sama terjaga di malam hari kerana Allah, orang yang menangis mengalirkan air mata di pertengahan malam kerana takut kepada Allah, sedangkan orang yang berjaga, matanya tidak terpejam pada malam hari kerana khuatir dan takut terhadap sesuatu yang mungkin akan menimpa agama Allah.
Cukuplah bagi kami untuk menjelaskan keutamaan ibadah ini dengan sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Mahukah kalian aku beritahu dengan suatu malam yang lebih baik daripada malam qadar? Iaitu (malam yang) seseorang yang berjaga di daerah (perbatasan) yang ditakutkan (musuh akan menyerang), kerana barangkali ia tak akan kembali selama-lamanya kepada keluarganya.”
Malam hari yang ia berjaga di dalamnya adalah lebih utama dari malam qadar, sedangkan malam qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.
Mata Yang Enggan Memandang Kepada Sesuatu Yang Diharamkan Allah
Allah s.w.t mewajibkan atas umat-Nya supaya menjaga dan menahan pandangan mereka dari sesuatu yang diharamkan. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka berbuat. (an-Nur: 30)
Apabila ada yang bertanya: Mengapa perintah menahan pandangan mata didahulukan dari menjaga kemaluan? Anda boleh mengatakan, kerana pandangan mata adalah penyebab zina dan perbuatan buruk lainnya. Musibah yang disebabkan kerana tidak dapat menahan pandangan adalah lebih besar dan lebih berbahaya, hampir-hampir tidak dapat dicegah darinya jika tidak waspada dan berhati-hati atasnya.
Maka daripada itu, hendaklah tiap-tiap Muslim menahan pandangan mata mereka dari sesuatu yang diharamkan Allah s.w.t. Menjaga pandangan mata memiliki manfaat besar, di antaranya adalah:
Pertama : Dengan menjaga pandangan mata, bererti telah berpegang teguh pada perintah Allah dan Rasul-Nya, dan membersihkan hati dari pengaruh hawa nafsu dan syaitan.
Kedua: Memelihara pandangan mata merupakan salah satu penyebab masuk syurga. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Hendaklah kamu menjamin padaku enam perkara, nescaya aku menjamin syurga bagi kamu; jujurlah apabila berbicara, sempurnakanlah (janji kamu) apabila kamu berjanji, tunaikanlah amanah apabila kamu diberi amanah, jagalah kemaluan, tundukkanlah pandangan dan tahanlah tangan kamu (dari hal yang tidak baik). (Riwayat at-Thabrani)
Ibnu Taimiyyah menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w menjamin dengan syurga atas enam sifat ini, tiga sifat pertama adalah bebas dari sifat-sifat orang munafik, dan tiga sifat terakhir adalah terbebas dari sifat-sifat orang fasik. Sabda Rasulullah s.a.w ini ditujukan kepada orang-orang Islam, jika seseorang (daripada umat Islam) itu bukan orang munafik, maka ia adalah orang Mukmin, dan jika bukan orang fasik, maka ia adalah orang bertakwa, dan jika demikian halnya, maka ia berhak dijamin dengan syurga.
Ketiga: Menahan pandangan mata mendatangkan hikmah dan menyebabkan hati bercahaya. Abu al-Husain al-Warraq berkata, Sesiapa yang mampu menahan pandangan matanya daripada apa-apa yang diharamkan Allah, maka Allah akan menganugerahi lisannya dengan hikmah yang dapat diambil oleh orang-orang yang mendengarkan ucapan lisannya.
Orang yang mampu menahan pandangan matanya dari apa yang diharamkan oleh Allah s.w.t, maka ia wajar dianugerahi Allah dengan cahaya hikmah-Nya, kerana besarnya pahala sesuai dengan jenis amalan yang dikerjakan.
Keempat: Dengan menahan pandangan mata, maka seseorang akan merasakan manisnya keimanan. Oleh kerana itu, seorang ulama berkata, Memandang keindahan bentuk tubuh wanita adalah salah satu panah beracun dari berbagai macam anak panah iblis. Siapa yang menahan pandangannya dari keindahan-keindahan wanita kerana takut kepada Allah s.w.t, maka Dia akan menggantikannya dengan suatu ibadah yang dapat ia rasakan manisnya di dalam hati.