KELEMAHAN dunia Islam memerlukan kepada kepimpinan yang utuh dan berintegriti tinggi dalam usaha mengubah umat menjadi umat yang kuat, bersatu dan kreatif. Sayyid Jamal al-Din al-Afghani (1838-1897) merupakan pemimpin kepada kebangkitan Islam di zaman moden selepas kejatuhan umat Islam di tangan tentera Mongol dan penjajahan barat.
Dunia Islam mengiktiraf sumbangan Jamal al-Din al-Afghani kepada kebangkitan Islam dan umatnya. Beliau merupakan seorang yang berpersonaliti komprehensif, pemikir agung, tokoh mujaddid dan pemimpin politik yang berwibawa (Amin Osman). Penulis barat seperti Nikki R. Keddie (2005) melihat Jamal al-Din al-Afghani sebagai tokoh ideologi yang terkenal dan aktivis politik di abab ke-19 yang masih kuat mempengaruhi dunia Islam. Beliau diterima umum sebagai tokoh Islam yang berjasa besar tanpa dibatasi sempadan negara, mazhab dan fahaman.
Artikel ini berkisar kepada sumbangan Jamal al-Din al-Afghani kepada dunia Islam secara umum dan secara khususnya tumpuan beliau dalam membentuk kepimpinan dunia Islam yang kuat dan mantap. Antara buah pemikirannya yang masih segar ialah perlunya kepada kesatuan umat Islam (al-wahdat al-Islamiyyah atau Pan-Islamisme) dalam menghadapi penjajahan Barat. Pendekatan beliau dalam berpolitik ialah mana-mana pemimpin Islam yang lemah atau bersekongkong dengan penjajah perlu disingkir dan digantikan dengan pemimpin yang kuat, berwibawa dan patriotik. Kesemuanya akan menjadi pengajaran kepada umat dalam menghadapi cabaran semasa.
Latar Belakang Hidup dan Perjuangan Jamal al-Din Al-Afghani
Kehidupan awal Jamal al-Din al-Afghani tidak begitu diketahui secara terperinci dan tepat. Ada yang mengatakan beliau lahir pada tahun 1838 di kampung bernama Asadabad, berdekatan dengan Hamadan, Iran (Keddie). Ada yang berpendapat beliau dilahirkan di Asad Abad, berdekatan dengan Kabul, Afghanistan pada tahun 1839 (Adams 2010). Ayah beliau ialah Sayyid Safdar atau Saftar, seorang berketurunan sayyid dikatakan sampai kepada keturunan Rasulullah s.a.w melalui cucu baginda, Saidina Hussain bin Ali (626-680).
Menurut sumber Syiah, beliau mendapat pendidikan awal di rumah dan meneruskan pengajian di Qazvin, Tehran, Iran dan di Iraq terutamanya di kota suci Syiah (Atabat Aliyat), iaitu Najaf, Karbala, Kazimayn dan Samarra. Di sekitar tahun 1856-57, perselisihan berlaku antara beliau yang masih muda berumur sekitar 18 tahun dengan ulama Syiah sehingga menyebabkan beliau meninggalkan Atabat, meneruskan pengajiannya di India selama setahun lebih dalam ilmu-ilmu barat, metodologi dan bahasa inggeris.
Seterusnya kembara ilmu diteruskan ke kota-kota Islam yang lain termasuk Mekah, Baghdad dan Istanbul. Menurut Charles Adams (2010), Jamal al-Din al-Afghani menguasai semua bidang ilmu Islam termasuk nahu Arab, saraf, balaghah, sejarah, teologi, tasawwuf, logik, falsafah, fizik, metafizik, matematik, astronomi, perubatan, anatomi dan sebagainya. Latar belakang pendidikan dan pengalamannya yang ada melayakkannya untuk menyumbang kepada dunia Islam.
Ini jelas apabila hampir sepuluh tahun, iaitu sekitar tahun 1865 beliau muncul di kampung kelahirannya, bertemu keluarga dan sanak saudara sebelum meneruskan perjalanan ke Tehran dan Aghanistan menerusi Khurasan dalam usaha membina kekuatan umat dan dunia Islam.
Beliau melihat kepentingan Afghanistan yang agak terpencil tetapi berpotensi dalam mengerakkan kekuatan dunia Islam. Di Afghanistan, beliau lebih dikenali sebagai Sayyid Rumi (Anatolian) atau Estanboli, iaitu orang Istanbul atas permintaan sendiri. Sebelum ini beliau sudah mendapat kepercayaan pemerintah (amir) Afghanistan dan pernah berkhidmat di bawah Amir Dost Muhammad Khan (1793-1863). Selepas kematian Dost Muhammad Khan, berlaku krisis politik sesama penggantinya, iaitu antara Sher Ali Khan (1825-1879) dan tiga adik beradiknya. Salah seorang dari mereka, iaitu Muhammad Azam Khan melantik Jamal al-Din al-Afghani sebagai penasihatnya.
Al-Afghani merancang dan menasihati Azam Khan supaya berbaik-baik dengan Rusia di sebalik pihak Inggeris. Bagaimanapun, Muhammad Azam akhirnya kalah kepada Amir Sher Ali Khan pada 1868 sehingga menyebabkan Jamal al-Din al-Afghani sendiri terpaksa meninggalkan Afghanistan. Beliau pada mula berusaha untuk tinggal di Kabul bagi mempengaruhi pemerintah Afghanistan yang baru supaya tidak bersekongkol dengan pihak Inggeris tetapi gagal.
Di antara tahun 1869-70, Jamal al-Din al-Afghani kembali berkelana mencari tapak untuk meneruskan misi perjuangannya, bermula dengan lawatan singkat ke India dan Kaherah dan seterusnya kota Istanbul. Di Istanbul, beliau berjaya mendapat kepercayaan Sultan Turki Uthmaniyah, Sultan Abd al-Hamid II (1842-1918) dan tokoh-tokoh politik dan ulama Turki. Jamal al-Din al-Afghani melihat transformasi perlu dilaksanakan di Turki.
Beliau menyertai gerakan refromis di Turki yang dikenali sebagai gerakan tanzimat atau gerakan pembaharuan. Gerakan bertujuan untuk memodenkan Turki dan bermula dari tahun 1839 lagi sehingga terasasnya Perlembagaan baru Turki tahun 1879. Jamal al-Din al-Afghani melihat perubahan kepimpinan perlu bermula dalam bidang pendidikan. Dengan sebab itu beliau bertindak menyertai majlis reformasi dalam bidang pendidikan sebagai seorang ahli dan mula berkawan rapat dengan pengarah baru Universiti Darulfunun, tertubuh awal pada 23 Julai 1846. Seterusnya ia berkembang sehingga sekarang dan dikenali sebagai Istanbul University (Turkish: İstanbul Üniversitesi).
Bagaimanapun, Jamal al-Din al-Afghani tidak kekal lama di Istanbul apabila diusir atas desakan ulama Turki dan pihak pemerintah. Ini berikutan dengan siri syarahan disampaikan menimbulkan kontroversi tentang isu kenabian dan falsafah. Beliau dituduh merendahkan status nabi berbanding dengan ahli falsafah. Nabi dilihat sebagai suatu bentuk kemahiran (craft, art) dan bukan Pesuruh Allah yang menerima wahyu daripada-Nya. Di sini al-Afghani membanding badan politik seperti organism hidup, ada fizikal dan roh. Kesemuanya ada peranan masing-masing seolah-olah seperti bentuk kemahiran. Roh pula disamakan dengan fakulti kenabian atau falsafah.
Jamal al-Din al-Afghani meninggalkan Istanbul akhir tahun 1870. Beliau memilih untuk memperjuangkan misinya di Kaherah, Mesir pula dan berada di sana selama lapan tahun bermula 1871 sehingga 1879. Beliau mendapat layan baik di Kaherah terutama dari Riyad Pasha (1835 atau 1836-1911). Beliau merupakan salah seorang tokoh negarawan Mesir dan pernah menjawat jawatan Perdana Menteri Mesir sebanyak tiga kali, iaitu dari tahun 1879 sehingga 1881, kali kedua dari 1888 sehingga 1891 dan terakhir dari 1893 sehingga 1894. Kerajaan Mesir sangat berbesar hati dengan kedatangan dan kesudian Jamal al-Din al-Afghani untuk tinggal di Mesir. Beliau diberi elaun bulan atas sebab tersebut dan bukan atas perkhidmatan tertentu yang beliau berikan.
Di Mesir, Jamal al-Din menumpukan perhatian kepada pendidikan. Beliau memperkenalkan kembali kursus falsafah dan teks Islam klasik untuk dijadikan bahan perbincangan dan wacana umum. Banyak para pemuda Mesiri menghadiri syarahan dan kelas pengajian beliau. Ia diadakan sama ada di rumah atau kedai kopi (cafes). Sumber yang ada tidak dapat menentukan sama ada beliau sempat mengajar di Universiti Azhar atau tidak. Salah seorang muridnya yang terkenal ialah Muhammad Abduh (1849-1905) yang ketika berumur sekitar 22 tahun. Abduh kemudiannya menjadi Mufti Mesir dan diiktiraf oleh Jamal al-Din al-Afghani tentang keilmuannya semasa meninggalkan Mesir dengan kata-kata: I leave you Shaikh Muhammad Abduh, and he is sufficient for Egypt as a scholar. (Adams, 18).
Jamal al-Din al-Afghani juga berkecimpung dalam politik dalaman Mesir semasa berada di sana. Beliau menaikkan semangat patriotik Mesir dalam menentang penjajahan Inggeris. Ia dilakukan dalam beberapa cara, antaranya beliau membantu penubuhkan Kejora atau Bintang Timur (al-kawkab al-Sharqi), iaitu organisasi masonik Arab dan kemudian mengetuainya.
Beliau menggunakan pertubuhan ini untuk menggerakkan perubahan politik Mesir, terutama dalam menjatuhkan pemerintahan Khedive Ismail Pasha (1830-1895), yang dilihat sebagai alat penjajah dan usaha menggantikannya dengan anaknya, iaitu Muhammad Tewfik Pasha (1852-1892).
Beliau menggalakkan anak-anak muridnya supaya menerbitkan akhbar berorientasikan politik dan membenarkan idea-idea beliau ditulis sebagai artikel. Beliau mendapatkan sokongan khalayak dengan menggunakan pidato umum dalam menentang kekuasan kewangan dan politik Inggeris dan juga Perancis. Akhir beliau disingkir dari Mesir pada tahun 1879 apabila mula mengkritik pemerintahan Tewfik Pasha yang disokong sebelumnya dan juga penjajah Peranchis dan Inggeris. Beliau dilihat berusaha untuk menukar pemerintah yang ada dengan pemerintah yang lain.
Apabila diusir dari Mesir, Jamal al-Din al-Afghani bertekad untuk berada di benua India, secara khususnya ke India Selatan kerana ia masih di bawah pemerintahan Islam. Beliau berada di Hyderabad selama dua tahun. Beliau juga mengenali Perdana Menteri Hyderabad, Mir Turab Ali Khan dengan gelaran Sir Salar Jang I, GCSI (1829-83).
Di India, Jamal al-Din al-Afghani terlibat dalam pengajaran dan pedebatan semasa. Beliau menganggap dirinya sebagai pembela Islam dan kemudiannya Pan Islam. Beliau menentang penyokong inggeris dan Sayyid Ahmad Khan (1817-1898) dan para penyokongnya. Al-Afghani juga mula menterjemahkan trend kebangkitan Islam dan kesatuan umat sebagai senjata dalam menentang pihak Inggeris di India. Beliau juga menulis beberapa siri artikel dalam akhbar dan kemudian diterbit dengan judul Penolakan ke atas Golongan Materialis (Neicheriyya).
Muhammad Abduh menterjemahkan buku ini dengan tajuk, al-Radd ala al-dahriyyin. Al-Afghani bagaimanapun ditahan pihak Inggeris daripada bergerak lebih luas di Calcutta, India berikutan dengan berlakunya pemberontakan Ahmed Urabi (1841-1911) di Mesir dari 1879-1882. Pemberontakan ini bertujuan menentang Khedive Tewfik Pasha dan pengaruh barat di Mesir. Pihak inggeris khuatir pemberontakan seperti ini berlaku di India.
Berikutan keadaan yang tidak menentu di India, Jamal al-Din al-Afghani meninggalkan India menuju ke Paris. Dalam perjalanannya, beliau sempat singgah di England dan bertemu dengan Wilfrid Scawen Blunt (1840-1922). Beliau merupakan seorang yang anti-penjajah dan penyokong kepada pemberontakan Urabi di Mesir. Di London dan Paris, Jamal al-Din al-Afghani menulis kritikan atas syarahan Joseph Ernest Renan (1823-1892) yang bertajuk “Islam and Science” dan diterbit dalam Journal des Debates.
Dalam artikel, Renan yang merupakan pakar Perancis dalam bidang bahasa lama dan tamadun Asia Barat menolak Islam sebagai tidak saintifik. Di sini al-Afghani menolak dakwaan Renan dalam tulisan Answer to Renan yang diterbitkan dalam jurnal yang sama sehingga Renan memuji artikel tersebut sebagai sangat menarik dan positif.
Semasa berada di Paris, Jamal al-Din al-Afghani telah memanggil Muhammad Abduh untuk tinggal bersama beliau bagi mengusahakan penerbitan akhbar dengan nama al-Urwat al-Wuthqa. Akhbar ini berada di pasaran tidak sampai setahun.
Walaupun begitu, ia berjaya diterbitkan sebanyak 18 kali dengan terbitan pertama pada 13 Mac 1884 dan yang terakhir pada 16 Oktober 1884. Artikel dalam akhbar ini banyak mempengaruhi dunia Islam kerana banyak menyentuh isu-isu kejatuhan dunia Islam dan cara-cara untuk bangkit kembali. Dalam akhbar ini, Jamal al-Din al-Afghani buat julung kali menyentuh pandangan tentang Pan Islamisme yang menjadi julukan kekal kepada tokoh ini dan perjuangannya.
Antara tahun 1884-1885, pihak Inggeris menerusi kerjasama Wilfrid Blunt berusaha mendapat kerjasama Jamal al-Din al-Afghani dalam memberhentikan pemberontakan Muhammad bin Ahmad al-Mahdi (1845-1885) di Sudan terhadap pihak Inggeris dan Mesir. Ini kerana Jamal al-Din al-Afghani mempunyai anak muridnya yang berasal dari Sudan semasa beliau mengajar di Mesir dan merupakan pengikut kepada al-Mahdi. Usaha tersebut tidak berjalan disebabkan kematian al-Mahdi meninggal pada 1885 dan beliau diganti oleh Abdallahi ibn Muhammad 'Khalifa' yang lebih sederhana.
Jamal al-Din al-Afghani kemudian menuju ke Iran pada 1886 dan singgah di pelabuhan Busher. Di sana beliau berjumpa dengan anak muridnya yang sama-sama diusir dari Mesir yang bernama Abu Turab. Abu Turab telah membawa dan menyimpan buku-buku dan tulisan al-Afghani semasa di Mesir. Beliau pada mula bercadang untuk singgah sebentar mengambil barangan tersebut dan meneruskan perjalanan ke Rusia apabila dijemput ke sana oleh bpenulis Rusia Mikhail Nikiforovich Katkov (1818-1887).
Beliau juga merupakan seorang wartawan dan bersifat chauvinis dan berjuang untuk kepentingan Rusia. Keadaan kesihatan al-Afghani menghalang beliau untuk berangat dan memaksa untuk tinggal di Busher selama beberapa bulan. Ini memberi peluang kepada Menteri Akhabr dan Penerbitan Iran, Etimad al-Saltana (1843-1896), menjemput beliau ke Tehran. Akhirnya al-Afghani mendapat kepercayaan Naser al-Din Shah Qajar or Shahanshah (1831-1896) dab dilantik sebagai Menteri Perang.
Bagaimanapun, al-Afghani disyaki cuba menjatuhkan pemerintahan Naser al-Din Shah. Beliau akhirnya meletakkan jawatan dan bertolak ke Rusia sekitar tahun 1887-1889. Tujuan utama ialah supaya pihak Rusia mengisytiharkan perang terhadap pihak Inggeris. Dengan adanya peperangan antara dua kuasa besar tersebut, umat Islam boleh memberontak menentang pihak Inggeris. Bagaimanapun, pihak Rusia mengabaikan saranan tersebut dan al-Afghani terpaksa pulang dalam keadaan hampa.
Selepas kembali ke Iran pada 1889, Jamal al-Din al-Afghani menulis surat kepada Perdana Menteri terakhir di bawah Shah, iaitu Mirza Ali Ashgar Khan Amin al-Sultan (1843-1907) menyatakan bahawa beliau sudah berjaya memujuk pihak Rusia terhadap beberapa pemberian konsesi kepada pihak Inggeris. Bagaimanapun, Amin al-Sultan enggan berjumpa dengan al-Afghani atas sebab-sebab sebelum ini.
Semasa tinggal di Iran sebelum ini dan selepas kembali dari Rusia, al-Afghani sudah berjaya menarik pejuang nasionalis Iran untuk bergabung dengannya dengan menubuhkan pertubuhan rahsia dan pengedaran risalah menentang pemerintah Iran kerana membiarkan Inggeris mengeksploit kekayaan Iran. Beliau akhirnya dihalau dari Iran ke Iraq pada 1890.
Seterusnya berlaku gerakan massa terdiri daripada ulama dan pedagang menentang pemberian konsesi kepada pihak Inggeris terutamanya monopoli tembakau pada 1891. Akhir konsesi tersebut dibatalkan. Pada 1891-92, al-Afghani menghabiskan masa bersama-sama dengan Mirza Malkam Khan ((1833-1908), seorang tokoh nasionalis, modenis dan revolusionis Iran selama beberapa bulan di England. Beliau menyampaikan syarahan bersama menentang Shah Iran dan menulis beberapa makalah dalam isu yang sama dalam akhbar yang diusahakan Malkam bernama Qanum.
Pada tahun 1892, al-Afghani dijemput oleh Sultan Abd al-Hamid untuk menetap di Istanbul. Beliau menerima jemputan tersebut. Sultan bagaimanapun menggunakan kapasiti yang ada pada al-Afghani untuk menulis surat untuk mengajak ulama Syiah Iran untuk bersatu membentuk dunia Islam baru di bawah panji Pan-Islamisme dengan Sultan Abd al-Hamid sebagai khalifah Islam. Pada masa yang sama anak murid al-Afghani yang bernama Mirza Reza datang ke Istanbul dan dapat bertemu dengan al-Afghani. Beliau baru dibebaskan dari penjara di Iran.
Al-Afghani mengggalakkan beliau pulang ke Iran dengan misi untuk membunuh Naser al-Din Shah Iran. Naser al-Din akhirnya ditembak pada 1 Mei 1896 ketika bersiap-siap untuk menyambut ulang tahun pemerintahannya yang ke-50. Mirza Reza dihukum gantung. Pihak Iran meminta Sultan Abd al-Hamid mengekstradisikan al-Aghani ke Iran. Bagaimanapun, ia ditolak atas alasan al-Afghani merupakan seorang Afghan. Jamal al-Din al-Afghani akhirnya meninggal dunia di Istanbul pada tahun 1897 disebabkan kanser rahang setelah banyak berjuang dan menyumbang kepada dunia Islam.
Kepimpinan Dunia Islam Menerusi Semangat Pan-Islamisme
Jamal al-Din al-Afghani memperjuangkan semangat Pan Islamisme, iaitu kesatuan umat Islam dalam menentang penjajahan barat. Ia dikemukakan sebagai wahana untuk memperkukuhkan dunia Islam dalam menghadapi pihak barat. Ia termasuk seruan kepada penyatuan semua umat Islam di bawah satu kepimpinan khalifah Islam dalam usaha membebaskan diri mereka dari dominasi pihak asing. Ini kerana menurut al-Afghani, pihak barat terutama negara-negara Eropah sudah mewajarkan serangan dan penghinaan yang mereka kenakan ke atas negara-negara Timur dengan alasan kemunduran negara-negara tersebut.
Kita tidak dapat nafikan kepentingan semangat Pan Islamisme tersebut. Bagaimanapun, kepimpinan dunia Islam yang ada dan semasa dengan Jamal al-Din al-Afghani berbanding dengan barat sudah terlalu korup dan begitu lemah sehingga ada yang tunduk kepada pihak asing. Tindakan Jamal al-Din dengan merancang untuk mengubah kepimpinan yang ada dengan kepimpinan baru bagaimanapun tidak mendatangkan hasil yang dingininya. Ini kerana pemimpin yang menggantikan pimpinan atau elit politik yang ada mempunyai ciri-ciri negatif yang sama. Mereka bukan lagi mempunyai ciri-ciri kepimpinan Islam yang sebenar seperti yang digariskan ulama Islam seperti al-Mawardi (972-1058), al-Ghazali (1058-1111) dan Ibn Khaldun (1332-1406).
Selain itu, perubahan kepimpinan bukannya mudah apabila pemilihan pemimpin bukan berdasarkan sistem pilihan raya dan pewakilan rakyat berbanding dengan negara barat yang sudah mengamal sistem itu. Kebanyakan negara Islam diperintah secara autokratik dan kuku besi. Hanya kembali kepada kepimpinan cara Islam dan sistem pilihan raya yang adil, dunia Islam akan kembali maju dan ke hadapan dalam semua bidang. Semangat Pan-Islamisme yang digerakkan oleh Jamal al-Din al-Afghani boleh membaiki kepimpinan dunia Islam sekarang.
Oleh: PROF. MADYA DR. ABDUL SALAM MUHAMAD SHUKRI ialah Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
