Ajakan untuk berbuat baik dan beriman kepada Allah SWT biasa disebut sebagai dakwah. Islam selalu menganjurkan umatnya untuk saling menyeru kepada kebajikan. Dakwah berasal daripada bahawa Arab “Da’a”, yang bererti ‘menyeru’ atau ‘mengajak’. Secara teknik, istilah ini bererti menyeru atau mengajak manusia kepada ajaran Islam.
Dakwah tidak hanya ditujukan bagi orang bukan Islam, tetapi juga kepada orang Islam sendiri. Untuk orang bukan muslim, dakwah dilakukan agar mereka mahu memeluk agama Islam, sedangkan untuk orang Islam, dakwah dimaksudkan agar mereka mengetahui dan mengamalkan ajaran Islam.
Dalam surah Al-Nahl: ayat 125, Al-Quran menjelaskan dua kaedah dalam berdakwah, iaitu dengan ucapan yang tegas al-hikmah dan dengan cara pengajaran yang baik al-mau’izah, al-hasanah.
Salah satu isu yang sering muncul dalam tema dakwah adalah isu kebebasan beragama. Sebahagian orang menilai bahawa dakwah dapat membawa konflik antara agama kerana ajaran ini terkandung anjuran untuk menggantikan agama seseorang dengan agama yang lain, yakni Islam. Namun ulama berpendapat bahawa dalam berdakwah tidak terdapat konsep pemaksaan orang untuk menggantikan agamanya. Dalam hal hubungan antara agama, Islam sendiri mempunyai sikap tegas seperti dinyatakan di dalam Al-Quran yang berbunyi:
“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam): sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat.” (Surah Al-Baqarah: 250)
Satu perkara yang amat mengecewakan ialah umat Islam, meskipun dinyatakan dalam Al-Quran sebagai umat ‘terbaik’ dan ‘pertengahan’, sebahagian besarnya gagal dalam tugas dakwah mereka kepada seluruh umat manusia. Tanggungjawab “amr bil makruf wal nahyi’ an al munkar” memerintahkan yang baik dan mencegah yang buruk tidak hanya terbatas kepada kaum muslim tetapi ditujukan kepada seluruh umat manusia.
Tetapi untuk mencapai seluruh umat manusia, umat Islam mesti membersihkan niat mereka jika ingin menampilkan saksi yang dapat dipercayai kerana Al-Quran jelas menyatakan bahawa menjadi saksi kebenaran adalah tujuan di sebalik dijadikan umat muslim sebagai umat terbaik.
Imam Al-Ghazali dalam bab “al-Amru bi Al-Ma’ruf wa An-Nahyu’ An Al-Munkar” pada bukunya Ihya ‘Ulumiddin mengatakan: Janganlah seseorang menyuruh kepada kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran kecuali berhati lemah lembut dengan apa yang diperintahkan itu, juga lembut dengan apa yang dilarang, sabar dengan apa yang diperintah dan sabar pula dengan apa yang dilarang, mengerti apa yang diperintahkan dan apa yang dilarang.
Dalam sebuah kisah disebutkan bahawa ada seseorang datang menemui Al-Makmun iaitu khalifah Bani Abasiyyah yang sangat terkenal. Dia menyuruh khalifah itu untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran dengan ucapan yang sangat kasar. Al-Makmun adalah seorang khalifah yang bijak dan ahli fikh. Al-Makmun berkata kepada orang itu:
“Wahai tuan, bersikaplah lemah lembut! Sesungguhnya Allah SWT telah mengutuskan orang yang lebih baik daripadamu kepada orang yang lebih jahat dariku, namun dia memerintahkan dengan cara yang lembut. Allah SWT telah mengutuskan Musa dan Harun yang kedua-duanya tentu lebih baik daripadamu, kepada Firaun yang tentu saja dia lebih jahat daripadaku.”
Allah SWT memerintahkan kepada Musa dan Harun dengan firman-Nya yang bermaksud:
“Pergilah kamu berdua kepada Firaun. Sesungguhnya dia telah melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut mudah-mudahan ia ingat atau takut.” (Surah Taha: 43-44)
Dengan cara inilah Al-Makmun membidas orang itu dan diamlah orang yang kasar itu. Al-Quran Al-Karim telah memberikan kepada kita beberapa contoh dialog yang dilakukan dengan lawan yang berbeza pemikiran. Dialog yang paling mengagumkan dalam Al-Quran ialah dialog yang terjadi antara Allah SWT dan para malaikat-Nya mengenai penciptaan Nabi Adam dan tugasnya sebagai khalifah di muka bumi. Allah SWT menjelaskan hal ini kepada para malaikat dan para malaikat ketika itu tidak setuju dengan tugas kekhalifahan makhluk yang diciptakan daripada bahan-bahan bercampur dengan alam ini. Allah pun menanggapi keberatan mereka itu dan menunjukkan bahawa mereka berada pada posisi yang salah dan yakni dengan cara menyuruh mereka bersujud kepada alam.
Dalam berdakwah menonjolkan sikap ekstrem dan fanatik dengan pendapat sendiri yang mengatakan orang lain sentiasa salah merupakan bahaya besar yang menjadi batu penghalang kepada kerjaya dakwah islamiah. Fahaman ekstremisme tergambar pada orang yang menolak untuk mengubah pendapatnya dan berpegang teguh pada prasangka serta kekuatan. Ia tidak lagi dapat melihat kepentingan orang lain dan akhirnya mengembangkan kecenderungan untuk menuduh orang lain sebagai kufur dan sesat.
Penyebab utama sikap ini ialah kerana kurangnya pengetahuan dan wawasan tentang tujuan, semangat dan “esensi din” ajaran Islam. Abu Ishaq al-Syatibi memperkatakan dalam bukunya Al-I’tisam: Kurangnya pengetahuan agama dan kesombongan adalah akar-akar bidaah serta perpecahan umat dan akhirnya membawa kepada perselisihan dan perpecahan. Sikap ini harus dibendung kerana bagaimana mungkin kita mengajak orang lain untuk mengikuti idea-idea Islam seperti “tasammuh” toleransi dan “I’tidal” keadilan dan “adl” keadilan, jika kita sendiri gagal memperlihatkan nilai-nilai tersebut dalam hubungan sesama kita.
Sekalipun dakwah diterima sebagai jalan untuk mengajak orang memeluk agama Islam atau sebagai cara bagi seseorang muslim untuk memperteguhkan keimanannya, istilah dakwah juga mengungkapkan bahawa ia memiliki pelbagai aspek. Selain menjadi saksi atas kebenaran Islam, penekanan dakwah harus selalu menampilkan Islam tergerak ke arahnya itu.
