DEFINISI MURTAD DALAM ISLAM

DEFINISI MURTAD DALAM ISLAM

Kembali kepada kekafiran daripada keadaan beriman, baik iman itu didahului oleh kekafiran lain ataupun tidak, disebut sebagai murtad. Menurut sebahagian ulama, istilah itu hanya untuk orang yang kembali kepada sesudah beriman. Dalam al-Quran, kata “murtad” disebut sebanyak empat kali : dua kali secara tersurat (Q.2:217 dan Q.5:54) dan dua kali secara tersirat (Q.5:21 dan Q.47:25). Murtad juga diistilahkan sebagai “kafir” seperti yang disebut dalam surah al-Nisa’ ayat 137. Kata “murtad” berasal daripada bahasa Arab radda, yang bererti berbalik semula atau kembali dari tempat datang. Bentuk nomina murtad, irtidad, mempunyai makna umum di samping makna khusus. Misalnya, istilah irtidad digunakan untuk mengungkapkan peristiwa Nabi Ya’qub a.s yang dapat melihat semula setelah buta (Q.12:96).

PENYEBAB MURTAD

Menurut ulama fikah, sebab murtad ada dua. Pertama, keluar daripada Islam. Petunjuk yang menunjukkan seseorang keluar daripada Islam boleh berbentuk perbuatan, perkataan dan keyakinan. Kedua, tindakan murtad itu bersikfat mungkar. Maksudnya, orang berkenaan mengetahui dengan pasti sikap, perbuatan, perkataan dan keyakinannya telah menyebabkannya  keluar daripada Islam, sementara dia sendiri mengetahui dengan pasti bahawa yang diingkarinya itu benar (ajaran Islam). Imam al-Syafie dan ulama Mazhab al-Zahiri menambah bahawa murtad juga mesti disertai niat. Oleh itu, orang yang menjadikannya dirinya kafir tanpa disertai niat tidak dihukum sebagai murtad. Pendapat ini ditolak oleh ulama Mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali dan Syiah.

HUKUM ORANG MURTAD

Ada beberapa hukuman yang boleh dikenakan kepada orang murtad: diminta untuk bertaubat, dibunuh, dihukum ta’zir (hukuman berdasarkan kebijaksanaan hakim), disita hartanya dan dihapuskan beberapa haknya. Menurut ulama fikah, jika orang murtad bertaubat bersungguh-sungguh; maka hukuman bunuh gugur lalu diganti dengan ta’zir.

SYARAT MURTAD

Ulama fikah bersepakat bahawa syarat murtad hanya dua: berakal dan dilakukan atas kesedaran sendiri. Sikap murtad anak kecil dan orang gila tidak sah. Para ulama berbeza pendapat tentang sikap murtad orang mabuk. Menurut kebanyakan ulama, sikap murtad orang mabuk adalah sah jika dia sengaja membuat dirinya mabuk, sedangkan menurut ulama Mazhab Hanafi, tidak sah. Menurut ulama Mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali, baligh tidak menjadi syarat bagi orang murtad. Jika anak kecil yang telah mumaiyiz menunjukkan sikap dan perkataan murtad, dia dihukum sebagai murtad. Menurut mereka, keislaman anak kecil yang telah mumaiyiz adalah sah. Pendapat itu ditolak oleh ulama Mazhab Syafie. Tentang syarat kedua, ulama fikah bersepakat bahawa jika seseorang dipaksa keluar daripada Islam, dia tidak dihukum sebagai murtad (Q.16:106).

PERANG RIDDAH

Peristiwa murtad besar-besaran terjadi pada awal pemerintahan Abu Bakar. Beberapa  kabilah keluar daripada Islam atau  meniadakan kewajipan zakat. Peristiwa ini menggoyahkan kestabilan dan kewujudan negara Islam yang baru didirikan. Meskipun Khalifah Abu Bakar terpaksa memerangi beberapa kabilah yang menentang, baginda berjaya menumpaskannya. Peristiwa ini dikenali dengan nama Perang Riddah.

MURTAD ZAMAN NABI MUHAMMAD S.A.W.

Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. peristiwa murtad berlaku sebanyak tiga kali, iaitu yang melibatkan Bani Mudlaj yang dipimpin oleh al-Aswad, Bani Hanifah yang dipimpin oleh Musailamah al-Kazzab dan Bani Asad yang dipimpin oleh Tulaihah bin Khuwailid. Al-Aswad dibunuh di Yaman oleh Fayruz al-Dailami. Musailamah dibunuh oleh Khalid bin al-Walid manakala Tulaihah dan kaumnya memeluk agama Islam semula setelah ditawan oleh Khalid bin al-Walid.

Surah al-Nahl ayat 106 menjelaskan bahawa jika seseorang itu dipaksa menjadi kafir, dia tidak dihukum oleh Allah S.W.T sebaliknya jika dilakukan secara sukarela, dia akan dikenakan azab yang besar.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

030864
Hari ini: 143
Minggu Ini: 1,652
Bulan Ini: 4,660
Tahun Ini: 30,864
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.