AMANAT AL-FALAH 2025: ISLAM MEKAR DI BUMI MALAYSIA

AMANAT AL-FALAH 2025: ISLAM MEKAR DI BUMI MALAYSIA

Saya ingin memulakan ucapan saya dengan mengajak seluruh warga agensi untuk merenung kepada Surah Hud, ayat 61 yang bermaksud ayat: Dan kepada kaum Thamud, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Soleh. Dia berkata: Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadaNya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hambaNya.

Saya ingin memulakan Amanat Tahun 2025 yang bertemakan “Amanat Al-Falah 2025: Islam Mekar Di Bumi Malaysia” dengan mengajak semua warga agensi untuk kita sama-sama mengucapkan kesyukuran setingginya ke hadrat Allah SWT atas pencapaian genjatan senjata di Gaza, Palestin baru-baru ini.

Kerajaan Malaysia di bawah kepemimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengalu-alukan perdamaian di Gaza dan berharap ia menjadi pembuka jalan kepada cita-cita tertegaknya negara Palestin dalan masa terdekat.

Kita mendoakan rakyat Gaza terus tabah di fasa pembinaan semula pasca konflik. Alhamdulillah, sebagaimana diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bahawa negara Malaysia akan bersama-sama negara Jepun mempengerusikan program pembinaan semula Gaza. InsyaAllah, sekiranya semua proses telah dimuktamadkan, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan berganding bahu membantu usaha-usaha yang bakal disusun bagi membantu pembinaan semula Gaza.

PENCAPAIAN JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) TAHUN 2024

Alhamdulillah, kita telah dapat mengemudi bahtera JPM-HEA dengan jayanya pada tahun 2024 yang lalu. Banyak pencapaian membanggakan telah kita sempurnakan menerusi Pelan Transformasi Al-Falah yang telah kita gerakkan bersama.

Saya ingin mengucapkan tahniah atas kepada semua agensi yang menjayakan program-program penting seperti :

i) Dewan Rakyat dan Dewan Negara meluluskan RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024;

ii) Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia;

iii) Program Majlis Ulama’ Asia 2024;

iv) Program International Conference of Religious Leaders 2024

v) Anugerah Labbaitom Kerajaan Arab Saudi

Apa yang saya sebutkan ini adalah sebahagian kecil sahaja contoh program yang telah berjaya dilaksanakan. Kita mempunyai senarai panjang kejayaan setiap agensi pada tahun 2024, Tahniah dan syabas saya ucapkan.

Tadi, sebelum ke dewan ini, saya telah berkesempatan meninjau reruai agensi-agensi di perkarangan masjid di mana pencapaian-pencapaian JPM-HEA telah dipamerkan dengan kreatif.

Saya berasa bangga dengan semangat kerjasama bersama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melibatkan 14 agensi. Alhamdulillah, keupayaan agensi-agensi bergerak dalam satu kesatuan gerak kerja adalah salah satu semangat dan nilai transformasi yang ingin diterapkan di kalangan warga agensi.

Pada tahun 2025, saya ingin mengajak semua warga agensi menumpukan fokus gerak kerja di segenap peringkat agensi masing-masing berpandukan tema yang dinamakan: “Islam Mekar di Bumi Malaysia”. Sesungguhnya tema kerja ini telah disepakati bersama pada Mesyuarat Pengurusan Tertinggi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada tahun lalu.

Tema Islam Mekar di Bumi Malaysia ini diangkat kerana ia mengandungi mesej yang jelas tentang peranan dan tanggungjawab semua warga kerja agensi terhadap cita-cita bersama kita ke arah mendaulatkan kedudukan agama Islam di negara kita yang tercinta ini.

Dalam erti kata yang lain, sepanjang tempoh amanah yang telah diberikan kepada kita semua ini, marilah kita bersama-sama berganding bahu mengisi ruang-ruang wujud dan terbuka luas di negara kita hari ini dengan usaha dan ikhtiar bersungguh-sungguh meningkatkan kemajuan dan kecemerlangan ummah dalam segenap segi kehidupan mereka.

Ruang-ruang yang luas dan subur yang terbentang di negara kita hari ini adalah sebuah nikmat dan anugerah terbesar yang dikurniakan Allah SWT kepada kita umat Islam di Malaysia yang mesti kita syukuri setingginya. Persekitaran kehidupan beragama yang aman dan harmoni serta disusuli dengan dokongan kepimpinan negara tanpa berbelah bahagi terhadap agenda pembangunan hal ehwal Islam merupakan sebuah anugerah terbesar kepada umat Islam di negara ini.

Selaku warga kerja agensi yang terlibat secara langsung dalam urusan hal ehwal Islam di negara ini, kita tentu lebih mudah memahami akan pelbagai kemudahan dan peruntukan yang tersedia kepada kita bagi tujuan menjayakan perancangan dan gerak kerja pembangunan ummah.

Sekiranya situasi ini kita bandingkan dengan persekitaran dan halangan yang sedang dihadapi oleh ramai saudara-saudara seagama kita di sebahagian negara-negara Islam, perkara ini tentu akan menginsafkan kita.

Dalam keadaan kita dikurniakan nikmat ruang dan persekitaran yang melimpah ruah, rakan-rakan kita di Palestin, Sudan dan Syria sebagai contoh sedang berdepan dengan pelbagai cabaran yang menuntut kesabaran dan kecekalan yang tinggi. Manakala di sesetengah negara di Eropah, umat Islam masih berdepan dengan cabaran Islamophobia yang menghambat kehidupan mereka.

Menerusi tema Islam Mekar di Bumi Malaysia, kita ingin mengajak seluruh warga kerja agensi meningkatkan usaha, berganding bahu bekerjasama dan menumpukan fokus bagi menjayakan usaha meninggikan syiar Islam seterusnya meningkatkan kemajuan ummah.

Marilah bersama-sama menyuburkan kegiatan dakwah, meninggikan budi dan akhlak masyarakat seterusnya membela sebahagian umat Islam yang masih terpinggir dalam pelbagai bidang kehidupan.

Marilah kita bersama-sama berusaha memastikan syiar Islam terus mekar di negara kita seterusnya kemajuan-kemajuan yang dicapai oleh umat Islam di Malaysia menjadi landasan bagi mencapai rahmat kepada seluruh alam – rahmatan lil alamin. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Anbiya’, ayat 107 yang bermaksud: Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

Namun, kita ingin menyatakan rasa sedih apabila terdapat sesetengah pihak yang segaja menimbulkan naratif yang tersasar dengan mengatakan iaitu kedudukan agama Islam dan masa depan ummah di negara kita dalam keadaan terancam serta tiada pembelaan.

Sesungguhnya naratif ini adalah satu bentuk dakyah yang amat menyeleweng yang segaja ditimbulkan bertujuan bagi menimbulkan keraguan dan perpecahan di kalangan umat Islam di negara kita.

Oleh itu, saya ingin menyeru seluruh warga agensi agar tidak terpengaruh dengan naratif yang dibina berasaskan motif dan kepentingan kelompok yang sempit. Dalam masa yang sama, adalah menjadi tanggungjawab kepada kita untuk menjelaskan kekeliruan yang ditimbulkan oleh sesetengah pihak tersebut.

Saya amat berharap, tema Islam Mekar di Bumi Malaysia ini akan menjadi satu kempen kesedaran baru di kalangan umat Islam di negara kita seterusnya membina keyakinan iaitu hakikat kedudukan agama Islam dan kemajuan ummah terus mekar dan subur di negara.

Oleh itu, saya amat menghargai pelaksanaan Pemeran Islam Mekar di Bumi Malaysia yang kita anjurkan pada hari ini sehingga esok.

Sehubungan itu, Pameran Islam Mekar di Bumi Malaysia ini akan menjadi acara berkala dan dilaksanakan di lokasi-lokasi lain yang bersesuai di negara kita. Menerusi jelajah pameran ini, kita akan berpeluang berinteraksi dengan masyarakat terbanyak secara langsung malah memberikan perkhidmatan hal ehwal Islam secara lebih meluas kepada masyarakat di segenap peringkat.

Bagi tujuan menjayakan tema kerja Islam Mekar di Malaysia pada 2025 yang telah kita sepakati, saya ingin menganjurkan 5 agenda pengisiannya yang mesti kita gerakkan bersama secara serius seperti berikut:

Agenda Pertama: Mengangkat Pembangunan Al-Quran dan Hadis

Semua agensi perlu merencana inisiatif dan program yang berimpak bagi memastikan pembangunan al-Quran dan Hadis terus mekar dan subur di negara kita.

Menerusi agenda ini, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan berusaha mewujudkan ekosistem terbaik dan dinamik ke arah pembangunan al-Quran dan Hadis di negara kita. Sememangnya peranan ini adalah sebahagian dari tanggungjawab yang telah kita laksanakan selama ini.

JAKIM telah terkehadapan dalam perjuangan mengangkat kemuliaan al-Quran di negara kita menerusi acara Tilawah dan Hafazan al-Quran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa setiap tahun. Kita mempunyai Darul Quran JAKIM bagi membangun para huffaz.

Program KAFA juga merupakan usaha yang amat dihargai oleh umat Islam dalam konteks melestarikan pendidikan dan penghayatan al-Quran di kalangan generasi muda Muslim di negara kita.

Insya-Allah, program-program ini akan kita terus berikan dokongan, Malah, menerusi Belanjawan MADANI ke-3 baru-baru, peruntukan khusus bagi pogram-program ini terus ditingkatkan.

Disamping program-program sedia ada, kita mesti meneroka inisiatif baru yang bertujuan meninggikan kemuliaan al-Quran serta meningkatkan penghayatan nilai-nilai al-Quran dalam kehidupan dan amalan hidup masyarakat.

Kita akan terus mendokong Program Wakaf Sejuta al-Quran bagi tujuan penyebarannya ke seluruh dunia.

Inisiatif penganjuran Majlis Sama’ Hadis Imam Al-Bukhari baru-baru ini adalah satu program mercu terpenting yang dicapai dalam konteks mengangkat ilmu hadis dan penghayatannya dalam kehidupan Muslim. Kita akan terus menyokong pengajuran majlis Sama’ Hadis pada tahun ini dengan persiapan dan dokongan yang lebih rapi dan berkesan.

Saya juga dimaklumkan JAKIM dalam proses penerbitan buku Syarah Sahih Muslim karya Imam al-Nawawi pada tahun ini. Peluncuran karya ini nanti diharap menjadi satu lagi sumbangan besar Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) terhadap usaha meninggikan kemuliaan Sunnah Rasulullah di Malaysia.

Saya berharap setiap agensi dapat mempertingkatkan usaha penghayatan al-Quran dan Hadis menerusi penganjuran program bersesuaian di peringkat dalaman agar ia menjadi teladan kepada jabatan dan kementerian lain.

Agenda Kedua: Meningkatkan Kefahaman dan Penghayatan Islam

Agenda ini mesti menjadi keutamaan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kerana kita mendapati masih terdapat jurang di kalangan masyarakat berkaitan kefahaman dan penghayatan ajaran Islam. Kita akui, kesedaran umat Islam untuk menghayati cara hidup beragama bertambah tinggi kesan dari pelbagai program pendakwahan oleh pelbagai institusi dan organisasi.

Namun, kesedaran tersebut hendaklah ditingkatkan ke tahap mutu penghayatan makna dan kefahaman beragama yang kukuh berasaskan dasar dan metodologi ilmiah yang diperakui.

Kita berasa amat bimbang, tanpa kefahaman dan penghayatan Islam yang sebenar, umat Islam akan terdedah kepada penyelewengan ajaran agama yang boleh membawa kepada perbuatan taksub membuta tuli serta sikap ekstrem dan perbuatan melampau dalam beragama.

Kes GISB baru-baru ini hendaklah menjadi iktibar kepada kita betapa pentingnya kita menggerakkan agenda peningkatan kefahaman dan penghayatan Islam sebenar berasaskan panduan Ahli Sunnah wal Jamaah dalam kehidupan umat Islam hari ini.

Oleh itu, saya ingin menyeru semua agensi memberi sokongan terhadap program-program dakwah bercorak peningkatan kefahaman dan penghayatan Islam dalam masyarakat. Gerak kerja dakwah menerusi seminar, wacana, dan usrah berkelompok hendaklah diperluaskan dan digalakkan terutama di kalangan generasi muda.

Baru-baru ini saya telah melancarkan kempen penghayatan Kalimah Toyyibah. Ia bertujuan mendidik masyarakat supaya menjaga lisan dan mengungkapkan kata-kata yang baik dalam pergaulan dan dalam segala urusan kehidupan. Kita akan terus giatkan lagi pelaksanaan program ini pada tahun ini.

Pada tahun lalu, saya juga telah melancarkan program Seminar Fikrah Madani dengan mengangkat pemikiran kesederhanaan Syeikh Dr Yusof al-Qaradawi sebagai sumber rujukan. Progam ini juga akan diperluaskan pada tahun ini melibatkan beberapa zon utama.

Dalam konteks ini, saya ingin menyeru semua agensi menerusi jabatan dan unit dakwah hendaklah meningkatkan program peningkatan kefahaman Islam dalam masyarakat. JAKIM, YADIM dan Duat Al-Falah hendaklah kehadapan dalam pelaksanaan program ini. Selain itu, kita akan menggerakkan program Literasi Cakna Syariah Lestari Madani ke seluruh negara bertujuan memperkasa kefahaman tentang hukum Syarak dan kehakiman Syariah serta kaedah alternatif bagi kesejahteraan kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Saya yakin bahawa penghayatan Syariah yang syumul akan dapat melestarikan nilai-nilai hidup madani dalam kalangan masyarakat.

Di samping dakwah menerusi lisan, kita juga ingin menggalakkan agensi-agensi meningkatkan penerbitan bahan-bahan persuratan Islam untuk disebarkan kepada masyarakat.

Pada tahun ini, kita akan meneruskan mengadakan Festival Buku Islam bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025. Buku-buku berasaskan Islam terbitan agensi-agensi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan kita pamer dan sebarkan kepada masyarakat secara meluas dengan harga berpatutan.

Dalam agenda memperkasakan modal insan yang menjadi tonggak pembangunan negara Madani, saya melihat peranan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) yang merupakan satu-satu institusi latihan Islam di bawah Institusi Latihan Awam (ILA) perlu diperkukuhkan sebagai Centre of Excellence dalam pengurusan dan kepimpinan Islam berpaksikan kesyumulan ajaran Islam dan agenda pengantarabangsaan perlu digerakkan segera. Warga agensi perlu mengambil manfaat sepenuhnya kursus-kursus yang dianjurkan oleh ILIM ke arah transformasi diri dan merealisasikan agenda al-Falah.

Menerusi usaha ini, saya berharap, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menjadi antara jabatan terkehadapan dalam menterjemahkan nilai “Keyakinan” dalam gagasan Malaysia Madani iaitu sebuah cita-cita bagi membina warga negara yang memiliki kualiti ilmu dan pegangan yang sahih dan benar dalam kehidupan.

Agenda Ketiga: Memperkukuh Aplikasi Teknologi Dalam Tadbir Urus Islam.

Dalam menjayakan misi Transformasi al-Falah, semua warga agensi mestilah meningkatkan pengusaan ilmu teknologi dan meningkatkan aplikasinya dalam urus tadbir agensi masing-masing. Perkara ini hendaklah ditekankan kerana ia sejajar dengan hala tuju pembangunan teknologi berasaskan AI yang sedang digerakkan oleh kerajaan.

Dalam hubungan ini, saya ingin menekankan agenda mengukuhkan aplikasi teknologi dalam urustadbir Islam hendaklah menjadi keutamaan kepada semua agensi. Usaha penilaian dan peningkatannya hendaklah sentiasa dilaksanakan agar agensi-agensi agama tidak ketinggalan dalam dunia yang serba canggih hari ini.

Dalam konteks ini, kita mengalu-alukan pengenalan Super Apps Al-Falah yang telah saya lancarkan akhir tahun lalu. Saya berharap kempen pelaksanaan dan penggunaannya dapat diperluaskan oleh masyarakat bagi memperoleh khidmat hal ehwal Islam dengan cara mudah, pantas dan berkesan.

MAIWP juga akan memperkenalkan Portal Asnaf pada tahun ini bagi memudahkan urusan permohonan dan pengagihan kepada masyarakat yang memerlukan. Kedua-dua portal ini insyaAllah akan menjadi sebuah projek mercu Al-Falah pada tahun yang tidak tidak sahaja membanggakan tetapi menyumbang terhadap agenda transformasi perkhidmatan kita kepada masyarakat.

Agenda Keempat: Melestari Kesejahteraan Sosial Ummah.

Agenda ini merupakan satu keutamaan yang mesti didokong oleh semua agensi. Pembelaan golongan asnaf dan agenda mengangkat kedudukan mereka dari segenap segi terutama aspek sosio-ekonomi adalah satu tuntutan semasa. Kita dapati masih ramai lagi dari kalangan umat Islam yang berada dalam keadaan daif, miskin dan fakir terutama sekali dari kalangan golongan rentan.

Oleh itu, kita hendaklah meningkatkan kecemerlangan pengurusan sumber kewangan sosial Islam iaitu, wakaf, zakat dan infaq untuk dimanfaatkan sepenuhnya ke arah melestarikan kesejahteraan sosial ummah.

Alhamdulilah, kutipan zakat yang semakin bertambah mestilah diuruskan dengan cara terbaik bagi membela golongan asnaf.

Baru-baru ini saya telah terlibat langsung dalam pembelaan golongan gelandangan menerusi penubuhan Rumah Transit Baitulmal MAIWP di Sentul, Kuala Lumpur. Selain itu, kita mesti memperluaskan lagi dokongan kita kepada mereka dari kalangan anak yatim, ibu tunggal dan warga emas. Dalam masa yang sama, saya akan terus melaksanakan program ziarah asnaf secara berkala yang telah saya laksanakan sejak dilantik sebagai Menteri.

Saya juga berharap agensi-agensi berkaitan agar dapat memperkasakan lagi program Baitul Rahmah iaitu projek Sinar Lestari bagi pembinaan dan baik pulih rumah asnaf yang memerlukan.

Kita mesti meneruskan program santuni asnaf di seluruh negara menerusi program Rahmah Ihsan Madani dengan menggunakan pendekatan dan kaedah pelbagai yang sesuai dan berkesan.

Pada tahun 2025, saya berhasrat dan mengajak agensi-agensi membela dan mengangkat golongan mualaf dan OKU di negara kita. Saya mendapati masih terdapat banyak ruang pembelaan yang mesti kita berikan tumpuan terhadap golongan ini dari segi pendidikan, perlindungan undang-undang, kebajikan dan peningkatan taraf hidup mereka.

Menerusi agenda ini, kita secara langsung bergerak sederap dengan azam dan cita-cita kerajaan bagi menoktahkan kemiskinan tegar di negara kita.

Agenda Kelima: Memperkasa Perpaduan Ummah dan Keharmonian Tamadun.

Agenda ini amat penting untuk kita sama-sama perjuangkan. Tanpa perpaduan, ia secara langsung akan mengganggu dan merencatkan segala perancangan pembangunan ummah. Sesungguhnya, pembinaan negara dan tamadun tidak akan tercapai menerusi perpecahan di kalangan ummah.

Dalam konteks ini, kita mesti menjadikan masjid sebagai pusat kesatuan ummah. Cadangan penganjuran Muktamar Masjid ASEAN pada tahun ini diharap dapat menjadi satu lonjakan penting ke arah memperkasa peranan masjid sebagai pusat perpaduan dan kecemerlangan ummah.

Saya juga berharap cadangan penubuhan Yayasan Pembangunan Masjid akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat yang bertujuan melestarikan kekuatan masjid demi pemerkasaan ummah.

Di samping itu, kita juga hendaklah menyumbang terhadap keharmonian negara dengan menggalakkan program dialog antara masyarakat berbilangan agama, kaum dan budaya. InsyaAllah kita akan memperkasakan Jawatankuasa HARMONI yang saya pengerusi bersama dengan YB Menteri Perpaduan.

Dalam hubungan ini juga, kita hendaklah menyebakan fikrah Fiqh al-Ta’ayush di kalangan umat Islam. Kesedaran dan kefahaman fiqh ini penting supaya umat Islam dapat menghargai kepelbagaian dan kemajmukan di negara kita sebagai satu kekuatan bersama dan bukan penghalang terhadap kemajuan negara.

Saya berharap cadangan penganjuran Himpunan Belia Muslim ASEAN akan dapat menyemarak agenda perpaduan ummah dan keharmonian tamadun. Bagi tujuan ini, agensi-agensi perlu mengatur program Ziarah Madani ASEAN ke negara minoriti Muslim seperti Selatan Thailand, Kemboja dan Mindanao.

Menerusi kelima-lima agenda ini, kita yakin sekiranya ia dapat diselaraskan dengan sempurna dan berkesan, ia mampu menjadi program pengisian mercu dalam menterjemahkan Islam Mekar di Bumi Malaysia seterusnya memacu Pelan Transformasi Al-Falah ke arah Membina Malaysia Madani.

Sesungguhnya kita semua harus fahami iaitu perhimpunan ini bukan sekadar program rutin dalam gerak kerja pentadbiran hal ehwal agama, namun hakikatnya amat penting bertujuan bagi mengukuhkan kesatuan fikrah (wahdatul fikr) dan kesatuan amal (wahdatul amal) seluruh warga agensi bagi mencapai cita-cita unggul keagamaan dan pembangunan ummah (nahdah ummah Islamiyyah).

Dalam hubungan ini, saya ingin mengambil kesempatan di sini mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga agensi, terutama kepada barisan pengurusan tertinggi yang telah bertungkus lumus menyumbang bakti menjayakan pelbagai usaha dan ikhtiar bagi memperkasa dan mengangkat martabat ummah sepanjang tahun yang lalu.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada Tuan Rumah Perhimpunan kali ini iaitu YAPEIM dan TV Al-Hijrah. Terima kasih kepada semua agensi yang menjayakan Majlis Perhimpunan dan Pameran Islam Mekar di Bumi Malaysia.

Sekadar ini ucapan saya.

Sekian, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

YB SENATOR DATO’ SETIA

DR HAJI MOHD NA’IM BIN HAJI MOKHTAR MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) SEMPENA

MAJLIS PERHIMPUNAN AGENSI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA)

23 JANUARI 2025

MASJID PUTRA, PUTRAJAYA

 

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

025199
Hari ini: 225
Minggu Ini: 1,052
Bulan Ini: 4,072
Tahun Ini: 25,199
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.