NAFSU MELAHIRKAN TINGKAH LAKU

NAFSU MELAHIRKAN TINGKAH LAKU

Manusia memiliki dua sisi, iaitu sisi luar dan sisi dalam. Sisi luar ialah bentuk fizikal yang dapat dilihat (jasmani), manakala sisi dalam ialah kewujudan yang tidak dapat dilihat, iaitu nafsu atau jiwa. Menurut al-Quran, nafsu merupakan sisi dalam manusia yang melahirkan tingkah laku, sebagaimana firman-Nya “…Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri…” (Q.13:11).

Daripada ayat tersebut muncul pengertian bahawa nafsu merupakan ruang dalam, batin atau rohani manusia yang mengandungi potensi untuk berperasaan, berfikir dan berkeinginan, sehingga manusia dapat melakukan aktiviti yang mengubah keadaan hidupnya. Dalam al-Quran juga ada keterangan tentang tiga peringkat nafsu, daripada yang paling rendah hingga yang tertinggi: nafsu amarah, nafsu lawamah dan nafsu mutmainah.

PERINGKAT NAFSU

Nafsu mutmainah (al-Nafs al-mutma’innah), yang diterjemahkan sebagai “jiwa yang tenang”, ialah nafsu peringkat tertinggi. Pelakunya dijanjikan syurga (Q.89:27-30). Ciri nafsu mutmainah ialah tetap tenang tenteram dengan iman (Q.16:106); berasa selamat dan bebas daripada rasa takut serta sedih di dunia (Q.4:103), dan memiliki hati yang tenteram kerana sentiasa ingat akan Allah S.W.T. (Q.13:28).

Nafsu lawamah (al-nafs al-lawwamah) ialah nafsu yang banyak mencela, mengeluh dan menyalahkan. Yang dicela, dikeluhkan dan disalahkan ialah dirinya sendiri. Nafsu lawamah termasuk nafsu yang mulia kerana jiwanya sentiasa menegur dan menempelak dirinya (Q.75:1-2).

Nafsu amarah (nafs al-ammarah bi al-su’) ialah nafsu peringkat terendah. Secara harfiah, kata ammarah bererti “yang banyak menyuruh” sedangkan kata su bererti “keburukkan atau kejahatan”. Sesungguhnya, nafsu manusia itu cenderung menyuruh melakukan kejahatan (Q.12:53).

JASMANI, NAFSANI DAN ROHANI.

Kewujudan manusia dibahagikan kepada tiga. Pertama ialah jasmani, yakni yang paling lahiriah (fizikal), iaitu tubuh atau jasad. Pada peringkat ini, manusia tidak berbeza daripada haiwan kerana haiwan juga mempunyai jasmani. Menurut ajaran tasawuf, orang yang berhenti pada peringkat ini akan terhalang untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi.

Kedua ialah nafsani, yakni peringkat psikologi nafsu yang lebih kompleks daripada peringkat jasmani. Manusia dan binatang masih sama pada peringkat jasmani dan nafsani kerana kedua-duanya memiliki kesedaran.

Ketiga ialah rohani, yakni yang paling hakiki dalam diri manusia, yang membezakannya daripada haiwan dan membolehkannya memiliki sifat-sifat mulia. Pada peringkat rohani, manusia berbeza daripada haiwan. Haiwan hanya mempunyai badan dan kehidupan, tetapi manusia memiliki kedua-duanya dan sekali gus roh yang ditiupkan oleh Allah S.W.T. Pada peringkat rohani inilah termuat hati nurani, iaitu potensi asas kemanusiaan yang semula jadi.

ZULAIKHA

Zulaikha, isteri Futifar al-Aziz (raja Mesir), tertarik akan ketampanan anak angkatnya, iaitu Yusuf (sebelum menjadi nabi), lalu menggodanya. Tetapi si suami mengetahuinya. Zulaikha pun mengakui kesalahannya sambil menyatakan dia tetap setia. Dia berkata, “Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang yang diberi rahmat oleh Tuhanku…” (Q.12:53).

Kata-kata nafs al-ammurah bi al-su’ (nafsu mendorong ke arah kejahatan) bermula daripada kisah itu. Pesanan penting daripada ayat tersebut adalah nafsu tidak boleh dibiarkan lepas kerana condong kepada perbuatan buruk atau jahat, kecuali nafsu yang diberi rahmat, yang mendorong kepada kebaikan dan yang dibimbing oleh keinsafan atau taqwa.

“Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredai (disisi Tuhanmu)! Serta masuklah engkau dalam kumpulan hambaKu yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku” (Q.89:27-30).

PERINGKAT ROHANI

Allah S.W.T. mencipta nafsu sebagai peringkat rohani yang diilhamkan kepadanya. Nafsu boleh membawa kebaikan dan keburukan. Manusia sendirilah yang memilih cara memperlakukan nafsunya sama ada ke arah kebaikan atau keburukan. Al-Quran memberikan penilaian moral bahawa berjayalah orang yang menjadikan dirinya itu susut dan terbenam kebersihannya (Q.91:7-11). Jiwa kanak-kanak yang belum dewasa adalah suci. Setelah dewasa, barulah nafsunya berubah, sama ada menjadi baik atau buruk.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

030710
Hari ini: 163
Minggu Ini: 1,498
Bulan Ini: 4,506
Tahun Ini: 30,710
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.