Minggu ini (minggu ketiga bulan Ogos 2024) saya menjadi sedikit bosan. Bosan kerana facebook, tik tok dan sebagainya (media sosial) tidak lagi menyiarkan perbincangan atau komen-komen sangat menarik (bersifat positif). Banyak atau sangat melimpah ialah pelbagai jenis iklan (produk ajaib, jamu ajaib, skim pelaburan, wanita ‘gersang’ dan tidak kurang ialah ulang tayang video lama yang pernah diucapkan oleh politikus.
Dalam ‘kebanjiran’ hal-hal yang boleh dianggap ‘sampah’ itu, terselit sebuah berita yang ‘mengejutkan’ kerana sebelumnya ‘tidak terasa angina dan asap’, tapi ‘pokok’ benar-benar bergoyang, seterusnya ‘tumbang’.
Saya maksudkan ialah klip video dan juga infografik tentang penceraian seorang penyanyi wanita yang cukup tersohor pada suatu ketika, yang nama-namanya pernah dikatan ada hubungan darah dengan seorang lagi penyanyi dan pelakon popular tanah air, yang pernah disifatkan ‘hari bahagia’ seumpama kisah cinderalela, Erra Fariza.
Kali ini ialah Datuk Nora atau nama penuhnya Wan Norafiza Arifin mengakui bahawa dirinya telah diceraikan oleh suami kedua, Dr Rushdi Ramli dengan talak satu, dan diminta mengambil video yang merakamkan lafaz cerai tersebut sebagai bukti. Nora dan Rushdi berkahwin sebelum akhir tahun 2021.
Kisah penceraian itu begitu ‘memikat’ dan menarik perhatian netizen atas beberapa sebab. Pertama, walaupun Nora pernah menafikan bahawa dirinya mendesak agar suami menceraikan isteri pertama, kini Nora pula berkata, suaminya tidak salah, penceraian berlaku kerana suaminya dipaksa untuk melafazkan ceria.
Kedua, kisah rumah tangga Nora sejak berkahwin kali kedua, tidak banyak mendapat publisiti kecuali di awal perkahwinan mereka sebagai menjawab beberapa dakwaan yang tidak tepat. Namun, pelantun lagi Di Persimpangan Dilema itu ‘redha’ dengan apa yang berlaku, tetapi netizen terus mempersoalkan apakah kaedah penceraian itu wajar dilakukan oleh seorang yang berilmu dan mempunyai kelayakan akademik dalam budang agam berbuat demikian.
Tidak seharusnya melafazkan ikrar secara begitu, sebagaimana netizen pernah mengecam kisah penceraian yang dibuat menerusi laman sosial atau menggunakan pesanan ringkas, tik tok mahupun whatsApp. Sepetutnya, sebagai seorang yang berilmu, bekas suami kedua Nora lebih ‘gentleman’ melafazkan talak secara berhadapan dengan isterinya, da nada saksi yang boleh mengesahkannya.
Ketiga, di Malaysia ada undang-undang yang menjadi peraturan dalam persoalan nikah dan cerai. Ertinya, sebelum penceraian itu dapat disahkan (perkahwinan terbubar), ia perlu mendapat keputusan Mahkamah Syariah. Sebelum pembubaran perkahwinan, salah seorang daripada pasangan wajar memfailkan proses penceraiannya di pejabat kadhi atau pejabat yang menguruskan hal ehwal Islam, sebelum boleh difailkan di Mahkamah Syariah untuk pengesahan (keputusan).
Dalam kenyataan Nora, yang dimuat dalam instagram miliknya, tidak terselit ‘rasa marah’ dan juga ‘cerita’ yang telah membawa terbubarnya perkahwinan yang berjalan mulus hampir tiga tahun, kecuali “suaminya dipaksa” dan “ustaz tidak salah”.
Ia membawa kepada penantian jawapan kepada sebab keempat, siapakah memaksa penceraian itu berlaku? Siapakah yang memaksa Ustaz Rushdi untuk melafazkan talak satu? Siapa pula yang merakamkan video lafaz talak itu? Semuanya, dikatakan ‘ada tangan-tangan ghaib’ dalam misteri tersebut.
Kelima, apakah Ustaz Rushdi sudah berjaya ‘cucuk hidung’ sehingga sanggup melafazkan talak satu walhal dalam perspektif perkahwinan, beliau sepatutnya boleh membuat keputusan tanpa dipaksa. Beliau seharusnya mampu menolak atau menerima cadangan yang dipaksakan itu secara seorang yang berilmu dan memahami persoalan nikah cerai dalam konteks syariah. Ertinya, sesuatu yang memadai perlu dijawab oleh Ustaz Rushdi untuk ‘membersihkan diri’ daripada lebih banyak kecaman yang mungkin dibuat oleh netizen.
Datuk Nora Arifin (Wan Norafiza Arifin) menerima lafaz cerai itu dan berserah kepada Allah SWT di atas ketentuan-Nya, dengan redha. Dr Rushdi Ramli adalah seorang pensyarah kanan di Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Malaya. Dr Rushdi, menurut Nora adalah kenalan rapat almarhum suami pertamanya, Johan Nawawi, seorang komposer terkenal tahahair yang meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung.
Seolah-olah ada ‘magis’ yang telah membolehkan perkahwinan mereka, walaupun Nora sedar, dirinya adalah isteri kedua dan terpaksa belajar hidup bermadu. Asam garam ‘hidup bermadu’, kalau menurut cerita lazim dan popular, tidak cukup manis dan masinnya, yang dirasai ialah benar-benar Di Persimpangan Dilema.
Rumah tangga yang dibina bersama Johan Nawawi sejak tahun 1992, dianugerahkan empat orang cahayamata, dan salah seorang putera mereka, Muhammad Syakir Aliff meninggal dunia selang hampir tiga tahun (2 tahun 8 bulan), iaitu pada 13 Disember 2019 ketika berusia 20 tahun.
Nora kemudiannya berkahwin dengan Dr Rushdi pada tahun 2021 dalam majlis tertutup (sama ada akhir November atau awal Disember 2021), yang perkongsian itu diketahui menerusi hantaran dalam laman Istagram, tanpa penjelasan tepat butir-butir perkahwinan mereka.
Hanya dijelaskan kata-kata berikut: Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi mengasihani. Sempena malam Jumaat yang juga ‘sayyidul ayyam’, saya dengan rendah hati dan bersyukur ke hadrat Allah SWT ingin memaklumkan bertemu jodoh dengah hamba Allah yang juga sahabat baik arwah suami, Johan Nawawi dari kecil lagi. Beliau adalah saudara Rushdi Ramli.
Nora turut memohon maaf kerana tidak menghebahkan awal berita gembira itu, alasannya: “Dari awal lagi saya berniat mahu tidak berkongsi berita gembira ini, Cukuplah sekadar melaksanakan perkara wajib dan mengikut hukum sahaja.
“Saya berpegang kepada prinsip perkahwinan itu satu ibadah dan ia terlalu peribadi untuk dikongsikan, Bukan ingin mermegah-megah, jauh sekali mencari publisiti. Jodoh, rezeki dan ajal adalah rahsia Allah yang ditentukan,” (Berita Harian, 3 Disember 2021), Ertinya, bagi Nora dan pasangannya, cukup orang ramai mengetahui statusnya, sudah bersuami dan bukan lagi seorang balu. Tidak manis untuk ‘bersembunyi’ sebagaimana banyak berlaku dalam kalangan ahli politik, orang-orang tertentu merahsiakan poligami mereka
Orang lain tidak perlu ambil kesempatan untuk mengganggunya, kerana menganggu isteri orang, dalam apa cara dan niat sekalipun, ia adalah suatu kesalahan, baik dari segi agama, norma sosial mahupun undang-undang sivil.
Tenang-tenang sahaja pasangan itu menjalani kehidupan berumah tangga, awal minggu ini, tular kisah penceraian mereka dan pada Rabu lalu (14 Ogos 2024), Nora memberikan ulasan, hubungannya dengan bekas suami (Rushdi Ramli) sebelum diceraikan adalah dalam keadaan baik.
Dalam kenyataannya di facebook, Nora memberitahu: Sebelum ini hubungan kami baik-baik saja.Alhadulillah, saya berlapang dada atas apa yang berlaku dan berserah dengan apa saja ketentuan Allah SWT.
“Saya memohon maaf kerana tidak memberi apa-apa respons pada isu ini. Saya tidak mahu memanjangkan isu ini (dan) cukuplah orang tahun status perkahwinan saya sekarang supaya tidak mendatangkan fitnah.”
Sebelumnya, berdasarkan infografik yang tular, Nora telah berkata, lafaz cerai yang dibuat oleh bekas suaminya (rakaman video) : Ustaz (suami) dipaksa ceraikan saya tanpa sebarang sebab dan diminta ambil video sebagai bukti supaya semua orang tahu.
Nora tidak menyalahkan bekas suami keduanya: “ Ustaz tidak berslah. Dia hanya mengikut arahan yang diberikan padanya iaitu melepaskan saya tanpa sebab dan merakam video sebagai bukti.
“Saya tergamam tidak terkata. Cukuplah Allah bersaku.” Jika dibaca secara perlahan-lahan, dalam hati Nora tidak tersimpan sebarang dendam, walaupun dia sedar, penceraian itu berlaku atas “paksaan seseorang”.
Ia cukup berbeza dengan apa yang pernah Nora lantunkan dalam baris-baris lirik Dendam Dalam Diam: Dalam manisnya madu/ Terselit juga pahit hempedu/ Madu manis padamu/ Pahitnya sungguh bagi diriku/ Suka atau tidak/ Aku terus memendam rasa/ Ingin sekali aku pergi bawa diri.”
Nora, kini sedang membawa diri, hidup bersendirian tanpa suami. Namun, Nora masih teman yang boleh ‘mengubati pedihnya hati’, kerana tiga orang cahaya matanya dengan Allahyarham Johan Nawawi masih ada.
Lirik lagu itu mungkin ada terasa ‘luahan hati Nora” walaupun ia dilantunkan dengan gemersik dan mendayu-dayu pada tahun 1995 (Album Debaran, yang diterbitkan oleh Johan Nawawi dan Adnan Abu Hassan), yang liriknya ditulis bersama dengan arwah suaminya, kerana ada ungkapan Dalam manisnya madu/ Terselit juga pahit hempedu.
Secara literalnya, “manisnya madu” boleh ditafsirkan dalam beberapa maksud, termasuk berkongsi suami dengan dua atau lebih isteri (poligami). Manakala “pahitnya hempedu”, bila dikaitkan dengan berkongsi suami.Ia menempelkan maksud, ada yang perlu ditelan selagi hidup bermadu. Perasaan atau emosi, kata hati dan sebagainya sentiasa ada lakaran duka, tergores dan sebagainya.
Saya tidak tahu dengan tepat, apakah Nora alami ‘pahitnya hempedu’ setelah menjadi isteri kedua kepada seorang pensyarah yang kini berusia 55 tahun itu. Nora kini, berusia 51 tahun, dan benar-benar sedang diuji: Tapi ke manakah arah/ Rasanya sudah tak kuasa lagi/ Persoalan inilah yang silih berganti/ Hidup bersama bayangan saja/ Oh Indah hanyalah khabar/ Bukan yang sebenar, uh”.
Sebagai seorang yang pernah meminati lagu-lagunya, kelunakan suara dan penampilannya yang sangat ‘menawan’, kita doakan agar Nora terus tabah berhadapan dengan gelombang hidup yang kadangkala sangat tidak menyebelahi kita. Kita mengharapkan Nora tidak akan terus ‘hanyut’ di dalam gelombang kehidupan yang bagi orang yang pernah kecewa dianggap sangat ‘pedih’, ‘tajam’ dan ‘duka’ itu. Namun, di celah-celah kedukaan itu, suatu hari akan ditemukan sinar, walaupun di hujung terowong.
Gelombang itu, adalah takdir yang wajib kita hadapi dengan tenang, bermuhasabah diri dan tidak saling menyalahkan orang lain. Saya hormati sikap dan pendirian Nora, kerana walaupun ‘dipaksa bercerai’, belum kedengaran cercaan terhadap ‘orang yang memaksa’ suaminya melafazkan cerai talak satu.
Nora redha dengan apa yang berlaku, dan menerimanya sebagai satu bentuk ujian yang tentunya dalam ketabahan berhadapan dengan situasi ‘buruk’, akan hadir ‘sinar di hujung terowong’, atau menemui ‘kebahagiaan sejati’, biarpun mengambil masa yang lama untuk merawat ‘luka hati’.
Saya tinggalkan kisah Datuk Nora itu, dan tidak berhasrat memberikan komen boleh boleh menyakitkan hati beliau, bekas suaminya atau juga bekas madunya. Nora sudah pun memberikan pengakuan, dirinya sanggup ‘bermadu’ ketika persoalan itu muncul di awal perkahwinan mereka.
Dr Rushid menjawab:” Saya Rushdi Ramli secara jujur dan seikhlas hati ingin menjelaskan bahawa segala kenyataan-kenyataan yang telah diviralkan pada saat ini bertujuan untuk mencemarkan nama baik perkahwinan antara saya dan Datuk Nora Ariffin adalah suatu fitnah, adalah tohmah yang berniat jahat dan buruk.
“Allahuakbar…semoga Allah SWT memberikan balasan yang setimpal terhadap orang-orang yang berniat jahat terhadap kami dan terhadap perkahwinan kami”. (Astro Awani, 5 Disember 2021) Jawapan itu mematikan dakwaan bahawa Datuk Nora pernah ‘memaksa’ Dr Rushdi Ramli agar ‘menceraikan isteri pertama’ dan mereka hidup sebagai pasangan monogami.
Setelah netizen sedikit terkejut dengan berita penceraian tersebut, ada pula yang mendakwa bahawa Datuk Nora ‘hamil’ dan mempersoalkan bagaimana tergamaknya Dr Rushdi melafazkan cerai. Ini kerana, walaun Islam dibolehkan bercerai, penceraian ketika isteri hamil adalah sesuatu yang sangat ‘keji’, walaupun diharuskan dan sah.
Suatu ketika, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata: Cerai ada waktu harus dan haram. Kalau cerai ketika hamil hukumnya harus dan sah talaknya. Tiada tempat tidak jatuh talak kecuali ketika gila.
“Apa saja, sebab iyu orang hendak ceraikan isteri ada waktu haram, iaitu ketika haid. …Cerai perlu ada persetujuan mahkamah kalau tidak ikut peraturan, mahkamah boleh menjatuhkan hukum.” Mufti Pahang ketika itu memberikan komen ekoran seorang isteri telah ceraikan ketika sarat mengandung. Peserta Pencetus Ummah (PU), Abu Sufyan telah menceraikan isterinya, Ain Afini. Ain Afini kemudian mempersoalkan penceraian tersebut dengan meluahkan perasaan di media sosial. (Harian Metro, 21 April 2019).
Namun, apa pun yang ‘pahit’, tidak akan menjadi ibarat ‘hempedu’, malah Nora tentunya lebih pantas mengatasi kemelut emosi yang sedang ditanggung, kerana dua kesedihan sebelumnya cukup mendewasakan.
Kesedihan pertama ialah ketika menerima berita kematian Allahyarham Johan Nawawi. Kesedihan kedua, ialah ketika menerima berita kematian anak kedua, Muhammad Syakir Aliff. Kesedihan ketiga, diceraikan secara ‘paksa’ talak satu oleh suami kedua, seorang yang berilmu dan sahabat baik bekas suami sejak kecil.
Harap-harap Nora tidak akan tersandung dengan himpunan kata-kata dan emosi sebagaimana diungkapkan dalam sebuah lagi lagu popularnya, Sandiwara (lirik: Ainul Jamal Abd Rahman, Saari Amri dan Saari Jusoh, 1994): Cahaya itu hilang tanpa alasan/ Terhanyutlah sutera di alunan samudera/ Kini harapan tenggelam/ Daku kecundang dalam kekecewaan.
Walaupun ‘cahaya itu hilang tanpa alasan’, cahaya sejati akan muncul apabila kita tabah berhadapan dan berusaha menjadikan ‘musibah’ sebagai ujian dalam hidup. Ia akan akan muncul sirnanya yang lebih baik dan terang, sekiranya kita benar-benar redha, dan melihat ‘cinta antara makhluk’ itu adalah sesuatu yang sementara, manakala cinta sejati ialah cinta untuk dekat dan mendekati Allah SWT, Sang Pencipta yang pernah ‘meminjamkan’ apa yang kita senangi dan juga apa yang membuatkan kita bersedih.
Kata Imam al-Ghazali, ada tiga objek yang dikenali manusia: objek yang sesuai dan seirama dengan naluri kemanusiaan; objek yang bertentangan dan berlawanan dengan naluri manusia; dan objek yang tidak menimbulkan pengaruh apa-apa terhadap naluri kemanusiaan manusia.
Ada tiga prinsip mengenai cinta, (1) manusia akan mencintai sesuatu yang dengannya memperoleh nikmat; (2) ragam cinta, kerana cinta muncul setelah kita mengenali objek yang dicintai; dan (3) mengenali siapa cinta itu diberikan. Manusia jelas mencintai diri sendiri, jika cintai itu diberikan kepada orang lain, ia tetap demi untuk dirinya sendiri. (Imam al-Ghazali, Rindu Tanpa Akhir, terjemahan daripada al-Mahabbah wa al-Syawq wa al-Uns wa adl-Ridha oleh Asy’ari Khatib, Jakarta: PT Serambi Ilmu Semesta, cetakan ketiga, 2007)
Namun, yang lebih besar, kuat dan agung ialah cinta kepada Allah SWT, dan di atas cinta dan kasih sayang-Nya kita hidup. Dia tidak memerlukan apa-apa balasan daripada kita, tetapi kitalah sebenarnya yang memerlukan rahmat-Nya, perlindungan semasa hayat dikandung badan dan mengharapkan syurga yang kekal abadi saat jasad bercerai dari badan.
Catatan Mingguan: Mahanor Saleha