BULAN Ramadan, bulan mulia, barakah, rahmat dan menjadi landasan perubahan bagi muslim untuk mewujudkan diri sebagai insan kamil serta menjauhkan manusia dari malapetaka. Namun hakikatnya kerakusan manusia tidak pernah terhenti padahal syaitan sendiri hakikatnya telah dirantai dan tidak berupaya untuk membujuk atau menjerumuskan manusia ke dalam kesesatan sepanjang bulan Ramadan?
Bulan Ramadan yang penuh rahmah dan kasih sayang ini tidak menjadikan mereka berhenti bergaduh dan berpecah belah dan ini amat bertentangan dengan ajaran murni Islam.
Semua ini merupakan angkara politik yang menjadikan kekuasaan sebagai matlamat utamanya. Meskipun syaitan telah dibelenggu, nafsu politik telah menewaskan tujuan utama muslim berpuasa yang sepatutnya menjadi medan kepada manusia untuk berlumba-lumba dalam kebaikan, menyemai nilai kasih sayang, menabur sedekah dan sebagainya.
Apatah lagi dalam suasana krisis sekarang yang berlaku dalam negara syaitan politik tidak dibelenggu dan golongan ini sentiasa mencari ruang untuk mengungkapkan rasa marah, hasut menghasut, menghina, buruk sangka dan lain-lain sebagainya yang merupakan bentuk-bentuk perbuatan syaitan.
Betapa rendahnya tahap puasa golongan ini dan dalam hal ini Nabi saw bersabda yang bermaksud: Barang siapa yang tidak dapat meninggalkan perkataan kotor atau perbuatan kotor maka Allah tidak punya kepentingan apa-apa bahawa orang itu meninggalkan makan dan minum (Hadis Riwayat Bukhari)
Dengan kata lain, puasanya akan sia-sia. Dalam dunia politik hari ini banyak sekali kerosokan masyarakat itu oleh back baiting (serang belakang) dan pengumpatan yang tak pernah reda mahupun dibulan puasa ini. Sebagai seorang muslim apa yang kita harapakan Ramadan tahun ini kita tidak dicemari oleh ”Syaitan-syaitan politik yang tak terbelenggu”. Ianya juga satu kesempatan yang baik untuk kita merenung bagaimana kita menjaga diri dan membebaskan diri dari penyakit-penyakit saperti itu.