PENDEKATAN WASATIYYAH DAN CABARAN EKSTERIMISM DI MALAYSIA

PENDEKATAN WASATIYYAH DAN CABARAN EKSTERIMISM DI MALAYSIA

Dalam bahasa Arab, Istialah Wasatiyyah berasal daripada perkataan Wasat. Secara fizikalnya ia bermaksud ditengah tengah. Secara konseptualnya pula ia mempunyai maksud yang banyak, termasuk sederhana, berimbang, adil, pusat dan cemerlang. Semua erti ini diperakui oleh para mufassirin dari zaman ke zaman, dulu sampai sekarang apabila mereka mentafsirkan perkataan Wasata sepertimana yang terdapat dalam ayat 143 Surah Al-Baqarah SWT berfirman bermaksud: Dan demikian  (sebagaimana Kamu telah memmimpin kamu ke jalan Yang Lurus), Kami jadikan kamu (Wahai umat Muhammad) satu umat Yang pilihan lagi adil. 

Dengan demikian, Wasatiyyah bermaksud pertengahan, kesederhanaan, perimbangan, keadilan, kesaksamaan, keunggulan, kecemerlangan dan sebagainya. Namun dalam menentukan konsep sebenar yang perlu dipakai, para ulama berbeza pendapat. Bagaimanapun, perbezaan berkenaan tidak keluar daripada pengertian- pengertian yang tersebut tadi. Dalam bahasa pengajian ilmu fiqh, mereka boleh disifatkan sebagai telah berijma bahawa tiada erti lain yang boleh digunakan selain daripada yang tersenarai itu.

Dalam ayat berkenaan Allah SWT menyifatkan umat Islam sebagai umat yang Wasat. Tujuannya ialah untuk menjadikan mereka sebagai Saksi atas umat lain, sebagaimana firman Allah SWT ayat Quran bermaksud,  Supaya kamu layak menjadi orang Yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang Yang benar dan salah).” (QS : Al  Baqarah  143).

Dalam menentukan apa bentuk kesaksian yang akan dilakukan kepada umat islam itu, para mufassirin berbeza pendapat lagi. Sebahagian daripada mereka berpendapat, maksudnya menjadi saksi ke atas umat manusia di akhirat nanti tentang  agama-agama langit yang di baw3a oleh para Nabi kepada mereka. Sesetengah yang lain pula berpendapat bukan saja menjadi saksi di akhirat, tetapi di dunia juga, iaitu sebagai umat yang mampu menentukan Hak dan Batil, benar dan salah dalam masyarakat manusia sejagat. Apa pun juga perbezaannya, maksudnya umat Islam itu ialah umat yang terpilih dan memikul tanggungjawab besar bagi kesejahteraan sejagat.

Satu ayat lain dalam yang mendokong konsep yang sama ialah ayat al- Quran bermaksud: 
Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia.  (QS: ‘ali- Imran : 110)

Ayat ini menyifatkan umat Islam sebagai sebaik umat yang pernah dilahirkan di kalangan umat manusia. Bagi sesetenagh para ulama ayat ini menegaskan pentafsiran ayat terdahulu sebagai bermaksud umat Islam itu adalah umat terpilih yang memikul tanggungjawab bagi kesejahteraan manusia sejagat.

Begitu pun, penganugerahan kedudukan sebagai umat terpilih ini bukan diberi begitu sahaja. sebaliknya berkait rapat dengan peranan amal makruf nahi munkar serta keimanan dengan Allah SWT. sebagaimana firman Allah SWT, ayat al- Quran bermaksud:  (Kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji) dan kamu beriman kepada Allah. (QS: ali Imran: 110)

Amal makruf bererti menyuruh yang baik, sementara nahi munkar pula melarang yang jahat. Maksudnya, berasaskan konsep konsep di atas, pendekatan wasatiyyah yang diperkatakan ini ialah pendekatan yang membolehkan umat Islam di Negara ini berada di tengah tengah pergolakan dan tidak dipinggirkaan atau terpinggir, agar mereka boleh memainkan peranan yang berkesan sebagai paksi kepada masyarakat ini yang mampu menyuruh dan melarang berdasarkan hukum Allah SWT dengan tujuan untuk memimpin bangsa dan Negara ini ke barah kesejahteraan berdasarkan keadilan yang menjadi budaya hidup dan pemerintahan mereka. Tanpa memenuhi pra syarat ini. Wasatiyyah hanya akan bersifat sebagai sikap tolak ansur yang merugikan umat sahaja.

AMAR MAKRUF NAHI MUNKAR:
Gesaan melakukan Amar Makruf dan Nahi Munkar ini terdapat juga dalam satu ayat lain, iaitu dalam firman Allah SWT ayat al- Quran bermaksud: Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). Dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang orang Yang Berjaya. (QS: Ali Imran : 104). 

Dalam ayat ini Allah SWT menekankan sekali lagi persoalan tentang amar makruf dan nahi munkar itu, iaitu menyuruh manusia melakukan kebaikan dan melarang manusia daripada melakukan kejahatan atau tegasnya perlu berkata ya atau tidak dengan segala kemampuan yang ada. Hal seperti ini diperjelaskan lagi oleh hadis Rasulullah saw yang berbunyi: 
Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran hendaklah ia mencegah kemungkaran itu dengan tangannya. Jika tidak mampu, hendklah mencegahnya dengan lisan, jika tidak mampu juga, hendaklah ia mencegahnya dengan hatinya. Itu selemah  lemah iman. (Riwayat Muslim).

Dalam hadis ini Rasulullah saw menegaskan keperluan sensitiviti terhadap keburukan yang berlaku dalam masyarakat. Maksudnya umat Islam perlu bertindak cepat bila sahaja mendapati ada perkara buruk berlaku dan tidak bersikap pasif. 

Caranya juga ditunjukkan oleh hadis berkenaan. Paling kurang ialah dengan bersikap Tidak terhadap keburukan berkenaan bagi dirinya sendiri, iaitu satu sikap yang disifatkan oleh hadis berkenaan sebagai melambangkan keimanan yang lemah. Lebih baik daripada itu mengajak orang ramai berkata tidak terhadap keburukan berkenaan, tetapi itu belum cukup. Apa yang benar  benar patut ialah bukan sahaja bersikap, berkata tetapi juga melakukan sesuatu bagi meghapuskan sama sekali keburukan berkenaan.

Dalam satu huraian yang lebih jelas, hadis ini boleh bermaksud peringkat  peringkat tindakan yang perlu dilakukan. Maksudnya, bila sahaja mendapati ada kemungkaran atau perkara jahat dalam masyarakat setiap individu muslim perlu mempastikan dirinya sendiri faham tentang keburukan berkenaan dan bagaimana mengatasinya. Kemudian dia perlu memahamkan masyarakat tentang keburukan berkenaan dan kesan negatifnya terhadap masyarakat. Kemudian apabila masyarakat sudah sedar dan sokongan sudah ada tindakan secara fizikal perlu diambil.

Apa pun juga, pentingnya perlu ada kuasa untuk mengubah keadaan dengan menghapuskan keburukan itu dan jangan sekadar mampu merasa benci dan mengkritik sahaja. Bagaimanapun, ini bukan merupakan kerja dan tugas seseorang secara individu sahaja. sebaliknya ia perlu bersifat usaha kolektif masyarakat Islam seluruhnya dalam masyarakat berkenaan. Prinsip ini dibayangkan oleh satu ayat lain, iaitu firman Allah SWT dalam surah Al- Taubah ayat 71 bermaksud: Dan orang orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi Penolong bagi sesetengahnya Yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang dasripada berbuat kejahatan.

Ayat ini menyifatkan amar makruf dan nahi munkar itu merupakan satu budaya masyarakat Islam yang sentiasa dilaksanakan berasaskan sikap tolong menolong antara satu sama lain. Dengan kata lain, perlu ada tanggungjawab bersama secara kolektif atau malah kepimpinan bersama secara kolektif, sepertimana yang ditegaskan dalam sebuah hadis lain yang bermaksud bahawa setiap individu dalam masyarakat Islam itu adalah pemimpin dalam peringkat masing masing.

Samada tanggungjawab bersamakah atau kepimpinan bersamakah, semuanya memerlukan kesatuan ummah yang mantap. Sesuai dengan kepaerluan ini. Rasulullah saw bersabda bermaksud: Sesungguhnya seorang Mukmin kepada Mukmin yang lain seperti satu binaan, sebahagiannya menyokong sebahagian yang lain. (Riwayat al- Bukhari dan Muslim)

Perpaduan yang dimaksudkan ialah yang boleh menjamin ketahanan sosial yang mantap dan rasa keakuan sesama sendiri yang sangat tinggi sehingga menjadi batang tubuh yang satu yang terlalu sensitif dengan kesusahan orang lain, sepertimana yang digambarkan oleh Rasulullah saw dalam sebuah hadis bermaksud: Kemesraan, kasih sayang dan saling berbelas kasihan antara Mukmin diibaratkan seperti satu jasad: apabila satu anggota mengadu kesakitan seluruh jasad akan turut serta berjaga malam dan merasa panas dan gusar. (Riwayat al- Bukhari dan Muslim).

Nyatanya kemesraan ummah sangat penting dalam menjayakan pendekatan ini. Tanpa perpaduan seperti ini ia akan tinggal menjadi slogan yang akan menjadi ibarat angina ynag berlalu pada setiap musim dan ketika atau sebagai yang disifatkan oleh al  Quran sebagai buih yang nantinya akan kering begitu sahaja kerana tidak mampu untuk bertahan menjadi sesuatu yang bermanafaat kepada umat manusia. Satu teori yang perlu dibincangkan dalam suasana masyarakat di Malaysia sekarang, sehubungan dengan isu wasatiyyah ini ialah bagaimana menjadikan kesatuan ummah sebagai teras perpaduan nasional.

EKSTRIMISME SEBAGAI SUATU KEMUNGKARAN:

Berlandaskan pentafsiran di atas, iaitu bahawa umat Islam itu suatu umat yang sentiasa sentiasa positif untuk berada di tengah tengah pergolakan dan tidak mahu terpinggir seperti melukut di tepi gantang dalam apa sahaja agenda, maka siapa sahaja dlam masyarakat berkenaan yang bersikap atau mengambil keputusan atau bertindak untuk berada di pinggiran ia merupakan individu atau kumpulan manusia yang anti sosial. Maksudnya, ekstrimisme itu merupakan suatu perkara mungkar dalam masyarakat Islam yang perlu dihapuskan. Dalam konteks perbincangan kita di sini, ia bertentangan sama sekali dengan konsep atau pendekatan wasatiyyah yang diperkatakan.

Sebagaimana maklum, ekstrimsme bermaksud keterlaluan. Kata para ulama sifatnya ialah menokok tambah dan mengada- adakan apa yang sebenarnya tidak ada dalam agama. Dalam Islam ekstrimisme seperti ini dilarang dan disifatkan oleh al- Quran sebagai budaya ahl al- Kitab. Allah berfirman dalam surah al- Maaidah ayat 77 bermaksud:

Katakanlah wahai ahli Kitab! Janganlah kamu melampau Dlam ugama kamu secara Yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum Yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dn juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan Yang betul.

Kata para ulamak, sikap ini sangat bertentangan dengan sifat masyarakat Islam yang Wasat. Walau bagaimanapun, apa yang dimaksudkan di sini bukan sahaja ekstrimisme dalam beragama tetapi dalam apa sahaja bidang hidup dalam masyarakat Islam. Bagaimanapun, dengan mengambil kira Islam sebagai al- Din, iaitu sistem hidup yng komprehensif dan syumul, maksud ayat di atas merangkumi semua masalah samada secara lansung atau tidak lansung. 

Tidak seperti wasatiyyh yang dimaksudkan sebagai paksi yang sentiasa berada di tengah tengah dan bertindak positif sebagai pemimpin msyarakat dengan penuh yakin terhadap kekuatan diri dan dengan hasrat untuk berlaku adil untuk semua berdasarkan kepada prinsip keadilan sejagat Islam, ekstrimisme sifatnya terlalu kiri atau kanan. Dengan kata lain, ia suatu sikap atau tindakan yang abnormal, berbanding dengan wasatiyyah yang merupakan sikap dan tindakan yang normal dalam Islam. Sikap seperti ini pernah ditegur oleh Allah dalam firmanNya dalam surah al- Hajj ayat 11 bermaksud: Dan di antara manusia ada orang yang menyembah Allah dengan berada di tepi.

Kata para ulama, dalam keadaan syak. Kerana itu dia disebut sebagai berada di pinggiran agamanya dan tidak di tengah tengah.

Dalam akidah dan ibadat, sikap dan tindakan seperti ini telah melahirkan ajaran salah yang merupakan salah satu penyakit dalam masyarakat Islam semasa, bukan sahaja di Malaysia tetapi di dunia Islam seluruhnya. Dalam bidang kekeluargaan, ia melahirkan keputusan- keputusan yang sonsang dan kadang  kadang melibatkan penguatkuasaan undang undang dan peraturan yang janggal dilihat dari perspektif Islam yang sebenar. Dari segi sosial ia melahirkan sikap negative terhadap orang atau kumpulan lain yang boleh menyebabkan orang Islam terpinggir dalam banyak bidang. Dalam bidang permakanan dan pemakian ia kadangkala menyusahkan hal hal uang senang dan merumitkan yang jelas. Dalam system kewangan ia menyekat institusi kewangan Islam dari berkembang maju dengan cepat sepertimana sepatutnya. Dalam bidang politik ia menyebabkan jalan kea rah kejayaan politik umat Islam menjadi sukar. Dlam pemerintahan ia menjadikan kerajaan yang kononnya dibangunkan di atas dasar aiaslam dilihat tidak mampu mencapai kemajuan. Di bidang antarabangsa ia menyebabkan umat Islam dicurgai dan dipinggirkan.

Sebagai kemungkaran, gejala ekstrimisme ini perlu dihapuskan sama sekali di bawah tugas Nahi Munkar yang disifatkan oleh al- Quran dan al- Sunnah sebagai sebahagian daripada pra syarat kepada kejayaan umat Islam yang disifatkan sebagai bersifat wasatiyyah itu. Dalam melaksanakan tugas berkenaan, segala prinsip yang digariskan oleh al- Quran dan as- Sunnah sepertimana dihuraikan di atas perlu diguna pakai dan diambil kira.

EKSTRIMISME DI MALAYSIA:

Huraian di bawah tajuk kecil ini tidak berdasarkan kepada mana mana kajian secara impirikal yang sepatutnya dibuat. Ia sekadar berdasarkan observasi atau pemerhatian yang dibuat oleh penulis sejauh keterlibatannya dalam hal hal yang berkaitan dengan keislaman di Negara ini. Secar ringkas ia boleh diperincikan sebagaimana di bawah:

EKSTRIMISME dalam akidah dan ibadat:
Hal ini seperti ini telah menimbulkan apa yang disebut sebagai ajaran salah yang begitu banyak sekali di Malaysia sekarang. Walau bagaimanapun bukan semua ajaran salah yang ada berlandaskan kepada sikap atau amalan ekstrim atau Ghuluw dalam berakidah dan beragama. Kerana sebahagian dariapadanya terkeluar lansung dari asas dan nilai agama sepertimana yang terdapat dalam doktrin pengajian Islam, samada al- Quran, al- Sunnah, pandangan para ulama klasik dan sebagainya. Akibat daripada sikap ekstrim seperti ini akidah dan ibadat Islam jadi tercemar dan masyarakat umum menjadi keliru tentang apa itu Islam yang sebenarnya.

EKSTRIMISME dalam soal makanan, minuman dan perkhidmatan:
Gejala seperti ini terdapat dalam tafsiran- tafsiran yang melampau tentang halal haram makanan dan perkhidmatan di Malaysia sekarang. Yang dimaksudkan ialah orang perseorangan dan kumpulan yang sekadar menggunakan andaian dan persepsi semata mata untuk mengatakan haram mana mana makanan atau perkjidmatan atas anggapan bahawa sesuatu itu benar- benar haram atau meragukan disebabkan percampuran antara halal dan haram. Antara contohnya ialah kenyatan- kenyataan yang dibuat oleh setengah kumpulan NGO, misalnya persatuan pengguna yang banyak memperkatakan tentang makanan, minuman dan perkhidmatan yang dianggap mereka sebagai haram tanpa alasn yng kukuh. Akibatnya timbul perasaan serba slah di kalangan pengguna awam Islam terhadap status hukum barang- barang berkenaan dan menyusahkan orang ramai untuk berurus.

EKSTRIMISME dalam hal kekeluargaan:
Gejala seperti ini terdapat dalam pandngan pandangan ynag ekstrimis dalam masalah hubungan kekeluargaan, seperti pendirian sesetenagh pertubuhan wanita yang kononnya memperjuangkan persamaan hak antara wanita dan lelaki. Akibatnya banyak prosedur yang melibatkan hubungan keluarga yang sepatutnya senang telah menjadi susah, misalnya untuk berkahwin dan bercerai. 

EKSTRIMISME dalam hal kewangan:
Gejala seperti ini terdapat dalam hal yang berkaitan dengan system kewangan Islam, dimana terdapat pandangan yang sengaja diperketatkan, mislnya pandangan terhadap ASB/ASN dan beberapa produk kewangan yang lain. Akibatnya system kewangan Islam di Negara ini terpaksa berhadapan dengan halangan yang tidak perlu dalam menuju ke arah memenuhi objektif sebagai system alternative yang berkesan dan diseganai dalam Negara ini.

EKSTRIMISME dalam politik:
Hal seperti ini terdapat dalam dasar parti politik yang sengaja mempersempitkan pentafsiran tentang konsep Negara Islam dan sebagainya sehingga menjadikan jalan perjuangan politik Islam  menjadi sempit. Akibatnya perjuangan politik Islam sukar dilaksanakan kerana umat telah di bahagikan kepada dua iaitu yang jelas Islamnya dan yang tidak jelas Islamnya dan kerajaan yang memerintah digelarkan sebagai taghut.

EKSTRIMISME dalam pemerintahan:
Hal ini terdapat dalam pentafsiran yang ketat tentang peranan wanita, kedudukan permainan rkyat dan sebagainya. Akibatnya pemerintahan yang dikatakan berdasarkan ideology Islam itu mempersempitkan jalan hidup dan memperlihatkan seolah- olah Islam tidak sesuai lagi untuk memerintah dalam dunia yang serba maju ini.

Apa yang disebut di atas hanyalah beberapa contoh secara longgar yang pula dihuraikan secara longgar. Tujuannya sekadar untuk menunjukkan bahawa ekstrimisme itu memang ada dalam Negara kita sekarang dan dapat dirasakan bahangnya dalam kehidupan harian.

CABARAN TERHADAP WASATIYYAH:

Sejauh mana pandangan dan amalam ekstrimisme ini mencabar kedudukan Pendekatan Wasatiyyah di Negara ini sekarang, juga perlu kepada kajian yang mendalam. Kerana itu huraian tentang hal juga masih bersifat pandangan peribadi yang perlu diperkukuhkan atau sebaliknya oleh data imprikal buat masa yang akan datang.

Secara pintas lalu, ya. Kerana wasatiyyah itu satu pendekatan yang komprehensif maka tentu sekali kedudukannya tercabar oleh sikap dan amalan pinggiran sepertimana yang disebutkan tadi. Sejauh mana seriusnya ancaman ini juga hanya boleh diketahui melalui data impirikal itu tadi.

Cabaran sebenar yang terpaksa dihadapi oleh pendekatan wasatiyyah daripada pandangan, sikap dan tindak tanduk yang ekstrimis ini ialah ia mamapu mengnegatifkan pencapaian pendekatan wasatiyyah itu sendiri. Sepertimana yang ditegaskan di permulaan kertas ini, pendekatan wasatiyyah bertujuan untuk membawa umat Islam ke tengah- tengah gelanggang hidup, agar mampu memimpin denagn segala daya dan kekuatan denagn penuh adil dan saksama. Untuk itu ia perlu cukuop sederhana dalam menentukan agenda pergerakan walaupun mempunyai matlamat yang tinggi. Tujuannya ialah untuk dapat difahami oleh semua pihak dan tidak ada prejudis terhadap kejujuran dan kemampuannya. Maka dengan kedudukannya jauh di tepi, golongan ekstrim ini boleh menyebabakan beban yang lebih kepada pergerakannya.

Dari aspek yang lain, ekstrimisme boleh menyebabkan perpecahan ummah. Ini kerana pandangan atau sikap seperti itu hanya mewakili sekumpulan kecil sahaja dan pula tidak bersedia untuk bertoleransi serta bertolak ansur. Maka oleh kerana salah satu agenda wasatiyyah ialah memperpadukan ummah dalam satu kedudukan yang sederhana agar boleh diterima oleh semua pihak, ekstrimisme boleh menghalang atau melambatkan pecapaian objektif ini.

Ringkasnya, ekstrimisme sama seperti elimen-elimen negatif yang lain dalam masyarakat merupakan salah satu ancaman yang boleh disifatkan serius terhadap pendekatan wasatiyyah ini. Bagaimanapun dengan kebijaksanaan cabaran ini akan terdapat banyak garis panduan dan tunjuk ajar bagaimana pendekatan wasatiyah itu boleh dilaksanakan. Secara ringkasnya, ia boleh dilakukan melalui pendekatan amal makruf dan nahi munkar yang bersendikan intisari pengajaran Islam.

PENUTUP:

Tentunya persoalan ini lebih besar daripada yang diperkatakan dalam kertas ini. Cuma untuk kertas ini apa yang dicoretkan dikira cukup. Terhentilah atas para pemimpin dan penyokong pendekatan ini untuk bekerja keras bagi menjamin pencapaian objektif yang ditentukan sebelum ini tanpa kerja keras seperti itu dan kebijaksanaan dalam menguruskan semua agenda pendekatan ini hanya akan bersifat angina lalu yang tidak akan memberi apa-apa kesan terhadap kejayaan ummah.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

032496
Hari ini: 65
Minggu Ini: 65
Bulan Ini: 6,292
Tahun Ini: 32,496
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.