Di dalam sebuah hantaran di laman media sosial, seorang pempengaruh perniagaan yang telah menuduh Nabi Muhammad SAW mengamalkan nepotisme dan kronisme dalam pemerintahan Baginda di Madinah. Inilah lambang kejahilan manusia dan tuduhan seperti ini wajib diperbetulkan.
“Dalam demokrasi Barat, mereka tidak mengamalkan nepotisme dan kronisme. Sebagai ketua negara Islam Madinah, Nabi amalkan nepotisme dan kronisme. "Abu Bakar adalah mertua. Umar adalah mertua. Uthman adalah menantu. Ali adalah menantu dan sepupu. Dalam zaman ini, patutkah nepotisme dan kronisme diamalkan juga.”
Begitulah hantaran menuduh yang menjadi tular di media sosial, hingga mendapat teguran serta tindakan susulan oleh pihak JAKIM serta Sohibus Samahah Mufti Pahang. Prof Datuk Dr Asmadi Mohd Naim, berkata mengaitkan suatu amalan buruk atau negatif ini denga nBagind aadalah perbuatan yang keji, tidak beradab dan termasuk dalam golongan yang dilaknat oleh Allah SWT kerana menyakiti Nabi Muhammad SAW.
“Allah SWT sendiri yang memberi ancaman melaknat mereka yang menyakiti Nabi Muhammad SAW dan golongan ini diancam dengan azab yang pedih di akhirat kelak. “Laknat ini dinyatakan dengan jelas oleh Allah SWT dalam surah al-Ahzab,ayat 57 yang bermaksud; Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, Allah melaknat mereka di dunia dan di akhirat dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina.
“Bahkan jika mereka sedar tetapi sengaja melakukannya ,boleh rosak akidahnya, seolah-olah menolak keyakinan terhadap Nabi Muhammad SAW.” kata Mufti Pahang.
Jika meneliti hantaran tersebut, penulis menyatakan dengan jelas bahawa demokrasi yang diamalkan oleh negara-negara Barat, tidak mengamalkan nepotisme dan kronisme. Kenyataan ini jauh tersasar dengan apa yang terungkap dalam sejarah tamadun Barat, khususnya di Amerika. Pihak yang menyanjung tinggi sistem politik demokrasi sebenarnya belum cukup jalan sejarahnya, jika mengukur politik Islam dengan bingkai sistem tersebut, walhal demokrasi itu sendiri membawa makna yang jauh daripada kesempurnaan biarpun diterima sebagai sistem terbaik hasil kreativiti manusia.
Kesimpulan itu boleh memberikan satu pemahaman bahawa hantaran tersebut cukup menyerlah ketidak fahaman yang memadai mengenai falsafah sejarah. Ibnu Khaldun memberikan 2 pandangan; yang pertama bahawa sejarah bukanlah sebatas rakaman peristiwa masa lalu; dan kedua bahawa sejarah adalah satu penalaran kritis yang wajib diteliti secara mendalam, di dalamnya ada hukum-hukum sosial dan kemasyarakatan.
Dalam dua persimpangan itu, nampaknya pempengaruh tersebut hanya melihat sejarah yang muncul dalam sistem politik di Madinah yang diketuai oleh Nabi Muhammad SAW hanya sebatas ‘rakaman sejarah’ dan kemudian cuba menimbulkan persoalan berteraskan pemahamannya tentang demokrasi barat.
Ia merupakan satu kesilapan yang tidak dapat ditolak oleh siapapun yang melihat Islam bukan sebatas sistem politik. Islam hadir lebih luas daripada sistem politik dalam kerangka teori politik yang menjadi kerangka pemikiran masyarakat moden yang terpengaruh dengan empat tiang demokrasi, atau prinsip pengasingan kuasa.
Pempengaruh perniagaan itu telah gagal melihat bahawa Islam hadir sebagai cara hidup, dan apa yang dilihatnya dalam ungkapan ‘nepotisme’ dan ‘kronisme’ juga cukup terserlah menyimpang daripada budaya politik demokrasi. Demokrasi hanya sebuah bingkai atau sistem dalam usaha menggambarkan suara rakyat. Namun,setelah kuasa berada dalam‘calon yang terpilih’, makna demokrasi menjadi semakin sempit dan tidak melambangkan ‘suara rakyat’. Demokrasi ‘nazak’ ketika kuasa yang dimiliki itu digunakan untuk menekan rakyat yang memilihnya.
Inilah yang sedang kita tonton daripada budaya demokrasi yang sedang dipentaskan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang kini telah kembali berkuasa. Dasar luar Trump, diselubungi oleh ‘kronisme’ dengan percubaan untuk mendorong rakyat Amerika memberikan sokongan dan dokongan kepada negara haram Israel.
Sedangkan Israel telah melakukan genosid. Israel menjadi negara yang mengamalkan diskriminasi ke atas penduduk asal Palestin, dengan membenar dan mempertahankan tindakan ganas para peneroka melakukan kekerasan dan penghapusan etnik. Di sebalik kezaliman ini, wujud American Israel Public Affairs Committee (AIPAC), Anti-Defamation League (ADL) dan B’nai B’rith, yang kerjanya adalah untuk melobi ahli politik ‘demokrasi’ Amerika, dan membeli sokongan mereka.
Sepanjang sejarah politik presiden Amerika, sukar untuk dileraikan antara kuasa kerajaan dan kuasa perhubungan keluarga. Bill Clinton dan Hillary Clinton; George H.W. Bush, George W. Bush, dan Jeb Bush; Joe Biden dan anaknya Hunter Biden; serta Presiden Donald Trump, Eric dan Don Trump Jr., serta Jared dan Ivanka Kushner. Ini adalah contoh-contoh terbaru dalam arena politik negara itu, yang telah menukarkan jawatan presiden kepada perniagaan keluarga.
Setiap peneliti politik sudah tentu peka tentang bagaimana billionaire Amerika, Elon Musk telah menyumbang $270 juta untuk menjayakan kempen Presiden Trump. Kini setelah Trump menang, Elon Musk mempunyai kuasa untuk mempengaruhi keputusan-keputusan yang dibuat oleh presiden itu. Beliau juga kini mengetuai DOGE (Department of Government Efficiency), hanya kerana presiden Trump ingin ‘balas budi’ sumbangan Elon. Bukankah ini kronisme secara terang-terangan?
Kerana terkesima dengan retorik demokrasi itulah pempengaruh tersebut akhirnya diterjah oleh suatu rumusan yang dangkal dan cetek, mengaitkan amalan ‘nepotisme’ dan ‘kronisme’ semasa Nabi Muhammad SAW membentuk sebuah kaedah atau sistem ‘pemerintahan Islam’ di Madinah. Akhirnya, pempengaruh tersebut mengakui kesilapan dan gopoh-gapahnya apabila menjadikan sejarah Nabi Muhammad SAW sebagai kerangka acuan berpolitik, tanpa melihat kebenarannya.
Sepanjang 10 tahun di Madinah, empat nama yang disebut itu merupakan tokoh yang berjuang bersama-sama Rasulullah SAW untuk menyampaikan dakwah, bukan mencari kepentingan peribadi dan kejenuhan material. Sejarah mencatatkan, tiga orang sahabat Rasulullah SAW- Abu Bakar, Umar al-Khattab dan Uthman bin Affan – telah mengorbankan kekayaan peribadi untuk kepentingan dakwah Islam. Malah 4 sahabat terdekat Nabi SAW yang disebut itu, sebenarnya menjadi pemimpin umat Islam kerana dipilih oleh ketua-ketua Muslimin, bukannya dipilih oleh Rasulullah sendiri.
Setelah kontroversi hantaran itu dilihat mampu ‘menggugat’, pempengaruh tersebut bersetuju untuk menurunkan ‘tulisan’ tersebut dalam media sosial dan mengaku kesilapannya, serta memohon maaf. Ianya dipersetujui selepas pertemuan beliau dengan pihak JAKIM, dan beliau juga berjanji akan lebih berhati-hati pada masa hadapan. Isu tersebut dianggap selesai.
Namun, membandingkan sistem politik Islam dan demokrasi barat adalah hal tidak wajar. Ini kerana, Islam tidak menetapkan sebarang bentuk kerangka politik, sama ada demokrasi ataupun sosialis dan komunis. Apa yang diberikan penekanan dalam kepimpinan politik Islam ialah sifat dan watak pemimpin itu sendiri. Ia mestilah seorang yang jujur, memahami kehendak agama, dan sentiasa menjaga kemaslahatan rakyat, bukan bertopengkan prinsip semata-mata sebagaimana amalan dalam sistem demokrasi barat.
Nabi Muhammad SAW sentiasa memperjuangkan meritokrasi dalam kepimpinannya. Pertalian darah atau keluarga bukan keutamaan, lebih diutamakan ialah ketokohan dan keperibadiannya. Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya kalian akan bersungguh-sungguh menginginkan jawatan, sedangkan jawatan itu akan menjadi sesalan pada hari kiamat (jika tidak dijalankan dengan baik)”. - (Riwayat al Bukhari)
Sabda itu jelas membuktikan Nabi Muhammad SAW mempunyai penilaiannya sendiri dalam pelantikan, dan bukan berdasarkan pemahaman yang sengaja diciptakan oleh politik sekular untuk memburuk-burukkan sistem politik Islam. Janganlah umat Islam mudah terpengaruh dengan momokan demokrasi barat, kerana barat itu sendiri sedang memberatkan diri mereka dengan budaya ‘nepotisme’ dan ‘kronisme’. Tamadun kapitalisme barat kini hanya menunggu masa untuk hancur, dan sentiasa bimbang dengan kebangkitan semula Islam. Lantas demi survival, diciptakan ruang dan peluang ‘menghina Islam’ dalam gubahan Islamofobia.
Justeru, dakwaan atau tuduhan bahawa Nabi Muhammad SAW mengamalkan nepotisme atau kronisme tidak berasas. Sebaliknya, era Khulafa al-Rasyidin dibina atas dasar ketakwaan, meritokrasi dan kepercayaan yang terbukti melalui pengorbanan dan kemampuan sahabat Nabi SAW dalam memimpin umat Islam.
