Apabila terbenam sahaja matahari akhir bulan Ramadan 1446H, maka muncullah 1 Syawal dan tibalah Aidilfitri yang dinanti-nanti. Dengan tibanya saat bahagia dan saat memohon keampunan dan menyata kesyukuran kepada Ilahi, maka bergamalah kembali suara takbir dan tahmid memenuhi ruang angkasa, Allahu akhbar, Allahu akhbar, Allahu akhbar walillahirhamd.
Hari Raya Aidilfitri dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia dengan membawa satu sikap, jiwa dan tindakan yang menunjukkan keperibadian serta identiti umat itu sendiri. Dalam merayakan Hari Raya Aidilfitri, umat Islam seharusnya bersyukur kepada Allah SWT sebagai tanda selesai menunaikan ibadah di bulan suci Ramadan selama sebulan daripada ibadah yang wajib sehinggalah ibadah sunat. Moga-moga Allah mengampuni segala dosa kita serta mengembalikan jiwa kepada fitrahnya, iaitu kembali suci bersih tanpa noda dan dosa, bagaikan seorang bayi yang baharu dilahirkan.
Fitrah juga berkait dengan hanif. Ertinya suatu sifat dalam diri kita yang cenderung memihak kepada kebaikan dan kebenaran. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, Kebajikan ialah sesuatu yang membuat hati dan jiwa tenang. Dan dosa ialah sesuatu yang terasa tidak keruan dalam hati dan terasa bimbang di dada. (Hadis riwayat Ahmad)
Maksud dosa dalam hadis tersebut ialah sesuatu yang dirasakan bertentangan dengan hati nurani. Oleh kerana itu, ketika ada polemik mengenai Ibrahim, di mana orang Yahudi mengatakan bahawa Ibrahim ialah orang Yahudi dan orang Nasrani mengatakan bahawa Ibrahim adalah seorang Nasrani, maka al-Quran mengatakan:
Ibrahim bukan orang Yahudi dan bukan pula orang Nasrani, akan tetapi dia adalah seorang yang lurus lagi berserah diri (kepada Allah) dan sekali-kali dia bukanlah termasuk golongan orang-orang musyrik. (Maksud al-Quran Surah Ali-Imran, ayat 67)
Dalam firman Allah yang lain pula, disebutkan bahawa agama yang benar tidak lain adalah asal kesucian manusia iaitu fitrah. Dalam surah Al-Rum ayat 30, Allah berfirman yang bermaksud:
Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah), (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.
Tahun boleh berganti, zaman boleh berubah. Milenium boleh bertukar daripada milenium kedua kepada ketiga. Tetapi manusia tetap sama selama-lamanya sesuai dengan ciptaan Allah. Manusia merupakan makhluk yang selalu merindukan kebenaran dan akan berasa tenteram apabila mendapat kebenaran itu. Sebaliknya, jika dia tidak mendapatkannya, akan gelisah.
Menurut firman Allah di atas, agama yang benar ialah kemanusiaan primordial (asal). Primordial ertinya sesuatu yang asli, yang berasal daripada pokok atau pangkal. Aidilfitri adalah hari perayaan untuk meraikan kembali fitrah, setelah hilang dan ditemui kembali.
Apakah nilai-nilai yang dapat dipetik daripada peristiwa Aidilfitri ini? Nilai pertama ialah mewujudkan hubungan antara Khalik sebagai pencipta dengan makhluk sebagai objek. Nilai kedua pula berlegar sekitar hubungan habluminnas atau kasih sayang sesama makhluk.
Nilai pertama dilakukan dengan menghayati kekuasaan dan kebesaran Allah SWT, mengagungkan asma-Nya, mengucapkan kalimah takbir, tahlil dan tahmid iaitu Allahu akbar, la ilaha illallah, wa lillahil hamd’ yang bermaksud ‘Allah Maha Besar, tiada Tuhan melainkan Allah dan hanya Allah yang berhak menerima puji-pujian’. Ini diikuti dengan sikap merendah diri dengan bersujud kepada-Nya dan melaksanakan solat sunat Hari Raya Aidilfitri.
Nilai kedua terlaksana pada saat menjelang Hari Raya Aidilfitri iaitu dengan menunjukkan simpati kepada kaum yang lemah dan melarat dengan membayar zakat fitrah. Dalam pada itu, umat Islam dituntut mengeratkan hubungan silahturahim sesama manusia dengan bermaaf-maafan antara satu sama lain.
Gabungan kedua-dua nilai yang terbit daripada hikmah Aidilfitri itulah yang memberi jaminan menghindarkan umat manusia daripada kehinaan, kehancuran dan perpecahan. Dalam tradisi kunjung-mengunjung, umat Islam saling mendoakan mudah-mudahan Allah SWT akan menerima segala amal mereka, terutama ibadah puasa yang baru selesai dilaksanakan. Semoga mereka dikurniakan Allah darjat insan muttaqin yang merupakan kesan dan nilai utama daripada ibadah puasa jika dilakukan dengan benar-benar ikhlas kepada-Nya.
Insan muttaqin merupakan darjat tertinggi dalam kehidupan manusia yang beragama Islam. Insan yang bermakam di darjat ini adalah seorang yang memiliki watak dan sifat takwa. Sifat takwa ini tidak ubah seperti mutiara bersinar yang dianugerahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya yang taat menjalankan perintah-Nya dan sentiasa menjauhkan diri daripada larangan-Nya.
Sebenarnya perkataan takwa itu mencakupi seluruh kehidupan di alam maya ini. Antara sifat-sifat orang yang bertakwa (insan muttaqin) ialah pemurah dalam segala keadaan, baik waktu kaya mahupun ketika miskin, bersikap sabar dan tenang menghadapi masalah, pemaaf dan bukan bersifat pendendam, sentiasa berbuat kebajikan, sentiasa memohon keampunan daripada Allah dan menjauhkan diri daripada perbuatan maksiat, bersyukur dan lain-lain.
Seseorang merayakan aidilfitri dalam erti kembali kepada kesuciannya, akan selalu berbuat yang indah, benar dan baik. Ini adalah kerana kesucian merupakan gabungan dari tiga unsur tersebut (indah, benar dan baik). Melalui kesucian jiwanya, seseorang akan memandang segalanya dengan positif. Dia akan sentiasa berusaha mencari perkara-perkara yang baik, benar dan indah kerana ini akan melahirkan seni; mencari yang baik menimbulkan etika; mencari yang benar menghasilkan ilmu.
Pandangan yang demikan akan menutup mata terhadap kesalahan, kejahatan dan keburukan orang lain. Kalau pun terlihat, selalu dicarinya nilai-nilai positif dalam sikap negatif tersebut. Manusia harus mencari kedamaian, ketenangan, kebahagiaan, persatuan, cinta dan setiap sifat baik dalam kehidupannya sendiri.
Dalam abad sekarang manusia telah mengesampingkan Tuhan, kebenaran, perdamaian, kesedaran, kejujuran, keadilan dan rasa kasih sayang. Manusia sudah banyak berubah. Dia bukannya berusaha menemukan sifat Allah SWT yang agung, malah kehilangan semua sifat itu dan membuka jalan kehancuran. Dia berusaha merosakan kehidupan orang lain.
Sepanjang kehidupan ini, kita telah melakukan berulang kali takbir dan solat Aidilfitri. Lebaran demi lebaran singgah dalam perjalanan hidup kita. Kali ini lebaran hadir ketika umat Islam berhadapan dengan pelbagai isu seperti perpecahan, penghinaan terhadap agama Islam yang suci, keganasan, kelaparan, kefanatikan, kemiskinan, dan resapan budaya hedonisme. Agama sudah menjadi permainan di bibir tetapi telah lama tidak ada lagi di dalam hati.
Hubungan silaturahim telah lama terputus kerana perbezaan ideologi. Sering kali hubungan antara mereka yang berada di kota dan di kampung menjadi renggang, bahkan terputus akibat perbezaan fahaman politik yang tidak pernah ada kesudahannya.
Penyatuan antara kelompok Islam menjadi harapan besar masyarakat Malaysia yang berhasrat membangunkan kekuatan dan kestabilan negara. Telah sekian lama harapan tersebut disuarakan, namun hingga kini masih belum menjadi kenyataan kerana adanya sorong tarik yang kuat berbentuk arus politik kelompok.
Jika kita benar-benar orang yang beriman, maka kita tidak akan memandang orang lain berbeza daripada kita sendiri. Kita akan memandang mereka sebagai satu kesatuan, satu ras manusia dan satu keadilan untuk semua orang. Sedangkan agama menuntut umat Islam supaya bersikap berlapang dada dan menyambut salam perdamaian yang dihulur oleh orang bukan Islam dengan bertawakal kepada Allah (Surah Al-Anfal, ayat 61).
Rasa kasih sayang dan perdamaian adalah kekuatan Islam. Persatuan itu memberikan kekuatan dan kedamaian kepada manusia dalam hidup di dunia ini dan di akhirat nanti. Hidup sebagai satu ras dan satu keluarga, itulah Islam. Inilah yang menakluk dunia melalui cinta, kasih sayang serta persatuan.
Jika kita memahami sabda-sabda Nabi Muhammad SAW dan ayat-ayat al-Quran, maka kita tidak akan menganggap siapapun musuh kita. Kita tidak akan bergaduh dengan sesiapa pun.Kita tidak akan melihat perbezaan apa pun yang boleh menimbulkan konflik. Setiap orang yang mengakui adanya Tuhan akan menjadi saudara kita. Inilah yang dijelaskan oleh al-Quran dalam Surah Al-Hujurat, ayat 10 yang bermaksud, Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara...
Justeru, kunjung-mengunjungi yang bermotifkan silaturahim akan mengeratkan lagi hubungan yang terjalin; akan bersambung kembali yang selama ini terputus, serta terhimpun apa yang terselerak. Yang demikian inilah yang dinamakan hakikat silaturahim.
Hukuman tidak dapat lagi memberi perlindungan, tidak ada lagi jaminan keamanan. Umat Islam menjadi mangsa kerakusan bangsa yang lebih kuat, yang bercita-cita menghapuskan agama Islam dari muka bumi ini.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
Katakan juga, hanya Allah yang berkuasa menimpakan azab yang datang dari arah atas atau bawah kamu atau menanamkan permusuhan di antara kamu, hingga menjadi kelompok-kelompok yang berpecah-belah dan saling menyakiti. Perhatikan bagaimana Kami menjelaskan ayat-ayat Kami, mudah-mudahan mereka memahaminya. (Maksud al-Quran Surah Al-Anaam, ayat 65)
Allah SWT mengancam kita dengan tiga jenis (bentuk) azab iaitu, azab dari atas, azab dari bawah, dan azab daripada antara kita kerana perpecahan. Azab dari atas boleh berupa taufan ganas yang membakar hutan atau badai yang menurunkan hujan yang membawa malapetaka, atau kehancuran lapisan ozon yang mengakibatkan kesan rumah kaca, atau virus yang disebarkan melalui udara yang mengancam kehidupan kita.
Umat terdahulu menerima azab itu dalam bentuk halilintar yang menghancurkan penentang kaum Nabi Lut a.s. atau butir-butir api yang memporak-perandakan tentera gajah Abrahah. Ibnu Abbas menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan azab dari atas adalah seksaan kerana kekejaman para pemimpin, kezaliman para pembesar negara atau keserakahan orang kaya yang tamak.
Manakala azab dari bawah adalah kekejaman atau kejahatan yang dilakukan oleh rakyat biasa berupa rusuhan, kekacauan, pembunuhan, dan pencurian. Azab dari bawah boleh muncul dalam bentuk banjir seperti yang menenggelamkan umat Nabi Nuh a.s. atau gempa bumi yang menenggelamkan Qarun.
Sedangkan azab daripada sesama kita adalah perpecahan yang menimbulkan persengketaan sesama manusia, saling membunuh, saling menyerang dan saling membinasakan. Kini kita sedang berhadapan dengan ancaman yang menakutkan. Di hadapan kita bergulung awan malapetaka. Kita tidak mempunyai daya dan kekuatan, kecuali dengan pertolongan Allah SWT.
Inilah hakikat Aidilfitri yang mengisyaratkan adanya upaya manusia untuk kembali ke pangkuan Tuhannya atau kembali ke asal usul yang menciptakan manusia, iaitu Allah SWT. Kembali kepada Tuhan dalam keadaan putih bersih setelah melakukan taubat nasuha.
