Seminggu lalu, terdapat beberapa posting di media sosial, seorang isteri mengeluh dengan sikap perilaku suaminya sendiri. Keluhan itu termasuk perihal ‘perangai’ suami yang tidak banyak membantu, semua kerja rumah terpaksa dilakukan sendiri tanpa orang gaji.
Ada juga isteri menceritakan bagaimana perbelanjaan rumah tangga bulanan terpaksa ditanggungnya, sedangkan suami hanya sekadar membayar ansuran kenderaan dan perbelanjaan utiliti. Sewa rumah (atau ansuran rumah), isteri yang bayar, belanja dapur isteri yang belikan, pampers (lampin pakai buang) dan susu, bayaran sekolah (tadika dan nursery) isteri yang keluarkan.
Dalam situasi sekarang, kos peralatan bayi sebulan boleh mencecah RM 500, belum dikira dengan rawatan kesihatan, pakaian dan bayaran pengasuh. Itulah sebabnya muncul fenomena “hanya kami berdua’; pasangan tidak merasa bahagia jika mempunyai anak, yang beberapa bulan lalu menjadi fenomena yang cukup kontroversi.
Awalnya, si isteri tidak mengeluh kerana faham pendapatan suami tidak seberapa. Gaji isteri jauh lebih tinggi, walhal kalau diikutkan tanggungjawab, semuany adalah tanggungjawab suami. Suami banyak senang dalam hal tersebut, tetapi lama kelamaan, suami berperangai seperti ‘kaduk naik junjung’; tidak menghargai sumbangan isteri. Akibatnya, rumah tangga tidak lagi terasa ‘bahagia’ dan hilang auranya.
Cerita kedua, si suami mengadu setiap hari isteri bangun lebih lewat. Suami bangun lebih awal, seawal jam 4.30 pagi kerana bertanggungjawab menyediakan sarapan untuk anak-anak dan isteri. Suami juga bila pulang kerja, lewat atau cepat, akan segera menuju ke rumah pengasuh mengambil anak-anak. Sesampainya di rumah, mandikan mereka dan seterusnya menjengok apa yang ada di dapur, untuk memasak untuk anak-anak.
Isteri jarang ‘makan malam’. Isteri sentiasa pulang lewat kerana ‘tekanan kerja’. Isteri paling awal pulang selepas Maghrib, dan kadangkala tengah malam kerana ada mesyuarat di pejabat. Banyaknya alasan, perlu berbincang dengan potensi pelanggan, merencanakan projek syarikat dan menyusun perancangan syarikat. Suami, beberapa tahun boleh menerima, tetapi akhirnya mula menunjukkan tanda-tanda ‘tidak selesa’.
Dalam hati terfikir, apakah ini namanya ‘hamba rumah tangga’. Kalau dahulu, ketika ramai wanita tidak bekerja, ramai juga wanita mengeluh tugas hariannya seumpama seorang hamba. Letih, penat dan emosi seolah-olah terpenjara. Saya tidak pasti dengan jelas hal itu, kerana saya tidak alami ‘perangkap’ sedemikian, dan juga rasa kehidupan kami ‘terpasung’ oleh situasi atau rutiniti sedemikian.
Kebetulan, sepanjang hari minggu, saya asyik membaca beberapa kisah rumah tangga dan kajian perihal rencah hidup pasangan, yang dikaji secara ilmiah dan juga tulisan-tulisan yang berbentuk anekdot serta cebisan kisah. Esther Margareta Vilar (Esther Margaretta Katzen, lahir 1935 di Beunos Aires, Argentina), seorang doktor perubatan, pakar psikologi dan sosiologi keturunan Jerman-Argentina menjadi terkenal apabila bukunya The Manipulated Man (1971) diterbitkan.
Margareta Vilar berhujah dalam kontradiksi fahaman feminis dan retorik hak-hak wanita, di mana wanita dalam masyarakat budaya industri tidak ditindas oleh lelaki, sebaliknya lebih gemar mengeksploitasi atau mengambil kesempatan ‘memanipulasikan’ lelaki
Tesis penulisan itu sangat menarik, kerana saya pertama kali dapat membaca sebuah kajian dan pengakuan oleh seorang perempuan, kalau sebelumnya, saya banyak membaca keluhan suami atau keluhan isteri dalam rumah tangga sebagai cerita duka, atas alasan tanggungjawab yang terabai atau penyimpangan makna sebuah perkahwinan. Banyaknya kes didedahkan selepas pasangan itu bercerai, dan sebak juga bila kisahnya seperti gantung tidak bertali bertahun-tahun lamanya.
Tidak begitu bagi Margareta Vilar. Margareta Vilar juga seorang isteri (berkahwin dengan Klaus Wagn tahun 1961 dan bercerai 1975), wanita berkerjaya dan pernah mengalami suasana sepi ketika berusia tiga tahun apabila kedua orang tuanya bercerai. Kedua orang tua Margareta Vilar berasal dari Jerman.
Pada tahun 1960, Margareta Vilar kembali ke Jerman untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang psikologi dan sosiologi (Jerman sangat terkenal dalam dua bidang tersebut) dan juga bertugas sebagai doktor di sebuah hospital di Bavaria selama setahun (Vilar adalah lulus ijazah perubatan Universiti Bouenos Aires, Argentina).
Margareta Vilar dan Klaus Wagn mempunyai seorang anak lelaki, bernama Martin yang lahir pada tahun 1964. Apabila kedua pasangan itu bercerai, Vilar memberikan komen yang cukup kontroversi: “I didn’t break up with the man, just with marriage as an institution” [Saya tidak putus cinta dengan lelaki, hanya dengan perkahwinan sebagai sebuah institusi].
Menurut Margareta Vilar, The Manipulated Man merupakan sebahagian daripada kajian perihal “ a man delight in nonfreedom” [seorang lelaki gembira bila tidak ada kebebasan]. Apa maksudnya, Margareta Vilar, wanita tidak ‘tertekan’ oleh lelaki, sebaliknya, wanitalah yang ‘menekan’ lelaki, ‘mengawal’ lelaki dalam hubungan rumah tangga bagi mendapatkan kelebihan di atas kepatuhan seorang suami, dan kebanyakan lelaki tidak menyedarinya.
Pada setengah orang, perlakuan begini dianggap lazim dan dikategorikan sebagai ‘kawalan berdasarkan naluri seks’ oleh wanita. Pada pandangan para pakar, seks memang diperlukan dalam perkahwinan sebagai ‘pengikat hubungan’ tetapi, bukan menggunakan seks sebagai ‘ancaman’ atau ‘keperluan mendesak’.
Namun persoalan seks cukup menyempitkan pandangan sesetengah orang, termasuk keputusan seorang lelaki untuk menjalani kehidupan sebagai pengamal poligami, tidak cukup dengan hanya seorang isteri. Walaupun dalam Islam poligami dibenarkan, kita boleh tinjau apa pandangan lelaki bila mereka berhasrat berpoligami.
Apakah benar-benar menurut Sunnah atau sebaliknya? Apakah poligami itu dibayangi dengan sifat adil dan isteri0isteri boleh menerimanya sebagai ‘ketentuan agama’? Banyak cerita yang berlaku, apabila suami berpoligami, isteri pertama menuntut cerai. Kita mungkin ingat kisah kisah Syamsul Yusuf dan Puteri Sarah Liyana.
Mereka bercerai talak satu, dan sehari dua lepas, muncul pula perihal Syamsul Yusuf memfailkan penceraiannya dengan Ira Kazar, isteri kedua yang dikahwini di Thailand, yang menjadi punca keretakan rumah tangga kali pertama. Apakah yang kita dapat pelajari daripada kes tersebut? Atau bagaimana kita membina persepsi daripada penceraian penyanyi Datuk Nora Arifin dengan suami keduanya (bermadu), Dr Rushdi Ramli?
Saya ikut memikirkan kebenaran rumusan Margareta Vilar, berdasarkan beberapa anekdot yang saya baca dalam media sosial dan cerita-cerita kisah rumah tanggan yang pernah saya baca dalam akhbar, majalah mahupun drama yang saya tonton di televisyen atau filem komersial. Saya akui ada kebenarannya tesis Margareta Vilar itu.
Saya akui bila merenung kembali fasa-fasa yang saya alami sejak berkahwin hinggalah kepada fasa ‘kembali sebagai pasangan’ selepas anak-anak mempunyai kehidupan masing-masing (berumah tangga dan mempunyai anak).
Semasa di awal perkahwinan, isteri yang belum mengenali secara psikologisnya perihal suami, hanya sekadar rasa yakin boleh jadi pasangan baik (semasa menyulam kasih, atau bercinta), banyak keputusan dibuat oleh si suami.
Tetapi, setelah lama berkahwin mula berlaku ‘konflik kuasa’ menjadi hal cukup meributkan rumah tangga sebagaimana ditemui oleh pakar psikologi perkahwinan, Dr Susan Campbell, The Couple’s Journey: Intimcay as a Path to Wholeness (1980).
Menurut Dr Susan, berdasarkan pemerhatian dan sesi kaunseling rumah tangga yang dihadiri oleh pasangan yang berada dalam usia perkahwinan antara 3 hingga 50 tahun, hubungan pasangan sentiasa mengalami pasang-surut, dan beliau merumuskan lima fasa perubahan yang berlaku: (1) Fasa Romantik (Romantic Stage); (2) Fasa Perebutan Kuasa (Power Struggle Stage); (3) Fasa Stabil (Stability Stage); (4) Fasa Komitmen (Commitment Stage); dan (5) Fasa Sakinah (Co-creation or Bliss Stage).
Fasa awal rumah tangga dikenali sebagai fasa bulan madu. Fasa bulan madu ini sedikit sebanyak akan mengalami perubahan selepas pasangan mempunyai semakin banyak tanggungjawab, bermula daripada saat dianugerahkan cahaya mata pertama dan seterusnya.
Fasa ini lebih memperlihatkan ‘rasa tidak puas hati’, ‘rasa terbeban’, ‘tidak cukup belanja’, dan pelbagai lagi kerana perbelanjaan rumah tangga semakin meningkat. Disebabkan oleh perbezaan atau jurang yang berlaku (jurang emosi, jurang material, jurang masa dan sebagainya) menyebabkan antara suami dan isteri mula menunjukkan kecenderungan masing-masing.
Isteri atau suami mula melihat perubahan, jika perubahan itu dilihat positif, ia tidak menjadi persoalan besar. Tetapi, jika perubahan itu negatif, ia mula mengumpul emosi ‘tidak sihat’ termasuk kadangkala ‘mulut menjadi ringan’ sehingga menyakitkan hati pasangan. Ada yang kata, isteri mula membebel, asyik salahkan si suami jika lambat pulang bekerja dan sebagainya.
Ada beberapa ancaman yang kemudiannya menyusul, ancaman itulah yang dimanipulasikan oleh isteri menurut Margareta Vilar: “women since the earliest times have manipulated men and turned them into their slaves, they have ‘pretend’ to be the oppressed sex while in the real they are oppressor.” [Wanita sejak tahap awal lagi memanipulasikan lelaki and menjadikannya hamba, mereka (wanita) berpura-pura ditekan dengan aktiviti seks walhal dalam situasi sebenar merekalah yang menekan]
Benarkah dakwaan itu? Saya tidak berani menjawab dengan tepat. Cuma boleh saya katakana, ada ketikanya memang berlaku. Apabila berlaku sedikit pertengkaran, ada situasi di mana isteri bemasam muka dan seterusnya mengunci bilik, tidak membenarkan suami tidak sekati;. Merajuk dan akhirnya memaksa si suami memohon maaf.
Setelah selesai, semuanya jadi beres semula. Tetapi, situasi begitu berulang-ulang dan secara kumulatifnya tidak dapat dikira berapa jumlahnya sepanjang usia perkahwinan setiap pasangan.
Sebut P Ramlee bersama Saloma, sedangkan lidah tergigit, ini pula suami isteri, Hidup rukun damai sekiranya saling memaafkan, tetapi berapa banyakkan ‘kemaafan’ itu diperlukan? Jika memohon maaf dengan ‘kesalahan’ yang sama, akan ada kata-kata, Maaf! Maaf! Tetapi buat jugak. Sedikit sebanyak ia akan mengumpul ‘saham kebencian’. Sedikir sebanyak ia akan mempengaruhi iklim perkahwinan,
Biarpun lelaki dianggap ‘mudah lupa’, si isteri tidak mudah lupa. Sifat seorang wanita, saya ingatannya adalah lebih kuat daripada lelaki. (John Medina, Brain Rules: 12 Principles For Surviving and Thriving at Work, Home, and School, Seattle, WA: Pear Press, 2008).
Margareta Vilar turut memperlihatkan perilaku bagaimana wanita mengeksploitasi lelaki dengan cukup berkesan. Ia dilakukan secara bertahap seperti ‘courtship [berpcaran]’ dan seterusnya kepada ‘marriage [berkahwin]’, dan akhirnya berkata “ a man chases a woman until she ctaches him [seorang lelaki mengejar seorang wanita sehingga dia (wanita itu) dapat mengejarnya (lelaki itu).
Ini persoalan yang banyak kita dengar, perihal rindu-rinduan sepasang kekasih sehingga ada keadaan ‘dapat lihat rumah pun dah cukup’. Sebuah permainan perasaan dan khayalan daripada pengalaman bercinta.
Dalam fasa perebutan kuasa, kadangkala muncul pendirian ‘tidak mahu mengalah’ dan ini mernjadi iklim perkahwinan semakin kritikal. Saya teringat kepada sehalaman infografik yang pernah popular beberapa minggu lagi, yang membahagikan riak wajah seorang wanita. Perubahan akhirnya menampakkan tabiat seperti singa dalam rumah tangga.
Bila wanita digambarkan sebagai singa betina, setelah sekalian lama berkahwin dan bersifat ‘memerintah suami’, teringat pula tentang sebuah buku psikologi feminis, Ester Lianawati, Ada Serigala Dalam Diri Setiap Wanita (Yogyakarta: Buku Mojok Group, cetakan ke-11, 2020). Sejak mula diterbitkan (Oktober 2020) sehingga Februari 2022, sebanyak sebelas kali diulangcetak.
Menurut Ester Linawati, yang menetap di Perancis sejak tahun 2012, ahli psikologi dari Indonesia itu menyifatkan ‘singa betina’ dalam diri seorang wanita, yang mengambil ketetapan daripada pendapat seorang ahli psikologi Jungian (Carl G Jung, 1875-1961), Clarissa Pinloka Estes, sebagai arketaip ‘perempuan liar’: memiliki penginderaan yang tajam, intuisi yang kuat, kepedulian terhadap sesama, keberanian, kemampuan beradaptasi dalam pelbagai situasi dan kondisi, kekuatan dan daya tahan. Buku Clarissa Pinloka Estes, Women Who Run With the Wolves: Myths and Stories of the Wild Women Archetype (1992).
“…Jika banyak perempuan tidak menyedarinya, itu kerana keliaran perempuan sejak lama ditekan oleh masyarakat. Liar bukan dalam makna negatif yang merendahkan, seperti tidak terkendali. Liar mengandung erti kebersatuan dengan alam: menjalani kehidupan secara alami, mengikut irama kehidupan dan aspirasi-aspirasi yang terdalam.”
Tiga fasa lain, seperti yang dibincang oleh Dr Susan ialah “Fasa Stabil” yang bermula dengan pasangan yang ‘dapat bertahan’ lebih lama dalam Fasa Perebutan Kuasa. Jika tidak ‘dapat bertahan’ ia akan menyebabkan penceraian. Jika sanggup melupakan ‘kepedihan’ ia menjadikan pasangan itu ‘mampu bertahan’ atau di sebaliknya, meninggalkan pasangan.
Semuanya adalah suatu pilihan, seperti seorang lagi ahli psikologi feminis Indonesia, @silebahjingga, Seperti Bernikah, Bercerai Adalah Cara Manusia Untuk Bahagia: Waktu Terbaik Untuk Diam dan Bertahan Serta Pergi dan Melepaskan (Yogyakarta: Vice Versa Books, 2021).
Setelah berlaku fasa stabil, fasa yang berlangsung ialah fasa komitmen, di mana pasangan memulakan kembali usaha dan komitmen bersama-sama. Beberapa tabiat yang menjadi kebiasaan berpuluh tahun usia perkahwinan, akan diubahsuai untuk menikmati kehidupan yang lebih tenang. Kebiasaannya, pada tahap ini, anak-anak mula meninggal rumah berkeluarga, sama ada bekerja mahupun hidup berumah tangga.
Pasangan menjadi semakin matang dalam perhubungan, tetapi tidak bermakna, pasangan yang sudah berusia tidak akan berpisah. Ada sebab lain yang mengirinya, kerana konflik kuasa juga boleh berlaku ketika ini, terutama apabila si isteri lebih memberikan perhatian kepada ‘cucu-cucu’ dan sanggup tinggal bersama anak-anak, walaupun kadangkala terasa penat dan letih menjadi pengasuh. Sifat semulajadi wanita, lebih ‘utamakan’ cucu daripada suami setelah sekelian lama tidak ada anak kecil.
Fasa Sakinah, merupakan fasa ciptaan kebahagiaan bersama. Fasa ini banyak kita contohi daripada generasi terdahulu, mereka benar-benar menunjukkan semakin berusia semakin dekat dan sangat diperlukan. Mereka melakukan aktiviti bersama, termasuk ke masjid bersama-sama. Seluruh kehidupannya ia memenuhi keperluan pasangan, kerana tidak ada apa-apa lagi yang difikir atau hendak dikejar, kecuali menerima saat-saat kematian dalam husnul khatimah (redha Illahi).
Cara bagaimana seorang wanita ‘menekan’ atau menguasai lelaki, digambarkan seumpama mitos Sisyphus dalam mitologi Yunani, di mana walaupun dalam keadaan menyusahkan, seorang lelaki akan menolak batu ke bukit berkali-kali, selagi ‘tidak mati’ dan membubarkan perkahwinan. Itulah yang dilihat oleh Margareta Vilar secara keseluruhan pola kehidupan berumah tangga, yang membawa kepada machiarki, berbeza patriarki.
Sebenarnya, karya Margareta Vilar itu adalah usahanya untuk menunjukkan bahawa feminisme telah berkembang dalam budaya hidup perempuan, dan ia seolah-olah kembali mengulangi tabiat haiwan, di mana si betina lebih dominan daripada lelaki, kecuali dalam hal-hal yang berkaitan kemasyarakatan, keselamatan dan pemenuhan keperluan asasi yang bersifat asas (fisiologi, keselamatan dan kasih sayang).
Dua hirarki di atas dalam teori Abraham Maslow (self-esteem dan self-actualization), dalam rumah tangga sangat cenderung didominasi kaum perempuan. Ia jelas dalam persekitaran memenuhi self-esteem dalam perhiasan dalam dan menyediakan jamuan tatkala mendapat tahun ada rakan-rakan yang akan berkunjung, juga saudara mara kerana tidak mahu kalah dan segan bila dikatakan hidup ‘sangat sederhana’. Setiap ruang rumah perlu dikemas, walhal pada hari-hari biasa, tidak ada ‘keributan’ untuk melakukan hal yang sama.
Ia merupakan keperluan mendapat self-actualization daripada orang lain, dan suami pula dituduh, paling sukar untuk memberikan pujian kepada isteri biarpun cuba melakukan yang terbaik dan menyiapkan makanan kegemaran. Hal itu mengingatkan kita kepada nasihat orang tua, seorang isteri yang bertanggungjawab dalam kehidupan pasangan yang bahagia ialah dengan menjaga tiga perkara: jaga maruah diri, penuhi (fahami) keperluan suami dan tidak banyak membebel (ertinya komunikasi yang efektif).
Tiga keperluan suami ialah: kenyangkan perut suami (makanan), penuhi syahwatnya (seks) dan menjaga pakaiannya. Itulah formula bahagia yang benar-benar dicari, yang mampu mengekalkan kebahagiaan rumah tangga, walaupun isteri bergaji besar dan berpangkat di pejabat. Semuanya itu adalah pencapaian peribadi, bukan pencapaian terbaik dalam kondisi rumah tangga. Namun ada yang menolaknya, kerana petua itu tidak lagi sesuai dengan zaman. Orang muda patut sedar, kerana orang tua sudah merasa zaman muda, tetapi, orang muda belum menghadapi zaman tua.
Kita boleh menerima andaian Margareta Vilar apabila dia menyelitkan makna “that a man is a slave of his desire and the woman uses and has used it for thausands of years as a stick and carot to keep the man cahasing vanity and commit his life to serving her.” dan “how each woman feels the powerful urge and need to own a male for herself.”
Penerimaan kita dengan cukup bersyarat, dan berpadanan dengan hakikat sebuah perkahwinan berdasarkan Islam, bukan berteraskan budaya barat. Oleh kerana pengaruh pengetahuan, emosi dan psikolog barat, pola budaya hidup sebagai pasangan Islam turut dicampuradukkan dengan falsafah yang bercelaru, yang telah menyebabkan kadar penceraian dalam kalangan masyarakat Islam meningkat tinggi, termasuk juga di Malaysia.
Bahkan pernah ada yang mengatakan satu pasangan bercerai pada setiap 18 minit. Apakah perangkaan itu tidak membimbangkan? Apa yang tidak kena dalam masyarakat sehingga penceraian menjadi hal sangat membimbangkan, terutama tentang pemantapan institusi kekeluargan dalam kalangan masyarakat Islam? Dan, sekarang telah mula berkembang perihal kuasa perempuan, termasuk apa yang dipanggil matriaki (matriarchy). Kalau dahulunya kita kenal istilah patriarki (patriarchy), iaitu lelaki mempunyai kuasa terhadap wanita, termasuk kuasa memutuskan perkahwinan,
Matriarki ialah kuasa perempuan dalam banyak perkara, termasuk mengajukan proses penceraian atas sebab-sebab yang sebahagiannya kurang boleh dianggap sebagai ‘nusyuz’. Matriarchy has ruled not through brawn but wits and tricks [Matriaki terus diperintah bukan hanya sekadar batang tetapi dengan akal dan muslihat].
Ada kecenderungan mengajukan penceraian kerana ‘perselingkuhan’ diketahui suami dan kisah cinta di pejabat yang menghebohkan, selain ada kencenderungan berkahwin lelaki lain yang khayalan, mampu memberikan kebahagiaan dalam perspektik ‘kecukup material’ dan ‘kesenangan berbelanja’, termasuk barangan berjenama dan kedudukan sebagai isteri lelaki kaya, berpangkat dan bergelar datuk.
Pandangan Margareta Vilar mendapat perhatian penyair, pengkritik dan penulis Nigeria, Chinweizu Ibekwe yang menulis The Anatomy of Female Power (1990) dan seorang penulis wanita Amerika Syarikat, Lawrence Shannon, The Fredatory Female: A Field Guide to Dating and the Marriage-divorce Industry (1986).
Akhirnya, ada benar pendapat Socrates: By the means marry; if you get a good wofe, you’ll become happy; if you get a bad one, you’ll become a philosopher. Meksudnya, secara mudah: Justeru, dalam perkahwinan; jika anda mendapat isteri yang baik, anda akan bahagia; jika anda mendapat yang buruk, anda menjadi seorang ahli falsafah.”
Wallahuaklam.