Seperti yang diketahui umum, tahun kelahiran Nabi SAW adalah bersamaan dengan peristiwa raja Abrahah dari Yaman, yang ingin mengalihkan perhatian dunia kepada sebuah rumah pemujaan yang dibinanya untuk selain Allah SWT.
Lalu Abrahah menyerang Mekkah dengan niat untuk menghancurkan Kaabah. Ketika dia memasuki Mekah dengan tentera bergajahnya, dan dengan segala kekuatan ketenteraan dan strategi yang dia punyai, Abdul Muttalib iaitu datok kepada Rasulullah SAW telah berkata; Lil Bayti Rabbun Yahmeen, bahawa rumah ini mempunyai Tuhan yang akan melindunginya.
Justeru Allah SWT menurunkan burung-burung yang merejam batu-batu kecil ke arah tentera Abrahah. Allah SWT menghantar kepada mereka tentera dari langit untuk memelihara rumahnya.
Kemudian Abdullah ibn Zubayr RA, yang berjumpa dengan ibunya, Asma’ binti Abu Bakr RadiAllahu ta'ala anha untuk bermusyawwarah. Satu perbincangan yang memberikan impak yang sangat besar kepada siapapun yang mendengarnya, satu perbualan yang dipenuhi dengan iman.
Dalam perbualan antara Abdullah ibn Zubayr RA dan ibunya, mereka bertanyakan sama sendiri tentang bagaimanakah untuk bertemu Allah dengan cara yang paling diredhai. Sama sekali tidak dipersoalkan ketetapan Allah SWT, dan tidak sekali-kali mereka bertanya, di manakah Allah SWT ketika mereka sedang diserang oleh tentera Umayyah, diketuai al-Hajjaj ibn Yusuf.
Maka selepas itu, Abdullah ibn Zubayr RA pergi untuk solat di hadapan Kaabah, dan ketika dia sedang solat, dia terkena bom api yang dilontar oleh manjaniq dari luar kota Mekah. Kemudian Abdullah Ibn Zubayr disalib. Hingga ke akhir hayatnya, Abdullah Ibn Zubayr dan ibunya Asma’ binti Abu Bakar tidak ada
keraguan kepada Allah SWT. Mereka tidak bertanya soalan - Di manakah Allah, atau mengapa Allah tidak melindungi kita? Dia hanya mempersiapkan dirinya untuk saat syahid. Ibunya telah menyediakannya untuk saat itu dan walaupun selepas itu apabila dia terpaksa datang untuk melihat mayatnya, dia tidak pernah bertanya, mengapa ya Allah?
Namun di antara penyimpangan atau bid’ah yang paling awal, terjadi apabila muncul kumpulan Qadariyah, iaitu mereka yang mengingkari ketetapan Allah. Mereka mula menimbulkan keraguan kepada orang awam yang menjadi saksi kepada impak peperangan. Golongan Qadariyah ini menimbulkan persoalan seperti - “Tidakkah anda fikir jika Allah tahu peristiwa ini akan berlaku, maka Dia akan menghentikannya?”
Tidakkah anda berfikir bahawa Tuhan yang menentukan terlebih dahulu, akan menetapkan sesuatu yang lain daripada ketentuan ini?
Maka jelaslah, kepercayaan mereka kepada Qadar Allah itu batil. Mereka memanipulasi emosi orang awam yang tidak terlibat dengan perang, tetapi menyaksikan secara langsung kengeriannya. Mereka berkata bahawa Allah tidak ada untuk melindungi Kaabah pada hari itu, atau tidak melindungi Abdullah ibn Zubayr pada hari itu. Dan malangnya, fitna ini telah mempengaruhi beberapa orang yang melihat kejadian itu.
Kemudian kita lihat pada hari yang dikatakan paling gelap dalam sejarah umat Islam, iaitu pada tahun 930 Masihi. Seorang lelaki bernama Abu Tahir Al-Jannabi, yang berasal dari Qaramita, dengan kumpulannya yang dikenali sebagai Qaramita, satu kumpulan sesat yang tersangat ekstrem.
Maka pada tahun 930 itu, terdapat 20,000 jemaah haji yang sedang tawaf mengelilingi Kaabah. Bayangkan sosok seorang pemuda berumur 24 tahun berdiri di hadapan Kaabah sambil menjerit dengan sombongnya,
Aina al-tayrun al-ababeel? Aina al-hijaratu min-sijjil?
Di manakah burung-burung itu? Di manakah batu-batu yang yang sepatutnya dilontar dari langit?
Ana billahi wa billahi ana. Yakhluq al-khalq wa ana aqtuluhum.
Allah ada di dalam diriku dan aku di dalam Allah. Kami berdua adalah satu dan sama. Allah menciptakan makhluk dan aku yang mengakhirinya. Aku bunuh mereka. Dan dengan kata-kata angkuhnya, dia membunuh semua jemaah haji pada tahun itu. 20,000 syahid haji.
Jika kita berada di sana dan anda menjadi saksi kepada kesombongan ini, sudah tentu kita menjangkakan petir untuk memanah Abu Tahir Al-Jannabi itu? Kerana itulah yang sepatutnya berlaku. Namun tiada panahan petir yang dikenakan ke atas tubuh pemuda itu. Sebaliknya, dia membunuh 20,000 para haji, dan menimbun mayat mereka di Zamzam. Tiada lagi ibadah haji selama kira-kira dua dekad. Dia mencuri hajar aswad, dan membina struktur kecil di tempat lain. Dia menghalau orang dari mengerjakan haji, menghalau orang dari Kaabah, memperkenalkan segala macam bid'ah kepada ummah ini.
Seandainya kita hidup pada zaman itu, di mana tidak ada haji, adakah kita masih ada harapan untuk umat ini dipulihkan? Ketika Hajar Aswad telah diambil dan Kaabah itu sendiri telah diserang dan jemaah haji telah dibunuh, adakah kita masih kuat untuk percaya bahawa Allah SWT akan memulihkan umat ini?
Dan di antara hikmah-hikmah yang disebutkan oleh para ulama, adalah bahawa Allah Azza wa Jal melindungi Kaabah pada kali pertama, dan kemudian membiarkan ketua Qaramita itu bermegah-megah, ialah fitnah yang datang kepada orang-orang yang beriman. Oleh itu orang-orang yang beriman harus lebih mengetahui bahawa Allah SWT itu ada, dan bahawa Allah akan menetapkan rencana-Nya, tetapi hanya mengikut garis masa-Nya.
Sebelum Nabi SAW memulakan dakwah Islam, Allah Azza wa Jal telah menetapkan bahawa Mekah akan menjadi pusat tumpuan, sedangkan pada ketika itu tiada penjelasan mengapa. Tetapi Allah SWT telah menetapkan pentas dakwah junjungan kita Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam.
Bayangkan jika anda berumur 60 tahun dan anda akan menunaikan haji pada tahun 931, dan setiap tahun, ia masih tidak ada. Tetapi Allah SWT telah menghantar parasit dan penyakit yang menjijikkan kepada Abu Tahir, yang berusia 38 tahun ketika itu, lalu membunuhnya. Dan Allah telah memulihkan ummah ini, hinggakan jika kita menunaikan haji sekarang, tidak lagi merasakan kesan peristiwa berdarah tahun 930 itu.
Tetapi jika anda tergolong sebagai shahid pada hari itu, di antara 20,000 orang, dengan serta-merta kamu akan tahu bahawa janji Allah itu benar.
Ujian Allah SWT bukan pada mereka yang terbunuh, yang telah segera berpindah ke tempat mereka, iaitu roh-roh mereka diletakkan ke dalam rongga burung-burung hijau, yang terbang bebas di syurga Yang Maha Pengasih.
Ujian sebenar adalah kepada mereka yang melihat timbunan jenazah haji yang dibuang di telaga zamzam, dan sisa-sisa jenazah di hadapan Kaabah. Mereka inilah yang akan diuji dengan keraguan di dalam hati masing-masing.
Tetapi sesungguhnya Allah SWT telah melaksanakan rancangan-Nya dengan sempurna.
BERSAMBUNG BHG AKHIR