SEJARAH PERANG SALIB

SEJARAH PERANG SALIB

Doktrin Pope Urbanus II (1095) menjadi titik tolak penting dalam politik penjajahan Kristian Katholik Eropah (yang berpusat di Rom dan kini dikenali sebagai Vatican City) terhadap Islam. Doktrin itu pada awalnya sangat terpengaruh dan digunakan sebagai ‘perang antara agama’ dengan mentafsirkan pemikiran bapa falsafah Neoplatonisme Kristian Bishop of Hippo Regius dari Numidia, Afrika Utara atau dikenali dengan nama Saint Augustine (Augustine the Hippo, 354-430). Pemikirannya telah berjaya membentuk sudut pandangan (worldview atau weltanschtuung) kaum agama dan penguasa gereja Kristian di seluruh dunia.Beliau dianggap sebagai seorang ‘tokoh suci’ dalam falsafah pemikiran Barat dan lebih-lebih lagi dalam pembentukan teori falsafah Kristian.

Saint Augustine dianggap sebagai pemikir otordoks yang paling berpengaruh dalam membangkitkan semula semangat Kristian setelah kejatuhan Kerajaan Rom dan menjadi tunjang kepada pemahaman para penguasa gereja untuk melengkapkan doktrin ‘perang agama’, terutama memerangi Islam dalam sejarah peradaban manusia yang masih kekal hingga sekarang, iaitu doktrin Perang Salib. Daripada perspektif sejarah, Perang Salib dibentuk dalam semangat ‘perang agama’ apabila para gerejawan mentafsirkan pandangan Saint Augustine. Saint Augustine menghalalkan ‘perang agama’, kerana beliau mula berpandangan bahawa sesuatu kejadian atau perilaku tidak berlaku dari alam deria manusia tetapi ia datang daripada ‘keputusan Tuhan’.

Bagi Saint Augustine, sesuatu bentuk pemikiran atau pemahaman hanya boleh diperoleh daripada Tuhan, dan ia sepadan dengan asal-usul sesuatu dan kebenaran yang ada. Sesuatu kebenaran itu hanya boleh difahami apabila ianya mendapat ‘pertolongan Tuhan’, iaitu apa yang dipanggilnya alasan (arbitrase) atau jiwa di mana asasnya ialah Tuhan.  Sesuatu kebenaran yang diperoleh menerusi indera tidak kekal (transcendental) dan sifat manusia itu sendiri yang tidak bersedia mematuhi keputusannya sepanjang masa (sentiasa berubah-ubah pemikiran dan tingkah laku). Oleh kerana itu, kehidupan manusia sebenarnya tidak mempunyai atau memperoleh apa-apa (termasuk memuaskan kehendaknya sendiri), kerana apa yang dimiliki oleh manusia adalah tidak setanding dengan apa yang menjadi kepunyaan atau milik Tuhan. (Rujuk:  https://ms.thpanorama.com/articles/filosofa/san-agustn-de-hipona-biografa-filosofa-y-aportes.html)

Mengenai doktrin ‘perang agama’, yang berasaskan pandangan bahawa pergerakan sejarah untuk mencapai ‘tahap tertinggi’ iaitu Kota Tuhan- yang sesuai dengan kebaikan, kerohanian dan perilaku yang baik—di mana cinta Tuhan itu diwakili oleh gereja, Saint Augustine menetapkan tiga kriteria yang menjadi teras yang membolehkan ‘perang agama’ dilakukan, iaitu: (1) sesuatu peperangan itu perlu mempunyai sebab yang benar misalnya penindasan yang dilakukan sesebuah kelompok terhadap kelompok yang lain; (2) pengisytiharan perang hendaklah dibuat oleh pihak berkuasa; dan (3) para tentera yang menyertai sesuatu peperangan hendaklah mempunyai niat yang baik dan benar, khususnya atas kepentingan agama semata-mata. Jonathan Riley-Smith memberikan catatan berikut:

“St Augustine’s definition of just violence, that is avenged injuries, presupposed a less passive attitude on the part of the just than was later to be acceptable, especially in the notion of vengeance, which haunted caon lawyers until c.1200, after which it seems gradually to have been drop, and in a wide interpretation of the injuries to be avenged, which could include any violation of righteousness, God’s law or Christian doctrine. As late as the middle of the thirteenth century the great canon lawyer Hosteinsis (d.1271) seems to have believed that Christendom had an intrinsic right to extend its sovereignty over any society which did not recognize the rule of the Roman Church or Roman Empire’. (Jonathan Riley-Smith, What Were The Crusades?, 2002, hal.9).

Ucapan atau seruan Pop Urbanus II yang dibuat di bandar Clermont, selatan Perancis lebih 920 tahun lalu itu menjadi asas pembangunan pasukan tentera Salib untuk meruntuhkan empayar-empayar Islam dalam tempoh yang panjang, dan hingga sekarang belum ada tanda-tanda ianya berakhir secara mutlak. Ini bermakna, doktrin Perang Salib akan terus dihidup dan dilaksanakan walaupun berubah bentuk dan strateginya. Peperangan dengan empayar-empayar Islam yang bermula selepas tidak berapa lama doktrin itu disempurnakan oleh Pop Urbanus berlaku dalam siri yang cukup lama – Perang Salib I (1095-1099), Perang Salib  II (1145-1149), Perang Salib III (1187-1195), Perang Salib IV (1202-1204), Perang Salib V (1217-1221), Perang Salib VI (1228-1229), Perang Salib VII (1248-1254), Perang Salib VIII (1270), Perang Salib IX (1271-1272) - dan selepas itu ia disambung atas nama ‘perang agama’ yang masih digunakan oleh pemimpin politik Barat untuk menghapuskan umat Islam. Ia menjadi lebih mendukacitakan ialah apabila negara-negara Barat memainkan peranan utama untuk menzahirkan cita-cita Persekutuan Zionis Antarabangsa menubuhkan sebuah ‘negara haram Israel’ yang dicetuskan oleh resolusi di Basel pada tahun 1897. Pada awalnya, hasrat penubuhan Negara Israel tidak dikaitkan dengan agama, ia hanya bersifat politik, yakni menjaga kepentingan orang Yahudi yang hidup merempat tanpa negara di seluruh Eropah, yang kemudiannya dikenali sebagai Diaspora Yahudi – Jews Diasphora.

Menerusi kedudukan bangsa-bangsa Eropah sebagai ‘kuasa penjajahan’, terutama Inggeris dan Perancis,  Persekutuan Zions Antarabangsa berjaya melobi sokongan bagi penubuhan ‘negara haram’ itu selepas Menteri Luar Britain, Sir Arthur Balfour menjawab surat yang dihantar oleh Lord Rothchild pada tahun 1917. Jawapan dan sokongan Balfour itu kemudiannya mendapat persetujuan Parlimen British yang kemudiannya membentuk Deklarasi Balfour pada 2 November 1917, dan selepas itu diumumkan secara rasmi sebagai keputusan kerajaan British pada 9 November 1917. Pada bulan November 1914 , British mengisytiharkan perang ke atas Uthmaniyyah sebagai tindakan penjajahan ke atas Palestin dan ia ditetapkan sekali lagi oleh Perdana Menteri Britain, HM Asquith namun pada tahun 1916, Asquith terpaksa meletakkan jawatan dan digantikan dengan David Lloyd Goerge. Pada 19 Jun 1917, Lord Rothchild dan Chaim Weizmann mengemukan draf awal deklarasi awam, yang kemudiannya mendapat perbincangan meluas dalam kalangan kabinet Britain pada bulan September dan Oktober pada tahun tersebut.

Pada bulan Mei 1916, Perancis dan Britain menandatangani satu perjanjian rahsia yang diwakili oleh dua orang –Sir Mark Skyes dan Francois Georges-Picot – untuk membahagikan kawasan jajahan baharu di dalam wilayah kekuasaan Empayar Uthmaniyyah, sebagai tumpuan memenangi Perang Dunia I yang sedang berlangsung. Wilayah-wilayah milik Islam di Syria, Lubnan dan Cicilia (dalam penguasaan Turki)dijadikan ‘wilayah kawalan’ Perancis manakala  Palestin, Jordan dan kawasan sekitar Teluk Parsi dan Baghdad dibawah ‘kawalan’ British.

Walaupun secara fizikalnya kesemua wilayah tersebut bukan ditadbir oleh Perancis dan Britain, secara tidak langsungnya  mereka mempunyai pengaruh yang cukup besar didalam pentadbiran  kerajaan wilayah tersebut. Misalnya, di kawasan utara Syria dan Mesopotamia adalah dibawah pengaruh Perancis manakala Saudi dan Lembah Jordan di bawah pengaruh British.Namun, ibu kota Palestin iaitu Baitulmaqdis adalah terletak dibawah pentadbiran antarabangsa. Rundingan rahsia itu dikenali sebagai Perjanjian Skyes-Picot yang ditandatangani pada 3 Januari 1916. (Muhamad Hasrul Zakariah, British dan Perang Enam Hari 1967  Arab-Israel, 2017, hal. 25-27).

Selepas pembentukan ‘negara haram Israel pada tahun 1947’, yang diambilalih oleh Amerika Syarikat hakikat Perang Salib terus dikaitkan dengan usaha menghapuskan Islam. Masyarakat Islam di seluruh dunia pada awalnya menunjukkan komitmen dan penentangan yang cukup bersemangat untuk tidak mengiktiraf ‘negara haram’ itu, namun setelah berjaya ‘dikembirikan’ oleh Amerika Syarikat, sokongan dan komitmen tersebut menjadi semakin mandul. Hal ini telah memberi ruang yang besar kepada regim Zionis untuk terus mengongkong, menjarah dan seterusnya melakukan ‘pembersihan etnik Palestin’ secara zalim sehingga bumi Palestin tidak pernah aman dan tenteram.

Sejak mengendurnya semangat ‘penyatuan memerangi Israel’ selepas Perang Enam Hari (1967), kematian Yasser Arafat, perjuangan membebaskan Palestin turut mengalami situasi yang pelbagai. Arab Saudi yang berada dalam ‘kawalan Amerika Syarikat’ dan sedang berusaha untuk melakukan dominasi fahaman Wahabi semakin bermusuh dengan negara-negara Islam lainnya, terutama Iran, Irak dan terbaharu dengan Qatar.

Peristiwa runtuhnya World Trade Center pada 11 September 2001 sekali lagi ‘perang Salib’ kedengaran apabila George Walker Bush (Bush Jr) menyatakan pandangannya untuk ‘mengkategorikan Iran dan Irak sebagai paksi kejahatan’ kerana melindungi pejuang al-Qaeda yang dikatakan menjadi dalang serangan tersebut sehingga lebih 3,000 orang terkorban, dua menara berkembar runtuh dan bangunan Pentagon berjaya dirosakkan.

Bush Jr mengistilahkan kempen memerangi keganasan itu atas nama ‘the Crusade’, yakni tidak membezakan antara Islam dan pengganas. Tindakan itu berjaya meningkatkan ‘ketakutan terhadap Islam’, Islamofobia, yang sebelum ini – selepas kejayaan Revolusi Islam Iran dan menghalau Amerika Syarikat setelah jatuhnya rejim boneka Redza Shah Pahlavi pada tahun 1979 – digelar ‘hantu hijau, green menace’, ‘empayar jahat’, fundamentalis dan ‘telah lama menjadi ancaman kepada Kristian di Barat’,   (istilah yang digunakan oleh John L Esposito, Ancaman Islam: Mitos atau Realiti, edisi terjemahan, 2004, Bab 2: Islam dan Dunia Barat).

Menurut catatan Mohamad Salama, kita tidak boleh melupakan apa yang diperkatakan oleh Bush Jr dalam reaksi awalnya sebaik sahaja tragedi itu berlaku: “We must not forget that the word George Bush mentioned in the first reaction to the war against terror was ‘crusade’. This is a heavily loaded term only uses anachronistically to describe medieval Christian military campaigns against Islam to restore Christian domination over the Holy Land. Soon after, Bush modified his tone and announced that the USA was not at war with ‘good Muslims’. How are we to understand these contradictions?” (Mohamad R Salama, Islam, Orientalism and Intelectual History, 2011, hal.5).

Penyebab kepada serangan WTC masih dipertikaikan hingga kini walaupun sudah berlaku 20 tahun lalu. Pelbagai kontroversi dan teori konspirasi muncul, termasuklah andaian bahawa serangan al-Qaeda itu hanya ‘kambing hitam’ yang sengaja dicipta untuk membolehkan Bush Jr memulihkan imejnya (terutama membalas dendam atas kegagalan bapanya, George Herbert Bush Sr memenangi jawatan presiden untuk penggal kedua, 1992) dan mencari peluang untuk memberikan ruang ‘mencari kekayaan’ sebagai balas budi rakan-rakan yang membantu kemenangan Bush Jr dalam merebut jawatan Presiden Amerika Syarikat ke-44 atas imej Parti Republikan yang ‘cukup bermasalah’ dan penuh liabiliti –Ronald Reagan dengan projek Star Wars, Bush Sr dengan Perang Teluk dan skandal penjualan senjata sebagai ‘tukaran’ pembebasan tahanan 52 orang (diplomat dan rakyat Amerika Syarikat oleh Tentera Revolusi Iran yang ditawan masa Revolusi Islam Iran, 1979) pada 20 Januari 1981 setelah ditahan selama 444 hari (4 November 1979). Usaha menyelamatkan tebusan tersebut beberapa kali gagal yang akhirnya

Ketika itu, Bush Sr adalah ahli Council of Foreign Relations , Trilateral Commission dan dilantik sebagai Naib Presiden di bawah pentadbiran Ronald Reagan (1981-1989). Bush Sr berjaya membebaskan tawanan tersebut beberapa hari selepas Parti Republikan menang pilihan raya presiden 1980, di mana Ronald Reagan mengangkat sumpah jawatan pada 20 Januari 1981.Ini membuktikan ‘tarikh pembebasan’ tersebut sebagai sesuatu yang dirancang bagi menggambarkan kehebatan Republikan berdiplomasi dengan Iran setelah usaha yang dibuat oleh Jimmy Carter menemui kegagalan.(Paul Findley, Mereka Berani Bersuara: Nasib Pemimpin dan Institusi Yang Menentang Israel, edisi terjemahan, 1993). Namun, dalam pemilihan bulan November 1991, Bush Sr dikalahkan oleh Bill Clinton dan kekalahan tersebut membangkitkan ‘dendam’ Bush Jr., yang tentu mencari sesuatu yang lebih besar bagi membolehkan dirinya menghabiskan tempoh kepresidenan selama dua penggal.

Dalam tahun 1995, selepas berakhirnya Perang Dingin, yakni perpecahan wilayah-wilayah kekuasaan USSR (Kesatuan Republik Sosialis Rusia) dan runtuhnya Tembok Berlin (1989) menjadikan Amerika Syarikat semakin gagah dalam percaturan ideologi politik antarabangsa telah muncul sebuah teori yang cukup semberono. Teori tersebut dikenali sebagai ‘pertembungan peradaban’ yang akhirnya memberikan rumusan bahawa musuh terbesar peradaban Barat ialah Islam manakala peradaban-peradaban lain dari timur tidak begitu menyerlah.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

028912
Hari ini: 207
Minggu Ini: 3,334
Bulan Ini: 2,708
Tahun Ini: 28,912
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.