Allah SWT telah memerintahkan Nabi Ibrahim dalam ayat 27 surah al-Hajj dengan berfirman maksudnya Serukanlah panggilan kepada manusia untuk menunaikan ibadah haji. Kemudian Nabi Ibrahim merespons dengan menjawab Suaraku tidak akan terdengar oleh mereka ya Allah, Allah membalas Yang penting serukan panggilan itu, Kami akan memperdengarkannya. Dialog di antara Allah dengan Nabi Ibrahim terdapat dalam berbagai riwayat kitab tafsir tentang ayat itu.
Setiap muslim pasti mengetahui dan mendengar adanya panggilan Allah itu. Sebegitu hebatnya panggilan itu di kalangan umat Islam, sehingga ibadat haji dapat dikategorikan sampai pada tahap malumun min al din bi al dharurah yang bermaksud pengetahuan pada tingkat aksioma (pernyataan tentang kebenaran tanpa perlu pembuktian). Sehingga tidak ada alasan bagi seseorang muslim untuk tidak tahu atau menangguh ibadah haji dan berusaha mengerjakan sedaya upayanya.
Memang mengerjakan haji boleh ditangguhkan, tetapi alasannya adalah atas masalah kesihatan dan bukanlah atas kepentingan politik. Jika penangguhannya atas alasan yang tidak menepati syarie, seperti semata-mata tidak mahu ketinggalan mengundi, jika seseorang itu meninggal maka matinya disamakan dengan mati sebagai Yahudi atau Nasrani. Sabda Rasullullah SAW yang bermaksud: Barangsiapa yang sudah ada bekalan dan belanja serta pengangkutan yang boleh (mampu) pergi ke Baitullah tetapi dia tidak juga menunaikan Haji maka tidak ada halangan dia boleh mati sebagai Yahudi atau Nasrani (Riwayat at-Tarmizi: 33931).
Hadis ini memberi satu pengajaran bahawa ibadah haji adalah perkara yang teramat mustahak dan tidak boleh dipermainkan sesuka hati. Ancaman Rasulullah terhadap status kematian seorang muslim sebagai orang Yahudi dan Nasrani jika gagal menunaikan haji, sepatutnya mencetuskan kesedaran dan penghayatan yang mendalam kepada setiap muslim agar sentiasa melaksanakan perintah Allah secara murni dan ikhlas semata-mata niat kerana Allah. Bukan berniat kerana godaan kehidupan duniawai. Apatah lagi semata-mata pertimbangan motif politik. Mana yang lebih utama panggilan Allah atau panggilan parti politik.
Rabiatul Adawiyah pada suatu hari bertanya: Siapakah yang dapat menunjukkan kepada saya untuk bertemu Kekasih? Seorang pelayannya menjawab: Sang Kekasih bersama kita, tetapi dunia menghalangi kita dari bertemu dengan-Nya.
Kekasih yang dimaksudkan itu ialah Allah SWT dan bukannya manusia sebagaimana yang seringkali kita dengar mengenai telatah orang bercinta pada masa sekarang. Bagi orang yang benar-benar menghayati Islam, cinta kepada Allah dan Rasullullah SAW adalah wajib...Ingat tidak ada ketaatan tanpa cinta. Awalnya cinta, baru kemudian diikuti ketaatan dan kepatuhan kepada yang dicintai.
Gambaran rasa cinta yang paling luhur dan agung yang dilukiskan oleh Imam al-Ghazali (450-505H) dalam kitabnya, Rindu Tanpa Akhir (terjemahan dari al-Mahabbah wa al-Syawq wa al-Uns wa al-Ridha) membuktikan bahawa berasaskan sebuah hadis, seseorang itu belum dianggap beriman sampai aku lebih dicintai jauh melebihi cintanya kepada keluarga, harta dan seluruh manusia.(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Dalam Ihya Ulumuddin, Imam Al-Ghazali menulis, bagi seorang muslim, mengerjakan ibadah haji menunjukkan kerinduan yang paling hebat manusia kepada Allah SWT. Semuanya sanggup ditinggalkan: kampong halaman, anak, isteri , keluarga dan sahabat handai. Semuanya sanggup diharungi: lautan, perjalanan yang sukar, keselesaan rumah berhawa dingin, makanan yang lazat dan urusan pekerjaan harian semata-mata untuk bertemu dengan Kekasih, iaitu Allah SWT.(Jilid I, halaman 240).
Mengerjakan haji adalah rukun terakhir yang diperintahkan oleh Allah SWT dan amat jelas perintah tersebut dilaksanakan secara penuh keinsafan, rasa rindu untuk bertemu dan berada di rumah-Nya menjadikan suatu kepatuhan yang tidak boleh dipinda.
Bagaimanapun kerana ada kepentingan tindakan tertentu yang berdasarkan naluri ingin berkuasa, pemergian tersebut boleh ditangguhkan sementara. Disebabkan masa mengerjakan haji hanya setahun sekali, maka penangguhan tersebut adalah sesuatu yang tidak selaras dengan ketetapan syarie kerana tidak semua orang memperolehi seruan itu meskipun ada keupayaan ekonomi dan kekuatan fizikal.
Bagi seorang muslim, ibadat haji merupakan kemuncak dari pengabdian diri sebagai hamba dan seagung-agung jihad di jalan Allah. Penangguhan itu menampakkan betapa liciknya untuk memboloskan diri kerana tidak tahu membezakan antara yang wajib syarie dan kewajipan yang disyaratkan oleh manusia. Berjihad atas landasan kewajipan yang ditetapkan oleh manusia menyebabkan diri akan terjerumus ke hakikat terlalu mencintai dunia. Terlalu mencintai dunia adalah petunjuk yang bertentangan dengan matlamat kenapa manusia diciptakan.
Syeikhul Islam Ahmad bin Abdur Rahim Dahlawi menjelaskan bahawa rasa rindu manusia akan sampai ke kemuncaknya dengan mengerjakan ibadat haji. Sepanjang menunaikan kewajipan tersebut, seluruh hati dan jiwanya diserahkan dengan penuh kerelaan, sepanjang hari dihabiskan dengan beribadat manakala sanggup bangun di waktu malam untuk berzuhud manakala seluruh hati dan perasaannya bersatu dalam satu tujuan, memperoleh keampunan dan keberkatan-Nya.
Sehubungan dengan ini Allah SWT berfirman yang bermaksud mereka bersumpah kepadamu dengan nama Allah untuk mendapat keredaanmu. Pada hal Allah dan RasulNya jualah yang lebih berhak mereka mendapat keredaanNya jika betul mereka itu benar-benar beriman (Maksud Surah Al- Taubah ayat 61).
Dalam hadis lain, seperti diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Siti Aisyah r.a. pernah bertanya: ``Ya Rasulullah! Jihad (di jalan Allah), adalah amal yang paling mulia!'' Jawab Rasullullah : Ya! tetapi jihad yang paling mulia ialah haji mabrur (yang ikhlas niatnya dan sempurna syarat rukunnya).
Berdasarkan kedudukan itu, menangguhkan pemergian mengerjakan haji atas alasan tidak mahu ketinggalan mengambil bahagian dalam pilihan raya apabila masanya telah tiba, penangguhan itu adalah tindakan yang tidak tepat melainkan Islam dalam keadaan terancam apabila berlaku kekalahan dalam suatu pilihan raya.
Alfalahmadani.my mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha dan didoakan keberkatan mabrur kepada para haji. InsyaAllah.